Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 5


Adam menutup pintu bilik pejabatnya sambil memandang gadis yang sedang berdiri membelakanginya.

“Awak ni memang doktor yang hebat. Dulu saya pun teringin nak jadi doktor. Tapi malangnya otak saya ni jenis yang lembab sikit. Memang tak sesuai lah,” tegur Chinta yang sedang berdiri di hadapan sebuah rak sederhana besar sambil memerhati foto-foto Adam yang sedang menerima anugerah.

“Awak tak sihat lagi?” soal Adam dengan senyuman pahit.

“Semalam rasa macam nak demam. Sebab tu saya datang jumpa awak hari ni,” jawab Chinta tanpa memandang Adam. Dia leka melihat foto-foto lelaki itu. Adam terdiam mendengar jawapan gadis itu.

Rasa?

“Kalau macam tu, awak…,”

“Tapi bila dah sampai sini tiba-tiba rasa dah sihat semula,” pintas Chinta sambil mula berpaling memandang Adam.

“Awak sibuk ke? Saya ganggu awak?” soalnya sambil berjalan menghampiri lelaki itu. Adam mengeluh perlahan.

“Boleh saya bantu?” tanyanya pula. Wajah gadis itu direnung tajam. Chinta terdiam sejenak.

“Awak dah kahwin?” soal Chinta tanpa menjawab pertanyaan lelaki itu. Adam terkedu.

“Belum lagi? Ada girlfriend?” soal Chinta lagi tanpa sempat Adam menjawab. Adam hanya memandang gadis itu tanpa berkata apa-apa. Chinta berdehem perlahan.

“Saya minta maaf pasal hari tu,” ucapnya perlahan sambil menundukkan wajahnya. Terangkat kening Adam memandang gadis itu.

“Pasal apa?” soalnya kurang faham dengan maksud Chinta.

“Masa mula-mula masuk kat sini. Saya ada ajak awak kahwin. Ingat tak?” soalnya dengan senyuman nakal. Adam berdehem perlahan.

Mesti lah aku ingat! Seram!

“Sebenarnya saya serius awak. Saya nak kahwin dengan awak,” kata Chinta kini dengan wajah seriusnya. Sekali lagi Adam terkedu.

“Tapi bukan lah sekarang. Saya pun nak kenal awak juga. Maksud saya, kenal dengan lebih dekat,” sambung Chinta mula tersenyum.

“Saya Chinta,” katanya sambil menghulurkan tangan. Adam menarik nafas dalam.

“Minta maaf Cik Chinta. Awak kata tadi tak sakit kan? Saya nak awak balik sekarang. Sebab lepas ni saya nak jumpa pesakit,” balasnya tanpa menyambut huluran gadis itu. Chinta menggigit bibir. Dia menjatuhkan tangannya semula.

Erm, not bad.

Bisik hati kecilnya.

“Sorry, saya dah ganggu awak. Tak apa, nanti saya datang lagi jumpa awak,” katanya sebelum mula melangkah untuk berlalu keluar dari bilik pejabat lelaki itu. Adam mengeluh lagi.

Tolong lah jangan datang lagi.

                                 *****

“Kau gila?” soal Marwah dengan mata bulatnya memandang gadis itu. Chinta hanya tergelak kecil.

“No,” jawabnya selamba.

“Patut lah kau hilang masa rehat tadi. Kau serius ke nak kenal dengan doktor tu?” soal Marwah agak ragu-ragu dengan tindakan sahabatnya itu.

“Salah ke aku nak kenal dengan Adam? Why not? Aku bukannya ada boyfriend pun. Ada boyfriend pun kalau sikap tu tak boleh pakai nak buat apa,” jawab Chinta sambil mendengus perlahan. Marwah menggelengkan kepalanya.

“Kau marahkan Nazri tapi buat hal dengan lelaki lain. Sebenarnya apa rancangan kau? Aku bukannya tak tahu yang si Nazri tu kerja di tempat yang sama dengan Adam. Kau nak buat apa?” soal Marwah dengan kening berkerut.

“Aku ikhlas nak kenal dengan si Adam tu. Kau jangan lah risau,” balas Chinta yang jelas mengelak untuk menjawab soalan gadis itu.

