Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 35


Adam bersandar tenang pada kerusi. Teringat semula pertemuannya dengan Khairul.

“Aku memang masih sayanngkan Bella. Aku sedar, aku tak sepatutnya macam ni. Bella dah ada suami. Aku pula dah ada isteri. Ada anak. Tapi aku tak mampu nak hapuskan perasaan tu. Aku masih cintakan Bella,” beritahu Khairul dengan riak wajah yang serius. Adam menggenggam penumbuknya. Dia cuba sedaya upaya menahan diri daripada menimbulkan masalah. Sejak awal lagi memang dia sudah tetapkan yang pertemuannya dengan Khairul hari ini bukan untuk bertelingkah.

“Maafkan aku,” sambung Khairul. Jujur dia akui rasa bersalah pada lelaki itu. Adam menarik nafas panjang cuba menenangkan diri.

“Kalau aku kat tempat kau, isteri yang aku kejar adalah isteri kau. Kau nak buat apa?” soal Adam dengan sinis. Khairul terkedu.

“Kau nak buat apa?” soal Adam semula separuh mendesak.

“Aku…,”

“Kau mesti terfikir nak bunuh orang tu. Betul tak?” pintas Adam separuh menyoal. Khairul tunduk meraup wajahnya.

“Aku minta secara baik. Berhenti ganggu isteri aku. Kita masing-masing dah ada keluarga. Ada tanggungjawab. Kau tak kasihan dengan anak kau?” soal Adam dengan kening berkerut. Khairul membalas pandangan lelaki itu semula.

“Maafkan aku. Boleh tak aku jumpa Bella? Untuk kali yang terakhir,” balasnya separuh meminta. Dia tidak mempedulikan soalan Adam sebentar tadi. Mahu sahaja Adam menumbuk wajah lelaki itu namun akal warasnya masih mampu menahan diri daripada berbuat demikian.

“Boleh. Tapi aku akan ikut sekali,” balasnya dengan tegas. Khairul mengangguk dengan senyuman hambar.

Adam mengeluh lagi.

“Abang,” panggil seseorang. Adam menoleh memandang ke arah pintu pejabatnya. Dia agak terkejut apabila melihat Bella yang sedang berdiri di muka pintu tersenyum manis membalas pandangannya.

                                   *****

Chinta merenung lama gambar perkahwinannya dengan Adam yang berada di atas meja.

“Hai, rindu ke?” soal Marwah separuh mengusik sambil berjalan ke arah mejanya. Chinta hanya tersenyum mendengar kata-kata gadis itu.

“Mesti lah. Suami aku,” balasnya perlahan. Marwah membuat aksi seperti hendak muntah.

“Ishh! Nanti bila kau dah kahwin baru kau tahu rasa seksanya kalau tak jumpa walau sehari,” kata Chinta dengan riak wajah serius.

“Geli,” komen Marwah sambil tergelak kecil. Chinta hanya menggeleng memandang gadis itu.

“Kau jadi ke nak ke rumah mama mentua kau?” soal Marwah sengaja mengubah topik.

“Jadi. Kau nak ikut?” soal Chinta semula.

“Tak lah. Aku tanya aje. Aunty Asna tak tahu kan apa yang berlaku antara kau dan suami kesayangan kau tu?” jawab Marwah separuh menyoal. Chinta menggeleng sambil tersenyum hambar. Memang ibu mentuanya itu tidak tahu. Dia juga tidak berniat untuk menghebohkan hal tersebut kepada kedua-dua mentuanya itu. Dia tidak mahu hal kecil itu tiba-tiba diperbesarkan pula.

“Okay. Jumpa nanti. Aku ada kelas ni,” kata Marwah sambil berlalu semula. Chinta hanya tersenyum. Dia mengeluh perlahan. Cerita Farah masih terngiang-ngiang di telinganya. Chinta berazam tidak akan membuat Adam kecewa lagi kepada dirinya. Lelaki itu sudah menerima dirinya seadanya. Dia bersyukur dengan jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah itu kepadanya.

                                      *****

Adam tersenyum sambil menggenggam erat jemari wanita itu.

“Maaf, abang tak sempat call semalam. Bella mesti risau,” ucapnya. Bella tersenyum menggeleng.

“Bella faham,” balasnya.

