Chinta mendengus geram melihat lelaki itu tenang bersandar pada keretanya.
“Hai,” sapa Nazri dengan senyuman.
“Kau ni memang tak faham bahasa,” balas Chinta dengan kening berkerut. Dia sudah tidak tahu bahasa apa lagi yang dia harus guna supaya lelaki di hadapannya itu faham.
“Hari ni saya datang bukan nak kacau awak. Saya datang untuk minta maaf,” kata Nazri dengan senyuman hambar. Chinta tersenyum sinis.
Kenapa? Dah insaf?
Soal hatinya geram.
“Saya minta maaf sebab dah tipu awak. Saya kahwin tak beritahu awak. Saya dah bodohkan awak. I’m really sorry Chinta,” ucap Nazri dengan perasaan bersalah. Dia bukannya pura-pura lupa dengan apa yang dia sudah lakukan pada gadis itu. Oleh kerana masih sayangkan Chinta, dia mengambil keputusan untuk memikat gadis itu semula dan cuba melupakan apa yang telah berlaku antara mereka. Dia tahu dia tidak sepatutnya berbuat sedemikian setelah dia menghancurkan hati gadis itu. Namun perasaan tidak mahu kehilangan gadis itu mendorongnya untuk tidak melepaskan Chinta.
“Okay. Saya maafkan awak. Tapi ingat Nazri. Jangan pernah ganggu hidup saya lagi. Antara kita dah tak ada apa-apa. Awak dah ada isteri dan anak. Jaga keluarga awak. Tak payah nak kejar saya lagi. Kita mulakan hidup baru,” balas Chinta dengan tegas.
“Cepat sangat awak buang saya dalam hati awak,” kata Nazri dengan suara agak sayu. Chinta tergelak kecil.
Nak muntah aku dengar!
“Bukan awak yang kahwin dulu? Siapa sebenarnya yang lupakan siapa ni?” soalnya sinis. Nazri terkedu. Dia mengangguk perlahan.
“Adam dah beritahu semuanya. Awak minta tolong dengan dia untuk sakitkan hati saya. Tapi saya datang hari ni bukan semata-mata kerana Adam. Saya datang minta maaf dengan ikhlas Chin. Saya harap lepas ni kita masih boleh berkawan,” katanya dengan riak wajah mengharap. Chinta terdiam sejenak.
Adam dah beritahu semuanya? Semuanya?
Chinta mengeluh perlahan.
“Mungkin, tapi saya tak janji. Sebab bila pandang muka awak aje hati saya dah sakit. So, awak kena bersabar ek,” balasnya separuh menyindir. Dia pantas berlalu sebelum lelaki itu sempat membalas. Nazri hanya tersenyum hambar memandang langkah gadis itu.
*****
“Syukur lah kalau dia maafkan Elis. Tak semua orang boleh memaafkan kita dalam tempoh yang singkat,” kata Datin Syahida dengan senyuman.
“Elis masih rasa bersalah. Elis tahu hati ibu Adam masih terluka dengan apa yang Elis dan yang lain lakukan pada Adam,” balas Delisya dengan senyuman hambar.
“Yang lain tu macam mana? Dah jumpa ibu Adam?” soal Datin Syahida.
“Tak pasti aunty. Elis pun dah lama tak berhubung dengan mereka. Sejak akhir-akhir ni Elis sibuk uruskan papa. Syukur papa menunjukkan perkembangan yang positif. Nasib baik Adam ada. Kehadiran Adam benar-benar buat saya bersyukur,” balas Delisya.
“Alhamdullillah. Semoga papa kamu cepat sembuh. Papa kamu tu dah jatuh sayang pada Adam. Aunty kenal Taufiq. Mesti dia dah tak sabar nak Adam jadi menantunya,” teka Datin Syahida sambil tergelak kecil. Delisya tersipu malu.
“Papa memang ada sentuh hal ni. Cuma saya tak pasti lagi macam mana nak menarik perhatian Adam. Susah nak teka apa sebenarnya yang ada dalam fikirannya. Saya dah hampir setahun kenal Adam. Tapi saya masih ragu-ragu. Sebab ada masa tu saya rasa Adam macam orang asing. Ada juga masa saya dapat rasakan seperti sudah bertahun lamanya saya kenal dia. Susah nak cakap,” beritahunya sambil mengeluh perlahan. Adam seperti lelaki misteri yang datang menghulurkan tangan ketika dia memerlukan seseorang. Pergi selepas membuatnya tidak tentu arah.
