Home Novel Seram/Misteri MEREMANG
Detik pertama

Detik pertama.

Kakinya melangkah perlahan menuju ke arah sesusuk tubuh yang sedang membatu di hadapan. Titis-titis kasar hujan sudah tidak dipedulikan lagi. Dia harus cepat sampai kepada lelaki itu. Sesekali jemarinya menyeka air hujan yang membasahi kulit mukanya. Semakin dia ingin mendekati lelaki itu semakin ia menjauh pergi darinya. Dia mengerut sepasang keningnya sebagai tanda protes. Mengapa jadi begitu?

Sesusuk tubuh tinggi lampai yang sedang membatu itu seakan-akan menjadi bayangan hitam pekat. Terbang melayang menelusuri titisan hujan yang kian lebat. Angin pula semakin menggila. Langkahnya semakin laju, dia harus mendapatkan lelaki itu. Dia harus pantas sebelum lelaki itu pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.

“Azriq?” Panggilnya perlahan. Bayangan tadi menjadi jelas semula dan kini ia sedang memandang ke arahnya dengan mulut yang tersenyum manis.

“Awak buat apa kat situ?” Tanyanya lagi. Setapak demi setapak kakinya melangkah mendekati lelaki yang bernama Azriq itu. Lelaki itu sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya. Tiada kata yang terungkap dari mulutnya.

“Azriq, mari balik. Jangan buat saya macam ni.” Rayunya sebak. Suaranya bergetar hebat. Masih tiada kata yang terungkap dari mulut Azriq. Dia hanya mengukir senyuman nipis di bibirnya.

Tangan lelaki yang bertubuh tinggi lampai itu terkapai-kapai di udara menambahkan lagi kegelisahannya. Tidak sempat dia berkelip, badan lelaki itu berkecai dilanggar lori balak. Darah memercik ke mukanya dan dia meraung hingga ke puncak suaranya.

“Azriq!!!”

“Astaghfirullahalazim!..Bangun Mia…” Kedengaran sayup-sayup suara wanita memanggil namanya. Gadis muda berusia awal 20-an itu tersentak hebat. Dia bangkit dari pembaringan dengan muka yang cemas dan berpeluh-peluh. Habis lenjun baju kurungnya. Dia merenung seraut wajah lewat 40-an itu dengan mata yang berkaca.

“Istighfar banyak-banyak Mia…” Puan Hatila membelai rambut anak gadisnya dengan penuh kasih. Air mata yang mula menitis di pipi Zamia dikesat dengan jemarinya.

“Astaghfirullahalazim…” Zamia pantas beristighfar panjang mengenangkan apa yang berlaku pada dirinya sebentar tadi. Dia memegang tangan ibunya lalu mengukir senyuman pahit. “Mia mengigau lagi ke bu?” Soalnya inginkan kepastian. Puan Hatila mengangguk.

“Mari makan sayang.” Ajak Puan Hatila lembut. Zamia menggeleng perlahan. Sesekali dia mengelap peluh yang mengalir di dahinya. Puan Hatila mengeluh bimbang.

“Mia kena makan. Nanti Mia sakit kalau terus macam ni.” Pujuk Puan Hatila lagi. Lembut namun tegas sahaja nada suaranya.

“Mia belum lapar lagi bu. Ibu makan la dulu.” Zamia melemparkan senyuman nipis ke arah ibunya.

“Dah 3 hari dah Mia tak makan. Makan sikit ye sayang?” Pujuk ibu itu lagi. Bimbang dia melihat keadaan anak bongsunya itu. Langsung tidak mahu makan. Asyik bersendiri dan menangis sahaja.

“Mia tak lapar bu. Mia nak solat Asar kejap..” Zamia berkalih dari kedudukannya di atas katil lalu beredar ke bilik mandi untuk mengambil wuduk. Dia terlena sehingga terlalai untuk menunaikan kewajipannya sebagai seorang muslimah.

