Detik keempat belas.
Zamia
bergegas membuka pintu utama dengan kain telekung yang masih tersarung di
badan. Kedengaran sayup-sayup bunyi ketukan dan suara wanita di luar. Daun
pintu dikuak separa luas, sesusuk tubuh seorang wanita yang tua sedikit dari ibunya
sedang terpacak di hadapannya.
“Ye,
boleh saya bantu?” Zamia terpaku di muka
pintu. Wanita yang berpakaian kurung kedah serta berselendang putih tersenyum
mesra ke arahnya.
“Ni
Mia ke?” Soal wanita itu. Zamia
mengangguk.
“Nama
makcik Mak Tam..” Jelas orang tua itu. Zamia mengangguk dalam keliru. Dia lebih
banyak mendiamkan diri dan membiarkan Mak Tam sahaja yang berbicara.
“Mak
Tam ke sini sebab nak tolong Mia buat kerja-kerja rumah.” Mak Tam tersenyum
mesra sambil merenung tepat ke wajah Zamia.
Wajah
wanita yang bernama Mak Tam itu direnung lama. Lembut sahaja air mukanya, Zamia
berasa senang.
“Masuklah
dulu Mak Tam.” Pelawa Zamia. Mak Tam melipat payungnya yang basah lalu
menyandarkannya ke dinding anjung banglo tersebut. Dia melangkah masuk dengan
senyuman meleret di bibirnya.
“Duduklah
Mak Tam, Mia buatkan air kejap.”
Zamia
mahu ke dapur namun ditegah oleh Mak Tam.
“Tak
payah susah-susah Mia. Mak Tam yang sepatutnya buat semua tu. Mia duduklah sini, kita berbual-bual.” Ujar Mak
Tam sambil menepuk-nepuk sofa dengan sebelah tangannya. Zamia tidak membantah,
terus sahaja dia melabuhkan duduknya di sebelah Mak Tam.
“Mak
Tam sebenarnya baru balik dari Melaka, melawat anak saudara yang baru bersalin
kat sana.”
“Oh
ye ke..” Zamia mengangguk. Cuba untuk berkomunikasi.
“Mak
Tam ni sebenarnya ibu kepada Imriz.” Mak Tam tiba-tiba memberikan
penjelasannya. Mata Zamia terbeliak apabila mendengar nama Imriz disebut oleh
wanita itu. Ibu kepada Imriz?
“Mak
Tam ni ibu kepada abang Riz?” Zamia menyoal sekali lagi. Seperti tidak percaya
pula dia bahawa orang tua itu adalah ibu kepada Imriz.
“Ye.
Imriz tulah satu-satunya anak Mak Tam. Dah besar Mia ye, cantik..” Puji Mak Tam
sambil membelai kepala Zamia.
“Mak
Tam kenal dengan tok aki dan tok wan tak?” Zamia mula berminat untuk berbual
dengan wanita itu. Mak Tam segera mengangguk.
“Mestilah
kenal. Mak Tam ni dah macam anak angkat diorang..” Balas Mak Tam sambil tergelak. Terkenang dia pada arwah suami
isteri itu, baik sekali orangnya.
“Mak
Tam datang sini sebab abang Riz suruh ke?” Soal Zamia serba-salah. Kalau boleh
dia tidak mahu menyusahkan wanita itu. Dia sendiri mampu untuk melakukan
kerja-kerja rumah di banglo tersebut.
“Riz
bagitau Mak Tam pasal kedatangan Mia dengan Danny ke sini tapi masa tu Mak Tam
masih di Melaka. Tak sempat tengok abang Mia.” Kata Mak Tam penuh sesal.
“Siapa isteri abang kamu?” Tanya Mak Tam penuh
minat.
“Nama
dia Ain Shakina. Kak Ain dah jadi anak angkat ibu dengan ayah sejak di sekolah
menengah lagi.” Jelas Zamia panjang lebar. Orang tua itu mengangguk-angguk
faham.
