Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
229,412
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 21

21

TERSENYUM-SENYUM Asyraf memandang figura seseorang yang ‘terperangkap’ di dalam handphonenya. Gambar itu ditangkap olehnya sewaktu wanita yang sudah mencambahkan rasa cinta di hatinya itu sedang leka membuat kerja di ofisnya. Wanita itu seperti biasa selesa berkebaya pendek dan berseluar panjang.

“Cantiknya...” Tanpa sedar Asyraf memuji, sambil jari jemarinya meraba ke skrin handphone yang masih dipegangnya itu.

“Agak-agaknya apalah yang ‘dia’ tengah buat sekarang ni ya?” Soalan itu pula yang keluar dari bibir Asyraf setelah mindanya berterbangan bersama angan-angan untuk mengintai si wanita idaman.

‘Apa kata kau call dia?’ cadang si hati yang kegedikan.

“Ah! Malulah aku nak call dia waktu-waktu macam ni. Apa pula dia fikir nanti?” Mulut segera mencegah.

‘Apa salahnya kalau kau call dia? Sekurang-kurangnya dia tahulah yang kau tu seorang yang prihatin dan mengambil berat. Manalah tahu kalau lepas tu, dia boleh terjatuh cinta pula pada kau...’ Hati masih berusaha menguasai keputusan di jiwa.

Asyraf tersenyum mendengarkan bisikan itu dan tanpa sedar jari jemarinya telah mendail nombor telefon seseorang. Pantas sahaja handphonenya itu diletakkan ke telinga.

“Assalamualaikum.” Salam dihulur saat deringan terhenti dan talian bersambung.

“Waalaikumussalam,” jawab insan di hujung talian.

“Awak dah tidur ke?” ramah, Asyraf.

“Tak... tak adalah.” Biasa sahaja Juliana menjawab. Tiada kasar mahupun lunak yang sengaja diada-adakan.

“Emm... Awak tengah buat apa tu?” soal Asyraf setelah seketika. Dia tidak mahu suasana sunyi menguasai perbualan mereka.

“Dalam bilik. Baru lepas solat,” jujur Juliana. Tiada riak dalam tutur bicaranya.

‘Dahlah cantik. Solehahlah pula.” Pujian kedengaran di hati Asyraf. Semerta senyuman tergaris di bibirnya.

“Ada apa ya, awak callsaya malam-malam ni?” soal Juliana kemudiannya.

“Saja. Tanya khabar.” Spontan jawapan Asyraf.

“Tanya khabar?” Perlahan suara Juliana. Mungkin dia tidak percaya itulah jawapan yang akan diberikan oleh Asyraf.

Menyedari akan kesilapannya. Terus Asyraf ‘menghimpitkan’ jawapan yang lainnya, “Tak... maksud saya. Saya nak pastikan yang awak selamat. Saya takut kalau... peristiwa yang menimpa awak tempoh hari berulang lagi.”

“Awak takut kalau Melisa ganyang saya lagi? Macam tu?” soal Juliana.

Cepat sahaja Asyraf menganggukkan kepalanya. Namun saat dia menyedari yang bahasa tubuhnya itu tidak mungkin dapat dilihat oleh insan di hujung talian, dia tersenyum sekali lagi dan bibir memberikan bahasa lisan, “Ha’ah. Saya takut kalau minah gila tu serang awak lagi.”

“Awak janganlah risau. Insya-ALLAH... ALLAH akan melindungi saya. Lagi satu, saya nak beritahu awak yang saya akan mula bekerja pada hari Isnin depan. Doktor dah sahkan yang saya dah boleh bekerja semula.” Juliana memaklumkan.

“Eh! Tak apa... kalau awak nak ambil cuti lagipun saya akan benarkan.” Segera Asyraf menyatakan kebenarannya.

“Tapi MC saya dah tamat. Doktor cuma berikan saya MC sampai hari ni je. Minggu depan saya kenalah mula bekerja semula,” tutur Juliana.

“Tak apa. Tentang tu awak jangan risau. Saya takkan tolak sesen pun gaji awak kalau awak ambil cuti lagi. Lagipun... saya masih rasa bersalah dengan apa yang telah berlaku pada awak. Kalaulah awak tak menyamar sebagai kekasih olok-olok saya mesti semua ini takkan berlaku.” Rasa bersalah hadir semula di hati Asyraf.

Insan di hujung talian tidak terus bersuara. Mungkin wanita muda itu sedang memikirkan kewajaran kata-kata orang atasannya sebentar tadi.

“Juliana... awak sambung cuti lagi ya...” pinta Asyraf.

“Emm... terima kasih di atas keprihatinan awak. Tapi saya tetap akan mula bekerja pada hari Isnin depan. Saya rasa tak adil kalau saya mengambil kesempatan di atas kebaikan dan rasa bersalah awak. Semua yang berlaku sudah ditentukan olehNYA. Sebagai hamba... saya reda dalam menghadapinya.” Lembut sudah menguasai intonasi suara Juliana.

Terasa keikhlasan kata-kata itu menyentuh hati Asyraf. Tidak pernah sepengenalannya dengan mana-mana wanita di luar sana, ada yang sejujur dan seikhlas kekasih olok-oloknya itu.

“Asyraf... kalau tak ada apa-apa lagi yang awak nak cakapkan... saya nak masuk tidur dululah.” Juliana beralasan untuk menamatkan perbualan.

