Marwah mengambil tempat di hadapan gadis itu.
“Kau okay?” soalnya. Chinta hanya tersenyum hambar.
“I’m okay,” jawabnya dengan nada perlahan.
“Chin, aku bukannya nak masuk campur dengan urusan kau dan Adam. Tapi kau yakin ke dengan keputusan kau ni? Hidup bermadu tu bukan perkara yang mudah. Kau tak takut?” soal Marwah dengan kening berkerut. Chinta tergelak kecil.
“Kau ni dah terlebih risau kan aku. Jangan risau lah Wa. Aku dah fikir masak pasal ni. Kau ingat aku suka sangat nak hidup bermadu? Aku pun tak nak. Tapi sebab Adam, aku sanggup. Aku nak hidup bersama Adam. Aku dah tak peduli pasal berkongsi ni. Apa yang penting aku dapat merasa sedikit kasih sayang daripada Adam. Tu dah cukup buat aku,” balas Chinta dengan senyuman. Siapa wanita yang sanggup berkongsi kasih? Namun dalam situasi ini, dia lebih rela berkongsi kasih berbanding kehilangan lelaki itu. Marwah mengeluh perlahan.
“Kau tak suka?” soal Chinta agak risau melihat reaksi temannya itu.
“Kalau kau dah suka takkan aku nak halang pula? Satu aje aku nak cakap. Kau kena lebih kuat lagi lepas ni Chin. Kau sendiri tau berkongsi kasih tu sakitnya lain. Aku tak tau nak cakap macam mana sebab aku sendiri pun tak pernah rasa. Aku tau kau faham maksud aku. Kalau boleh kau minta Adam belikan kau rumah yang dekat dengan rumah aku. Supaya senang aku nak jenguk kau,” kata Marwah dengan riak wajah yang jelas bimbang. Chinta tersenyum sambil menyentuh jemari gadis itu.
“Terima kasih Wa. Kau sentiasa ada bila aku perlukan seseorang,” ucapnya terharu. Marwah hanya tersenyum hambar. Sebenarnya dia sangat risau. Risau memikirkan apa akan berlaku sekiranya memang benar gadis itu mahu berkahwin dengan Adam.
*****
“Kau nak apa lagi?” soal Delisya dengan kening berkerut. Ikutkan hati dia memang tidak mahu mengangkat panggilan daripada lelaki itu. Namun telinganya sudah sakit mendengar deringan telefon yang tidak henti-henti sedari tadi.
“Sihat?” soal Samuel tanpa menjawab pertanyaan gadis itu. Delisya tersenyum sinis.
“Aku dah kata jangan ganggu aku lagi. Sebenarnya apa lagi yang kau nak? Harta aku kau dah sapu. Aku dah tak ada harta nak bagi kau sekarang ni!” balasnya dengan nada agak keras. Kedengaran Samuel mengeluh.
“Saya menyesal Elis,” katanya dengan nada perlahan.
“Menyesal? Tak ada gunanya lagi. Kita dah tak ada apa-apa Samuel,” balas Delisya dengan sinis.
“Awak tak nak beri saya peluang sekali lagi?” soal Samuel dengan perasaan sebak.
“Tak mungkin Samuel. Aku minta maaf. Tak ada ruang lagi untuk kau dalam hidup aku,” balas Delisya dengan nada tegas.
“Tolong jangan ganggu hidup aku lagi. Aku dah mulakan hidup baru. Kau pun belum terlambat mulakan hidup baru,” sambungnya sebelum menekan punat merah tanpa menunggu balasan daripada lelaki itu. Dia mengeluh perlahan.
Lelaki ni memang tak faham bahasa agaknya.
*****
Qaisara tersenyum melihat lelaki itu yang hanya mendiamkan diri sedari tadi.
“Sayang, kenapa ni?” soalnya lembut.
“Siapa lelaki tadi?” tanya Adam kembali tanpa menjawab. Pandangannya tepat pada wajah tunangnya itu. Qaisara menahan tawanya. Dia tahu lelaki itu cemburu.