“Laa,
orang dekat jugaklah ni. Beruntung badan.” Ujar Mak Tam lalu ketawa gelihati.
“Mak
Tam tak payahlah susah-susah tolong Mia kat sini. Kesian Mak Tam baru aje balik
dari Melaka, mesti letih tak hilang lagi.” Zamia berkata simpati. Garis-garis
keletihan di muka ibu itu jelas kelihatan.
“Alah,
apa yang susahnya Mia, memang Mak Tam suka sangat dapat meluangkan masa dengan
Mia kat sini. Bukannya selalu kan?” Pandai sekali orang tua itu mengambil hati
Zamia.
Dia
menguntum senyuman mendengar kata-kata Mak Tam. Lidah orang tua itu petah
sekali berkata-kata, pasti dia tidak akan kesunyian sepanjang berada di situ.
Sekurang-kurangnya ada juga teman untuk diajak berbual.
“Eh,
Mia lupa nak buka kain telekung ni..Asyik sangat berbual.” Zamia menepuk dahi menyedari
dirinya yang masih lengkap berkain telekung. Mak Tam tergelak melihat telatah
gadis muda itu.
“Pergilah
buka telekung tu dulu, Mak Tam nak ke dapur kejap.” Mak Tam bangkit dari duduknya
lalu berlenggang ke dapur.
Di
dapur, orang tua itu sibuk sekali menjerang air di atas dapur gas. Zamia menjengulkan
mukanya di muka dapur dan tersenyum melihat kesibukan Mak Tam menyediakan makan
petang itu.
“Mia
boleh masak, Mak Tam pergilah berehat.” Katanya sambil mengambil alih pisau dan
papan pemotong dari tangan orang tua itu.
Mak
Tam berlalu ke peti sejuk dan mengambil kobis. “Mia suka makan sayur masak
lemak kan?”
Pertanyaan
Mak Tam mengejutkan Zamia. Bagaimana Mak Tam tahu makanan kegemarannya? Adakah
Imriz yang telah memberitahunya?
“Imriz
yang bagitau mak Tam.” Mak Tam seolah tahu apa yang sedang bermain di minda
Zamia.
“Mak
Tam nak masak sayur masak lemak ke?” Zamia mengusik. Perutnya tiba-tiba
berkeroncong. Mak tam mengangguk dan tersengih menyerlahkan giginya yang kuning.
Zamia
kagum melihat lauk-pauk yang tersusun di atas meja makan. Aroma masakan Mak Tam
memikat seleranya. Sayur masak lemak memanggil-manggilnya untuk menjamu selera.
“Duduklah
Mia, Mak Tam dah siap masak dah. Bolehlah makan sekarang.”
Zamia
menarik kerusi dan melabuhkan duduknya di situ. Dia menoleh ke arah Mak Tam
dengan senyuman manis. “Mak Tam pun makanlah sekali.”
Mata
keduanya bertemu. Seketika kemudian, orang tua itu menggelengkan kepalanya. “Mak
Tam dah kenyang.”
“Mak
Tam makan apa?” Zamia menyoal hampa.
“Nasi
lemak pagi tadi. Orang tua macam Mak Tam ni tak makan banyak Mia.” Mak Tam
berseloroh. Hati Zamia digeletek kelucuan.
Hujan
masih lagi lebat seperti tadi. Titis-titis hujan terus gugur membasahi bumi. Pokok
gergasi bergegar seolah dihentam sesuatu. Seketika kemudian, bisikan-bisikan aneh
kedengaran membelah hujan lebat. Ada tikanya guruh turut berbunyi seirama
dengan kilat petir yang sambar-menyambar di langit kelabu.
“Astaghfirullahalazim!”
Zamia beristighfar panjang tatkala kilat petir meraung di kaki langit.
Mak
Tam bergegas ke ruang tamu untuk menutup suis elektrik yang terpasang. Zamia yang
baru hendak menjamu selera bingkas bangun untuk menutup jendela dapur yang
terbuka.