“Ibu makan la dulu ye.” Ujarnya sambil mencapai kain telekung yang terlipat kemas di birai katilnya. Puan Hatila mendesah. Akhirnya wanita itu beredar keluar dari bilik tersebut untuk memberi ruang pada Zamia menunaikan kewajipannya.

Puan Hatila menuruni takah-takah anak tangga dengan wajah yang keruh. Dia mengatur langkahnya menuju ke dapur. Encik Zahari dan Danish Faqhim yang sedang menanti di meja makan memandang ke arah wanita itu dengan kening yang berkerut. Di mana Zamia Izaiqa?

“Mia mana bu?” Danish merenung ibunya yang baru melabuhkan duduk di atas kerusi. Sebuah keluhan berat dilepaskan oleh Puan Hatila. Pilu hatinya mengenangkan perihal anak daranya itu.

“Adik kamu tak nak makan lagi Danny. Puas ibu pujuk tapi dia degil.” Balas Puan Hatila setelah beberapa minit mendiamkan diri. Danish Faqhim mengetap bibir. Adik perempuannya itu sudah beberapa hari tidak menjamah makanan. Hanya beberapa gelas air minuman sahaja yang diteguknya untuk kekal hidup.

“Kamu nak ke mana pula tu?” Encik Zahari mengajukan soalan buat anak bujangnya yang tiba-tiba bangkit dari duduknya. Danish menoleh ke arah encik Zahari sambil mengukir senyuman pahit.

“Saya nak pergi tengok Mia kejap.” Danish berlalu pergi tanpa sempat ibu dan ayahnya berkata apa-apa. Dia melangkah laju ke tingkat dua rumah mewah itu untuk pergi menjenguk Zamia yang sedang dilanda kemurungan.

Encik Zahari mengeluh perlahan.

“Azriq dah tiga hari meninggal dunia…” Bicara Puan Hatila penuh simpati. Sejak tunangan Zamia itu pergi buat selama-lamanya, selama itu juga Zamia langsung tidak mahu makan apa-apa.

“Kita kena redha dengan ketentuan Allah. Jodoh mereka tak panjang.” Encik Zahari mengunyah nasi dengan perlahan-lahan. Sayur lemak kegemaran Zamia dipandang sepi. Selalunya sayur lemak itu diratah penuh selera oleh Zamia namun selepas kematian Azriq, sayur itu langsung tidak terusik.

Daun pintu diketuk perlahan. Mulutnya memanggil-manggil nama Zamia namun tiada tanda-tanda pintu itu akan dibuka. Tangannya memulas tombol pintu dan ia terkuak sedikit demi sedikit. Mata Danish terpaku pada Zamia yang sedang berdoa selepas solatnya. Mata itu berkaca dan cecair jernih bakal tumpah tidak lama lagi. Kedengaran perlahan suara Zamia menghadiahkan Al-Fatihah buat si mati.

“Mia…” Panggilnya setelah Zamia selesai berdoa. Zamia cepat-cepat menyeka air mata yang mula membasahi pipi dengan tangannya. Dia mendongak memandang abangnya lalu mengukir senyuman nipis.

“Masuklah bang.” Pelawa Zamia lembut. Dia membuka kain telekung dan melipatnya kemas lalu meletakkannya di birai katil seperti tadi.

Danish melangkah masuk lalu melabuhkan duduk ke atas sofa yang tersusun cantik di situ. Dia memerhatikan gerak-geri adiknya dengan penuh minat. Pipi Zamia kemerah-merahan dan matanya redup sahaja. Hati Danish bagaikan disiat-siat melihat adik kesayangannya begitu.

“Abang datang ni sebab nak ajak Mia makan.”

Zamia membuang pandangannya ke luar jendela bilik yang terkuak luas. Senja mula memayungi kaki langit. Jingga sahaja suasana di luar.

“Mia tak lapar bang. Abang makan la dulu.” Alasan sama diberikan. Seleranya turut mati bersama-sama pemergian Azriq, tunang yang amat dicintainya.

