“Kau okay?” soal Rasya sambil memandang tepat wajah sahabatnya itu. Bella hanya tersenyum sambil mengangguk.
“Aku okay. Kau jangan risau lah,” balasnya cuba mengurangkan kebimbangan gadis itu. Rasya menarik nafas lega.
“Tak sangka pula mamat tu mengaku juga akhirnya. Kau ada bagi dia tak?” soal Rasya lagi.
“Bagi apa?” tanya Bella kurang faham dengan maksud gadis itu.
“Bagi penumbuk,” jawab Rasya dengan riak wajah yang serius. Bella tergelak kecil.
“Aku lupa,” balasnya.
“Kau ni. Kalau aku kat tempat kau dah lama aku bantai mamat tu. Aku tak kisah kalau perempuan lain dia nak main cinta. Ni dah macam tak ada perempuan lain kat dunia ni. Nak bercinta juga dengan si Lara tu!” Rasya mendengus geram. Bella hanya tersenyum hambar mendengar kata-kata gadis itu.
“Tak apa Ras. Perkara dah lepas. Apa yang penting sekarang ni aku nak mulakan hidup baru,” balasnya dengan nada perlahan.
“Dengan siapa? Doktor tu ke?” soal Rasya separuh mengusik. Bella tersenyum.
Adam…,
“Kau biar betul?” soal Rasya semula. Dia kurang percaya melihat senyuman gadis itu.
Biar betul kawan aku ni.
“Kau tak suka aku kawan dengan Adam?” soal Bella pula. Dia sengaja menunjukkan riak wajah yang sedih.
“Bukan macam tu. Tapi bukan ke doktor tu dah ada kekasih? Hari tu dia datang kat sini dengan seorang perempuan. Nampak agak mesra. Aku yakin tu mesti kekasih Adam,” beritahu Rasya separuh meneka. Bella tersenyum.
“Tak apa. Bukannya dah kahwin,” balasnya selamba. Bulat mata Rasya memandang gadis itu.
Seriously?
*****
Chinta mengeluh perlahan. Hanya pandangannya yang terarah pada skrin laptop. Fikirannya melayang jauh teringat semula pertemuan Delisya dan Adam.
“Apa pula kali ni?” soal Marwah yang sedang duduk di atas sofa sambil memandang gadis itu yang duduk tidak jauh darinya. Dia dapat mendengar dengan jelas keluhan gadis itu. Chinta berpaling memandang Marwah.
“Aku rindu,” katanya perlahan. Marwah menutup buku di tangannya.
“Rindu siapa? Adam?” soalnya kini menumpukan sepenuh perhatiannya kepada gadis itu. Chinta hanya tersenyum hambar tanpa menjawab soalan sahabatnya itu.
“Kalau rindu pergi lah jumpa dia. Kalau kau terserempak dengan Nazri, kau buat bodoh aje,” cadang Marwah.
“Sekarang ni aku lebih risaukan Elis dan Bella. Hari tu, aku ternampak Elis datang jumpa Adam kat hospital. Aku mula rasa tak tenang. Entah lah,” balas Chinta sambil mengeluh lagi. Marwah bangun dari sofa lalu menghampiri gadis itu. Dia menyentuh kedua belah bahu Chinta.
“Rasa tak selamat?” soalnya. Chinta mengangguk perlahan.
“So, lupakan Adam. Belum terlambat untuk berundur semula. Lagipun kau baru aje kenal Adam. Pilihan ada di tangan kau. Kau hanya perlu memilih Chin,” nasihatnya lembut. Chinta menggelengkan kepalanya.
“Mungkin dah terlambat. Aku dah mula sayangkan Adam. Aku tak nak kehilangan dia,” balasnya dengan nada perlahan. Giliran Marwah pula yang mengeluh. Dia melangkah perlahan menuju ke arah balkoni bilik mereka.
“Kalau hati kau dah melekat kat Adam, aku dah tak boleh buat apa. Kes kau ni lain sikit. Jarang berlaku. Aku cuma nasihatkan kau kena kuat. Dua lawan satu. Aku takut kau akan kalah nanti,” katanya sengaja menakutkan gadis itu. Chinta tergelak kecil.