“Aku tahu kau masih kecewa dengan Nazri. Tapi aku sebagai kawan kau nak kau buang nama lelaki tak guna tu dalam hati kau. Move on Chinta. Lelaki tak guna tu tak layak untuk kau,” kata Marwah separuh menasihati. Chinta hanya tersenyum hambar mendengar kata-kata gadis itu.

Move on? Semudah tu?

                                   *****

Delisya tersenyum memandang lelaki yang sedang berjalan menghampirinya.

“Hai, maaf lah ganggu awak,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Adam tersenyum hambar. Jika ikutkan hati memang dia tidak mahu bertemu dengan gadis itu. Namun telefon bimbitnya yang asyik berdering sangat mengganggunya.

“Awak tak sihat?” tanya Adam dengan kening berkerut. Delisya tergelak kecil.

“Tak lah. Saya datang sebab rindu awak,” usiknya. Adam terkedu sejenak.

“Adam,” panggil Delisya apabila melihat lelaki itu membisu agak lama. Adam hanya memandang gadis itu tanpa berkata apa-apa.

“Minggu depan saya nak bawa awak jumpa seseorang. Boleh tak?” sambung Delisya separuh meminta.

“Awak, tugas saya hanya sebagai doktor. Bukan seperti yang awak fikirkan. Minta maaf,” balas Adam sebelum berlalu meninggalkan gadis itu. Terkebil-kebil Delisya memandang langkah lelaki itu.

Aku salah cakap ke?

                                   *****

“Dari mana?” soal Datin Syahida sambil memandang gadis yang sedang menarik kerusi di hadapannya.

“Jumpa kawan,” balas Delisya dengan senyuman hambar.

“Betul ke Elis dah sihat ni? Muka tu masih nampak pucat,” soal Datin Syahida lagi. Delisya mengangguk perlahan.

“Saya okay,” jawabnya.

“Samuel masih datang jumpa Elis?” tanya Datin Syahida ingin tahu. Ikutkan hati mahu sahaja dia menampar wajah lelaki yang tidak tahu malu itu. Berkahwin dengan Delisya semata-mata hanya kerana harta. Apa yang paling menyebalkannya ialah apabila Datuk Taufiq yang juga merupakan teman rapatnya langsung tidak sedar akan niat sebenar bekas menantunya itu.

“Elis yang jumpa dia,” jawab Delisya perlahan.

“Kenapa? Tak payah lah nak jumpa lelaki tu lagi. Takkan Elis nak rujuk dengan lelaki tu semula?” soal Datin Syahida separuh meneka.

“Tak aunty. Elis cuma nak hak Elis. Selagi Elis mampu, Elis akan cuba ambil semula syarikat papa. Sayang hasil titik peluh papa terlepas pada lelaki tak guna tu,” balas Delisya sambil mendengus perlahan. Datin Syahida mengangguk setuju.

“Tapi Elis nak buat apa? Macam mana Elis nak ambil semula syarikat tu?” soalnya ingin tahu. Delisya hanya tersenyum membalas pandangan wanita itu.

“Mungkin Elis akan kahwin lagi. Suami Elis tu nanti boleh tolong Elis,” jawabnya separuh bergurau.

“Ada calon ke?” soal Datin Syahida ikut bergurau. Delisya tergelak kecil mendengar soalan wanita itu.

Calon? Ada kot.

                                   *****

Ekram menggeleng perlahan memandang Adam yang sedang termenung di mejanya.

“Tak balik lagi doktor?” soalnya sambil melangkah masuk. Dia berjalan menghampiri rakannya itu.

“Kejap lagi,” balas Adam dengan senyuman hambar. Ekram menarik kerusi di hadapan lelaki itu.

“Kau okay?” soalnya agak risau melihat wajah pucat rakannya itu. Adam hanya mengangguk perlahan.

“Tapi aku tengok kau macam tak okay aje. Sebab cikgu yang datang petang tadi?” soal Ekram lagi tidak berpuas hati dengan reaksi lelaki itu. Adam mengeluh pula.

“Ram, cuba kau pandang aku. Kau rasa aku ni segak ke?” soalnya sambil memandang tepat wajah rakannya itu. Ekram tergelak besar.

“Kau ni pandai juga buat lawak ek. Mesti lah kau segak. Kau tau tak, kau adalah lelaki idaman para gadis kat luar sana. Muka kacak dengan badan sado. Kerja doktor pula tu, siapa tak nak?” balas Ekram sebelum tergelak semula. Adam mendengus perlahan memandang rakannya itu.

