29
SEGERA Melisa
memadamkan SMS yang baru dibacanya.
“Sakit... sakit! Sakit!
Kenapa tak mampus je. Menyusahkan aku betul!” Sumpah seranah terhadap ibu
kandungnya itu meniti kejam di bibir Melisa.
“Ehem... you SMS siapa
tu?” dehem berserta persoalan menyapa pendengaran Melisa.
Terkejut Melisa dengan
kehadiran Dato Ezman di belakangnya, “Eh... Dato dah siap mandi ke?”
Mereka kini berada di
sebuah hotel terkemuka di ibu kota. Pertemuan diaturkan sebaik sahaja Dato
Ezman pulang dari Singapura.
“Nampak... I dah siap
mandi pun you tak sedar. You berSMS dengan siapa sebenarnya?” Dato Ezman masih
mahukan jawapan daripada Melisa.
“Tak... bukan I yang
SMS. Tapi PA I yang SMS I,” jawab Melisa.
“Betul ke? Ke you ada berlaku
curang di belakang I?” Dato Ezman sudah melabuhkan punggungnya di birai katil.
Dudukannya betul-betul di sisi Melisa. Dia membelai lembut rambut harum milik
perempuan simpanannya itu.
“Ish... Mana ada. I
setia pada Dato seorang jelah.” Melisa sudah melentok manja. Tujuannya hanyalah
ingin menggoda.
“So... apa yang Baizura nakkan daripada you?” Dato Ezman masih
membelai lembut rambut Melisa.
“Tak ada apa-apa. Dia
cuma nak beritahu I yang mak I tak berapa sihat. Tu je,” tutur Melisa.
Dato Ezman mengangguk
tanda mengerti. Dia kemudiannya merebahkan tubuhnya di atas tilam empuk itu,
“Bila you nak balik kampung?”
“Balik kampung? Nak
buat apa?” Melisa turut sama merebahkan tubuhnya. Dia memeluk erat pinggang
lelaki tua itu.
“Kan, Mak you sakit.
Takkan you tak nak balik jenguk dia?” soal Dato Ezman lagi.
“Alah... sakit sikit
je. Orang tua, biasalah... mengada-ngada je lebih.” Selamba sahaja Melisa
menuturkan kata-kata itu.
Dato Ezman tidak berapa
menggemari cara tuturan Melisa itu. Baginya seorang anak tidak seharusnya
bersikap sebegitu terhadap ibu yang sedang terlantar kesakitan.
“Kenapa Dato diam je
ni?” soal Melisa tidak betah dengan kebisuan lelaki yang telah menaburkan
kekayaan terhadapnya.
“Mel... kalau I nak
cakap sikit, boleh?” Masih lembut suara Dato Ezman.
“Anything sayang...” tutur Melisa manja sambil mengusap lembut dada
Dato Ezman yang tidak berlapik apa itu.
“Kenapa you tak suka
bila I tanyakan perihal keluarga you? Apa yang you cuba sembunyikan
sebenarnya?” Dato Ezman memandang tepat ke wajah perempuan simpanannya itu.
Terhenti tarian jari
jemari Melisa di dada tua itu. Sejujurnya Melisa benci dengan persoalan
sebegitu. Andailah orang lain yang mengutarakan perihal itu, sudah pasti makian
dan cacian berhamburan keluar dari bibirnya.
“Mel... kita dah lama
bersama. I tak nak you sembunyikan apa-apa daripada I. I betul-betul cintakan
you.” Kian lembut suara Dato Ezman.
‘Cinta? Bukan ke kau
hanya mencintai tubuh aku sahaja?’ lahir persoalan itu di hati kecil milik wanita
yang hanya membaluti tubuhnya dengan sehelai tuala mandi sahaja.
“Tak ada apa-apa yang
membanggakan tentang kisah silam I.” Perlahan, Melisa bersuara.
“Tapi I masih nak tahu
siapa diri you yang dulu? Siapa ahli keluarga you? Terutama sekali mak you.”
Dato Ezman mengusap wajah yang amat dirinduinya itu. Entah mengapa saat dia
berada di Singapura, hanya seraut wajah di hadapannya itulah yang sering
‘menemani’ jaga dan lenanya.
“I malu...” Kian
perlahan suara Melisa.
“Apa yang you nak
malukan? I tak pernah kisah tentang status diri you. Malahan I merasa dihargai
seandainya you jujur tentang kisah lampau you.” Laju, Dato Ezman bersuara.