“Thank you Wa,” ucapnya. Marwah berpaling memandang gadis itu semula. Dia hanya mengangguk. Dalam diam dia mengeluh lagi.
*****
Adam menggenggam erat telefon bimbitnya.
Macam mana kau boleh lupa Adam?
“Adam?” panggil Bella apabila lelaki itu hanya membisu.
“Saya hampir lupa pasal tu. Insya Allah esok malam saya datang. Papa awak dah tahu ke?” soal Adam sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bella tersenyum.
“Papa dah tahu. Dia memang nak jumpa awak,” beritahunya.
“Okay,” jawab Adam dengan nada perlahan. Dia sebenanrnya agak berdebar hendak bertemu dengan ayah gadis itu.
Kenapa dengan aku ni? Takut macam nak jumpa bakal mentua pula.
“Awak jangan risau. Bakal papa mentua awak baik orangnya,” kata Bella separuh mengusik. Adam terkedu.
Dia ni macam tau aje apa yang aku sedang fikir.
Adam berdehem perlahan.
“Esok kita jumpa. Assalamualaikum,” ucapnya sebelum menekan punat merah. Bella menjawab salam dalam hati. Senyuman tidak lekang di bibirnya.
Adam, kali ni saya terpaksa tipu awak. Sebab, awak dah curi hati saya.
*****
“Adam, uncle bukannya tak suka kamu. I know you baik orangnya. Tapi buat masa ni, uncle tak benarkan dulu Bella berkawan serius dengan mana-mana lelaki. Uncle masih trauma,” kata Datuk Ridhuan sambil menarik nafas dalam. Adam terdiam mendengar kata-kata orang tua itu.
“Bella baru aje putus tunang. Tunang dia tu dah malukan anak uncle. Sukar untuk uncle terima bila dah melibatkan maruah keluarga uncle,” sambung Datuk Ridhuan perlahan.
“So, Bella memang tak jadi kahwin dengan Khairul?” soal Adam agak keliru. Jika dia tidak silap, Bella ada memberitahunya yang Datuk Ridhuan ingin Bella berkahwin dengan bekas tunangnya. Semuanya disebabkan Khairul yang telah memfitnah Bella dengan mengatakan dia terlanjur dengan gadis itu.
“Lelaki tu tak layak untuk jadi suami Bella. Apatah lagi nak jadi salah satu daripada keluarga uncle. Uncle menyesal Adam. Kalau lah uncle tak izinkan Bella berkawan dengan lelaki tu, mesti Bella tak jadi mangsa,” jawab Datuk Ridhuan dengan perasaan sebak.
“I’m sorry uncle,” ucap Adam perlahan. Datuk Ridhuan memandang wajah pemuda itu. Baru sekali bertemu dia sudah rasa selesa dengan lelaki itu. Dia dapat merasakan lelaki di depannya itu seorang yang jujur. Melihat tingkah laku Adam yang sangat sopan sedikit sebanyak menambat hatinya.
“Kenapa pula nak minta maaf?” soalnya dengan kening berkerut.
“Saya sepatutnya tak datang jumpa uncle. Masa ni bukannya masa yang sesuai untuk saya perkenalkan diri. I’m sorry,” jawab Adam dengan perasaan bersalah. Datuk Ridhuan menggeleng sambil tersenyum.
“Tak apa Adam. Saya tak kisah Adam berkawan dengan Bella. Saya cuma kisah kalau hubungan tu lebih daripada seorang kawan. Saya memang tak benarkan. Bella masih terluka. Uncle sendiri pun masih trauma. Uncle harap Adam faham,” balas Datuk Ridhuan dengan senyuman hambar. Adam mengangguk faham. Dalam diam dia melepaskan keluhan berat.
*****
“Papa cakap apa?” tanya Bella tidak sabar. Dia sedang menemani Adam menuju ke arah keretanya. Adam berhenti melangkah. Dia berpaling memandang gadis itu.