“Tak boleh macam tu Mia. Dah berapa hari Mia tak makan apa-apa. Nanti Mia sakit.” Danish memujuk. Dia merenung ke dalam mata redup milik adiknya. Mata galak itu sudah tidak lagi bersinar seperti dulu. Tergaris kedukaan yang amat dalam dan sukar untuk diselami oleh sesiapapun.

“Mia tak lapar lagi. Mia takde selera.” Zamia berdegil tidak mahu makan. Danish mengeluh. Bagaimana harus dia memujuk hati adiknya itu? Zamia tetap berkeras tidak mahu makan walaupun dipujuk berkali-kali. Akhirnya dia terpaksa mengalah. Danish melangkah keluar dari situ dengan hati yang berat. Sempat dia melirik ke arah Zamia yang sedang termenung di sisi jendela.


Setitis demi setitis air mata gugur membasahi pipi. Langit senja di luar langsung tidak menarik perhatian gadis itu. Dia melayan hati yang remuk-redam akibat kehilangan insan yang amat dicintainya.

“Dia masih tak mau makan?” Soal Puan Hatila tatkala melihat anak sulungnya melangkah masuk ke dapur. Wajah keruh Danish sudah cukup untuk menjawab soalan ibunya itu. Dia menggeleng hampa.

“Makan la dulu. Nanti kita bincang balik ibunya. Lauk dah naik sejuk tu.” Nasihat Encik Zahari pada isterinya yang sedari tadi belum menjamah nasi di dalam pinggan. Hatinya terlalu runsing memikirkan Zamia Izaiqa.

Danish mencuci tangannya lalu mula menjamah nasi di dalam pinggan. Dia mengunyah nasi dengan kepala yang berserabut. Dia mengerling ke arah sayur lemak yang dimasak ibunya khas untuk Zamia. Nampaknya sayur itu tidak terusik lagi pada hari itu.

Zamia menongkat dagunya. Air mata yang mencurah keluar dari kolam matanya dibiarkan kering sendiri.

Bayu senja berhembus rakus meratah kulit wajahnya. Sesekali dia menggigil kedinginan. Tidak lama lagi azan maghrib akan berkumandang dari masjid berdekatan namun Zamia tetap setia melayani fikirannya di situ.

“Azriq?” Zamia tiba-tiba bangkit dari duduknya. Dia mengecilkan anak matanya ke arah sesusuk tubuh yang sedang berdiri di atas jalanraya dibawah. Dia amat mengenali wajah itu walaupun kedudukan mereka terpisah sejauh beberapa meter.

“Azriq!” Dia melaung memanggil nama tunangnya. Azriq yang sedang berdiri di atas jalanraya melemparkan senyuman manis ke arahnya. Zamia bergegas ke tingkat bawah untuk pergi mendapatkan lelaki itu.

Keluarganya yang sedang makan petang di dapur tersentak apabila melihat kelibat Zamia berlari-lari laju menuruni anak tangga sambil menguntum senyuman gembira. Danish mencuci tangan dan pantas pergi mendapatkan Zamia yang terkocoh-kocoh mahu keluar dari rumah.

“Mia nak ke mana?” Soal Danish cemas sambil tangannya memegang kemas lengan Zamia. Zamia meronta-ronta mahu melepaskan diri sambil bebola matanya asyik merenung ke pintu utama rumah itu.

“Mia nak pergi jumpa Azriq!” Jawapan Zamia membuatkan abangnya tersentak hebat. Lelaki itu terpana seketika. Azriq? Apa yang dimaksudkan oleh adiknya ini?

“Azriq dah takde Mia. Cuba istighfar banyak-banyak Mia.” Nasihat Danish. Suaranya serius menjentik gegendang telinga ibu dan ayah mereka yang berada di dapur.

“Apahal pula tu?” Encik Zahari mengerut kening lalu beriringan keluar dari dapur bersama-sama isterinya.

