Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 31


Adam hanya merenung Chinta yang sedang leka membaca buku di tangannya. Apabila perasan diri diperhatikan, Chinta menoleh membalas pandangan suaminya itu. Dia yang agak jauh duduk dari suaminya mula mendekatkan diri. Chinta membuka cermin matanya sambil membalas renungan suaminya itu dengan penuh minat. Adam tergelak kecil.

“Abang pandang apa?” soalnya separuh mengusik. Adam berdehem perlahan.

“Tak boleh ke nak pandang isteri abang?” soalnya kembali. Giliran Chinta pula yang tergelak kecil. Adam menarik jari jemari wanita itu lalu menggenggamnya erat.

“Kalau abang tak izinkan sayang jumpa Naz, sayang akan dengar tak cakap abang?” soalnya. Chinta terkedu. Agak lama dia merenung wajah suaminya itu. Genggaman Adam dibalasnya erat.

“Kalau abang tak suka, Chinta akan dengar cakap abang. Abang jangan salah faham. Memang Chin dah maafkan Naz. Tapi hubungan kami tu tak sama macam dulu,” balasnya dengan senyuman.

“Tapi abang sebagai lelaki tahu yang Naz tu tak anggap sayang macam tu. Abang boleh nampak. Dia masih sayangkan awak,” kata Adam dengan senyuman hambar. Chinta menarik nafas dalam.

“Abang tak percaya pada Chinta?” soalnya dengan perasaan bimbang.

“Abang percaya isteri abang. Abang cuma risau suatu hari nanti, abang tiba-tiba sakitkan hati isteri abang sebab salah faham dengan hal ni. Abang tak nak tu berlaku,” balas Adam dengan riak wajah yang serius. Dia menarik Chinta ke dalam pelukannya.

“Chinta akan cuba sedaya upaya tak bertembung lagi dengan Naz. Maafkan Chinta dah buat abang risau,” balas Chinta sambil membalas erat pelukan suaminya itu.

“Bukan salah sayang. Abang yang bersalah sebab terlalu sayangkan isteri abang,” balasnya separuh berbisik. Chinta tergelak kecil. Dia memandang wajah suaminya itu. Senyuman manis Adam membuat hatinya cair sekelip mata.

“I love you, husband,” ucapnya. Senyuman Adam semakin lebar.

“I love you more,” balasnya sambil mengucup dahi isterinya itu. Chinta tersenyum bahagia. Semoga kebahagiaan yang dirasainya saat ini akan berkekalan sehingga dia menutup mata.

                                    *****

“Tak sangka jumpa kat sini,” tegur satu suara. Delisya berpaling menoleh. Dia tidak jadi menolak troli di depannya.

“Nak saya tolong?” soal Samuel apabila melihat troli Delisya yang penuh berisi barang dapur.

“Tak apa,” balas Delisya sebelum melangkah semula menuju ke keretanya. Samuel mengikut langkah wanita itu.

“Elis, apa khabar?” soalnya lagi. Delisya hanya membisu. Dia membuka bonet kereta.

“Maaf kalau saya dah buat awak tak selesa,” kata Samuel lagi apabila melihat wanita itu yang langsung tidak menghiraukannya.

“Saya sihat. Saya cuma tak nak Adam nampak awak kat sini,” balas Delisya jujur tanpa memandang lelaki itu. Tangannya masih sibuk menyusun barang-barang di dalam bonet. Samuel tersenyum pahit.

“Jaga diri. Saya pergi dulu,” katanya sebelum berlalu dengan langkah perlahan. Dia kena menerima hakikat walaupun perit. Delisya mengeluh perlahan. Dia berpaling memandang lelaki itu. Adam cuma alasan. Sebenarnya dia memang mahu mengelak untuk berbual dengan lelaki itu.

“Saya doakan yang terbaik untuk awak, Samuel.”

                                *****

“Aku risau Farah,” kata Ekram dengan nada perlahan. Farah yang sedang menikmati makan tengah harinya hanya memandang sekilas ke arah sahabatnya itu.

“Risau pasal apa?” soalnya.