“Saya dah buat keputusan. Saya tak jadi tolong awak,” kata Adam tanpa senyuman.
“What? Tapi kenapa?” soal Bella dengan kening berkerut. Adam menarik nafas dalam. Bella ni memang tak tahu atau buat-buat tak tahu?
“Papa awak tak jadi kahwinkan awak dengan Khai. Masalah awak dah selesai. Saya dah tak perlu tolong awak,” jawab Adam dengan nada agak tegas. Bella terkedu.
“Tapi…,”
“Tapi apa Bella? Look, saya setuju nak tolong awak sebab saya simpati dengan awak. Sekarang ni masalah awak dah selesai. Awak tak perlu takut lagi kena kahwin paksa or whatever. Papa awak dah ceritakan semuanya pasal awak dan Khai. Tak mungkin Khai akan berani kacau awak lagi,” pintas Adam. Dia mendengus perlahan sebelum membuka pintu keretanya dengan kasar. Tanpa mengucap selamat tinggal Adam terus memecut keretanya. Terkebil-kebil Bella memandang kereta lelaki itu berlalu.
Adam…,
*****
Chinta menarik kerusi sambil mengeluh perlahan.
“Tak sangka jumpa awak kat sini,” tegur satu suara. Chinta menoleh. Bella tersenyum sambil menarik kerusi di hadapan gadis itu.
“Kau buat apa kat sini?” soal Chinta agak geram melihat gadis itu.
“This is my cafe,” beritahu Bella dengan senyuman sinis. Terangkat kening Chinta mendengar kata-kata gadis itu.
Kalau aku tahu dari awal. Sumpah aku tak masuk!
“Nak order apa?” tanya Bella apabila melihat gadis itu hanya membisu.
“Hilang selera,” balas Chinta tanpa senyuman. Bella tergelak kecil.
“Sorry kalau aku buat kau hilang selera. Kau dari mana? Jumpa Adam?” soal Bella separuh meneka. Chinta mengeluh perlahan. Sepatutnya hari ini dia akan bertemu dengan Adam. Namun dia diberitahu yang lelaki itu tidak datang kerja pada hari itu pula. Dia risau.
Adam sakit ke? Panggilan aku pun dia tak jawab.
Terangkat kening Bella memandang wajah muram gadis itu. Mengeluh tak sudah.
“Kau okay ke?” soalnya semula. Risau pula dia melihat gadis itu.
“Adam ada call kau?” soal Chinta tanpa menjawab soalan gadis itu. Bella menggeleng perlahan. Mana mungkin Adam akan menghubunginya dalam masa terdekat ini. Dia tahu lelaki itu masih kecil hati dengannya. Dia juga tidak berani hendak menghubungi lelaki itu buat masa ini.
“Tak ada. Hari ni dah masuk tiga hari aku tak berhubung dengan Adam,” beritahu Bella. Tanpa sedar dia turut mengeluh.
“Dia sakit ke? Aku call pun dia tak jawab,” soal Chinta semula.
“Aku tak tahu lah. Aku pun risau juga,” balas Bella dengan nada agak keras. Berkerut kening Chinta memandang gadis itu.
“Tak payah lah nak marah aku. Aku tanya aje,” katanya perlahan.
“Sorry. Aku tak berniat,” ucap Bella agak rasa bersalah.
“Aku nak tanya ni. Kau dan Adam memang kawan ke? Maksud aku, korang…,” Bella berhenti sejenak. Dia berfikir apa ayat yang sesuai untuk ditanyakan kepada gadis itu.
“What?” soal Chinta agak berdebar dengan soalan gadis itu.
“Kau betul sayangkan Adam? Malam tu kau sendiri beritahu yang kau cuma pinjam Adam. Maksud aku…,” Bella menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Aduh! Macam mana aku nak tanya ek?
Chinta menarik nafas dalam. Dia faham apa yang cuba disampaikan oleh gadis itu.
“Aku memang gunakan Adam. Tapi kau tak boleh salahkan aku seorang. Kau pun sama gunakan dia kan? Sama juga dengan Elis. Kita semua gunakan dia. Kau jangan salahkan aku seorang,” balasnya dengan perasaan geram.
