Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 38


Puan Hasna terduduk di atas sofa. Tuan Izan memandang tajam ke arah Adam yang sedang duduk berdepan dengan mereka.

“Cerai? Sebab apa?” soalnya cuba sedaya upaya menahan sabar. Adam diam tidak menjawab soalan Tuan Izan.

“Kenapa bodoh sangat?!” sambung Tuan Izan dengan nada keras.

“Maafkan Adam. Anggap saja…,”

“Diam Adam! Sampai hati Adam ceraikan Chinta. Sampai hati Adam lukakan hati mama dan papa. Mama kecewa sangat dengan Adam. Sangat kecewa!” pintas Puan Hasna sambil mengesat air matanya.

“Mama, please,” balas Adam dengan perasaan bersalah.

“Papa nak Adam rujuk semula dengan Chinta. Dalam hal ni papa yakin sangat Adam buat keputusan tanpa berfikir panjang. Jangan sampai Adam kehilangan Chinta buat selama-lamanya. Selagi masalah Adam tak selesai, jangan berani nak jejak kaki dalam rumah ni lagi!” kata Tuan Izan dengan nada tegas sebelum bangun dari sofa lantas berlalu keluar dari rumah.

“Mama setuju dengan papa,” celah Puan Hasna sebelum turut bangun lalu menuju perlahan ke tingkat atas. Adam meraup wajahnya. Keluhan berat dilepaskan.

                                 *****

Marwah merenung wajah Chinta yang tenang namun siapa tahu apa yang sedang difikirkan oleh wanita itu.

“Aku ingatkan perkahwinan ni akan berakhir dengan  bahagia. Aku sangka aku akan hidup bahagia selamanya dengan dia. Tapi aku silap,” Chinta bersuara perlahan tanpa memandang rakannya itu.

“Pasti ada hikmah,” jawab Marwah separuh memujuk. Chinta tersenyum sinis.

“Hikmah? Entah lah. Hikmahnya aku dah serik nak buka hati ni lagi. Lebih baik aku jaga hati sendiri,” katanya dengan perasaan sebak. Marwah menyentuh lembut bahu sahabatnya itu.

“Kau kena banyak bersabar. Saat ni kau tak seorang. Aku sentiasa ada untuk kau. Yang paling penting Allah ada. Allah sentiasa akan dengar doa kita semua. Kau jangan putus asa berdoa supaya hati Adam terbuka semula,” pujuknya lagi. Chinta menggelengkan kepalanya.

“Aku memang berdoa. Tapi bukan untuk kembali pada dia. Tak mungkin, Wa. Aku tak akan benarkan hati aku terluka lagi. Cukup apa yang berlaku,” balasnya dengan tegas. Marwah agak terkejut mendengar jawapan wanita itu. Dia tidak menghalang andai itu keputusan Chinta. Jika dia di tempat wanita itu, sudah pasti dia akan mengambil keputusan yang sama.

                                    *****

Nazri menahan langkah Ekram. Ekram berhenti melangkah. Riak wajahnya serius tanpa senyuman membalas pandangan lelaki itu.

“Betul ke apa yang aku dengar?” soal Nazri dengan kening berkerut. Dia mendengar perbualan beberapa staf mengenai status Adam. Dia inginkan kepastian daripada Chinta. Namun sudah banyak kali dia cuba untuk menghubungi wanita itu namun panggilannya tidak bersambut. Marwah juga tidak dapat dihubungi.

“Apa?” soal Ekram pura-pura tidak tahu akan maksud lelaki itu.

“Pasal Adam dan Chinta. Apa yang berlaku?” soal Nazri lagi. Dia berharap gosip baru yang tersebar di hospital mereka itu hanya khabar angin semata-mata.

“Tak payah lah kita nak sibuk hal orang lain. Biar mereka selesaikan sendiri apa yang dah berlaku,” balas Ekram sebelum melangkah semula.