“Adam tu betul ke bujang? Memang tak kahwin lagi?” soal Datin Syahida ingin tahu. Terdiam Delisya mendengar soalan wanita itu. Mengapa dia tidak pernah terfikir akan hal itu? Delisya mengeluh lagi. Selama ini dia sibuk menjaga hatinya. Namun tidak pernah cuba mengenali Adam dengan lebih dekat lagi.
“Elis memang tak patut aunty. Selama ni Elis tak pernah cuba ambil tahu pun pasal dia. Elis cuma pentingkan diri sendiri,” balasnya dengan perasaan sebak.
“Tak boleh macam tu Elis. Kalau Elis dah serius dengan Adam, cuba ambil tahu pasal dia,” nasihatnya lembut. Delisya mengangguk perlahan.
Elis, kau dah kenapa?
*****
“Samuel ada datang jumpa papa. Dia minta maaf,” beritahu Datuk Taufiq sambil memandang wajah Delisya yang sedang memandu. Hari ini dia menemani Delisya melawat satu lagi butik yang baru siap dibina atas nama gadis itu. Dalam diam dia bangga dengan wanita itu. Delisya tidak pernah berputus asa walaupun telah melalui saat yang sukar dalam hidupnya. Malah wanita itu bangkit lebih kuat sebelum ini. Datuk Taufiq mengeluh perlahan. Apa yang berlaku ke atas wanita itu adalah kesilapan dirinya sendiri. Kesilapan yang dia akan ingat sampai mati.
“Papa tak suka dia minta maaf?” soal Delisya apabila perasan dengan keluhan orang tua itu.
“Tak tahu lah Elis. Biar lah masa yang menentukan,” jawab Datuk Taufiq perlahan. Delisya hanya mengangguk. Dia juga tidak mahu berkata lebih. Takut terguris hati papanya itu. Walaupun papanya berulang kali mengatakan semuanya adalah silap dirinya, namun dia tidak pernah menyalahkan papanya dengan apa yang telah berlaku. Mungkin sudah tertulis jodohnya dengan Samuel tidak panjang. Dia redha.
“Elis macam mana? Dah boleh maafkan Samuel?” soal Datuk Taufiq pula.
“Macam papa kata tadi. Biar lah masa yang menentukan. Elis tak nak komen buat masa ni,” balas Delisya dengan senyuman.
“Macam mana dengan Adam?” tanya Datuk Taufiq pula.
“Adam? Kenapa?” soal Delisya semula kurang faham dengan maksud papanya.
“Papa ada bincang dengan Adam pasal kamu berdua. Adam ada beritahu Elis?” soal Datuk Taufiq semula. Berkerut kening Delisya mendengar soalan orang tua itu.
“Pasal kami? Tak ada pula Adam beritahu Elis,” jawabnya agak berdebar.
“Papa nak Adam hantar rombongan meminang Elis. Kalau boleh dalam masa terdekat ni,” beritahu Datuk Taufiq. Terkedu Delisya mendengar kata-kata papanya itu.
“Adam jawab apa?” soalnya semakin berdebar.
“Kalau Elis sayangkan Adam, papa nak Elis kena berusaha ambil hati Adam. Dia lelaki baik Elis. Papa nak dia jadi menantu papa,” balas Datuk Taufiq tanpa menjawab soalan gadis itu. Dia tidak mahu gadis itu berputus asa sekiranya mendengar jawapan mengenai penerimaan Adam. Kalau boleh biar gadis itu mendengar sendiri daripada mulut Adam, bukan dirinya. Delisya menarik nafas dalam. Dia dapat agak jawapan yang cuba disembunyikan oleh papanya itu. Memang Adam akan menolak.
*****
“Adam, aku nak tanya kau ni. Betul ke antara mereka tak ada seorang pun yang masuk ke dalam tu?” tanya Farah sambil menunjuk ke arah dada lelaki itu. Adam berdehem perlahan. Dia meletakkan sudu di tangannya.
“Farah please,” katanya perlahan.
“Aku dah lama kenal kau Adam. Sejak arwah Sara masih ada lagi. Aku sebagai kawan kau, nak kau bahagia. Allah lebih sayangkan arwah. Kita kena redha,” nasihat Farah bercampur sebak apabila mengingat semula arwah Qaisara yang juga teman baiknya.
