Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 37


Berkerut wajah Bella memandang Adam yang tenang duduk di sisinya. Chinta yang duduk di hadapan mereka sudah pucat wajahnya.

“Abang cakap apa ni?” soalnya masih kurang percaya dengan apa yang didengarinya dari mulut lelaki itu. Sebentar tadi dia berhasrat untuk pulang ke rumah selepas memastikan keadaan Chinta. Namun kedatangan suaminya secara tiba-tiba bukan sahaja mengejutkan dirinya malah Chinta juga kalut dibuatnya. Perkara penting yang ingin dibicarakan oleh Adam benar-benar membuatnya sakit jantung.

“Abang ceraikan Chinta talak satu,” ulang Adam sekali lagi.

“Abang!” jerit Bella sambil bangun dari kerusinya. Chinta tunduk memandang jari jemarinya. Air matanya menitis perlahan. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Adam turut bangun dari kerusinya.

“Maafkan abang,” ucap Adam sebelum berlalu semula keluar dari rumah. Bella menyentuh dadanya. Air matanya turut menitis. Dia menghampiri Chinta. Tubuh wanita itu dipeluk erat.

“Kau jangan risau. Aku akan pujuk abang,” pujuk Bella dengan suara serak.

“Aku bukan isteri Adam lagi,” balas Chinta sebelum menolak perlahan tubuh Bella.

“Kau balik lah. Malam ni dia ada kat rumah kau. Dia nak makan apa kalau kau balik lewat,” sambung Chinta tanpa memandang wajah Bella. Hanya Allah yang tahu betapa dia malu pada wanita itu. Bella mengesat air matanya sebelum berlalu keluar dari rumah menuju ke keretanya. Chinta terduduk di atas sofa sambil menangis teresak-esak.

                                    *****

Lara merenung lama Kira yang sudah tidur lena di atas katil. Dia mengeluh perlahan.

“Maafkan mama sayang. Disebabkan dosa lampau, sayang pula yang terpaksa menanggungnya,” ucapnya dengan perasaan sebak. Kesilapan yang dilakukannya terhadap Bella masih segar dalam ingatannya. Itu adalah kesalahan yang dia tidak akan pernah lupa sampai hujung nafasnya. Dia masih ingat kata-kata Bella saat pertama kali mereka kembali ke Malaysia dan bertemu semula.

“Masa lalu tu tak payah kita nak kenang lagi. Aku dah maafkan korang.”

Baik sungguh hati wanita itu. Jika dia di tempat Bella mana mungkin dia akan maafkan orang itu dengan mudah. Lara mengeluh lagi. Apa yang berlaku antara dia dan Khairul saat ini bukan salah Bella. Dia sendiri yang tidak pandai mengambil hati Khairul sehingga lelaki tidak pernah melupakan Bella walaupun saat mereka sudah bergelar suami isteri. Dia juga tidak boleh menyalahkan Khairul sepenuhnya dengan apa yang berlaku. Siapa dia untuk menahan perasaan seseorang.

                                    *****

“Abang,” panggil Bella sambil menyentuh lengan lelaki itu. Adam menoleh. Wajah Bella tanpa senyuman menyapa pandangannya.

“Please, Bella tak nak abang buat keputusan bila sedang marah. Abang tak sayangkan Chinta? Dia tak sengaja. Belum tiba masanya lagi abang nak jadi ayah. Kenapa nak buat keputusan terburu-buru?” soal Bella bertalu jelas tidak puas hati. Adam menarik nafas panjang.

“Keputusan abang dah muktamad,” balasnya tanpa memandang wajah isterinya itu. Bella menggeleng.

“Kalau suatu hari nanti Bella tak sengaja, abang nak tinggalkan Bella juga?” soalnya dengan perasaan kecewa. Adam diam tidak menjawab.

“Abang memang jahat,” sambung Bella sebelum mendengus geram. Dia mencapai semula kunci kereta yang berada di atas meja lantas berlalu keluar dari bilik. Adam mengeluh perlahan. Dia memandang sahaja kereta Bella yang sedang bergerak keluar dari halaman rumah.

                                *****

Delisya terkedu apabila keluar sahaja dari kereta Bella berlari memeluknya. Gadis itu sedang menangis teresak-esak.

“Apa yang berlaku?” soal Delisya dengan kening berkerut. Dia  melepaskan pelukan wanita itu. Air mata Bella dikesatnya.

“Apa yang berlaku?” soalnya lagi mula tidak sedap hati apabila melihat mata Bella yang sudah bengkak.

“Elis, ajak lah Bella masuk,” tegur Datuk Taufiq yang sedang berdiri di muka pintu memerhatikan mereka. Delisya hanya mengangguk.

“Jom masuk dulu,” ajaknya. Bella menggeleng.

“Abang dah ceraikan Chinta,” beritahunya seiring dengan air matanya. Walaupun dia bukan di tempat Chinta namun hatinya turut terluka dengan apa yang telah menimpa wanita itu. Delisya tercengang memandang Bella.

“Abang ceraikan Chinta di hadapan aku. Kau kena pujuk abang semula,” sambung Bella separuh meminta.

“Tapi kenapa? Apa salah Chinta? Pasal hari tu?” soal Delisya bertalu dengan kening berkerut. Datuk Taufiq yang masih berdiri di muka pintu turut terkejut mendengar perkhabaran daripada Bella.

“Aku tak tahu. Mungkin juga. Kau kena jumpa abang sekarang. Dia ada kat rumah aku,” balas Bella sambil mengesat air matanya. Delisya berpaling memandang Datuk Taufiq.