“Kuatnya
kilat. Hujan pun lebat. Macam nak banjir aje Terengganu ni.” Keluh Mak Tam
ketika kembali ke dapur.
“Entahlah
Mak Tam. Nampak gayanya macam tulah.” Balas Zamia perlahan. Dia mempelawa
wanita itu duduk dan mengajaknya menjamu selera bersama.
“Makanlah
sikit Mak Tam. Tak seronoklah makan sorang-sorang.” Zamia memujuk. Akhirnya Mak
Tam terpaksa mengalah. Dia menjamu selera dengan Zamia walaupun hanya beberapa
suap nasi sahaja. Dia lebih banyak memerhatikan gadis itu makan.
Mak
Tam meminta diri untuk pulang ke rumah sebelum masuknya waktu asar. Dia perlu
memasak di rumah sebelum Imriz pulang dari kerja. Esok pasti dia akan ke situ
lagi.
Zamia
menghantar kepulangan Mak Tam dengan hati yang berat. Baru bersua muka dengan
orang tua itu hatinya sudah terpaut pada kemesraannya. Mak Tam seorang yang
happy go lucky dan senang diajak berbual. Tidak sabar dia menantikan kedatangan
orang tua itu esok.
Telefon
bimbitnya berbunyi-bunyi. Panggilan yang datangnya daripada Danish itu dijawab
ceria.
“Alhamdulillah…”
Ujarnya penuh kesyukuran.
Danish
yang baru sampai di Kuala Lumpur bergerak menuju ke jendela bilik tidurnya. Ain
pula sudah lama beredar ke bilik mandi untuk mencuci mukanya yang lesu.
“Mia
okay ke kat sana?” Danish masih dengan kerisauannya.
“Alhamdulillah
Mia okay. Abang berehatlah dulu..” Usul Zamia mahu mengalih topik perbualan.
Jenuh dia mahu melayan kebimbangan abangnya itu.
“Hmm..Okay.
Nanti abang call lagi tau..Jaga diri baik-baik kat banglo tu. Assalamualaikum.”
Pesan Danish bersungguh-sungguh sebelum mematikan talian.
Hujan
lebat telah pun berhenti. Langit yang kelam bertukar cerah. Zamia berlalu ke jendela
bilik tidurnya dan melayan perasaannya di situ. Memori indah bersama abang kandungnya
menerjah ke ingatan.
Kediaman
Encik Zahari dan Puan Hatila.
Alat
kawalan jauh televisyen dirampas oleh Danish. Zamia yang sedang menonton drama mendengus
marah. Selamba sahaja remaja lelaki berumur tujuh belas tahun itu menukar
siaran di televisyen.
“Orang
nak tengok dramalah!” Bentak Zamia tidak puas hati. Dia cuba merampas alat kawalan
jauh itu namun Danish pantas seperti lipas kudung.
“Jangan
bising, abang nak tengok bola ni.” Remaja lelaki itu berkata selamba. Zamia
mengetap bibir. Danish memang suka mengganggu ketenteraman hidupnya!
“Pergilah
tengok kat atas! Boleh tak jangan kacau Mia tengok drama ni!” Zamia mula hilang
sabar. Merah padam mukanya menahan marah. Danish tetap selamba. Dia langsung
tidak mempedulikan kata-kata adiknya. Dia asyik menonton perlawanan bola sepak
yang sedang berlangsung di televisyen. Sesekali mulutnya murai memarahi
kecuaian para pemain.
“Bak
sini remote control tu!” Zamia cuba merampas alat kawalan jauh dari tangan
abangnya namun gagal.
“Syyh!
Abang nak tengok bola ni. Diam boleh tak!” Danish memarahi adiknya. Zamia
mendengus dan menyepak tulang keting Danish sekuat hatinya. Baru padan dengan
muka lelaki itu!
“Siap
kau Mia! Berani kau sepak kaki abang…Aduh..” Danish berguling-guling di atas lantai
sambil menggosok-gosok tulang keting yang pedih.