“Khai nak jumpa Bella,” beritahu Adam dengan tenang.

“Buat apa? Tak selesai lagi?” soal Bella yang jelas terkejut. Walhal dia memang tahu lelaki itu mahu bertemu dengannya. Cuma dia yang tidak mahu.

“Semuanya dah selesai. Cuma dia nak jumpa sayang aje. Sayang jangan risau. Abang akan temankan sayang,” jawab Adam. Bella mengeluh perlahan.

“Maafkan Bella,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Reaksi tenang suaminya itu membuatnya semakin rasa bersalah.

“Jangan minta maaf lagi. Bukan salah sayang,” balas Adam dengan nada tegas. Sejujurnya dia memang marah tapi bukan pada wanita itu. Dia cuma marah pada Khairul. Jika ikutkan hati memang dia mahu menumbuk lelaki itu saat pertama kali mereka bertemu. Namun apabila difikirkan semula, kekerasan bukanlah cara penyelesaian yang baik. Lagipun hati yang perlu dia jaga bukan hanya hatinya seorang saja.

“Abang, terima kasih kerana faham dengan keadaan Bella,” ucap Bella dengan perasaan terharu. Dia perasan yang suaminya itu mula berubah sejak mengetahui Chinta mengandung. Suaminya itu semakin tenang dan lembut melayan mereka. Adam mengucup dahi isterinya itu.

“Abang memang lah kena faham. Bella ni isteri abang,” balasnya dengan senyuman. Bella turut tersenyum. Rasa bahagia hanya Allah yang tahu.

                                    *****

“Chinta sihat?” tanya Puan Hasna sambil memeluk erat tubuh menantunya itu. Chinta mengangguk dengan senyuman.

“Mama? Papa kat mana?” soalnya sambil menurut sahaja apabila wanita itu menarik lembut tangannya untuk duduk di atas sofa.

“Tak balik lagi. Awal pagi tadi dah keluar pergi memancing,” jawab Puan Hasna sambil memandang Chinta dari atas ke bawah. Tangannya menyentuh lembut perut wanita itu. Chinta hanya tersenyum memandang telatah ibu mentuanya itu.

“Tak sabar nak tunggu cucu nenek ni,” kata Puan Hasna separuh bergurau. Chinta tergelak kecil.

“Adam masih kat hospital?” soal Puan Hasna pula. Chinta mengangguk.

“Kalau Adam terlalu sibuk kat hospital, Chin kena beritahu mama. Biar mama cuci telinga anak bertuah tu,” kata Puan Hasna dengan riak wajah yang serius.

“Mama jangan risau. Setakat ni abang selalu balik awal. Cuma hari tu aje yang…,” Chinta terdiam sejenak. Terangkat kening Puan Hasna memandang wanita itu.

Ada yang aku tak tahu ke?

Chinta menggeleng dengan senyuman.

“Kenapa? Adam buat hal?” soal Puan Hasna kurang berpuas hati apabila Chinta tidak meneruskan kata-katanya.

“Tak. Maksud Chin ada juga hari abang balik lewat. Chin tak kisah. Chin faham kerja abang,” jawab Chinta dengan senyuman. Sebenarnya dia agak takut sekiranya wanita itu dapat menghidu bagaimana hubungannya dengan Adam sebelum ini. Kedua-dua mentuanya memang tidak tahu apa yang berlaku antara dia dan Adam. Memang dia juga tidak berniat memberitahu wanita itu. Dia risau wanita itu marahkan Adam.

“Mama masak apa hari ni?” soal Chinta sengaja mengubah topik. Senyuman lebar terukir semula di bibir Puan Hasna.

“Jom, mama ada masak makanan kegemaran Chin,” ajaknya sambil menarik lembut tangan wanita itu. Chinta tersenyum mengikut langkah Puan Hasna menuju ke dapur. Dia menarik nafas lega.

                                 *****

Khairul menolak perlahan pintu bilik utama. Kelihatan Lara masih berjaga. Dia sedang tekun membaca buku di sudut bilik. Khairul melangkah masuk. Lara yang sedar akan kepulangan suaminya itu tidak menghiraukannya.

“Lara,” panggil Khairul lembut. Lara mengangkat wajahnya membalas pandangan lelaki itu.

