Adam mengeluh perlahan apabila melihat gadis yang sedang duduk di atas sofa miliknya. Lebar senyuman Delisya membalas pandangannya.
“Sorry Dam. Tadi dia kata nak tunggu kau kat dalam ni. Aku pergi dulu,” bisik Ekram di telinganya sebelum berlalu dengan pantas. Adam hanya memandang sekilas ke arah rakannya itu sebelum melangkah menghampiri mejanya. Dia tidak mengendahkan Delisya yang masih memandangnya. Delisya menggigit bibir. Dia bangun lantas menghampiri meja Adam. Kini dia berdiri tepat di hadapan lelaki itu. Adam yang sedang bersandar pada kerusinya membalas pandangan Delisya.
“Hai,” sapa Delisya. Adam diam membisu. Cuma pandangannya masih tertumpu pada wajah gadis itu. Berdebar dada Delisya dengan renungan tajam lelaki itu.
“Awak nak saya buat apa?” soal Adam tanpa senyuman. Delisya terdiam sejenak. Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyuman.
“Awak setuju?” soalnya kembali masih tidak percaya.
“Saya tak kata yang saya setuju nak kahwin dengan awak. Saya akan tolong awak dengan syarat awak tak akan ganggu saya lagi lepas ni,” jawab Adam dengan wajah serius. Delisya terdiam memandang wajah lelaki itu.
“Kalau dah jelas, tolong keluar sekarang. Saya ada banyak kerja nak buat,” sambung Adam separuh menghalau. Delisya menarik nafas dalam.
“Terima kasih awak. Esok saya jemput awak,” balas Delisya sebelum melangkah perlahan keluar dari bilik pejabat lelaki itu. Adam mengeluh perlahan.
Adam, betul ke apa yang kau buat ni?
*****
“So?” soal Rasya sambil memandang tepat ke arah gadis itu.
“So what?” soal Bella kembali.
“Kau tetap nak teruskan niat tak nak kahwin dengan Khai?” soal Rasya semula.
“Yes. Papa memang kurang setuju. Aku tak salahkan papa. Dia berhak nak marah aku. Aku sedar aku dah malukan papa. Tapi, aku dah tak ada hati nak kahwin dengan Khai,” jawab Bella perlahan. Rasya mengeluh.
“Kau tak nak beritahu aku sebabnya?” soalnya.
“Aku tak bersedia lagi nak beritahu kau,” balas Bella dengan perasaan bersalah.
“Kau jangan pendam seorang. Aku dan Lara sentiasa ada untuk kau,” kata Rasya prihatin. Ikutkan hati mahu saja dia memaksa gadis itu untuk memberitahunya apa sebenarnya yang berlaku. Namun dia menahan diri. Bella terdiam sejenak apabila mendengar nama Lara diseru.
“Lara ada datang sini tak?” soalnya perlahan. Rasya mengangguk.
“Kau ada beritahu dia pasal aku dan Khai?” soal Bella lagi kini memandang tepat wajah rakannya.
“Tak sempat. Aku sibuk masa dia datang hari tu. Kau tak beritahu dia lagi?” soal Rasya pula.
“Tak payah beritahu dia. Biar aku sendiri yang beritahu,” jawab Bella dengan nada tegas. Terangkat kening Rasya memandang gadis itu.
“Aku balik dulu,” kata Bella sebelum berlalu.
“Hati-hati,” pesan Rasya sambil menggeleng perlahan.
Sejak bila kau pandai berahsia dengan aku ni, Bell.
*****
Marwah menghampiri Chinta yang sedang termenung di beranda bilik mereka.
“Apa yang berlaku?” soalnya sambil memandang tepat wajah sahabatnya itu. Chinta menoleh memandang gadis itu.
“Apa?” soalnya semula agak keliru.
“Petang tadi kau keluar awal sebab nak jumpa Adam. Aku nak tahu lah apa cerita?” tanya Marwah sambil tersengih.
“Aku tak jadi sebab terserempak dengan si mamat gila tu. Belum sempat aku nak cari Adam, tiba-tiba wajah mamat tu yang keluar nak sambut aku. Gila!” beritahu Chinta sambil mendengus perlahan. Marwah menganggukkan kepalanya. Dia ingin tergelak namun cuba ditahan apabila melihat riak wajah Chinta yang jelas menunjukkan gadis itu sedang marah.
“Kenapa Adam?” soal Marwah apabila mereka terdiam agak lama.
“Boleh tak kau tanya soalan yang jelas? Kenapa dengan Adam?” soal Chinta semula yang kurang faham dengan maksud gadis itu. Marwah tergelak besar.