“Sara tak ada kena mengena dalam hal ni. Tolong jangan libatkan dia,” balas Adam dengan kening berkerut. Farah tersenyum sinis.
“Kau ingat aku tak tahu? Kau masih tak boleh lupakan arwah, Adam. Sebab tu kau susah sangat nak buka hati tu. Aku bukan halang kau lupakan arwah. Aku cuma nak kau buka hati tu untuk orang lain. Kau kena mulakan hidup baru Adam. Selama ni aku diam aje. Sebab aku faham perasaan kau pada arwah. Tapi aku rasa dah cukup Adam. Aku yakin arwah pun tak nak kau hidup macam ni,” nasihat Farah panjang lebar. Adam mengeluh perlahan.
“Hidup macam mana maksud kau? Aku bahagia aje hidup macam ni. Aku tak kacau orang. Orang yang kacau aku,” balasnya yang tidak berpuas hati dengan kata-kata teman baiknya itu. Farah menggeleng perlahan.
“Suka hati kau lah. Malas aku nak cakap,” katanya sebelum bangun dari kerusi lantas berlalu membawa makanan tengah harinya yang tidak berusik. Seleranya sudah hilang disebabkan kedegilan lelaki itu. Adam mengeluh lagi. Dia meraup wajahnya perlahan.
*****
Berkerut kening Puan Hasna menerima kedatangan gadis itu. Dalam suka ada geram yang terselit.
“Duduk lah,” jemputnya sambil turut duduk di atas sofa.
“Terima kasih aunty. Maaf Chinta tiba-tiba datang tak beritahu,” balas Chinta sambil mengambil tempat di hadapan wanita itu.
“Tak apa. Cari Adam ke?” soal Puan Hasna tanpa senyuman.
“Tak aunty. Hari ni memang niat nak jumpa aunty,” balas Chinta yang agak berdebar dengan wajah serius wanita itu.
“Kenapa? Nak beritahu yang kamu pun gunakan Adam?” soal Puan Hasna dengan senyuman sinis. Chinta terkedu.
“Aunty tahu. Elis dah beritahu semuanya pada aunty,” sambung Puan Hasna dengan kening berkerut.
“Tapi aunty masih tak tahu apa sebabnya. Kenapa? Suami kamu pun dera kamu ke?” soalnya lagi separuh menyindir. Chinta tunduk memandang jari jemarinya. Perasaan bersalah seperti menyengat dirinya. Puan Hasna mengeluh perlahan. Dia benar-benar tidak faham. Kenapa mesti Adam yang dipilih oleh gadis -gadis itu? Dia sekarang bukan menonton drama melayu TV3. Ini adalah realiti yang menimpa anaknya sendiri. Dia sangat kecewa namun jauh di sudut hati ada pula terselit rasa teruja.
Teruja nak menantu lah tu.
Sindir hati kecilnya sendiri. Puan Hasna berdehem perlahan.
“Saya minta maaf aunty. Memang dalam hal ni saya yang bersalah. Tapi perkataan guna tu terlalu kasar. Saya minta tolong dengan Adam. Memang pada mulanya dia tak setuju. Tapi saya yang paksa Adam,” beritahu Chinta dengan perasaan sebak. Inilah akibatnya bila dia terlalu ikutkan kata hati.
Menyesal aku tak dengar kau dulu Wa. Malunya aku.
Bisik hati kecil Chinta penuh kesal.
“Minta tolong? Kalau betul kamu ni kawan Adam, kenapa aunty tak pernah kenal kamu sebelum ni. Macam mana dengan beraninya kamu nak minta tolong Adam? Aunty tahu anak aunty tu terlalu baik. Sebab dia baik lah kamu nak ambil kesempatan. Betul tak?” marah Puan Hasna. Tuan Izan yang baru sampai agak terkejut mendengar suara kasar isterinya itu. Chinta menggeleng perlahan.
“Betul aunty. Adam tak kenal saya. Saya juga tak kenal Adam masa tu. Saya cuma tahu dia seorang doktor yang telah merawat saya. Tapi cara Adam layan saya buat saya rasa dah lama kenal Adam. Sebab tu saya berani nak minta tolong Adam. Aunty tanya tadi sebab apa kan? Saya cuma minta tolong Adam buat bekas kekasih saya sakit hati,” beritahu Chinta dengan perasaan malu. Kalau lah ada baldi kosong di depannya sudah lama dia sumbatkan kepalanya ke dalam baldi tersebut.