Melisa memandang tepat
ke arah Dato Ezman. Bentuk tubuh serta raut wajah lelaki itu tidaklah setua
usianya yang sudah mencecah 50 tahun. Sejujurnya dalam banyak-banyak lelaki
yang pernah ‘membelanya’ lelaki yang sedang dipeluknya itulah yang paling
bergaya dan bersikap penyayang.
“Ayah I dah lama meninggal.
I dibesarkan oleh mak I.” Melisa mula mendedahkan kisah silamnya.
“Kiranya mak you tu superwomenlah ya. Dapat membesarkan
seorang anak yang cantik jelita macam ni seorang diri. Mesti you banggakan
beribukan dia?” soal Dato Ezman di akhir pujiannya.
‘Banggakah aku?
Banggakah aku beribukan seorang wanita miskin seperti itu?’
“Kenapa you tak jawab?”
Dato Ezman mendongakkan sedikit wajah Melisa yang sudah tertunduk itu.
“I... I mungkin bangga
beribukan dia.” Sedikit tergagap Melisa menjawab.
“Mungkin? Mel... I tahu
yang I ni bukannya seorang lelaki yang baik. Tapi satu perkara yang I tak
pernah buat kepada mama dan papa I. I tak pernah menjadi anak yang derhaka dan
I pun tak harap yang you akan menjadi seorang anak yang akan mendapat murka
daripada seorang ibu yang telah bersusah payah melahir dan membesarkan you.” Terasa
janggal pabila seseorang yang sentiasa tergoda dengan zina mempersoalkan
tentang isu anak derhaka.
Tetapi itulah hakikat yang sedang berlaku. Dato
Ezman terus-terusan memujuk Melisa untuk menerima ibu kandungnya itu dengan
seadanya. Miskin atau kaya seseorang ibu itu, syurga tetap berada di bawah
tapak kaki mereka.
“You nak tahu kenapa I tak
pernah berasa bahagia sepanjang berkongsi hidup dengan isteri I?” soal Dato
Ezman tiba-tiba.
“Sebab Datin tak boleh
berikan Dato zuriat?” teka Melisa.
“Itu hanyalah alasan I.
Tapi penyebab sebenarnya adalah kerana I tak pernah mencintai dia.” Perlahan,
Dato Ezman menuturkan kebenarannya.
“Kalau Dato tak
cintakan Datin... kenapa Dato sudi untuk menjadikan dia sebagai isteri Dato?”
soal Melisa.
“Sebab arwah mama I.”
Kian perlahan suara Dato Ezman.
“Arwah mama Dato?
Maksud Dato?” Sudah berkerut dahi Melisa.
Dato Ezman
menghembuskan nafas berat. Semerta peristiwa hampir 25 tahun yang lalu berlayar
semula di ruang ingatannya, “Arwah mama I... dia yang berminat sangat dengan
Datin. Dia pujuk I supaya berkahwin dengan Datin.”
“Jadi Dato setuju je?”
Laju, Melisa menyoal.
“Apa lagi pilihan yang
I ada? I anak tunggal dalam keluarga I. Mama dan papa I tak ada anak yang lain
lagi. I pun... tak sanggup nak menghampakan kedua orang tua I, sebab tulah I
sanggup untuk mengorbankan kebahagiaan I sendiri.” Kesayuan jelas terlakar di
wajah tua milik Dato Ezman.
Terdiam Melisa
mendengar cerita Dato Ezman. Dia cuba membandingkan dirinya dengan lelaki itu
dan ternyata dirinya jauh lebih hina. Dia sanggup mencaci maki ibu kandungnya
sendiri semata-mata kerana kemiskinan yang diwarisi daripada ayah kandungnya.
Dia sanggup menidakkan hak wanita itu semata-mata kerana dia berasa malu untuk
mengakui bahawa wanita yang telah melahirkannya itu adalah ibu kandungnya.
“Mel... pergilah jenguk
mak you. Kalau pun you tak sempat nak balik ke kampung, calllah mak you. I yakin yang mak you teramat-amat merindui diri
you. Apatah lagi sekarang ni dia sedang terlantar sakit.” Pujukan Dato Ezman
berakhir dengan kucupan. Dia mengucup dahi wanita simpanannya itu dengan penuh
kasih sebelum mengeratkan lagi pelukan di antara mereka.