“Aku tengok Adam tu lebihkan perhatian pada Chinta. Kalau dengan aku, dia asyik sebut nama Chinta. Aku dah mula rasa bersalah sebab bagi cadangan kat dia supaya kahwin dengan ketiga-tiga mereka,” balasnya dengan riak wajah yang jelas risau.

“Kau cuma bagi cadangan tapi Adam yang buat pilihan. Tak payah nak over sangat,” sindir Farah tanpa memandang Ekram.

“Tapi aku risau,” kata Ekram lagi dengan kening berkerut.

“Yang kau sibuk nak risau hal rumah tangga orang dah kenapa? Biarlah Adam yang selesaikan masalahnya. Kita tak ada hak nak campur tangan. Sebagai kawan, kita hanya boleh nasihatkan Adam. Tak lebih dari tu,” balas Farah separuh menasihati. Ekram terdiam mendengar kata-kata gadis itu.

“Kita doakan yang terbaik untuk Adam,” sambung Farah dalam nada perlahan.

“Kau pula bila nak kahwin?” soal Ekram dengan senyuman nakal.

“Kalau ya pun nak ubah topik jangan lah sentuh pasal kahwin. Geli,” balas Farah sambil mendengus geram. Ekram tergelak besar.

“Selagi kau tak kahwin, selagi tu aku akan timbulkan isu ni. Biar cepat kau kahwin,” balasnya masih dengan tawanya. Farah hanya menjeling lelaki itu.

Ada juga yang kena hempuk dengan sudu ni.

                                   *****

Berkerut kening Bella apabila mendengar suara lelaki di talian sebelah.

“Hai, saya nak ajak awak keluar malam ni. Tu pun kalau awak nak,” ajak Khairul dengan perasaan berdebar. Bella mendengus geram.

“Maaf, saya tak senang. Lagipun suami saya tak akan benarkan saya keluar dengan lelaki lain. Apatah lagi dengan awak,” balas Bella dengan nada agak keras sebelum menutup telefonnya.

Gila!

“Sayang, kenapa?” soal Adam yang baru keluar dari bilik air. Dia sempat mendengar suara Bella yang seperti marahkan seseorang.

“Tak…,tak ada apa,” balas Bella agak berdebar. Belum sempat dia bersuara tiba-tiba telefonnya berdering semula. Bella terkedu.

“Kenapa tak sambut?” soal Adam apabila Bella dengan pantas menekan punat merah tanpa menjawab.

“Tak penting,” balas Bella dengan senyuman hambar. Adam mengangguk sebelum menghampiri almari pakaian. Bella menarik nafas dalam.

“Minggu depan Bella nak ke Pahang,” beritahunya perlahan namun masih boleh didengari oleh Adam.

“Nak abang hantar?” soal Adam sambil berpaling memandang isterinya.

“Tak apa. Bella tak lama kat sana. Lagipun Bella pergi dengan Rasya,” balas Bella dengan senyuman. Adam mengangguk lagi.

“Kalau Bella nak abang teman, abang boleh minta cuti,” katanya tanpa memandang Bella. Bella hanya memandang suaminya itu tanpa berkata apa-apa. Dia sebenarnya bukan tidak mahu lelaki itu menemaninya. Cuma dia sedar, Adam bukan miliknya seorang. Dia tidak boleh mementingkan diri sendiri.

“Sayang?” panggil Adam yang kini di hadapannya.

“Sempat lagi nak termenung,” sambung Adam sambil mencuit dagu isterinya itu. Bella tergelak kecil.

“Jom turun. Abang mesti dah lapar,” ajak Bella sambil menarik lembut lengan suaminya. Adam hanya tersenyum mengikut langkah wanita itu.

                                  *****

“Abang tak keluar hari ni?” soal Puan Hasna sambil menghidangkan makanan.

“Nak ke mana pula?” soal Tuan Izan sambil mencapai sudu.

“Mana lah Na tahu. Abang tu kan selalu keluar. Kalau tak memancing, lepak tak tahu dengan siapa,” balas Puan Hasna. Tuan Izan tergelak kecil.

“Macam lain aje bunyinya tu,” usiknya. Puan Hasna mengeluh perlahan.

“Lah, tak elok mengeluh depan rezeki,” tegur Tuan Izan.