“Kawan. Sara dan lelaki tu pernah sertai seminar yang sama. Kenapa?” soalnya.
“Kawan? Kenapa tak pernah beritahu saya?” soal Adam dengan kening berkerut. Qaisara meletakkan kedua belah tangannya di atas meja sambil memandang tepat ke arah lelaki itu. Wajah lelaki itu direnung lama. Adam melarikan pandangannya. Agak berdebar dengan renungan gadis itu.
“Sayang, I love you,” ucap Qaisara dengan senyuman manis. Cair hati Adam mendengar ucapan gadis itu. Dia mula tidak sampai hati mahu meneruskan kemarahannya.
“Sara, stop it. Saya…” kata-kata Adam terhenti apabila melihat gadis itu mula menunjukkan wajah sedihnya.
“Sorry,” ucapnya perlahan. Senyuman Qaisara mula terukir semula.
“Saya baru dua kali jumpa lelaki tu. Awak jangan lah risau. Saya ni tak lama lagi jadi milik awak. Awak pun akan jadi milik saya seorang,” katanya dengan senyuman manis. Adam ikut tersenyum. Bahagia hatinya mendengar kata-kata gadis itu.
“Haih, menungkan siapa tu?” soal Puan Hasna sambil mengambil tempat di hadapan anak lelakinya itu. Lamunan Adam terhenti. Dia hanya tersenyum hambar membalas pandangan wanita itu.
“Papa dah balik?” soalnya sengaja mahu mengubah topik. Puan Hasna menggeleng perlahan.
“Adam, mama beri Adam masa selama setahun untuk fikirkan semula cadangan mama. Kalau Adam tak nak kahwin dengan salah seorang daripada mereka, mama akan carikan sendiri calon isteri untuk Adam,” katanya separuh mengugut. Adam mengeluh perlahan.
Tak habis lagi cerita pasal kahwin?
“Mama, Adam masih…”
“Tak bersedia? Mama dah kata nak beri Adam masa setahun untuk bersedia. Lepas setahun mama sendiri yang akan cari kan Adam calon isteri. Suka atau tidak Adam kena terima,” pintas Puan Hasna dengan nada tegas.
“Kenapa mama nak sangat Adam kahwin?” soal Adam jelas tidak berpuas hati.
“Adam tanya mama kenapa? Adam tengok lah diri Adam sekarang. Walaupun dulu Adam ada buat perubahan tapi sayangnya tu cuma perubahana luaran. Dalam tu tetap sama. Masih kenangkan memori lama. Sampai bila Adam? Mama dan papa tutup mata baru Adam nak sedar? Macam tu?” soal Puan Hasna dengan nada sebak.
“Mama,” panggil Adam dengan kening berkerut. Puan Hasna menarik nafas dalam cuba menenangkan dirinya.
“Ingat Adam, setahun aje. Suka atau tak, mama dah tak peduli,” katanya dengan tegas sebelum bangun dari kerusi lantas berlalu masuk semula ke dalam rumah. Adam mengeluh lagi.
*****
“Kau cakap apa?” soal Adam dengan kening berkerut memandang sahabatnya itu. Ekram tersenyum.
“Chinta dah hampir dua jam tunggu kau. Aku ada beritahu dia yang kau ada dalam bilik bedah tapi dia tetap berkeras nak tunggu kau. Aku balik dulu. Dah dekat jam 9 malam ni. Good luck,” ucap Ekram separuh mengusik sebelum berlalu. Adam menarik nafas dalam sebelum menuju ke bilik pejabatnya. Sampai sahaja di hadapan pintu, dia menolak perlahan pintu tersebut. Terkedu dia melihat pemandangan di hadapannya. Kelihatan gadis itu terlena di sofa miliknya. Adam mengeluh perlahan sebelum melangkah masuk. Dia terpandang bakul yang sederhana besar penuh berisi buah terletak di atas mejanya. Adam menggelengkan kepalanya.
Kalau pun nak bagi buah tak payah lah nak tunggu aku. Ni dah tertidur penat tunggu aku.