“Kau ni lembab lah. Aku tanya kenapa kau pilih Adam? Tak ada lelaki lain kau nak jadikan erm…,”
“What?” bulat mata Chinta memandang gadis itu. Marwah tergelak semula. Chinta menepuk bahu rakannya itu.
“Kau ingat aku ni jahat sangat ke? Aku pilih Adam sebab aku…,” Chinta terdiam seketika. Terangkat kening Marwah memandang gadis itu.
“Aku tak tahu. Mula-mula jumpa Adam hati aku dah putuskan. Dia lelaki yang boleh tolong balas dendam aku. Memang aku tak kenal Adam. Tapi aku sangat yakin yang dia seratus kali lebih baik jika dibandingkan dengan lelaki tak guna tu!” sambung Chinta sambil menggenggam penumbuknya.
Aku tak akan lupa Nazri! Kau buat aku jadi penunggu setia yang bodoh! Kau akan dapat balasannya!
Marwah hanya menggeleng melihat telatah rakannya itu. Hendak ditegur dia sendiri sudah tidak berdaya.
*****
“Minggu depan saya nak bawa seseorang jumpa papa,” beritahu Delisya kepada Datin Syahida yang sedang duduk berdepan dengannya.
“Siapa? Lelaki?” soal Datin Syahida agak teruja. Delisya tersipu mendengar soalan wanita itu. Dia mengangguk lambat.
“Namanya Adam,” jawabnya dengan senyuman.
“Alhamdullillah. Kerja apa?” soalnya dengan senyuman lebar. Dia turut tumpang gembira dengan gadis itu. Delisya sudah dianggapnya seperti anak sendiri.
“Doktor. Takut juga nak bawa jumpa papa. Elis sebenarnya tak beritahu papa lagi,” jawab Delisya dengan riak wajah yang jelas risau.
“Itu Elis tak payah risau. Biar aunty yang beritahu papa kamu. Aunty yakin yang papa kamu tu tak ada masalah. Lagipun kamu bukannya isteri orang lagi. Tak payah risau lah. Kalau pasal papa kamu biar aunty yang uruskan. Aunty kenal sangat kawan baik aunty tu,” balas Datin Syahida. Delisya tersenyum gembira.
“Thank you aunty,” ucapnya dengan perasaan terharu. Wanita yang juga merupakan sahabat baik papanya itu sudah lama menjadi tempatnya mengadu dan berkongsi suka duka yang dilaluinya selepas pemergian arwah ibunya. Dia selesa dengan wanita itu kerana sikap peramahnya. Datin Syahida hanya tersenyum mengangguk.
“Jangan lupa pula bawa Adam tu jumpa aunty. Aunty pun nak tengok juga bakal menantu papa kamu tu,” katanya separuh mengusik. Delisya mengangguk tersenyum.
“Insya Allah, aunty.”
*****
Nazri menahan langkah lelaki itu. Adam berhenti melangkah. Berkerut kening Adam memandang Nazri.
“Nazri,” beritahu Nazri sambil menghulurkan tangan. Adam menyambut perlahan dengan senyuman.
“Adam,” balasnya. Nazri mengangguk.
“Ini tahun pertama saya berkhidmat kat sini. Saya dengar banyak cerita pasal awak,” katanya dengan senyuman.
“Pasal saya?” soal Adam kurang faham.
“Ramai yang bercerita pasal awak. Dah lah kacak, peramah dan baik hati pula dengan semua orang,” beritahu Nazri.
“Memang tugas kita sebagai doktor kena mesra dengan semua orang. Walau musuh sekalipun,” balas Adam. Nazri mengangguk setuju.
“Saya masuk dulu,” kata Adam apabila melihat Nazri yang hanya mendiamkan diri.
“Adam,” panggil Nazri. Langkah Adam terhenti semula. Dia berpaling memandang lelaki itu.
“Saya tak tahu apa hubungan awak dengan Chinta. Saya cuma nak beritahu yang gadis itu hanya milik saya seorang,” kata Nazri dengan nada tegas. Giliran Adam pula yang terdiam.
Chinta?
Adam melangkah semula tanpa membalas kata-kata Nazri. Nazri mengeluh perlahan sebelum turut berlalu.
*****
Adam menarik kerusi lalu duduk di hadapan Ekram. Ekram tersenyum lebar memandang lelaki itu.
“Tak ada tempat lain?” soal Adam sambil memandang sekeliling. Ekram tergelak kecil.
“Kau takut terserempak dengan bos lawa tu ke?” usiknya separuh menyoal. Terangkat kening Adam memandang rakannya itu.
Aku siku juga mamat ni.
“Kau jangan risau. Aku dah tanya kat depan tadi. Hari ni bos mereka tak datang,” beritahu Ekram masih dengan senyumannya. Adam menarik nafas lega.