Zamia
menjelirkan lidahnya. “Padan muka!”
Bibirnya
menguntum senyuman apabila mengenangkan saat-saat remajanya dengan Danish.
Sifat pembuli Danish seringkali membuatkan dia berasa benci dengan abangnya
itu. Namun itu dulu, kini dia amat merindui kehadiran abangnya dan selalu ingin
mendengar celoteh nakal dari mulut lelaki itu. Kerinduannya pada Danish datang membuak-buak.
Bertubuh
tinggi lampai, berkulit putih melepak, berhidung mancung, bermata sepet dan
berbibir nipis seperti hero Korea. Tambahan pula ibu mereka, Puan Hatila
mempunyai darah kacukan cina-melayu. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke
nasi.
Kemudian,
wajah Ain pula mengisi layar mindanya. Gadis kacukan arab-melayu itu sungguh
menawan hati. Sudahlah cantik, baik hati pula tu. Hati Zamia memuji-muji kakak
iparnya. Zamia menarik nafas dan menghelanya penuh nikmat. Suasana lembab
menambahkan kedinginan petang itu.
“Termenung
jauh nampak?”
Zamia
tersenyum apabila ditegur begitu. Dia berpaling ke belakang namun tiada sesiapapun
di situ. Langsir terbuai-buai mengenai kulit mukanya. Suasana yang sepi menjadi
semakin hening.
Zamia
memandang ke sekeliling bilik tidur itu. Hanya dia yang berada di situ. Peluh
dingin mula mengalir di dahi. Dia bangkit dari duduk lalu mengatur langkah
perlahan-lahan ke ruang tamu.
Ruang
tamu sunyi-sepi sahaja. Pintu utama masih berkunci kemas. Sudut itu tetap
seperti tadi, tidak terusik. Tiada tanda-tanda dimasuki oleh seseorang. Otak
Zamia berputar ligat, siapa yang menegurnya sebentar tadi?
“Macam
suara Mak Tam..” Gumamnya. Dia bergegas ke tingkap, mengintai jika Mak Tam ada
di luar.
“Cari
siapa tu?” Suara itu sekali lagi menegurnya dari belakang. Zamia pantas menoleh
namun tiada sesiapapun di situ kecuali dirinya. Jantung Zamia berdegup pantas.
Dia memberanikan diri ke dapur untuk meninjau keadaan di situ.
Keadaan
dapur juga sama seperti di ruang tamu. Tiada apa-apa yang aneh di situ. Kini
dia yakin bahawa suara itu bukanlah milik sesiapa yang bergelar manusia. Pasti
ia dari iblis dan syaitan.
“Allahuakbar..Allahuakbar..” Zamia berbisik dan
mula membaca ayat kursi dengan suara yang agak lantang. Tempikan nyaring
bergema dan melolong meminta gadis itu menghentikan bacaannya. Zamia menarik
nafas, cuba mengumpul kekuatannya. Kemudian dia beredar ke bilik air untuk berwuduk
kerana sudah masuknya waktu asar.
Jendela
yang terkuak ditutup kemas. Dia sudah hilang mood untuk melayan fikirannya di
situ lagi. Langit juga sudah mulai jingga menandakan sudah hampir waktu senja.
Selesai
solat, Zamia membaca surah yasin dengan begitu merdu sekali. Bunyi-bunyian aneh
di luar tidak dipedulikan. Dia berlindung di bawah kekuasaan Yang Maha Esa. Tiada
apapun yang boleh melawan kekuasaanNya. Iblis dan syaitan hanyalah hamba ciptaan
Allah sama seperti dirinya. Tiada sebab untuk dia berasa takut pada makhluk
yang telah dilaknat oleh Maha Pencipta itu.
Langit
malam mula melabuhkan tirainya. Nyanyian cengkerik dan unggas hutan sayup-sayup
kedengaran di kiri kanan banglo biru. Zamia lebih banyak memerap di dalam bilik
tidurnya pada malam itu. Selesai sahaja solat maghrib dan isya’, dia duduk bersila
di atas katil. Dia bingung memikirkan banglo biru. Tidak semena-mena dia
kembali diganggu.