Rungutnya dalam hati. Adam berjalan menghampiri gadis itu. Bahu gadis itu disentuh.
“Awak, bangun,” kejutnya perlahan. Chinta membuka matanya. Melihat senyuman lelaki di hadapannya itu sudah cukup membuat rasa mengantuknya hilang.
“Kenapa tak balik aje? Dah malam ni,” soal Adam dengan kening berkerut. Chinta bangun dan mula duduk memandang lelaki itu. Senyuman manis terukir di bibirnya.
“Nak balik lah ni. Saya dah lihat wajah awak pun dah cukup,” jawabnya sambil mencapai beg sandangnya. Adam terdiam mendengar kata-kata gadis itu. Chinta bangun dari sofa. Kini dia berdiri agak rapat dengan Adam. Matanya meneroka wajah lelaki itu sebelum tersenyum lagi. Berdebar Adam melihat senyuman gadis itu.
“Saya balik dulu. Buah tu untuk awak. Awak jaga diri tau. Jangan asyik kerja aje. Jaga kesihatan. Bye,” ucap Chinta sebelum melangkah perlahan menghampiri pintu keluar.
“Nak saya hantar?” soal Adam agak gelabah. Chinta berpaling memandang lelaki itu semula.
“Tak apa. Saya okay. Jumpa lagi Adam,” katanya dengan senyuman hambar sebelum berlalu semula. Berkerut kening Adam memandang kelibat gadis itu yang sudah menghilang di sebalik pintu. Mengapa dia merasakan ini adalah pertemuan terakhir mereka?
*****
“Papa tak setuju!” kata Datuk Ridhuan dengan nada keras. Bella terkedu.
“Kamu sudah gila? Dah tak ada lelaki lain dalam dunia ni?!” soal Datuk Ridhuan yang jelas membangkang kemahuan anak perempuannya itu.
“Papa,” panggil Bella dengan perasaan sebak.
“No! Papa tak benarkan! Tak ada lagi dalam keturunan kita yang nak hidup bermadu Bella! Kamu jangan nak cari pasal dengan papa!” sambung Datuk Ridhuan lagi dengan nada keras memberi amaran. Bella tunduk memandang jari jemarinya. Air matanya jatuh tanpa dipinta.
“Bella sayang Adam pa. Bella tak mampu hidup tanpa Adam,” balas Bella dengan nada suara yang amat perlahan namun masih mampu didengari oleh Datuk Ridhuan.
“Kali ni papa tak setuju! Walauapapun yang akan berlaku jawapan papa tetap, no!” ulang Datuk Ridhuan sebelum berlalu meninggalkan gadis itu untuk naik ke tingkat atas. Bella tersandar lemah di atas sofa sambil mengesat air matanya.
Mama…, Bella perlukan mama.
Bisik hati kecilnya yang sayu bila tiba-tiba teringatkan arwah ibunya saat itu. Jika wanita itu masih hidup. Pasti dia akan memujuk papanya.
*****
Datin Syahida menggeleng perlahan.
“Are you sure? Tak takut menyesal nanti?” soalnya dengan kening berkerut. Delisya mengangguk tersenyum.
“Saya pasti aunty. Saya sanggup bermadu. Lagipun saya tak ada masalah dengan Bella dan Chinta. Mereka baik walaupun kadang kala agak menyebalkan,” jawabnya dengan tenang. Datin Syahida menarik nafas dalam.
“Cabaran hidup bermadu ni lain Elis. Elis akan berkongsi dalam semua aspek. Elis nak ke?” soalnya masih ragu-ragu dengan jawapan wanita itu.
“Aunty jangan risau. Elis dah maklum akan hal tu. Elis dah bersedia aunty,” balas Delisya dengan senyuman. Datin Syahida mengangguk lambat. Walaupun kurang bersetuju dengan wanita itu namun jika itu sudah kemahuannya dia tiada hak untuk menghalang.
“Papa kata apa?” soalnya agak risau.
“Papa okay. Dia memang dah senang dengan Adam sejak dari awal lagi. Cuma…,” Delisya mengeluh perlahan.
