Detik keenam.
Selepas
subuh, Zamia dan Ain sibuk menyediakan sarapan pagi di dapur. Menu pagi itu
ringkas sahaja iaitu nasi goreng belacan dan seteko air milo panas. Sementara
menunggu Danish, Zamia dan Ain sempat mengemas apa yang patut. Habis periuk
belanga yang berkarat disental sehingga bersih.
Danish
yang baru masuk ke dapur tersenyum melihat kerajinan dua insan yang amat
disayanginya itu.
“Rajin
betul. Habis periuk belanga zaman Hang Tuah awak-awak sental ye?” Danish mengusik
nakal. Kagum betul dia apabila melihat segala karat yang menempel di badan
periuk belanga itu hilang. Berkilauan macam baru dibeli dari kedai.
“Jom
makan. Perut abang dah berkeroncong ni.” Ajaknya.
Ain
pantas menyenduk nasi goreng belacan ke dalam pinggan suaminya manakala Zamia
pula bertugas sebagai ‘pengurus minuman’ pada pagi itu.
“Sapa
yang goreng ni?” Soal Danish sambil tangannya ligat menyuap nasi goreng ke
dalam mulut. Zamia tersenyum lalu mengerling ke arah kakak iparnya.
“Hmm,
pandai isteri abang masak.” Puji lelaki itu.
Ain
berasa segan apabila dipuji begitu di hadapan adik iparnya. Tawa suaminya
berderai. “Dahlah menyental tu. Mari makan.”
Langit
pada hari itu mendung sahaja. Pasti hujan akan mencurah turun seperti malam
semalam. Zamia bersimpuh di atas lantai sambil melipat pakaian yang berselerak
dalam beg pakaiannya. Dia tidak sempat mengemas pakaian dan barangan
peribadinya kerana terlalu letih. Bingkai yang berisi gambar pertunangannya
dengan Azriq di letak atas meja solek.
Jemarinya
mengelus anak rambut yang terjuntai di dahi. Tingkap yang terbuka membenarkan
bayu menerjah masuk ke dalam bilik. Tenang dan nyaman sekali. Sesekali bunyi
ombak memecah pantai menarik perhatiannya.
Malam
tadi dia tidur lena. Tiada igauan buruk mengganggu alam mimpinya. Sedikit
sebanyak jiwa yang resah menjadi tenang. Dia berdoa supaya bayangan-bayangan itu
tidak akan datang menghantuinya lagi.
Pakaian
yang telah dilipat disusun ke dalam almari.
“Mia,
ibu call..”
Zamia
menoleh. Abangnya sedang berdiri di pintu bilik dengan telefon bimbit di tangannya.
Dia bergegas menjawab panggilan itu.
“Assalamualaikum
bu.”
Danish
segera beredar dari situ kerana mahu memberi privasi pada Zamia dan ibu mereka.
Pasti banyak sekali yang ingin ibu mereka tanyakan pada adik perempuannya itu.
“Waalaikumsalam…Mia
dah makan?” Puan Hatila bertanya. Bimbang jika Zamia masih tidak mahu makan.
Dibuat anaknya itu pengsan sekali lagi...Hatinya dimamah kebimbangan.
“Dah
bu.” Zamia membalas tenang.
Puan
Hatila menghenyakkan punggungnya ke sofa dengan wajah lega. Encik Zahari yang
sedang menonton televisyen tidak diambil peduli.
“Baguslah
kalau macam tu. Senang hati ibu mendengarnya. Ha, macamana dengan banglo biru?
Seronok duduk kat sana?”
Tangan
Puan Hatila merayap ke pasu bunga yang terletak di sebelah sofa pula. Dia membelek
kelopak bunga plastik itu dengan penuh minat.
“Alhamdulillah
bu, seronok..” Balas Zamia. Kemudian dia membuang pandangannya ke luar jendela.
Saujana mata memandang.
“Banglo
tu peninggalan arwah nenek. Ibu tak sangka pulak banglo tu masih elok.”
“Elok
lagi bu. Ada orang tolong jagakan. Cuma semak-samun ni je yang perlu ditebas.” Jelas
Zamia.
Pahit
senyumannya melihat semak-samun yang merimbun di kiri kanan banglo tersebut.
Sudah lima tahun tok wan meninggal dunia. Tiba-tiba kerinduannya pada orang tua
itu datang membuak-buak.
“Suruh
abang kamu upah orang tebaskan. Jangan dibiarkan panjang, bahaya.” Nasihat Puan
Hatila.
Sesekali
mata Encik Zahari melirik ke arah isterinya yang sedang berbual di telefon.
Kemudian dia menonton televisyen semula.
“Baik
bu.”
Ain
yang sedang menyapu halaman banglo tersenyum pada Danish yang sedang duduk di anjung.
“Jauh
ke rumah Imriz?” Ain bertanya ingin tahu.
Danish
bangkit dari duduknya lalu berjalan mendekati isterinya.
“Takdelah
jauh mana. Dalam 10 minit je..” Balas Danish dengan mata yang meliar ke
belakang banglo.
“Saya
nak pergi supermarket. Banyak barang yang takde ni.” Ain berkata dan menyandarkan
batang penyapu ke tiang anjung banglo.
Danish
merenung ke wajah Ain. Geram dia melihat pipi mulus milik isterinya itu.
“Petang
ni kita pergi. Then kita singgah rumah Riz kejap.”
Ain
mengangguk. Kemudian lengan suaminya dipeluk manja.
“Ni
kan honeymoon kita. Bila nak bawak saya dengan Mia jalan-jalan? Boringlah duduk
kat rumah aje.” Manja sahaja suara Ain di telinga Danish.
Danish
mengucup pipi Ain penuh kasih.
“In
shaa Allah nanti...” Mulut Danish merayap mahu mengucup bibir Ain pula namun ditegah
oleh isterinya.
“Mia
ada kat dalam.” Bisik Ain sambil tersipu malu.
Zamia
mematikan talian selepas menamatkan perbualan dengan ibunya. Pandangannya
terpaku pada lautan yang berada di luar. Bunyi deruan ombak membuatkan hatinya
bagaikan dibuai-buai. Awan kelabu yang berarak di kaki langit hanya dipandang
sepi.
“Subhanallah...”
Damai terasa di hati ketika menikmati keindahan ciptaan Maha Pencipta. Kesyukurannya
pada Yang Maha Esa melimpah ruah.
Danish
meninjau keadaan dinding di luar bilik tidur adiknya. Dia mahu melihat sendiri
kesan cakaran yang didengarnya semalam. Zamia yang asyik merenung keindahan
ciptaan Allah itu mengukir senyuman tawar ketika melihat Danish di situ.
“Hmm…”
Hanya itu yang terungkap dari mulut Danish.
Dinding
itu bersih sahaja. Langsung tidak terusik. Mungkin bunyi cakaran yang
didengarnya tidak meninggalkan kesan pada dinding tersebut. Mungkin juga tiada
sesiapapun yang mencakar dinding itu.
“Abang
tolong carikan orang tebas semak-samun ni..” Zamia berkata secara tiba-tiba.
Danish
pantas mengangkat wajah dan pandangannya meliar ke kawasan sekitar. Ternyata
kawasan itu semak benar. Merbahaya jika dibiarkan panjang.
“Nanti
abang suruh Imriz carikan orang tebas semak-samun ni.” Balasnya lalu bersandar
ke dinding.
“Petang
ni kita ke supermarket. Kak Ain nak beli barang sikit.”
Zamia
tidak memberi apa-apa respon terhadap apa yang dikatakan oleh abangnya itu.
“Lepas
tu kita pergi rumah Imriz.” Ujar Danish lagi.
Zamia
terus membisu.
“Mia
dengar tak ni?” Danish menoleh dan merenung wajah bujur sirih itu. Gadis itu langsung
tidak menumpukan perhatian terhadap apa yang dikatakannya sebentar tadi.
Zamia
mengangguk.
“Mia
rindulah pada tok wan.” Ujar Zamia secara tiba-tiba. Danish mengerut kening.
Mengapa tok wan tiba-tiba disebut oleh Zamia?
“Abang
pun.” Sahut Danish sambil menguntum senyuman pahit. Wajah tok wan memenuhi
ruangan mindanya. Arwah nenek mereka itu seorang yang baik hati dan menyenangkan.
“Banglo
ni tok aki bina untuk tok wan. Dah empat puluh tahun usia banglo ni.” Danish menerangkan
asal-usul banglo yang sedang mereka duduki itu.
“Tok
wan meninggal sebab sakit apa?”
Soalan
Zamia menerbitkan rasa tidak senang di hati abangnya. Setiap tahun pasti Zamia
akan bertanyakan soalan yang sama. Puan Hatila dan Encik Zahari melarangnya memberitahu
perkara yang sebenar pada Zamia. Khuatir jika adiknya akan turut terkena tempiasnya
nanti.
“Dah
nak pukul empat ni. Bersiaplah...” Danish bijak menukar topik perbualan.
Zamia
merenung Danish tidak berkelip. “Nak pegi mana?”
Danish
menggeleng kepala dan mengeluh.. “La..Kan kita nak pergi supermarket, kak Ain
nak beli barang sikit. Lepas tu kita singgah kat rumah abang Imriz sekejap.”
Zamia
mengangguk-angguk. Bila masa pula Danish mengajaknya ke supermarket? Tanpa
banyak bicara, dia menutup jendela dan menguncinya kemas.
Imriz
berbaring di kerusi sambil merenung ke bumbung rumahnya. Fikirannya menerawang
jauh mengenangkan Zamia Izaiqa. Perasaannya untuk mengenali gadis manis itu semakin
menekan ulu hati. Bagaimana caranya untuk menambat hati Zamia?
Dari
berbaring, dia duduk pula. Dia memikirkan cara untuk mendekati Zamia. Dia yang baru
kehilangan insan tersayang pasti sukar untuk menerima lelaki lain dalam
hidupnya.
“Zamia..”
Dia mengomel.
Angin
yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyelak rambut yang menutupi sebahagian
dahinya. Haruskah dia meminta pertolongan Danish? Ah, pasti rakannya itu akan
mengejeknya. Imriz serba-salah. Danish orang yang paling sesuai untuk
membantunya mengenali Zamia dengan lebih mendalam lagi.
Ain
menyarungkan selendang berwarna kuning muda. Bedak kompak di sapu tipis ke wajah
dan bibirnya pula di oles dengan gincu berwarna merah jambu muda. Ringkas sahaja
namun tetap menyerlahkan kelembutan pada raut wajahnya.
Danish
memanaskan enjin kereta. Dia menyandarkan belakangnya ke kerusi pemandu sementara
menanti isteri dan adiknya.
Mata
Zamia terpaku pada gambar pertunangannya dengan Azriq. Jemarinya menyentuh
wajah yang berlesung pipit itu dengan senyuman pahit di bibir. Sendu mula menggigit-gigit
tangkai hatinya.
“Mia,
jom.” Ain sedang menantinya di luar bilik. Zamia sempat melirik ke cermin sebelum
berlalu keluar.
Bingkai
gambar itu tiba-tiba rebah di atas meja. Terlungkup seolah dijatuhkan oleh
seseorang. Kemudian ia bergerak perlahan merapati hujung meja solek dan berderai
jatuh ke lantai.
Mulut
itu menyeringai menyerlahkan giginya yang berseranggah.
Danish
memperlahankan radio apabila isteri dan adiknya berjalan mendekati kereta.
“Dah
kunci pintu?” Soal Danish sambil mencuri pandang ke pintu utama banglo.
“Dah.”
Balas Ain selamba.
Zamia
menyandarkan tubuhnya ke kerusi penumpang. Langit kelabu direnung lama.
“Awak
nak beli apa?” Soal Danish yang mengundur keretanya ke belakang. Ain mengambil
kertas kecil yang diselitkan dalam beg tangannya lantas meneliti kertas senarai
tersebut.
“Barang-barang
dapur..” Balas Ain. Kalau diikutkan hati suaminya, lelaki itu lebih senang
membeli lauk-pauk di kedai sahaja kerana tidak mahu menyusahkannya.
“Saya
boleh beli lauk kat kedai...” Ayat selamba Danish membuatkan Ain mencebik.
“Membazirlah..Baik
masak sendiri dari beli kat luar.” Ujar Ain berhemah.
Danish
mengiyakan kata-kata isterinya. Dia malas mahu bertengkar pasal barang-barang
dapur. Lagipun sebagai lelaki, manalah dia ambil kisah sangat tentang semua
itu.
Zamia
tidak mahu masuk campur hal suami isteri itu. Dia melayani fikirannya sambil
menikmati suasana petang di luar.
Ain
teruja melihat harga barangan dapur yang berpatutan. Murah dan menjimatkan. Bertentangan
sekali dengan Kuala Lumpur, semuanya mahal. Danish bertindak sebagai pembantu
isterinya petang itu. Sepasang tangannya cekap menggerakkan troli ke sana-sini.
“Belikan
saya pencuci muka.” Arah Danish pada isterinya ketika melintasi sudut produk penjagaan
kulit muka lelaki.
“Kan
masih banyak lagi?” Bantah Ain.
Akhirnya
dia mencapai pencuci muka tersebut. Bukan apa, kalau-kalau pencuci muka suaminya
itu memang benar sudah kehabisan. Tidak pasal-pasal dia yang akan dileteri
nanti.
Zamia
leka memerhatikan barangan yang tersusun di atas rak. Dia tidak pasti mahu
membeli apa. Akhirnya dia mencapai sepeket coklat untuk dimakan ketika menonton
televisyen malam kelak. Kemudian, matanya tertarik dengan aiskrim vanilla yang tersusun
dalam peti sejuk.
Universiti
Sains Malaysia,2011.
“Suapkan
saya.” Azriq menganga mulutnya ke arah Zamia yang sedang menikmati aiskrim
vanilla.
“Makanlah
sendiri..” Zamia mencebik.
“Sampai
hati...” Rajuk lelaki itu lalu memalingkan wajahnya. Zamia tergelak. Hai,
merajuk pula dia.
“Thank
you...” Ucap Azriq manja setelah Zamia menyuapkannya aiskrim tersebut.
Zamia
tersentak apabila bahunya dilanggar seseorang. Rupa-rupanya dia sedang
menghalang laluan orang ramai yang turut berbelanja di situ.
“Mia
mana?” Danish cemas. Dia menoleh ke kiri dan kanan, ke hadapan dan belakang
namun kelibat Zamia tiada di situ.
Ain
yang sedang membelek sayur-sayuran tergamam. “Bukan tadi dia dengan kita ke?”
Danish
menggeleng-geleng.
“Cuba
awak call dia.” Arah Ain. Danish menghubungi adiknya dengan muka yang cemas. Ke
mana pula Zamia menghilang? Buat seketika dia terlupa bahawa Zamia sudah dewasa
dan bukan lagi anak kecil yang harus dijaga rapi.
Zamia
menjawab panggilan.
“Mia kat mana ni?” Danish menyoal cemas.
“Mia
dekat depan, dekat kaunter pembayaran.” Zamia berkata tenang di hujung talian. Danish
menarik nafas lega.
“Mia kat mana?” Ain merenung bulat ke arah
suaminya.
Zamia
membimbit beg plastik berisi coklat yang baru dibelinya ke suatu sudut di luar
supermarket tersebut. Beberapa minit kemudian, Danish dan Ain keluar dari
supermarket dan ketiga-tiganya berlalu ke kereta yang diparkir tidak jauh dari
situ.
Danish
memandu kereta dengan hati-hati. Jalanraya yang agak licin membataskan
pergerakan keretanya.
“Riz
dah tau ke yang kita nak ke rumah dia ni?” Ain mengajukan soalan cepumas pada
suaminya. Danish menggeleng dan tersengih.
“Kalau
dia takde kat rumah macamana? Ish, awak ni!” Ain membebel. Zamia yang duduk di
belakang sekadar tersenyum pahit.
Danish
mencuit dagu isteri dan ketawa nakal. “Saya akan pecah masuk rumah dia.”
Ain
mengeluh. Ada-ada ajelah!.
“In
shaa Allah dia ada.” Zamia berkata tiba-tiba.
“Ada
orang bagitau, dia ada dekat rumah sekarang ni.” Zamia menyambung. Yakin benar
bunyinya.
Danish
dan Ain terdiam. Keduanya terkelu. Apa yang Zamia katakan? Siapa yang Zamia
maksudkan? Siapa yang memberitahunya tentang Imriz?
“Mia
gurau ajelah.” Akhirnya Zamia menjawab segala persoalan yang timbul di benak
fikiran abang dan kakak iparnya.
Ingatkan
apa tadi! Sejurus kemudian suami isteri itu tergelak. Pandai juga Zamia bergurau.
Di
kejauhan kediaman Imriz sudah kelihatan. Rumah desa itu sudah bertutup pintu
dan tingkapnya. Danish memarkir kereta di perkarangan rumah rakannya.