“Bukan nak menyibuk. Siapa nak sokong Adam dan Chinta untuk rujuk semula kalau bukan kita?” soal Nazri dengan kening berkerut. Langkah Ekram terhenti semula. Dia berpaling memandang lelaki itu.

“Adam tentu marahkan Chinta sebab peristiwa dua minggu lepas. Dia tak fikir waras tu. Dia buat keputusan ketika sedang marah. Kita perlu bantu satukan mereka semula,” sambung Nazri yang kelihatan bersungguh. Ekram berfikir sejenak.

“Aku ikut kau,” balasnya mula setuju. Nazri mengangguk tersenyum. Dia simpati dengan Chinta. Banyak sangat ujian yang dilalui oleh wanita itu.

                                  *****

“Chinta, Elis ni. Buka lah pintu,” pujuk Delisya sambil mengetuk perlahan pintu bilik Marwah.

“Tak ada gunanya nak pujuk dia. Dia memang tak akan buka pintu tu,” celah Marwah yang bersandar tenang pada dinding memerhatikan Delisya. Sudah hampir setengah jam gadis itu cuba memujuk Chinta.

“Dia ada makan tak?” soal Delisya agak risau. Marwah hanya mengangguk.

“Dia cuma izinkan saya masuk bila awak tak ada kat sini. Chinta perlukan masa. Dia masih terkejut dengan apa yang berlaku,” beritahu Marwah sambil mengeluh perlahan. Delisya bersandar lemah pada dinding.

“Dah seminggu berlalu. Chinta tak nak keluar. Abang pun degil,” luahnya dengan wajah keruh. Marwah agak simpati melihat wajah letih wanita itu. Sejak Adam dan Chinta berpisah, hampir setiap hari Delisya berulang alik ke rumahnya semata-mata mahu memujuk Chinta. Dia kagum dengan kesungguhan wanita itu. Tidak semua wanita yang hidup bermadu mempunyai sifat seperti Delisya.

“Malam nisaya cuba lagi pujuk Chinta,” katanya separuh berjanji. Delisya tersenyum hambar.

“Terima kasih, Wa. Nasib baik ada awak. Saya memang risau kalau Chinta duduk seorang kat rumah. Esok pagi saya datang lagi. Tolong beritahu kat Chinta, saya dan Bella dah rindukan dia,” balasnya separuh merayu. Marwah hanya mengangguk tersenyum. Delisya berlalu dengan berat hati. Impiannya mahu bertemu dengan Chinta masih tidak kesampaian. Marwah hanya memerhati wanita itu menuruni anak tangga untuk ke tingkat bawah. Dia mengeluh lagi.

                                  *****

“Aku masih tak percaya. Cepat sangat Adam nak hukum Chinta,” kata Rasya perlahan apabila melihat Bella yang leka termenung sejak masuk ke dalam pejabat.

“Abang buat keputusan ketika sedang marah,” balas Bella cuba mempertahankan Adam walhal jauh di sudut hatinya dia sangat setuju dengan kata-kata Rasya.

“Chinta masih tak nak jumpa sesiapa ke?” soal Rasya apabila melihat Bella yang mula termenung semula. Bella hanya mengangguk lemah.

“Aku rasa Chinta masih terkejut tu. Siapa tak terkejut kalau tiba-tiba diceraikan. Alasan Adam ceraikan Chinta memang tak masuk akal,” balas Rasya yang jelas tidak berpuas hati. Bella kini memandang gadis itu. Rasya berdehem perlahan.

“Maaf kalau kau terasa. Tapi aku jujur tak suka cara Adam tu hukum Chinta,” katanya dengan nada tegas. Bella mengeluh perlahan.

“Apa yang perlu aku buat Ras?” soalnya buntu.