“Kau kenal tak Doktor Nazri?” soal Adam apabila pelayan selesai menghidangkan jus mangga yang dipesannya.
“Nazri? Oh, doktor tu. Mesti lah kenal. Satu kerja kot. Mustahil kau tak kenal mamat tu. Ahh, aku lupa. Kau tu kan suka menyendiri. Mana nak kenal orang baru,” balas Ekram separuh menyindir.
“Aku kenal lah mamat tu. Kau ni suka sangat kenakan aku,” balas Adam dengan kening berkerut. Ekram tergelak lagi.
“Maksud aku, kau yang dulu. Sekarang aku tengok adalah sikit perubahan sejak puteri-puteri lawa tu muncul,” balas Ekram sambil tersengih. Adam menggeleng perlahan.
“Kenapa kau tiba-tiba tanya pasal mamat tu?” soal Ekram apabila melihat lelaki itu diam membisu.
“Aku pernah dengar nama Nazri keluar dari mulut Chinta,” jawab Adam sambil memandang ke luar dinding cafe yang diperbuat daripada kaca.
“Maksud kau?” soal Ekram kurang faham.
“Mamat tu pernah bercinta dengan Chinta. Kalau tak silap aku, hari tu Chinta beritahu aku yang dia tunggu mamat tu selama 4 tahun balik dari luar negara. Tapi bila mamat tu balik, dia bawa sekali isteri dan anaknya,” beritahu Adam.
“Gila! Buang masa aje orang nak tunggu. Empat tahun tu lama kot. So, Chinta macam mana? Eii! Aku yang dengar pun geram. Apatah lagi Chinta,” kata Ekram dengan kening berkerut.
“Tak sangka ada lagi lelaki macam si Nazri tu,” sambungnya lagi sambil menggeleng. Adam hanya diam membisu mendengar kata-kata rakannya itu.
“Wait, jadi Chinta memang dah tahu Nazri kerja kat sini?” soal Ekram lagi.
“Tahu. Dia tak kejar aku kalau tak tahu,” jawab Adam sambil mengeluh perlahan.
“Aku tak faham,” kata Ekram sambil memandang tepat wajah sahabatnnya itu.
“Dia nak aku jadi pasangannya untuk sakitkan hati mamat tu,” beritahu Adam. Bulat mata Ekram.
“Kau biar betul,” katanya dengan riak wajah kurang percaya.
“Hari tu lagi aku dah beritahu kau. Tak payah nak buat muka macam tu,” balas Adam. Ekram tergelak kecil.
“Aku ingat dia buat permintaan macam tu sebab emosi tak stabil. Aku tak sangka pula dia tu serius. Macam mana pula dengan dua orang tu? Mereka pun serius?” soal Ekram bertalu. Adam mengeluh lagi. Dia diam membisu tidak menjawab pertanyaan lelaki itu. Ekram bersandar pada kerusinya.
Biar betul. Cerita macam ni bukan selalu ada kat drama aje ke?
*****
“Kau pekak ke? Aku dah kata tak nak kahwin dengan kau!” marah Bella sambil merenung tajam wajah Khairul.
“Tapi kenapa? Bella nak malukan orang tua kita? Lagi satu, sejak bila Bella tak cintakan Khai? Kenapa Bella tiba-tiba berubah hati?” soal Khairul bertalu. Bella tersenyum sinis.
“Sejak kau pandai menipu aku. Kau penipu Khairul!” balas Bella dengan nada tinggi. Dia sudah tidak kisah dengan mata-mata yang sedang memandang mereka. Khairul terkedu.
Bella tahu?
“Apa maksud Bella. Apa yang Khai dah tipu?” soalnya dengan perasaan berdebar. Bella menggigit bibirnya.
Boleh pula kau tanya aku?!
“Bella,” panggil Khairul apabila melihat gadis itu terdiam.
“Esok papa akan datang jumpa orang tua kau. Kita putus,” kata Bella sebelum bangun dari kerusinya.
“Bella curang dengan Khai. Kalau tak, Bella tak akan batalkan majlis kita!” tuduh Khairul dengan nada yang tinggi. Terhenti langkah Bella. Dia berpaling memandang lelaki itu.
“Kau memang gila Khai,” balasnya dengan perasaan berbaur. Sebak dan kecewa dengan tuduhan yang baru sahaja dilemparkan oleh lelaki itu.
“Bella ingat Khai akan lepaskan Bella macam tu aje?” soal Khairul dengan riak wajah yang serius.
“Khai akan pastikan yang Bella akan jadi milik Khai. Walau apa cara sekalipun. Ingat tu Bella!” sambung Khairul sebelum berlalu meninggalkan Bella yang masih berdiri kaku memandangnya.
Jantan tak guna!
Air mata Bella menitis perlahan.