Padan muka kau Chinta!
Kutuknya dalam hati.
“So, sekarang kamu nak buat apa? Tak nak tinggalkan Adam? Nak minta tolong sampai bila?” soal Puan Hasna masih tidak berpuas hati.
“Saya sayang Adam, aunty. Saya tak boleh lepaskan dia,” balas Chinta kini membalas pandangan wanita itu. Nada suaranya kedengaran tegas seperti sedang memarahi anak muridnya sendiri. Dia sendiri tidak sedar dari mana kekuatan itu datang. Puan Hasna terkedu. Tuan Izan berdehem perlahan. Dia melangkah menghampiri kedua-duanya. Tempat di sebelah Puan Hasna menjadi pilihannya.
“Kamu nak kahwin dengan Adam?” soalnya tanpa bertapis lagi. Senyuman lebar terukir di bibir Chinta.
“Ya Uncle. Saya nak kahwin dengan Adam,” jawab Chinta dengan tegas. Tergamam Puan Hasna memandang gadis itu. Tuan Izan tergelak kecil. Dia tidak menyangka gadis yang berwajah lembut itu tegas juga orangnya.
“Uncle setuju. Nanti kamu bincang dulu hal ni dengan Adam. Uncle dan aunty tak ada masalah,” balas Tuan Izan dengan senyuman. Dia memang tidak ada masalah jika betul gadis di depannya itu akan jadi menantunya.
“Abang,” panggil Puan Hasna dengan kening berkerut. Chinta menarik nafas lega. Namun hatinya agak bimbang melihat reaksi Puan Hasna.
“Sebenarnya, Adam…,” kata Chinta sebelum berhenti sejenak. Terangkat kening Puan Hasna memandang gadis itu.
“Kenapa dengan Adam?” soal Tuan Izan agak risau.
“Saya tak pasti dengan Adam, uncle. Adam mungkin tak rasa apa yang saya rasakan,” kata Chinta kini dengan nada sayu. Puan Hasna mengeluh lagi.
“Saya dah agak dah,” katanya perlahan namun jelas di telinga Chinta. Agak lama dia merenung wajah wanita itu.
Apa yang aunty agak?
Soalnya namun hanya dalam hati.
“Tak apa Chinta. Kamu dan Adam selesaikan baik-baik hal ni ek,” nasihat Tuan Izan dengan tenang.
“Chinta jangan balik dulu. Makan malam kat sini,” ajak Puan Hasna kini dengan senyuman. Chinta terkedu melihat reaksi wanita itu.
Sebenarnya aunty marah ke tak ni?
Soal hatinya yang hairan dengan sikap wanita itu yang berubah-ubah.
Wait, makan malam? Maknanya dengan Adam sekali?
“Okay aunty,” balas Chinta dengan senyuman lebar.
*****
Adam hanya mengikut langkah gadis itu dari belakang. Sampai di hadapan keretanya, Chinta berhenti melangkah. Dia berpaling memandang lelaki itu.
“Maaf kalau awak terkejut saya ada kat sini,” ucapnya. Dia masih teringat wajah terkejut lelaki itu saat melihatnya sibuk membantu Puan Hasna menyiapkan makan malam. Semasa makan, lelaki itu lebih banyak mendiamkan diri.
“Tak apa awak. Saya tak pernah larang awak datang rumah saya,” balas Adam dengan senyuman.
“Sebenarnya saya datang nak melawat mama awak aje. Tapi tak sangka pula aunty ajak sekali makan malam,” kata Chinta. Dia lega melihat senyuman lelaki itu. Adam mengangguk tanda faham.
“Mama awak dah tahu pasal kita. Dia dah tahu yang saya minta tolong kat awak. Saya tak salahkan mama awak yang marahkan saya. Mungkin mama awak betul Adam. Dalam tak sedar saya gunakan awak. Walaupun saya kata nak minta tolong, tapi tanpa saya sedar saya dah pergunakan awak. Awak berhak salahkan saya dalam hal ni. Saya memang bersalah. Maafkan saya Adam,” ucap Chinta dengan perasaan bersalah. Dia sedar selama ini dia sudah mempergunakan lelaki itu. Namun kerana keegoan, hatinya berkeras ingin menafikan kesilapan diri sendiri. Adam menarik nafas dalam. Lidahnya kelu untuk membalas.