“Nak buat apa lagi? Adam dah buat keputusan. Kau dah banyak kali pujuk dia. Tapi tetap tak berjaya. Mungkin dah ketentuan tak ada jodoh antara mereka,” balas Rasya sambil memandang skrin komputernya semula. Dia juga buntu untuk memberi nasihat kepada rakannya itu. Baginya masalah ini semuanya berpunca daripada Adam. Lelaki yang kelihatan sentiasa tenang itu memang tidak dapat diduga akan tindakannya. Dia sendiri masih tidak percaya Adam boleh bertindak sejauh itu. Rasya menggelengkan kepalanya.

                                     *****

“Sayang, mama ni. Buka pintu sayang,” pujuk Puan Hasna lembut. Sudah hampir sepuluh minit dia berdiri di depan pintu bilik Marwah. Marwah yang berdiri di sisinya mengeluh perlahan. Dia menyentuh lembut bahu wanita itu.

“Dia tak akan buka aunty,” katanya dengan perasaan bersalah. Sebenarnya dia boleh saja membuka pintu itu menggunakan kunci pendua. Namun apabila memikirkan keadaan Chinta, dia tidak pula sampai hati mahu melanggar janjinya pada wanita itu.

“Boleh aunty tidur sini malam ni?” soal Puan Hasna separuh meminta. Marwah terkedu.

“Aunty boleh tidur kat ruang tamu. Tak senang hati aunty selagi tak jumpa Chinta. Dah seminggu lebih dia berkurung dalam bilik. Aunty risau,” sambung Puan Hasna sambil menyentuh tangan gadis itu.

“Saya bukan tak nak aunty. Chinta memang tak akan keluar dari bilik kalau ada orang lain dalam rumah ni. Saya minta maaf,” ucap Marwah semakin rasa bersalah.

“Jangan beritahu Chinta yang aunty ada kat sini. Wawa pun tak nak Chinta terus macam ni kan? Tolong aunty,” rayu Puan Hasna. Marwah menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Wawa kena tolong aunty,” kata Puan Hasna kini menggenggam erat jemari gadis itu. Marwah yng simpati melihat wajah sayu wanita itu akhirnya mengangguk perlahan.

“Terima kasih. Aunty turun dulu nak masak apa yang patut. Malam nanti Wawa bawa dia turun ya,” sambung Puan Hasna dengan senyuman lebar. Marwah mengangguk sekali lagi.

Chinta, maafkan aku.

                                  *****

“Papa bukan nak masuk campur dengan urusan kamu. Tapi papa tak setuju cara Adam tu,” kata Datuk Ridhuan. Adam yang duduk berdepan dengannya hanya diam membisu. Wajahnya tetap kelihatan tenang.

“Adam tak nak rujuk semula?” soal Datuk Ridhuan. Selepas mendengar cerita daripada Bella, dia terus menghubungi Adam untuk bertanyakan perkara sebenar. Dia yang baru sahaja balik dari Langkawi memang orang terakhir yang tahu akan hal tersebut.

“Adam minta maaf kalau Adam dah susahkan semua orang. Adam juga minta maaf tak berbincang dulu dengan semua. Adam akui dah buat keputusan secara terburu-buru. Tapi keputusan Adam muktamad. Kami tak ada jodoh papa,” balas Adam. Datuk Ridhuan mengeluh perlahan.

“Semua tu ketetapan Allah. Adam tak boleh salahkan dia. Adam dah hilang akal ke?” soalnya masih tidak berpuas hati. Adam diam tidak menjawab.

“Jangan pula perkara ni berulang semula. Papa tak nak Adam buat kesilapan lagi. Bagi papa, perpisahan kamu berpunca daripada Adam sendiri. Papa tak kisah Adam nak marah papa. Rasanya bukan papa saja yang fikir macam tu. Adam yang berakal ni pun mesti rasa bersalah. Tapi memang susah nak mengaku kesilapan sendiri. Papa dah anggap Adam macam anak sendiri. Nasihat papa, jangan bertindak mengikut perasaan. Nanti Adam sendiri yang akan rugi,” sambungnya yang jelas kecewa dengan sikap menantunya itu. Adam masih membisu tanpa berkata apa-apa. Hanya senyuman pahit yang terukir pada bibirnya.

 


Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.