“Na risau lah dengan Adam,” luah Puan Hasna dengan kening berkerut.

“Awak ni, masa Adam tak kahwin awak risau. Sekarang Adam dah kahwin pun awak nak risau. Kalau Adam tahu awak risaukan dia tentu dia akan ikut risau,” tegur Tuan Izan lagi.

“Masalahnya saya tak boleh duduk diam selagi…,” Puan Hasna terdiam sejenak. Tuan Izan tergelak besar.

“Abang dah kenapa? Na tak buat lawak,” soal Puan Hasna dengan kening terangkat.

“Sabar lah. Awak tu ada tiga orang menantu. Kalau semua serentak nak beri awak cucu, tak menang tangan awak nanti,” balas Tuan Izan separuh mengusik. Puan Hasna mengeluh lagi. Bibirnya terkunci untuk membalas usikan suaminya. Tuan Izan hanya menggeleng perlahan melihat telatah isterinya itu.

                                  *****

“Awak dah masuk dua minggu,” beritahu Nazri dengan senyuman. Chinta terkedu sejenak.

“Tahniah,” ucap Nazri ikhlas. Dia gembira untuk wanita itu namun jauh di sudut hatinya turut terselit rasa kecewa. Dia tidak dapat menafikan perasaan itu. Wanita itu pernah mengisi ruang hatinya suatu ketika dulu. Cuma dia tersilap langkah sehingga menyebabkan dia kehilangan Chinta.

“Thank you,” ucap Chinta dengan perasaan yang sukar digambarkan.

“Kenapa tak jumpa dengan Adam saja?” soal Nazri ingin tahu. Awal pagi dia sudah menerima kunjungan wanita itu. Telahannya tepat sekali yang Chinta mengandung.

“Saya nak buat kejutan. Awak jangan sesekali beritahu dia,” balas Chinta dengan senyuman lebar. Nazri mengangguk dengan senyuman.

“Saya balik dulu. Terima kasih,” ucap Chinta sambil bangun dari kerusinya.

“Hati-hati,” pesan Nazri. Chinta hanya tersenyum sebelum berlalu. Keluar sahaja Chinta dari bilik lelaki itu, dia terkedu semula apabila melihat Adam dan Ekram yang sedang berjalan melepasinya. Langkah Adam terhenti serta merta. Dia jelas terkejut melihat Chinta. Tiba-tiba pintu bilik Nazri dibuka dari dalam.

“Chin, awak lupa ni,” kata Nazri sambil menghulurkan selendang milik wanita itu. Dia turut terkejut melihat Adam dan Ekram. Adam memandang Chinta dan Nazri silih berganti. Ekram di sebelah sudah tidak tentu arah.

“Abang,” panggil Chinta lembut. Adam mendengus perlahan sebelum berlalu tanpa mempedulikan panggilan isterinya itu. Ekram turut mengikut langkah Adam tanpa berkata apa-apa. Nazri mengeluh perlahan.

“Maaf, saya tak sepatutnya keluar,” kata Nazri dengan perasaan bersalah.

“Saya akan jelaskan dengan Adam,” sambung Nazri. Chinta menggeleng perlahan dengan perasaan sebak.

“Thank you, Naz,” ucapnya sebelum berlalu. Nazri mengeluh lagi.

                                  *****

Khairul menarik kerusi lalu duduk. Lara yang sedang menghidangkan sarapan pagi hanya memandang sekilas ke arah suaminya itu.

“Sejak balik Malaysia, abang dah tak macam dulu lagi,” katanya perlahan. Khairul memandang isterinya itu.

“Apa maksud Lara?” soalnya.

“Cuba abang jujur dengan Lara. Abang masih sayangkan Bella?” soalnya dengan perasaan sebak. Sudah lama dia cuba bertahan daripada bertanyakan soalan tersebut. Dia takut kecewa sekiranya mendengar jawapan daripada suaminya itu. Namun bila mengingatkan Kira, dia nekad untuk bertanya. Khairul diam tidak menjawab.

“Abang, tolong jangan buat Lara dan Kira terseksa macam ni,” sambung Lara dengan perasaan hiba. Khairul menarik nafas dalam.

