Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 2


Puan Hasna memandang saja anak lelakinya yang sedang menjamah sarapannya.

“Adam, anak kawan mama baru aje balik dari Jepun. Dia pun doktor juga,” beritahunya dengan penuh hati-hati. Adam hanya mengangguk tanpa memandang wajah ibunya. Puan Hasna menarik nafas perlahan.

Hasna…bawa bersabar…,

Dia memandang suaminya yang duduk di sebelahnya.

“Abang, sampai bila orang tu nak hidup membujang? Kita tak tahu lagi bila nak pergi. Entah esok dah tak ada. Kempunan lah kita nak dapat cucu bang,” sindirnya dengan nada yang agak kuat sengaja mahu Adam mendengarnya. Tuan Izan hanya memandang sekilas wajah isterinya itu tanpa menjawab. Dia pura-pura khusyuk dengan surat khabar di tangannya. Puan Hasna mendengus perlahan. Adam berdiri sambil mencapai tisu.

“Nak ke mana?” soal Puan Hasna ingin tahu.

Aku belum habis cakap lagi ni…,

Adam tersenyum manis memandang wanita itu.

“Kedai,” jawabnya ringkas sebelum berlalu.

“Tolong belikan ibu kek yang ibu suka tu,” pesan Puan Hasna separuh menjerit.

“Awak ni, tadi bukan main lagi sindir Adam. Lepas sindir pandai pula nak minta,” tegur Tuan Izan tanpa memandang. Puan Hasna tersengih.

“Abang tak nak ke tengok Adam tu kahwin? Tak nak ada cucu?” soalnya sambil mencapai kopi panas di atas meja.

“Adam tu muda lagi. Baru aje 29 tahun. Bukannya 92 tahun,” balas Tuan Izan cuba membela anak tunggal mereka.

“Memang lah muda. Tapi Asna ni dah tak sabar nak timang cucu,” kata Puan Hasna dengan nada tidak puas hati. Dia bangun dan berlalu ke sinki. Tuan Izan hanya menggeleng melihat telatah isterinya itu.

                                   *****

Adam keluar dari kereta. Angin pantai menyapa lembut wajahnya. Dia menarik nafas dalam.

“Awak tak bosan kalau saya selalu ajak awak datang sini?” soal Qaisara. Adam hanya tersenyum sambil menggenggam erat jemari gadis itu.

“Sebab sayang awak lah saya tak pernah bosan datang sini. Kalau awak nak saya buat rumah kat tepi pantai ni pun boleh,” jawab Adam separuh mengusik. Qaisara tergelak kecil.

“Awak perli saya ek,” katanya sambil menjeling manja ke arah tunangnya itu. Giliran Adam pula yang tergelak.

“No, sayang. Saya serius,” balasnya dengan nada yang tegas.

“Tak nak lah rumah kat tepi pantai. Nanti ada tsunami tak sempat nak lari,” gurau Qaisara. Adam tersenyum sambil mengucup jemari gadis itu.

“Mana pun awak nak pergi saya akan ikut. Tak mungkin saya biarkan awak pergi seorang diri,” katanya lembut. Qaisara hanya tersenyum mendengar kata-kata lelaki itu.

Adam mengeluh perlahan apabila terkenang semula memori yang masih segar di ingatannya itu.

Qaisara Amirah, I miss you sayang.

                               *****

Bella hanya memandang gadis itu sambil menggenggam erat penumbuknya.

Berani kau datang melawat aku, perempuan sial!

Kutuknya dalam hati.

“Lama Lara tunggu Bella kat butik hari tu. Tak sangka pula Bella tak datang sebab kemalangan. Nasib baik cedera ringan aje,” beritahu Lara dengan perasaan bimbang. Bella tersenyum sinis mendengar kata-kata gadis itu.

Ada hati nak simpati kat aku. Kau lagi suka kalau aku mati kan?! Sampai hati kau buat aku macam ni Lara…,

Bella menarik nafas dalam. Dia menahan sedaya upaya agar air matanya tidak menitis di hadapan gadis itu.

“Bella,” panggil satu suara. Khairul menghampiri Bella yang sedang bersandar pada kepala katil.

“Lara tunggu kat luar,” kata Lara sambil bangun untuk beredar.

Korang memang patut dapat anugerah pelakon terbaik…,

Bella menggigit bibirnya geram memandang Lara berlalu.

“Bella,” Khairul menyentuh jemari tunangnya itu dan menggenggamnya erat.

Puih! Jantan tak guna! What? Outstation? Outstation kepala otak kau jantan penipu!

Bella memaki dalam hati.

“Khai baru aje balik dari Putrajaya dan terus ke sini bila tahu yang Bella baru keluar dari hospital sebab kemalangan,” beritahu Khairul dengan perasaan bimbang. Bella menutup matanya perlahan.

Sampai hati kau tipu aku Khai…,

Leave me alone. Lagi satu, saya nak perkahwinan kita ditangguhkan,” katanya sambil membuka matanya semula memandang lelaki itu. Khairul terkedu.

“Kenapa?” soalnya ingin tahu. Majlis mereka minggu depan. Kad jemputan sudah diedarkan.

Apa aku nak beritahu dengan semua orang?

Bisik hati kecil Khairul yang mula risau.