“Mia nampak Azriq kat depan tu…Azriq masih hidup la bang!” Zamia meronta-ronta mahu dilepaskan. Jiwa Danish semakin merusuh. Mana mungkin orang yang sudah meninggal dunia kembali hidup?

“Kenapa ni sayang?” Puan Hatila membelai-belai kepala Zamia dengan perasaan bimbang. Encik Zahari sekadar mendiamkan diri.

“Azriq bu…Dia ada kat depan tu. Mia nak pergi jumpa dialah ni.” Balas Zamia sambil tersenyum. Puan Hatila mengerling ke arah suaminya yang sedari tadi mendiamkan diri. Encik Zahari melangkah mendekati anaknya.

“Mia…Azriq dah takde. Dia dah meninggal dunia tiga hari lepas. Mia salah tengok barangkali...” Jelas Encik Zahari penuh kelembutan. Namun anaknya itu terus meronta-ronta minta dilepaskan kerana dia dapat mendengar dengan jelas sekali suara Azriq sedang memanggil-manggilnya di luar.

“Mia nak jumpa dia kejap aje. Lepaskan Mia bang.” Rayu Zamia sambil menangis seperti anak kecil. Danish mengetatkan pegangannya. Tidak! Zamia tidak akan ke mana-mana pun!

“Cuba kamu tengok siapa kat luar tu.” Arah Encik Zahari pada Danish. Pantas sahaja tangannya mengambilalih pegangan anak lelakinya. Danish bergegas ke pintu utama dan memeriksa siapa yang sedang berada di luar. Mungkin ada orang lain yang disangka sebagai Azriq.

Matanya melingas memandang ke sekeliling namun tiada kelibat sesiapapun di situ. Yang ada hanyalah kenderaan yang besar dan kecil sedang bergerak laju di atas jalanraya.

“Mia…” Suara itu menyeru Zamia lagi.

“Azriq…” Zamia teresak-esak. Dia sudah tidak mampu untuk meronta lebih lama lagi kerana dia sudah kehilangan tenaga. Lututnya menggeletar, dia terduduk di atas lantai dan menangis sekuat-kuat hatinya. Runsing ibu dan ayahnya melihatnya begitu.

Danish mendekati ayahnya lalu mencuit bahu orang tua itu.

“Takde siapa-siapa pun kat luar tu yah.” Bisiknya. Encik Zahari mengangguk faham dan mengarahkan supaya anak lelaki dan isterinya memapah Zamia ke bilik tidurnya.

“Allahuakbar…Allahuakbar…” Kedengaran azan maghrib berkumandang dari masjid yang berdekatan. Encik Zahari mengunci pintu sambil otaknya berputar ligat. Siapa sebenarnya yang dilihat oleh anak gadisnya tadi? Mengapa dia begitu pasti bahawa itu adalah tunangnya yang sudah meninggal dunia? Pelbagai persoalan menerjah kotak fikirannya.


Danish menutup daun pintu jendela yang terkuak luas. Langit senja beransur-ansur gelita. Waktu maghrib telah pun tiba dan dia meminta diri untuk menunaikan solat.

Puan Hatila merenung wajah anak gadisnya dengan hiba. Tangannya ligat membelai rambut Zamia. Dia langsung tidak menyangka bahawa bakal menantunya pergi meninggalkan mereka pada usia yang begitu muda. Namun apalah kuasanya untuk mempersoalkan takdir Allah Taala itu. Dia hanyalah seorang manusia biasa yang seharusnya redha dengan semua percaturanNya.

Zamia yang sedang lena tiba-tiba membuka kelopak matanya. Puan Hatila yang sedang melayan fikiran tersentak.

“Kenapa Mia?” Soal ibu itu kepada anak gadisnya.

“Mia nak solat maghrib.” Balas Zamia serius lalu beredar ke bilik air untuk berwuduk. Puan Hatila tergamam.