“Ya... yalah... Selamat malam dan assalamualaikum.” Sedikit tergagap Asyraf bersuara.

“Waalaikumussalam,” jawab Juliana sebelum dia memutuskan talian.

Asyraf terus menebarkan pandangannya ke arah kelam malam dari arah balkoni rumah banglo milik papanya itu. Biarpun kepuasan tidak dapat diserap sepenuhnya ke dalam jiwa lantaran keputusan Juliana yang hendak segera menamatkan perbualan, namun kerinduan yang membuak terhadap kekasih olok-oloknya itu mampu jua dihapuskan sedikit.

“Ehem!!!” Terdengar dehem.

Segera Asyraf memusingkan tubuhnya. Papanya itu kini sedang berdiri tegak dibelakangnya. Risau menjengah nalurinya. ‘Ah! Takkan papa dengar semua perbualan aku dengan Juliana tadi?!’

“Pa... papa… Dah lama ke papa berdiri dekat situ?” soal Asyraf.

“Baru je,” jujur Dato Hassan sambil berjalan menghampiri anak lelaki tunggalnya itu. Dia berdiri betul-betul di sisi Asyraf.

“Kamu berbual dengan siapa tadi?” soal Dato Hassan.

“Kawan.” Sepatah jawapan Asyraf bagi menutupi penipuannya.

Diam. Tiada kata balas daripada Dato Hassan. Dia turut menebarkan pandangannya ke hadapan.

“Kenapa papa tak tidur lagi? Dah pukul 11 dah ni,” soal Asyraf untuk mengusir kesunyian.

“Papa tak boleh nak tidur. Banyak benda yang papa fikirkan.” Terdengar keluhan di hujung kata-kata Dato Hassan.

“Pasal kerja?” teka Asyraf. Dia memandang insan di sisinya itu.

“Tak. Pasal kamu.” Dato Hassan membalas pandangan Asyraf sebelum anaknya itu mengalihkan semula pandangannya ke hadapan.

Asyraf mengeluh. Dia tahu apa yang ingin diperbincangkan oleh papanya itu. Pasti perihal ‘wanita’ itu yang hendak dibangkitkan.

“Asyraf... kamu tahukan yang papa nak sangat kamu terima...”

“Terima Rossa? Macam tu?” Asyraf memotong percakapan Dato Hassan. Tiada niatnya untuk bersikap kurang ajar. Sekadar untuk menyatakan ketidaksenangannya dalam memperbualkan perkara tersebut.

“Asyraf. Papa tahu yang papa ni agak memaksa. Tapi... papa lakukan semua ni untuk kebaikan kamu.” Lembut Dato Hassan memujuk.

“Kebaikan Asyraf? Ke... untuk kebaikan papa dan kawan papa tu?” sinis Asyraf.

Dato Hassan menyabarkan hatinya. Dia tahu itu bukanlah sikap sebenarnya anak bongsunya itu. Hanya apabila perkara mengenai jodohnya dibangkitkan barulah sikap sebegitu terlahir.

“Pa... Asyraf dah besar. Asyraf ada hak untuk mencari jodoh Asyraf sendiri.” Tegas Asyraf.

“Hak? Habis tu papa ni langsung tak ada haklah untuk menentukan masa depan kamu. Macam tu?” balas Dato Hassan.

“Bukan macam tu maksud Asyraf. Tapi papa... Dahlah, Asyraf tak nak bergaduh lagi dengan papa pasal perkara ni.” Asyraf berpaling dan cuba untuk memulakan langkahnya.

“Nanti dulu Asyraf! Papa belum habis cakap lagi!” Meninggi sedikit suara Dato Hassan.

Termati langkah Asyraf dan untuk menunjukkan rasa hormatnya, dia berpaling semula menghadap papanya itu.

“Papa tak nak kamu tersalah langkah lagi. Papa tak nak kamu terus menjalinkan hubungan cinta dengan model tak bermaruah tu! Papa takkan izinkan keturunan papa beristeri dan beribukan perempuan seperti Melisa tu!” marah Dato Hassan. Ternyata barannya masih ‘bertaring’ biarpun dirinya sudah menginjak ke usia tua.

“Apa yang papa merepek ni? Kan, Asyraf dah katakan yang Asyraf langsung tak ada hubungan mahupun kaitan dengan Melisa. Perempuan tu takkan jadi isteri mahupun ibu kepada anak-anak Asyraf kelak.” Laju, Asyraf menyangkal ‘fitnah’ papanya itu.

Dato Hassan memandang tepat ke sepasang mata milik Asyraf. Dia tahu yang anaknya itu jujur dalam melahirkan kata-kata.

“Baguslah kalau kamu tak ada hubungan dengan perempuan murahan tu! Tapi papa tetap dengan keputusan papa. Papa tetap akan menyatukan kamu dengan anak kawan papa tu!” Kedegilan Dato Hassan terserlah.

Sudah dijangkanya, itulah yang akan ditegaskan oleh papanya itu, “Asyraf juga tetap dengan keputusan Asyraf untuk menolak cadangan papa tu!” Habis memacakkan pendiriannya, Asyraf terus memusingkan badannya ke hadapan dan langkah demi langkah diatur dengan derapan yang perlahan.

Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.