“Jauh sangat ke abang berubah?” soal Khairul dengan perasaan bersalah. Lara tersenyum sinis.

“Kenapa tanya saya? Atau abang dah tak sedar sebab dah tergilakan isteri orang?” soalnya sambil memandang semula buku di tangannya. Dia tidak mampu memandang wajah suaminya itu dengan lebih lama. Sakit hatinya hanya Allah yang tahu. Khairul mengeluh prlahan.

“Maafkan abang,” ucapnya dalam nada perlahan hampir tidak kedengaran.

“Maaf? Abang yakin ke tak akan ulang kesilapan yang sama? Abang yakin boleh lupakan Bella?” soal Lara bertalu. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia teriakkan lelaki itu. Namun apabila teringat Kira yang sudah terlelap di kamar sebelah dia membatalkan sahaja niatnya itu.

“Abang tak janji. Tapi abang akan cuba,” balas Khairul dengan nada tegas.

“Cuba abang beritahu Lara, selama kita kat tempat orang, abang mesti sentiasa ingatkan Bella kan? Betul tak? Kenapa? Kenapa dulu abang pilih Lara? Kenapa bukan Bella?” soal Lara bertalu dengan perasaan sebak. Khairul diam membisu. Tidak menjawab, tidak pula menafikan. Lara pantas bangun dari kerusinya. Dia bergegas keluar dari bilik. Pintu bilik dihemaps kuat. Khairul mengeluh berat.

                                  *****

“Adam tak cari kau ke?” soal Marwah sambil menghulurkan selimut kepada gadis itu. Chinta menyambut dengan senyuman nipis.

“Malam ni dia tak balik rumah,” jawabnya sambil memandang langit malam.

Baby dah masuk dua bulan?” soal Marwah sambil memandang Chinta yang sedang selesa duduk di atas kerusi sambil memakai selimut. Chinta tersenyum mengangguk.

“Semalam kau beritahu aku yang kau nak balik Sabah. Jadi ke? Bila kau nak balik?” soal Marwah lagi.

“Tak tahu lagi. Aku tak beritahu Adam lagi pasal ni,” balas Chinta dengan nada perlahan.

“Kenapa?” soal Marwah dengan kening berkerut.

“Korang gaduh lagi?” tekanya. Chinta tergelak kecil.

“Tak lah. Cuma tak sempat lagi nak beritahu Adam. Tak baik tau. Aku dan Adam dah berbaik,” balasnya.

“Aku gurau aje lah. Jangan terasa ek,” kata Marwah sambil tergelak. Chinta hanya menjeling rakannya itu.

“Kau beritahu lah Adam. Mana tahu Adam nak ikut kau. Dia boleh ambil cuti nanti,” sambung Marwah separuh menasihati.

“Adam tak boleh ikut aku. Aku bukannya seorang aje isteri yang dia ada,” balas Chinta. Marwah tersengih.

“Aku lupa,” balasnya separuh mengusik.

“Kau memang sengaja nak kena kan aku,” kata Chinta dengan kening berkerut. Marwah mengambil tempat di sebelah wanita itu. Bahu Chinta dipeluk mesra.

“Sejak mengandung kawan aku ni semakin sensitif,” usiknya.

“Benci,” balas Chinta sengaja memuncungkan bibirnya. Marwah tergelak besar.

“Ishh, dah macam itik,” guraunya. Chinta akhirnya ikut tergelak.

“Aku dengar Nazri dah ada calon,” beritahu Marwah setelah kedua-duanya membisu agak lama.

“Calon isteri?” soal Chinta agak terkejut. Marwah mengangguk.

“Kau dengar daripada siapa? Kenapa aku tak tahu?” soal Chinta agak tidak berpuas hati.

“Dia yang beritahu. Semalam aku terserempak dengan dia,” jawab Marwah dengan senyuman nipis.

“Berita baik. Kau dan Nazri dah?” soal Chinta dengan senyuman lebar.

“Dah apa? Aku dah kata hari tu. Kalau mamat tu minta maaf sekali lagi, aku akan pertimbangkan,” balas Marwah yang mula faham maksud wanita itu. Chinta tergelak besar.

“Issh, tu pun nak happy sangat,” kata Marwah yang jelas tidak puas hati dengan reaksi rakannya itu.