“Bella, tak apa. Bella balik dulu. Tak baik tinggalkan suami kat rumah. Esok kita bincang baik-baik,” nasihat Datuk Taufiq sambil melangkah perlahan menghampiri kedua-duanya. Dia menepuk lembut bahu wanita itu cuba untuk memujuk. Delisya mengeluh berat.

“Bella balik dulu. Saya akan pergi rumah Chinta malam ni. Esok, saya akan jumpa dengan abang,” pujuknya dengan senyuman hambar. Bella mengangguk lambat. Dia melangkah semula kembali ke keretanya.

“Hati-hati pandu tu,” Delisya mengingatkan.

“Sebenarnya apa yang berlaku?” soal Datuk Taufiq setelah kereta Bella hilang dari pandangan mata.

“Tak pasti papa. Elis nak ke rumah Chinta,” kata Delisya. Datuk Taufiq mengangguk faham.

                                  *****

Marwah mendengus perlahan melihat Chinta yang hanya membisu sejak sampai ke rumahnya. Sudah puas dia bertanya apa yang berlaku namun wanita itu hanya diam sahaja. Telefon bimbit Chinta yang berdering sedari tadi mula membuatnya hilang sabar. Marwah mencapai telefon bimbit tersebut. Nama Delisya terpampang pada skrin telefon.

“Ya Elis, Marwah kat sini,” jawab Marwah.

“Chinta ada kat sana? Saya ada kat depan rumahnya. Tapi rumah gelap tak berlampu,” tanya Delisya dengan nada risau.

“Dia ada dengan saya. Apa yang berlaku? Sejak sampai, dia asyik nangis aje. Saya tanya, dia tak jawab,” soal Marwah dengan kening berkerut. Kedengaran Delisya mengeluh berat.

“Elis,” panggil Marwah mula tidak sedap hati.

“Adam dah ceraikan Chinta. Saya pun tak pasti apa sebabnya. Awak tolong jaga Chinta dulu malam ni. Esok saya sendiri akan jumpa Adam,” beritahu Delisya separuh meminta. Marwah terkedu. Dia memandang semula wajah keruh Chinta.

“Tak apa. Saya akan jaga dia malam ni,” balasnya dengan perasaan sebak.

“Terima kasih,” ucap Delisya sebelum memutuskan panggilan. Marwah mengambil tempat di sisi Chinta. Perlahan tangannya memeluk wanita itu.

“Kau kena kuat,” katanya dengan nada perlahan. Dia turut tidak mampu menahan air matanya. Perkara yang ditakuti oleh teman baiknya itu benar-benar telah menjadi kenyataan. Dia sendiri masih tidak percaya dengan apa yang diberitahu oleh Delisya sebentar tadi.

                                 *****

“Kau dah gila?” soal Ekram dengan kening berkerut.

“Apa dah jadi dengan kau ni, Dam? Kenapa ikutkan hati tu? Dah fikir masak-masak ke sebelum buat keputusan?” soal Ekram lagi yang jelas tidak puas hati apabila mendengar perkhabaran daripada Adam mengenai hubungannya dengan Chinta.

“Aku dah buat keputusan. Kau tak ada hak nak marah aku,” balas Adam dengan riak wajah yang tenang.

“Aku harap kau menyesal dengan keputusan ni,” balas Ekram dalam nada tegas sebelum berlalu keluar dari pejabat lelaki itu. Dia risau tidak dapat menahan diri lalu mengerjakan temannya itu. Ekram langsung tidak menegur Delisya yang berselisih dengannya di muka pintu. Delisya hanya memandang lelaki itu berlalu sebelum memandang Adam yang turut membalas pandangannya. Suaminya itu tersenyum manis menyambut kedatangannya.

“Abang sibuk?” soal Delisya dengan senyuman hambar. Dia melangkah perlahan menghampiri meja lelaki itu. Kerusi di hadapan Adam ditarik perlahan.

“Tak juga. Kenapa tak beritahu nak datang?” soal Adam agak berdebar.

“Perlu ke?” soal Elis dengan senyuman pahit. Adam terdiam mendengar soalan isterinya itu.

“Kenapa ceraikan Chinta?” soal Delisya tanpa bertapis lagi. Adam menarik nafas panjang. Dia sudah mengagak soalan itu akan keluar dari mulut isterinya. Entah apa akan terjadi jika ibunya pula mengetahui apa yang berlaku.

“Maafkan abang tak bincang perkara ni dengan Elis. Anggap saja abang tak ada jodoh dengannya,” balas Adam tanpa memandang wajah isterinya itu. Delisya tersenyum sinis.

“Abang yakin dengan keputusan abang? Tak menyesal nanti?” soalnya yang terluka mendengar jawapan suaminya itu.

“Abang dah buat keputusan. Abang harap Elis dan Bella faham,” kata Adam sambil bangun dari kerusinya.

“So, kalau Elis dan Bella mengalami nasib yang sama dengan Chinta. Abang nak ceraikan kami juga?” soal Delisya dengan berani. Dia sudah tidak mampu menahan amarah yang ditahannya sejak semalam. Adam terkedu mendengar soalan wanita itu. Dia membalas pandangan Delisya.

“Abang terburu-buru buat keputusan. Kalau pun abang marahkan Chinta, tu bukan salah Chinta. Allah dah tetapkan budak tu tak sempat jumpa abang. Abang ingat cuma abang yang terluka? Abang ada fikir tak perasaan Chinta? Abang ada tanya Chinta, dia okay atau tak? Ada? Tak ada kan? Kenapa abang salahkan Chinta seorang? Elis benar-benar kecewa dengan abang,” balas Delisya dengan nada keras sebelum bangun dari kerusi lalu pergi meninggalkan Adam yang masih diam membisu. Adam terduduk semula. Dia meraup wajahnya perlahan.

 


Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.