Selesai solat, Zamia menadah tangan berdoa kepada Yang Maha Esa. Mudah benar air matanya mengalir ke pipi. Bercucuran bagaikan air hujan. Dia menghadiahkan Al-Fatihah buat si mati yang telah meninggalkan alam yang fana ini.

Dia meraup muka yang lesu dengan telapak tangannya. Dia tidak terus membuka kain telekung yang sedang tersarung di tubuhnya. Dia termenung seketika. Apa yang difikirkannya hanyalah Azriq. Dia sendiri tidak faham mengapa dia bertindak tidak waras seperti tadi. Mengapa dia bersungguh-sungguh mahu mendapatkan Azriq sedangkan dia tahu bahawa tunangnya itu sudah tiada lagi di atas muka bumi ini. Ah…Zamia mengurut dahi yang berdenyut-denyut.

“Boleh abang masuk?” Danish menjengulkan kepalanya di muka pintu yang sedikit terkuak. Zamia mengangguk perlahan. Dia melabuhkan duduk di sisi abangnya di birai katil.

“Betul ke Mia nampak Azriq tadi?” Danish bertanya ingin tahu. Zamia tidak terus memberi jawapannya. Dia menunduk seketika ke lantai sebelum mendongak kembali memandang abangnya.

“Mia memang nampak dia tadi.” Balas Zamia perlahan. Danish Faqhim mengangguk-angguk. Dia merenung ke wajah Zamia, wajah yang sentiasa ceria itu kini kelihatan cengkung sahaja.

“Mia kena terima hakikat yang Azriq dah takde. Allah lebih sayangkan dia..” Suara Danish menghentikan lamunan Zamia Izaiqa.

“Mia tau bang. Mia pun tak faham kenapa Mia bertindak gila macam tu tadi. Seolah-olah ada sesuatu yang menarik-narik Mia untuk keluar.” Kata-kata itu membuatkan Danish terdiam. Tiba-tiba bulu romanya meremang. Padahal dia bukannya seorang yang penakut.

“Nanti solat berjemaah dengan abang ye?” Lelaki itu mempelawa sambil tersenyum tawar. Mungkin adiknya sekadar berhalusinasi sahaja kerana terlalu merindui arwah Azriq. Dia faham betapa peritnya perasaan gadis itu setelah ditinggalkan oleh orang yang dikasihi.

“Mia rindu la kat Azriq bang.” Zamia menahan sendu yang sedang hebat menghentam kalbunya. Lidah Danish terkelu. Tiba-tiba fikirannya melayang terkenangkan tunangnya, Ain Shakina. Sehari tidak berjumpa dengan Ain terasa bagaikan setahun lamanya. Inikan pula Zamia yang telah berpisah buat selama-lamanya dengan Azriq. Bayangkan betapa peritnya perasaan gadis itu. Danish mengetap bibir cuba menahan sendu di hati.

“I know…Tapi Mia kena tabahkan hati kalau Mia sayangkan Azriq. Mesti dia sedih kalau tengok Mia macam ni. Mia kena kuat untuk Azriq.” Hanya itu yang mampu dikatakan oleh Danish pada adiknya. Semoga ia menjadi penenang buat hati adiknya yang sedih.

“Mia akan selalu doakan kesejahteraan dia kat sana…” Zamia mengetap bibir. Perasaannya hancur mengenangkan arwah. Hatinya pedih! Apa yang harus dia lakukan untuk melupakan semua kesedihan itu?

“Sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah setiap hari. In shaa Allah roh dia akan tenang di sana.”

Zamia menangis tersedu-sedan tatkala mendengar kata-kata abangnya. Kesedihan segera menerpa kalbunya. Terhinggut-hinggut bahunya menahan sendu.

“Abang kan ada. Abang akan jaga Mia sampai bila-bila. In shaa Allah.” Janji Danish pada Zamia yang kini berada dalam pelukannya. Dia membelai rambut Zamia yang terikat kemas. Aku akan menjagamu hingga ke akhir hayatku. In shaa Allah…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman