Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 30


“So, macam mana kau dan Chinta? Dah okay?” soal Ekram sambil memandang tepat ke arah sahabatnya itu.

“Dah,” jawab Adam pendek.

“Siapa yang mengalah?” soal Ekram lagi separuh mengusik. Adam hanya menjeling lelaki itu.

“Mesti lah aku. Memang salah aku pun. Aku tak beri Chinta peluang untuk jelaskan semuanya. Dia dah minta maaf tapi aku masih boleh buat tak tahu,” jawabnya dengan perasaan bersalah. Ekram menggeleng perlahan.

“Lain kali kau jangan lah tuduh melulu. Kau tak takut Chinta tu merajuk dan pulang ke Sabah tinggalkan kau kat sini?” soalnya separuh menasihati. Adam terdiam mendengar kata-kata sahabatnya itu.

“Aku bukannya nak takutkan kau. Hati perempuan sukar nak jangka Dam. Kasihan kau nanti. Tak pasal aku juga yang akan susah nak pujuk kau. Tak nak aku,” sambung Ekram separuh bergurau.

“Aku memang tak nak buat perangai lagi Ram. Hidup aku tak lengkap sejak merajuk dengannya. Aku marah namun dalam masa yang sama aku tetap rindukan dia,” balas Adam dengan nada perlahan.

“Hah, nampak tak. Kau tak boleh hidup tanpa Chinta,” kata Ekram separuh mengusik. Adam hanya tersenyum.

“Aku nak jumpa Nazri lepas ni,” beritahunya. Terangkat kening Ekram memandang lelaki itu.

“Elok lah tu. Tapi jangan pula kau buat hal dengan mamat tu. Cakap baik-baik aje,” nasihatnya lagi.

“Yelah. Kau ni mengalahkan mama aku. Asyik nak bebelkan aku aje,” balas Adam separuh bergurau. Ekram hanya tergelak besar mendengar komen lelaki itu.

                                   *****

“Sihat?” tanya Khairul dengan senyuman. Bella berpaling memandang gerangan yang menegurnya itu. Dia meletakkan semula buku di tangannya.

Kecilnya dunia ni.

“Buat apa kat sini?” soalnya kini berjalan menghampiri rak buku yang menempatkan novel-novel melayu.

“Cari buku untuk Kira,” jawab Khairul masih setia mengikut langkah wanita itu. Bella tersenyum sinis.

“Buku kat sini tak sesuai untuk anak awak. Pergi lah cari kat rak yang lain,” katanya separuh mengarah.

“Awak masih tak maafkan saya?” soal Khairul tanpa mengendahkan arahan Bella. Dia kini berdiri di sebelah wanita itu.

“Khai, saya masih boleh pandang muka awak sekarang ni sebab saya masih anggap awak tu sebagai kawan. Tolong jangan pernah ungkit lagi masa lalu. Kita sekarang ni masing-masing dah ada keluarga. Jangan sampai ada yang salah faham nanti,” balas Bella dengan nada agak keras.

“Maafkan saya,” ucap Khairul dengan perasaan bersalah. Dia tidak berniat mahu mengungkit masa lalu dengan wanita itu. Cuma perasaan bersalah yang tak pernah hilang membuatnya asyik teringat dengan kesilapan yang telah dilakukannya.

“Abang,” tegur satu suara. Bella dan Khairul serentak berpaling. Kelihatan Lara sedang berdiri tidak jauh dari mereka sambil mengendong Kira yang sedang tergelak riang. Bella hanya tersenyum hambar memandang wanita itu sebelum berlalu tanpa sepatah kata. Khairul menarik nafas dalam sebelum menghampiri Lara dan anak mereka. Lara masih memandang kelibat Bella yang semakin jauh sebelum beralih memandang Khairul yang kini sedang memeluk Kira. Dalam diam Lara mengeluh perlahan.

                                 *****

“Elis,” panggil satu suara. Delisya berpaling menoleh. Kelihatan Samuel sedang tersenyum berjalan menghampirinya. Delisya mengeluh perlahan.

“Tak sangka jumpa awak kat sini? Beli barang? Seorang?” soal Samuel bertalu sambil memandang sekeliling.

“Beli barang lah takkan nak memancing pula,” balas Delisya dengan nada mendatar. Samuel tersenyum mendengar jawapan wanita itu.

“Adam tak ikut?” soalnya lagi.

“Awak nak apa sebenarnya? Saya nak cepat ni,” soal Delisya semula tanpa menjawab soalan lelaki itu.

“Awak dah jadi sombong sejak jadi isteri orang. Saya tahu awak masih bencikan saya. Tapi saya ikhlas nak jadi kawan awak,” jawab Samuel dengan riak agak kecewa. Delisya tersenyum sinis.

“Terserah awak nak fikir apa. Sebagai seorang isteri saya kena jaga hati suami. Kalau awak ikhlas nak jadi kawan saya, awak tentu tahu batas seorang kawan kan? Apalagi saya ni dah jadi isteri orang,” balasnya sebelum mula melangkah semula.

“Awak bahagia ke? Saya tanya awak. Awak bahagia ke bila terpaksa bermadu?” soal Samuel dengan nada yang kuat. Delisya berhenti melangkah. Dia berpaling semula memandang lelaki itu.

“Saya sangat bahagia. Lebih bahagia daripada jadi isteri awak dulu. Maaf kalau awak terluka. Tapi itu lah realitinya. Saya bahagia jadi isteri Adam,” balasnya dengan tegas sebelum melangkah semula dengan pantas meninggalkan lelaki itu. Samuel hanya memandang langkah wanita itu. Dia melepaskan keluhan berat.

                                *****

“Saya minta maaf kalau hal hari tu dah ganggu hubungan awak dan Chinta. Awak jangan salah faham. Naufal ada dengan kami masa tu,” beritahu Nazri dengan tenang.

“Saya tak nak awak jumpa dia lagi. Kawan? Saya tak benarkan Chinta berkawan dengan awak lagi. Lebih baik macam tu kan? Kita cuba elak berlakunya sebarang masalah,” balas Adam dengan nada tegas. Nazri menarik nafas dalam.

“Saya tahu awak susah nak percaya saya. Saya tak lah sejahat seperti apa yang awak fikirkan. Saya masih waras. Saya tahu Chinta tu isteri orang,” katanya sambil tepat memandang lelaki itu.

“Bagus lah kalau awak tahu. Tak payah saya ingatkan banyak kali,” balas Adam sinis.

“Saya dah lama kenal Chinta dan Marwah. Mereka sahaja kawan yang saya ada. Saya tak akan janji yang saya mungkin tak jumpa Chinta lagi. Awak jangan pula salahkan saya atau Chinta kalau kami tiba-tiba terserempak macam hari tu,” balas Nazri sambil bersandar pada kerusinya.

“Nampak sangat yang awak memang ada niat nak jumpa dia lagi kan?” soal Adam dengan kening berkerut.

“Terserah awak nak fikir apa Adam. Cuma satu aje saya nak beritahu. Saya dah lama redha bila Chinta sah jadi milik awak. Jangan pula awak berdendam dengan saya sebab masa lalu. Kalau boleh saya nak jadi kawan awak. Awak tu suami Chinta, kawan saya. Takkan lah saya tak boleh jadi kawan awak kan?” balas Nazri dengan senyuman. Adam terkedu.

“Kalau awak tak boleh terima saya sebagai kawan, saya minta dengan awak jangan larang saya berkawan dengan Chinta. Sebenarnya saya lagi suka kalau awak pun sudi jadi kawan saya. Tak lah saya rasa bersalah nak jumpa Chinta,” sambung Nazri sebelum bangun perlahan dari kerusinya.

“Jumpa lagi,” katanya sebelum melangkah berlalu. Adam bersandar perlahan pada kerusinya. Keluhan berat dilepaskan.

                              *****

“Aku nak minta maaf pasal hari tu,” ucap Bella ikhlas. Chinta tersenyum membalas pandangan gadis itu.

“Tak apa. Aku pun nak minta maaf juga. Mungkin aku tak sedar yang aku dah buat silap pada kau atau Elis. Aku tak pernah berniat nak sakitkan hati sesiapa Bella,” balasnya dengan senyuman hambar.

“Aku tahu. Cuma aku yang terlalu ikutkan perasaan,” kata Bella dengan perasaan bersalah.

“Aku kalau boleh tak nak gaduh dengan sesiapa terutama dengan kau atau Elis. Kita bertiga tak boleh gaduh. Susah nanti Adam nak pujuk kita. Kasihan dia,” balas Chinta separuh bergurau. Bella tergelak kecil. Terbayang dia bagaimana suami mereka itu akan memujuk mereka bertiga andai benar-benar hal itu berlaku.

“Mama!” panggil satu suara. Bella dan Chinta serentak menoleh. Terkedu Chinta memandang Naufal yang sedang berlari menghampirinya dengan senyman lebar.

“Mama buat apa kat sini?” soal Naufal yang kini berada di sisi Chinta.

“Anak siapa?” soal Bella dengan riak terkejut.

“Sorry. Tak tahu pula Chinta ada kat sini,” celah satu suara. Terangkat kening Chinta memandang Nazri yang sedang berjalan menghampiri mereka.

“Tak pergi sekolah ke hari ni?” soal Chinta pada Naufal yang masih memandangnya dengan senyuman. Soalan Bella terbiar tidak berjawab.

“Tak sihat,” balas Naufal perlahan.

“Naufal demam semalam. Tu yang pagi ni saya bawa ke sini. Maaf lah kalau ganggu kamu berdua. Naufal, jom balik. Papa dah beli kek kegemaran Naufal,” ajak Nazri lembut.

“Tak apa lah. Biar dulu Naufal dengan kami. Awak kerja kat hospital dekat sini kan?” celah Bella separuh bertanya. Chinta memandang Bella dengan kening berkerut sebelum memandang Naufal yang kini menggenggam erat jemarinya.

“Ya betul. Tapi tak apa lah. Saya memang dah nak balik. Hari ni saya cuti separuh hari,” tolak Nazri dengan senyuman.

“Mama, bila Naufal boleh jumpa mama lagi?” soal Naufal dengan riak wajah yang jelas sedih.

“Nanti mama call. Naufal balik dulu rehat. Nanti dah sihat mama Bella dan mama Chinta bawa jalan. Nak tak?” celah Bella lagi kini dengan senyuman lebar. Naufal memandang Bella dan Chinta silih berganti.

“Nanti mama call,” balas Chinta dengan senyuman cuba untuk meyakinkan Naufal. Akhirnya Naufal mengangguk perlahan. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Chinta sebelum menuju ke arah Bella untuk bersalam.

“Maaf lah. Terima kasih juga sebab sudi layan karenah Naufal. Naufal memang macam ni kalau sakit. Manja tak tentu pasal,” ucap Nazri dengan perasaan bersalah.

“Tak apa,” balas Chinta dengan senyuman.

“Kami balik dulu,” kata Nazri sebelum berlalu dengan Naufal. Chinta mengeluh perlahan.

“Kenapa Naufal panggil kau dengan panggilan mama?” soal Bella apabila kelibat kedua-duanya menghilang.

“Aku pun tak tahu. Hari tu tak pula dia panggil aku macam tu. Rindu ibunya kot. Lagipun dia tengah sakit. Mesti dia nak sangat ada someone yang boleh jaga dia selain papanya,” jawab Chinta.

“Ibunya kat mana?” soal Bella dengan kening berkerut.

“Dah bercerai dengan Nazri. Naufal tu Nazri yang jaga,” jawab Chinta perlahan.

“Kasihannya,” kata Bella dengan kening berkerut.

“Sampai hati perempuan tu tinggalkan Naufal. Tak apa. Kalau Naufal dah sihat kita ajak dia keluar sekali dengan Elis,” sambungnya separuh merancang.

“Cepatnya kau jatuh sayang pada Naufal,” usik Chinta. Bella tergelak kecil.

“Aku anak tunggal Chinta. Memang aku mudah jatuh sayang dengan budak kecil macam Naufal. Aku tak kisah jadi mama angkat Naufal kalau dia nak,” kata Bella dengan senyuman. Chinta turut tersenyum membalas pandangan gadis itu. Dalam diam dia mengeluh perlahan.

                                *****

“Serius?” soal Marwah sambil memandang wanita itu. Chinta mengangguk dengan senyuman.

“Aku tak jumpa Naufal lagi. Nanti kalau kau keluar dengan dia bawa aku sekali tau,” katanya separuh meminta. Chinta tergelak kecil.

“Kau pun nak jadi mama Naufal?” soalnya dengan senyuman.

“Mesti lah. Aku cuma geram dengan Nazri bukan Naufal. Budak tu tak tahu apa-apa. Dia tak salah,” balas Marwah sambil menarik nafas panjang.

“Kau masih tak maafkan Nazri?” soal Chinta sambil memandang tepat ke arah wajah sahabatnya itu.

“Aku…, tak tahu lah. Aku sebenarnya tak lah sampai berdendam dengan Nazri. Sebab dia tu buat salah dengan kau bukannya dengan aku. Aku cuma geram aje bila ingat semula perbuatan mamat tu pada kau. Kalau sekali lagi dia datang kat aku minta maaf, mungkin aku boleh pertimbangkan,” jawabnya selamba. Chinta menggeleng perlahan.

“Tapi macam mana si Bella tu tiba-tiba boleh tawar diri nak jadi mama Naufal pula?” soal Marwah dengan kening berkerut.

“Kenapa? Tak sesuai ke?” soal Chinta dengan kening terangkat memandang gadis itu.

“Aku tak lah cakap macam tu. Aku cuma rasa pelik,” balas Marwah sambil tergelak kecil.

“Tak ada apa yang pelik. Bella tu hatinya lembut. Mungkin lebih lembut daripada hati aku,” kata Chinta dengan nada perlahan. Marwah hanya diam membisu memandang wanita itu. Dia faham perasaan Chinta. Menerima Naufal bukan sesuatu yang mudah bagi dirinya. Apatah lagi Naufal itu anak pada orang yang pernah singgah di hatinya suatu ketika dulu.


Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.