“Kenapa?” soal Datin Syahida agak berdebar.
“Saya risaukan Adam aje. Dia masih dalam proses untuk lupakan arwah tunangnya. Mungkin perlukan sedikit masa lagi. Buat masa ni saya tak nak ganggu dia dulu,” katanya dengan senyuman hambar.
“Adam pernah bertunang?” soal Datin Syahida yang agak terkejut dengan berita itu.
“Ya aunty. Tapi tunangnya tu terlibat dengan kemalangan jalan raya dua tahun yang lalu. Tak, dah masuk tiga tahun rasanya,” jawab Delisya. Datin Syahida mengangguk faham.
“Sayang sangat Adam dengan arwah tunangnya tu,” komennya. Delisya tersenyum hambar. Dia memang tidak menafikan kata-kata wanita itu. Tingkah laku Adam yang jelas menolak mereka menunjukkan yang dia masih belum mampu melupakan gadis itu.
“Elis kena fikirkan semula hal ni. Aunty bukan apa. Aunty cuma risaukan Elis. Aunty tak nak peristiwa lama berulang semula pada Elis,” nasihat Datin Syahida lembut. Delisya mengangguk perlahan.
“Terima kasih aunty,” ucapnya dengan senyuman. Betul kata wanita itu. Dia perlu bersedia dalam semua aspek. Hidup bermadu bukan satu perkara yang disukai oleh kaum wanita. Namun cinta melebihi segalanya. Dia rela.
*****
“Aku dah kata dah. Papa kau memang tak akan setuju,” kata Rasya dengan kening berkerut. Dalam diam dia agak simpati melihat wajah pucat gadis itu. Bella mengeluh perlahan.
“Papa memang tak sayangkan aku,” katanya jelas merajuk.
“Bella,” panggil Rasya sambil menyentuh lembut bahu gadis itu.
“Aku nak balik London jumpa nenek. Mungkin akan lama. Kau tolong tengokkan Cafe ni ya,” beritahunya dengan senyuman hambar.
“Aku tak nak,” balas Rasya sambil menggeleng pantas.
“Aku percaya dengan kau. Dalam dunia ni, cuma kau dan Adam yang aku percaya. Tolong jangan hampakan aku,” pinta Bella separuh merayu.
“Kau nak tinggalkan papa kau kat sini? Siapa nak tengokkan papa kau pula? Bella jangan buat hal boleh tak?” marah Rasya.
“Kau tak faham Ras. Aku tak boleh hidup tanpa Adam. Papa tak akan pernah setuju dengan aku. Buat apa aku nak tunggu kat sini? Aku tak sanggup tengok Adam kahwin dengan perempuan lain. Lebih baik aku jauhkan diri supaya aku boleh lupakan Adam,” balas Bella dengan senyuman hambar. Rasya mengeluh perlahan.
“Kau ni memang degil,” marahnya lagi sebelum berlalu ke dapur meninggalkan gadis itu. Bella mengeluh lagi. Dia tahu yang rakan baiknya itu marahkan dirinya. Namun dia sudah nekad. Hanya itu cara dia untuk lupakan Adam. Dia redha. Mungkin sudah tertulis jodohnya bukan dengan lelaki itu. Bella meraup wajahnya. Dia menahan sekuat hati agar air matanya tidak menitis lagi.
Kalau Khai aku boleh lupakan dengan mudah. Apatah lagi Adam yang susah nak terima aku.
Bisik hatinya sebak.
*****
“Dapat hadiah lagi?” soal Ekram apabila melihat sebuah kotak hadiah yang berada di atas meja rakannya itu. Adam hanya diam tidak menjawab. Matanya masih tertumpu padah kotak tersebut.
“Dengki lah aku dengan kau ni. Ramai sangat peminat. Kenapa lah aku kahwin awal,” kata Ekram lagi separuh mengusik.
“Tak kerja?” perli Adam kini memandang lelaki itu. Ekram tergelak besar.
“Nak kerja lah ni. Jumpa masa lunch nanti. Jangan lupa beritahu aku apa dalam kotak tu,” usiknya sebelum berlalu keluar dari bilik pejabat lelaki itu. Adam hanya menggeleng perlahan melihat telatah rakannya itu. Matanya tertumpu semula pada kotak hadiah di hadapannya. Perlahan tangannya mencapai kotak tersebut. Dia agak terpegun melihat isi kotak tersebut.
Jam tangan?
Kad kecil berwarna putih menarik perhatian Adam. Dia mengeluarkan kad tersebut dari dalam kotak.
Adam,
Mengenali awak bukan lah satu kebetulan tapi telah dirancang oleh Allah SWT. Mungkin perkenalan singkat kita tak pernah memberikan awak apa-apa makna. Tapi saya bahagia Adam. Tanpa sedar awak dah isi ruang dalam hati ini. Saya mula sayangkan awak. Saya cintakan awak. Saya nak hidup bahagia dengan awak. Mungkin sekarang awak masih tak mampu terima saya. Tak apa. Awak ambil lah berapa banyak masa pun untuk fikirkan jawapan tu. Sekiranya saya jumpa awak sekali lagi dan jawapan awak tetap sama. Saya Redha.
ELIS
Adam bersandar pada kerusinya dengan perasaan berbaur. Dia meraup wajahnya perlahan.
Ya Allah…,
*****
“Beri saya masa untuk lupakan Adam. Bila dah tiba masanya saya akan tetap kembali,” kata Bella tanpa memandang wajah papanya itu. Datuk Ridhuan mengeluh perlahan. Dia tidak sangka yang gadis itu akan bertindak sejauh itu.
“Bella marahkan papa?” soalnya dengan nada perlahan. Bella tersenyum hambar.
“Apa hak Bella nak marah papa?” soalnya kembali. Soalan gadis itu agak sinis pada pendengaran Datuk Ridhuan.
“Suka hati Bella lah. Papa tak akan halang,” balasnya sebelum bangun dari sofa lantas terus berlalu keluar dari rumah. Bella mengeluh perlahan. Dia turut melangkah naik ke tingkat atas. Dua hari lagi dia akan bertolak ke London. Masa terasa tertalu cepat berlalu. Dia tahu yang papanya tidak bersetuju dengan keputusannya. Namun dia sudah nekad. Walauapapun yang akan berlaku dia tetap akan tinggalkan Malaysia. Hatinya tidak kuat melihat Adam dimiliki oleh wanita lain. Dia sedar dia telah kalah dalam pertempuran. Oleh itu dia harus mengalah. Bella mengesat air matanya yang menitis tanpa disedarinya.
*****
“Esok Bella akan berangkat. Kalau ada sedikit rasa sayang dalam hati awak tu untuk Bella, awak datang lah jumpa dia buat kali yang terakhir,” kata Rasya dengan kening berkerut. Adam terkedu mendengar kata-kata gadis itu.
“Tapi kalau memang tak ada, sekurang-kurangnya awak jumpa lah dia sebagai kawan. Saya tak tahu bila Bella akan kembali semula kat sini. Macam-macam boleh berlaku Adam,” sambung Rasya dengan perasaan sebak. Adam menarik nafas dalam.
“Saya datang sini bukan nak salahkan awak. Pemergian Bella ke London adalah kehendaknya sendiri. Bukan sebab awak. Saya cuma nak awak jumpa dia aje. Awak sendiri tahu yang Bella sayangkan awak. Saya harap awak faham,” kata Rasya lagi. Adam masih diam membisu. Dia serabut.
“Saya pergi dulu. Terima kasih kerana luangkan masa untuk jumpa saya,” sambung Rasya sebelum berlalu meninggalkan lelaki itu. Adam mengeluh perlahan.
“Kau okay?” soal satu suara. Terasa bahunya ditepuk lembut. Adam menoleh ke sisi. Ekram tersengih.
“Siapa tadi tu?” soalnya ingin tahu.
“Aku balik dulu,” balas Adam tanpa menjawab soalan lelaki itu. Berkerut kening Ekram memandang langkah sahabatnya itu.
Apa yang berlaku?