“Aku cuma gembira. Nampaknya kawan-kawan aku dah bersatu semula,” balas Chinta dengan senyuman.

“So, siapa calon tu?” soal Chinta pula.

“Aku tak tahu. Dia tak beritahu pula. Tapi dia ada beritahu aku yang nak bawa calon dia tu jumpa kita. Bila tu tak pasti pula,” jawab Marwah.

“Why?” soal Chinta. Marwah hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

“Boleh tak kau jangan banyak tanya?” soal Marwah separuh meminta. Chinta tergelak semula.

“Baik lah. Aku nak tidur,” katanya sambil menarik selimut menutup seluruh tubuhnya kecuali kepala.

“Jangan nak cari pasal. Cepat masuk kat dalam. Aku nak jawab apa kat Adam kalau kau tiba-tiba jatuh sakit?” soal Marwah separuh mengarah. Chinta bangun perlahan.

“Susah sangat nak buat aku senang,” rungutnya sambil melangkah masuk ke dalam bilik. Marwah hanya tersenyum menggeleng.

Perangai macam budak-budak.

                                    *****

Rasya hanya memandang Lara yang sedang melangkah masuk ke dalam Cafe. Wajah wanita itu kelihatan muram. Langsung tidak ada seri. Dalam diam Rasya mengeluh perlahan.

“Bella tak ada,” beritahunya apabila Lara sudah berdiri di hadapannya.

“Aku datang bukan nak jumpa Bella. Aku lapar. Aku nak menu macam biasa,” balas Lara sebelum berlalu ke arah meja yang berhampiran dengan dinding kaca. Rasya hanya mengangguk sebelum memberitahu kepada pelayan akan pesanan wanita itu. Setelah berfikir sejenak, dia akhirnya memutuskan untuk menghampiri Lara. Rasya menarik kerusi di hadapan Lara.

“Kau okay?” soalnya agak simpati melihat wajah muram wanita itu. Lara membalas pandangan Rasya tanpa secebis senyuman.

“Kau dah tak marahkan aku?” soalnya dengan riak wajah serius. Rasya terkedu mendengar soalan wanita itu.

“Aku datang sini bukan nak minta simpati. Aku cuma rindu tempat ni. Kalau dulu aku tak buat hal dengan lelaki tu, mesti aku tak takut nak datang sini,” kata Lara sambil membuang pandang ke luar dinding cafe yang diperbuat daripada kaca. Rasya mengeluh perlahan.

“Kau menyesal?” soalnya separuh menyindir. Lara tersenyum sinis.

“Menyesal? Pernah terdetik dalam hati aku. Cuma kehadiran Kira bukan satu penyesalan bagi aku. Aku rela kehilangan semua yang aku ada. Tapi bukan Kira,” balasnya dengan perasaan sebak. Apabila mengingatkan semula anak perempuannya itu, dia mula ragu-ragu dengan keputusannya. Dia boleh saja kehilangan Khairul.

Tapi bagaimana dengan Kira?

“Aku akan kembali ke Greece dengan Kira,” sambungnya perlahan selepas pelayan meletakkan makanan yang dipesan. Tangannya perlahan mencapai sudu. Rasya agak terkejut mendengar kata-kata wanita itu.

“Aku minta maaf,” ucapnya perlahan. Lara membalas semula pandangan gadis itu.

“Aku tahu aku dah keterlaluan salahkan kau,” sambung Rasya dengan senyuman hambar.

“Memang aku yang bersalah. Kau tak perlu minta maaf,” balas Lara dengan riak wajah yang kosong. Dia tidak tahu harus gembira atau terharu dengan ucapan gadis itu. Hatinya sudah tawar.

“Macam mana dengan Khai?” soal Rasya apabil mereka terdiam seketika.

“Aku tak perlukan lelaki yang tak guna macam tu. Buat apa aku nak mengemis pada orang yang tak pernah hargai aku? Aku boleh aje hidup tanpa Khairul,” jawabnya dengan nada tegas.

“Tapi Kira…,”

“Dia akan faham. Aku akan pastikan dia tak lupa siapa Khairul,” pintas Lara dengan senyuman hambar. Rasya hanya memandang Lara tanpa berkata apa-apa lagi. Jika wanita itu sudah membuat keputusan, dia sudah tidak berhak untuk masuk campur.


Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.