“No. Kau salah faham. Aku tak kata pun kau gunakan Adam. Aku cuma nak tanya kau, betul ke kau cuma anggap Adam tu sebagai kawan? Macam kau cakap tadi. Sekadar nak gunakan dia? Atau, kau memang sayangkan Adam?” soal Bella dengan perasaan berdebar. Chinta menggeleng perlahan.
Aku siku juga minah ni. Putar belit.
“Kau tak nak ambil order aku ke?” soalnya sengaja mengelak untuk menjawab soalan gadis itu. Bella mendengus perlahan.
“Nak apa?” tanyanya geram.
“Jus oren,” jawab Chinta kini dengan senyuman. Bella bangun dari kerusi lantas terus berlalu.
Saja nak mengelak soalan aku lah tu.
Bisiknya geram.
*****
“Elis jangan risau sangat. Papa okay. Lagipun Adam boleh tolong tengokkan papa,” kata Datuk Taufiq sambil memandang Delisya yang sedang menuangkan kopi ke dalam cawannya.
“Pa, boleh tak jangan takutkan Elis lagi? Papa kalau nak minta sesuatu dengan Elis tolong jangan gunakan alasan sakit tu. Elis takut tau tak,” balas Delisya dengan nada agak tegas. Geram dia dengan sikap papanya itu. Bertindak seperti orang yang tidak berilmu. Datuk Taufiq tersengih memandang gadis itu.
“Sorry. Papa cuma bergurau,” katanya dengan perasaan bersalah.
“Seriously? Papa, tak lawak okay. Kalau papa buat lagi. Biar Elis keluar dari rumah ni,” balas Delisya separuh mengugut.
“Jangan lah cakap macam tu. Papa minta maaf. Memang salah papa. Sebab nak sangat kejar harta sanggup kahwinkan Elis dengan lelaki tak guna tu. I’m really sorry. Papa dah hancurkan hidup Elis,” ucap Datuk Taufiq dengan perasaan sebak. Hanya tuhan yang tahu bagaimana perasaannya bila tahu Samuel mendera anak kesayangannya itu. Maafkan papa, Elis.
Delisya menarik nafas dalam. Sejujurnya dia memang kecewa dengan orang tua itu. Namun apalah haknya untuk memarahi orang tua yang berkongsi darah yang sama dengannya.
“Pa, sorry. Elis tak bermaksud nak sakitkan hati papa. Elis cuma takut. Papa bergurau tak kena tempat. Kalau gurauan papa tu betul, Elis macam mana? Siapa nak jaga Elis? Siapa nak lindungi Elis lepas ni? That’s why, Elis tak suka papa bergurau macam tu,” katanya sayu.
“Adam boleh lindungi Elis. Kali ni papa yakin dengan pilihan papa. Elis kena kahwin dengan Adam. Papa takut Samuel nak apa-apakan Elis. Kalau ada Adam, papa tenang sikit sebab ada orang tolong jaga Elis,” balas Datuk Taufiq dengan senyuman. Delisya terkedu.
“Papa suka Adam?” soalnya perlahan bercampur segan. Datuk Taufiq tersenyum lebar sambil mengangguk. Delisya ikut tersenyum.
“Adam tu lain pa. Risau juga Elis dibuatnya. Dia mudah simpati dengan orang,” katanya agak risau.
“Memang lah dah namanya doktor,” balas Datuk Taufiq. Delisya terdiam mendengar kata-kata papanya itu.
Mungkin juga.
*****
“Sorry awak. Tadi Ekram ada call saya beritahu yang awak ada datang hospital. Hari ni memang saya tak kerja. Tak sihat,” beritahu Adam dengan suara perlahan.
“It’s okay. Awak dah minum ubat?” tanya Chinta agak risau.
“Ya. Sekarang dah okay. Awak jangan risau,” jawab Adam dengan senyuman hambar. Dia mendongak memandang langit. Tidak banyak bintang yang kelihatan malam itu.