“Semalam Nazri datang jumpa saya. Dia dah beritahu semuanya. Masalah saya dah selesai. Awak pun dah tak susah hati nak tolong saya. Tapi, kenapa…, saya rasa kecewa pula? Kenapa saya perlu rasa sedih bila awak tak jadi boyfriend olok-olok saya?” soal Chinta dengan kening berkerut.
“Chinta,” panggil Adam dengan suara perlahan.
“Saya tak kisah berapa kali saya nak beritahu awak. Saya sayangkan awak Adam. Saya nak kahwin dengan awak,” kata Chinta dengan nada tegas.
“Chin…”
“Kenapa? Awak dah ada insan istimewa? Tapi kalau memang ada, kenapa saya tak pernah nampak orang tu dengan awak? Dah hampir setahun kita kenal Adam,” pintas Chinta dengan perasaan sebak. Dia sedih kerana takut memikirkan tekaannya menjadi kenyataan.
“I’m sorry,” ucap Adam dengan suara perlahan. Cuma itu yang terlintas di fikirannya saat ini. Chinta mengangguk sebelum membuka dengan kasar pintu keretanya. Dia masuk lantas menutup pintu kereta dengan kuat. Tanpa sepatah kata dia terus memecut keretanya meninggalkan halaman rumah lelaki itu. Adam mengeluh lagi.
*****
“Papa kau tak setuju?” soal Rasya dengan kening berkerut. Bella mengangguk perlahan.
“Memang lah dia tak setuju. Kau baru aje putus tunang dengan Khai,” balas Rasya tenang.
“Baru aje? Setahun tu dah lama Ras. Aku dah lupa pun pasal lelaki tu. Kau ni sengaja nak sakitkan hati aku,” jawab Bella mula geram. Rasya tersengih memandang gadis itu.
“Sorry. Aku lupa dah setahun,” balasnya sambil tergelak kecil.
“So, kau nak buat apa sekarang?” soal Rasya apabila melihat gadis itu hanya membisu. Wajahnya kelihatan tidak bermaya.
“Tak tahu lah. Adam jelas menolak aku. Sekarang papa pula tak setuju,” jawab Bella sambil mengeluh perlahan.
“Kenapa Adam tak setuju? Setahu aku dia tak ada girlfriend. Bila datang kat sini pun selalunya berdua dengan kawan lelakinya. Pernah juga dia datang dengan kawan kau tu. Entah aku dah lupa namanya,” beritahu Rasya.
“Kawan mana pula ni?” soal Bella agak kebingungan.
“Aku mana ada kawan selain kau dan Adam,” sambungnya lagi.
“Haih, perempuan yang kau tegur hari tu bukan kawan kau ke?” soal Rasya kembali.
“Siapa? Elis? Chinta?” soal Bella bertalu. Rasya tergelak besar.
“Kau ni dah parah tau tak. Itu lah kot. Dah kau sebut nama. Takkan tak kenal?” balas Rasya separuh memerli. Bella menggigit bibir.
Aku hempuk juga minah seorang ni.
“Berbalik pada soalan aku tadi. Kenapa Adam tak setuju? Sebab kawan kau tu ke? Kalau ya, yang mana satu teman wanita Adam?” soal Rasya bertalu.
“Kau ni boleh tak bagi aku bernafas dulu. Tak ada siapa lah antara dua orang minah tu. Papa beritahu aku yang Adam pernah bertunang sebelum ni. Kau rasa dia masih tak move on ke? Yelah, aku kenal Adam dah setahun lebih. Yang aku perasan dia tak pernah berkepit dengan perempuan lain selain aku, Elis dan Chinta,” soal Bella agak risau. Dia risau mengenangkan gadis hebat yang membuat lelaki itu masih sendiri sampai saat ini.
“Sakit kepala aku fikirkan korang berempat,” kata Rasya sambil menggeleng perlahan. Bella tergelak kecil.
“Kau tak jawab soalan aku lagi,” katanya.
“Mungkin. Kau sendiri nampak Adam tak kahwin lagi,” jawab Rasya. Bella mengeluh perlahan mendengar jawapan gadis itu.