Beberapa
hari sebelum abang dan kakak iparnya pulang ke Kuala Lumpur, suasana di banglo
itu baik-baik sahaja. Dia mendapat kekuatan dirinya semula ketika tinggal di
situ. Dia telah mendapat kembali semangatnya yang hilang selepas pemergian
Azriq.
Komputer
riba berwarna merah jambu diambil dari dalam beg sandangnya yang tersandar di
sisi almari pakaian. Sudah dua minggu dia tidak menyentuh komputer ribanya itu.
Pasti banyak e-mel yang diterima daripada teman-teman rapat dan juga jauh.
Jemarinya
menari laju di atas papan kekunci. Dia memeriksa beberapa e-mel yang diterima. E-mel
yang ditulis oleh teman sebiliknya ketika dia menuntut di Pulau Pinang menarik
perhatiannya. E-mel yang ditulis oleh gadis yang bernama Shalia itu membuatkan
air matanya mengalir ke pipi. Dia tersengguk-sengguk di hadapan komputer
ribanya.
“Buat
temanku Zamia Izaiqa, sabarlah menerima dugaanNya. Aku cuma mahu sampaikan
pesanan arwah sebelum dia pergi buat selama-lamanya. Tiga hari sebelum dia
kemalangan, dia berpesan supaya aku menjaga kau dengan sebaik-baiknya kerana
dia tidak pasti jika dia akan selalu berada di sisi kau..Dia sering bermimpi
buruk sebelum dia meninggal dunia. Kau kat mana sekarang ni? Dah lama kita tak
berjumpa..Apa-apapun jaga diri, ketahuilah bahawa Dia lebih mengasihi Azriq.
Wassalam~
Shalia.”
Zamia
menyembamkan wajahnya ke katil dan menangis teresak-esak. E-mel tersebut
dihantar selepas sehari Azriq meninggal dunia. Jika dia membacanya lebih awal,
pasti dia akan bertemu dengan Shalia untuk mendengar cerita yang sebenarnya. Rupa-rupanya
Azriq pernah menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya.
Setelah
tangisannya reda, Zamia menguatkan diri untuk melayari laman sosial miliknya.
Dia ingin membaca status-status terakhir yang ditulis oleh lelaki itu.
“Nightmares..”
Status
tersebut ditulis oleh Azriq seminggu sebelum dia kemalangan. Zamia meneliti
profil akaun milik lelaki itu.
“Hati
aku tak tenang, seolah ada sesuatu yang aneh melemaskan aku.”
“Mimpi
buruk lagi...”
Itu
di antara status-status aneh yang pernah ditulis oleh Azriq di saat-saat akhir
hayatnya. Tiada satupun yang menggembirakan, semuanya aneh dan menyeksa batin
lelaki itu.
Mimpi-mimpi
aneh? Mengapa tunangnya itu tidak pernah menceritakan tentang mimpi-mimpi aneh
itu padanya? Zamia buntu. Dia harus mencari jawapan kepada semua kekusutan ini.
Jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam. Dia mematikan komputer ribanya dan
bersedia untuk tidur. Selepas membaca ayat-ayat suci, dia segera terlena.
“Saya
diganggu mimpi-mimpi buruk…Mimpi buruk… Mimpi buruk!!”
Zamia
tersentak. Kelopak matanya terbuka luas. Dahinya berpeluh-peluh.
“Dah
subuh..” Bisiknya. Dia meraup muka yang lenjun dibasahi peluh. Azriq muncul
dalam tidurnya lagi. Mungkin kerana dia terlalu memikirkan Azriq malam tadi.
“Allahuakbar,
aku lupa tutup jendela ke malam tadi?” Zamia terlopong ketika melihat jendela
yang terkuak luas. Dia bergegas menutup jendela lalu beredar ke bilik mandi
untuk mandi dan berwuduk.