“Adam,” panggil Chinta perlahan. Adam diam tidak menjawab. Tangannya masih erat menggenggam telefon.
“Hari pertama saya kenal awak masa kat hospital, saya dah tahu saya boleh harapkan awak. Saya percayakan awak. Saya harap awak pun boleh percayakan saya. Kalau awak nak berkongsi apa-apa dengan saya, saya boleh jadi pendengar yang baik untuk awak,” sambung Chinta dengan nada lembut. Adam menarik nafas dalam.
“I’m okay Chinta,” katanya perlahan.
“Tak. Awak tak okay. Awak fikir saya tak faham perasaan awak? Awak tertekan Adam. Awak tertekan disebabkan kami. Saya minta maaf. Malam tu selepas balik dari rumah awak, saya tak dapat tidur. Sepatutnya saya tak minta tolong awak,” balas Chinta dengan perasaan bersalah. Adam terdiam. Kelu lidahnya untuk membalas.
“Memang saya berniat nak berundur sejak tahu ada lagi wanita lain yang memerlukan bantuan awak. Tapi…, sa…saya tak tahu kenapa. Hati saya tak nak. Saya perlukan awak,” sambung Chinta dengan suara yang tersekat-sekat. Adam agak berdebar mendengar kata-kata gadis itu.
“Apa maksud awak?” soalnya dengan nada perlahan. Chinta menggigit bibir. Dia pantas menekan punat merah. Dia kalut sejenak. Adam merenung telefonnya dengan perasaan berbaur.
*****
Datuk Ridhuan mendengus geram melihat lelaki itu yang sedang berjalan perlahan menghampirinya.
“Apa khabar uncle?” tanya Khairul sambil menghulurkan tangan. Datuk Ridhuan hanya memandang huluran tersebut tanpa berhasrat untuk menyambutnya. Khairul menarik semula tangannya. Dia duduk berdepan dengan orang tua itu. Memang dia tidak salahkan Datuk Ridhuan yang melayannnya sedemikian. Kalau dia di tempat orang tua itu, sudah pasti dia juga mengambil masa untuk menerima apa yang telah berlaku.
“Kenapa nak sangat jumpa uncle?” soal Datuk Ridhuan tanpa senyuman. Khairul tersenyum lega. Sekurang-kurangnya orang tua itu masih sudi membahasakan dirinya seperti dulu.
“Khai datang nak beritahu uncle yang esok Khai akan ke Greece. Mungkin duduk kat sana beberapa tahun. Ajal maut kita tak tau. Khai nak minta maaf sekali lagi dengan uncle sekeluarga. Khai dah tak sanggup nak jumpa Bella. Khai malu uncle,” ucap Khairul dengan senyuman hambar.
“Kau jangan berharap sangat Khai. Uncle dan Bella perlukan masa. Apa yang kau dah buat pada keluarga uncle bukannya mudah untuk kami nak lupakan macam tu aje,” balas Datuk Ridhuan dengan nada agak keras. Senangnya manusia menuturkan kata maaf. Sama seperti melakukan kesilapan.
“Khai tahu uncle. Khai tak kisah berapa lama uncle ambil masa untuk maafkan Khai. Khai cuma harap uncle sekeluarga dapat maafkan Khai. Khai takut kalau ada apa-apa berlaku dengan Khai, tak sempat nanti Khai nak minta maaf dengan uncle sekeluarga,” balas Khairul dengan perasaan sebak. Hanya Allah yang tahu betapa dia sangat rasa bersalah pada keluarga itu. Datuk Ridhuan menarik nafas dalam.
“Hati-hati di tempat orang,” katanya sebelum bangun lantas berlalu. Dia akui tidak menyukai lelaki itu pada awalnya. Namun sejak mengenali lelaki itu dua tahun yang lalu, sedikit sebanyak dia meletakkan kepercayaan kepada Khairul. Namun apa yang telah dilakukan oleh lelaki itu menyebabkan dia hilang rasa percaya padanya. Khairul mengangguk perlahan sambil memandang langkah orang tua itu berlalu.
Terima kasih, uncle.