“Adam, kau buka lah cermin mata tu. Rambut tu buat semula macam dulu. Kembali lah seperti Adam yang aku kenal dulu. Dah dua tahun berlalu. Kau kena mulakan hidup baru,” sambung Ekram dalam penuh makna. Adam hanya terdiam mendengar kata-kata rakannya itu.

“Aku balik dulu. Jumpa esok,” kata Ekram sebelum bangun lantas berlalu. Adam mengeluh lagi.

Kembali seperti dulu?

                                   *****

Samuel tersenyum sinis melihat Delisya yang sedang menarik kerusi di hadapannya.

“Dah rindu sangat dengan aku?” sindirnya sambil merenung tajam wanita itu. Delisya tersenyum sinis.

“Minggu depan aku akan bawa calon yang lebih baik daripada kau untuk jumpa papa. Ingat Samuel, syarikat papa tak sepenuhnya lagi milik kau. Kalau aku bawa calon suami jumpa papa bila-bila masa aku boleh tendang kau keluar dari syarikat papa!” kata Delisya dengan nada keras. Samuel menggenggam erat penumbuknya.

“Ada ke lelaki yang nak kau? Aku aje lelaki kat dunia ni yang bodoh nak kahwin dengan kau yang hodoh ni. Jangan nak berharap sangat Elis. Aku akan pastikan itu tak akan berlaku,” balasnya sambil bersandar tenang pada kerusinya. Delisya menggigit bibir tanda geram.

“Kau apa kurangnya? Lelaki macam kau pun tak layak untuk mana-mana wanita kat dunia ni. Kau tak layak terima cinta seorang wanita Samuel! Sebab hati kau tu dah buta! Cuma aku aje wanita yang bodoh terima lelaki gila macam kau!” bentaknya sebelum bangun dari kerusi lantas berlalu. Samuel hanya memandang langkah wanita itu tanpa berhasrat untuk menahan. Senyuman sinis terukir di bibirnya.

Kau sepatutnya tak terima aku dulu Elis.

                                  *****

Agak lama Adam memandang wajahnya melalui cermin. Terngiang-ngiang semula kata-kata Ekram.

Buruk sangat ke rambut aku ni?

Adam membuka cermin matanya.

Aku hampir lupa siapa aku yang dulu.

Adam mengeluh perlahan. Terbayang wajah Qaisara dengan senyuman manisnya.

I miss you, sayang.

“Adam,” panggil Puan Hasna sambil mengetuk pintu bilik lelaki itu. Lamunan Adam terhenti. Dia menghampiri pintu biliknya.

“Ada apa ma?” tanyannya sambil membuka pintu. Terkedu Puan Hasna melihat wajah lelaki itu tanpa cermin mata.

“Mama,” panggil Adam apabila melihat wajah terkejut wanita itu.

“Ada orang call tadi. Adam tak beritahu mama pun yang Adam dah ada kawan perempuan sekarang ni. Setahu mama, kawan perempuan Adam cuma Farah. Tapi yang call tu bukan dia. Kalau tak silap, Elis kot. Siapa tu? Girlfriend?” soal Puan Hasna dengan senyuman nakal.

Elis?

Berkerut kening Adam membalas pandangan wanita itu.

“Mama rasa anak mama yang dulu dah kembali,” kata Puan Hasna dengan perasaan sebak. Sudah lama dia menunggu saat itu. Perubahan anak lelakinya sejak dua tahun yang lalu benar-benar membuatnya tidak senang duduk.

“Elis tu pesakit saya, ma. Mama jangan fikir yang bukan-bukan,” balas Adam dengan suara perlahan.

Macam mana pula Elis boleh dapat nombor rumah aku ni? Ni mesti kerja Ekram.

Teka hati kecilnya.

“Pesakit pun boleh jadi isteri,” usik Puan Hasna.

“Mama turun dulu. Cepat mandi. Sarapan dah siap. Papa pun dah tunggu lama,” sambungnya separuh mengarah sebelum berlalu. Adam mengangguk lambat.

Aduh, lupa pula nak tanya kenapa Elis call. Takkan lah sebab hal kahwin tu lagi?

Adam menggaru kepalanya yang tidak gatal. Keningnya berkerut memikirkan hal tersebut.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.