“Kalau aku dah kata tangguh, tangguhkan aje lah! Kenapa? Dah kemaruk sangat nak kahwin dengan aku?!” balas Bella yang mula hilang sabar. Nadanya keras dan tinggi. Khairul memandang gadis itu dengan perasaan kurang percaya. Bella tidak pernah berkasar dengannya selama ini.

Apa yang berlaku?

“Aku nak tidur lah. Boleh tak kau keluar?” pinta Bella separuh mengarah.

“O…okay. Bella rehat dulu. Kalau Bella dah sihat kita bincang semula pasal ni. Khai balik dulu,” kata Khairul sambil tunduk ingin mengucup dahi gadis itu namun Bella pantas memalingkan wajahnya ke arah lain.

Kau jangan sentuh aku lagi lelaki tak guna!

Kutuk Bella lagi dalam hati. Walaupun terkejut dengan tindakan gadis itu namun Khairul tetap berlalu. Seribu satu persoalan menghantui kepalanya saat itu.

Kenapa dengan Bella?

Bella mendengus perlahan sambil menarik selimut menutupi seluruh tubuhnya.

                                *****

Marwah menggeleng perlahan memandang gadis yang sedari tadi asyik termenung.

“Nah,” katanya sambil menghulurkan minuman tin perisa soya kepada gadis itu. Chinta hanya memandang sekilas huluran gadis itu sebelum mengalihkan semula pandangannya ke arah lain. Marwah menggeleng lagi. Dia meletakkan minuman tin tersebut di hadapan rakannya itu.

“Aku tunggu dia habis belajar lima tahun Wa. Tapi dia balik dengan status suami orang. Ada anak pula tu. Kalau kau kat tempat aku, kau nak buat apa?” soal Chinta dengan nada suara yang perlahan. Wajahnya pucat tidak bermaya. Marwah mengeluh perlahan.

“Sudah tentu lah aku marah. Tapi dia dah jadi suami orang. Aku kena move on,” jawabnya dengan nada yang agak tegas. Chinta tersenyum sinis.

“Aku boleh move on. Tapi lelaki tak guna tu mesti bayar masa yang aku habiskan untuk tunggu dia,” katanya dengan penuh dendam.

“Kau nak buat apa?” soal Marwah agak risau.

“Kalau aku perlu bunuh lelaki tu, aku sanggup,” kata Chinta sambil mengenggam penumbuknya. Marwah menelan liur yang terasa pahit.

“Kau jangan nak buat hal Chinta. Kau tu cikgu. Tak baik bagi contoh yang buruk dengan anak-anak kita. Dah lah baru-baru ni kau buat hal,” katanya cuba memujuk gadis itu. Chinta tersenyum jahat.

Kau tunggu Doktor Nazri. Aku tak akan lepaskan kau!

Berkerut kening Marwah memandang senyuman yang terukir pada wajah gadis itu. Dia benar-benar tidak sedap hati. Dia sudah lama mengenali Chinta. Gadis itu degil dan berpegang teguh dengan kata-katanya.

                                 *****

Adam melangkah menuju ke balkoni biliknya. Malam yang sepi itu benar-benar mengamit semula kenangan lama yang tersimpan rapi di sudut hatinya. Keluhan berat dilepaskan. Qaisara Amirah. Gadis yang menjadi penyeri hidupnya. Pernah susah senang bersamanya. Malah menjadi tulang belakangnya. Namun, sejak pemergian gadis itu dua tahun yang lalu, hidupnya mula berubah. Dunianya gelap seketika. Dia hampir hilang semangat untuk meneruskan hidup.

Adam mendongak memandang langit.

I miss you, sayang.

Tumpuan Adam agak terganggu apabila telefon bimbitnya berdering. Berkerut dahi Adam memandang nombor yang tidak dikenalinya. Dia menarik nafas perlahan sebelum menekan punat hijau.

“Doktor, tolong ambil saya. Saya akan mesej doktor alamatnya. Doktor ambil saya ek,” kata si pemanggil sebelum memutuskan talian. Berkerut kening Adam memandang telefonnya.

Siapa?

                                 *****

Chinta memandang telefon bimbitnya yang asyik bergetar sedari tadi. Marwah yang duduk tidak jauh dari tempatnya turut menoleh memandang gadis itu.

“Siapa tu?” soalnya turut ingin tahu. Dia yang sedang memeriksa buku pelajarnya agak terganggu dengan getaran yang berulang kali dari telefon bimbit Chinta. Chinta membuka cermin matanya lalu mrncapai telefon bimbitnya. Terangkat keningnya memandang ada sebelas mesej daripada Nazri. Chinta mendengus geram.

“Nazri?” teka Marwah. Chinta hanya mengangguk. Jarinya bergerak perlahan memeriksa mesej lelaki tersebut.

“Dia nak apa lagi?” soal Marwah dengan kening berkerut. Geram pula dia dengan sikap Nazri yang langsung tidak tahu malu.

“Dia minta maaf,” balas Chinta sebelum menekan butang sekat.

“Aku dah sekat lelaki tu,” beritahunya sambil meletakkan semula telefonnya di atas meja.

“Padan muka. Kalau dia kacau kau lagi, kau beritahu aku. Tahu lah aku nak buat apa dengan lelaki tak tahu malu tu,” balas Marwah sebelum meneruskan kerjanya. Chinta hanya diam mendengar kata-kata rakannya itu.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.