“Maafkan abang. Abang cuma manusia biasa Lara. Yes, abang masih sayangkan dia. Abang tahu abang silap. Tapi, abang tak mampu nak hilangkan perasaan tu,” jawab Khairul jujur. Dia meletakkan semula sudu di tangannya sambil mengeluh perlahan. Lara kaku memandang pinggannya.

Betul ke apa yang aku dengar?

“Maafkan abang,” ucap Khairul sebelum bangun dari kerusi lantas berlalu ke ruang tamu. Tanpa sedar air mata Lara mengalir perlahan.

                                 *****

Delisya menghampiri Adam yang sedari tadi asyik termenung. Dia terkejut menerima kunjungan suaminya itu. Sepatutnya Adam ada dengan Chinta malam ini.

“Abang,” panggilnya lembut. Adam berpaling memandang isterinya itu.

“Abang ada masalah?” soal Delisya agak risau. Adam menggeleng perlahan.

“Abang nak tidur dulu. Penat sangat hari ni,” katanya sambil mengucup dahi isterinya itu. Delisya hanya mengangguk tersenyum. Apabila melihat Adam sudah selesa di atas katil, Delisya menuju ke arah meja solek lalu mencapai telefonnya. Dia berjalan keluar dari bilik meninggalkan Adam. Keluar sahaja dari bilik jarinya pantas mencari nombor seseorang.

“Abang ada kat sini,” beritahunya apabila panggilannya bersambut.

“Abang dah salah faham,” kata Chinta dengan nada perlahan. Delisya mengeluh.

“Apa yang berlaku?” soalnya.

“Chin jumpa Naz. Abang terserempak dengan kami,” beritahu Chinta. Suaranya yang jelas serak menunjukkan Chinta baru sahaja selesai menangis.

“Abang dah larang sebelum ni. Kenapa nak jumpa dengan Naz lagi?” soal Delisya dengan kening berkerut. Chinta terdiam tidak tahu apa yang harus dijawabnya pada soalan wanita itu.

“Esok Chin kena datang jumpa Abang. Minta maaf dengan abang,” sambung Delisya separuh mengarah.

“Chin akan cuba. Maaf menyusahkan awak,” balas Chinta perlahan.

“Tak ada yang susahnya. Adam tu suami saya juga. Selesaikan masalah ni dengan baik. Saya akan cuba pujuk abang juga,” kata Delisya.

“Terima kasih Elis,” ucap Chinta dengan perasaan terharu.

“Sama-sama. Jaga diri, selamat malam,” ucap Delisya sebelum menutup telefonnya. Dia melepaskan keluhan berat.

                                   *****

Chinta mengetuk perlahan pintu bilik lelaki itu. Kedengaran suara Adam memberi kebenaran untuk masuk. Dia menolak pintu bilik Adam lalu melangkah masuk. Adam terkedu melihat kedatangan wanita itu. Rindunya terlerai saat menatap senyuman isterinya itu.

“Abang sibuk?” soal Chinta agak kalut apabila suaminya itu merenungnya tajam.

“So, apa pula alasan awak?” soal Adam tanpa menjawab pertanyaan Chinta sebentar tadi. Chinta terkedu.

“Abang dah salah faham,” katanya perlahan. Adam tersenyum sinis. Dia bangun perlahan dari kerusinya sambil berdiri membelakangi wanita itu. Walaupun hatinya meronta mahu berlari memeluk isterinya itu namun dia menahan diri.

“Jadi semuanya salah abang?” soalnya.

“Semalam Chinta jumpa Naz atas urusan…,”

“Kenapa susah sangat nak minta izin dengan abang?” pintas Adam kini berpaling memandang wajah isterinya itu. Chinta mengeluh perlahan.

“Maafkan Chinta,” ucapnya. Memang silapnya tidak meminta izin dengan suaminya itu. Semuanya disebabkan dia mahu membuat kejutan pada Adam.

“Awak minta maaf dan lepas tu buat lagi. Betul ke abang ni suami awak?” soal Adam dengan perasaan kecewa. Dia mencapai telefon bimbitnya di atas meja lantas berlalu keluar dari bilik meninggalkan Chinta yang masih tegak berdiri. Chinta terkedu.

 


Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.