Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 41

Bab 41

 

 

Selepas waktu persekolahan, Rima berjalan kaki ke pekan. Sudah dua hari dia berusaha mencari rumah untuk disewa tapi masih belum nampak hasilnya. Cuaca yang panas menyengat membuat Rima cepat penat. Lebih-lebih lagi dia tidak suka berpayung. Tekaknya dahaga bukan kepalang. Kalaulah dia ada teman berjalan tentu tidak terasa penatnya.

 “Apalah nasib adik ni? Bilalah nak dapat rumah?” soal Rima pada diri sendiri. Langkah Rima makin pendek-pendek. Tumit kakinya sudah melecet kerana kasut yang menggigit.

Sedang Rima berjalan, kedengaran bunyi hon berbunyi dari arah belakangnya. Rima terus bergerak ke tepi. Takut punggungnya akan disapu kenderaan yang lalu. Hon kenderaan masih juga menjerit beberapa kali.

 “Tensionnya!...nak lalu, lalu jelah! Adik dah tepi sangat dah ni...takkanlah nak adik jalan dalam longkang tu pulak! Mentang-mentanglah adik ni jalan kaki!” sungut Rima tidak puas hati. Semakin geram hatinya bila Rima merasakan kenderaan itu bergerak perlahan, seolah-olah sedang mengekori langkahnya.

Darah Rima menyirap ke kepala. Geram sungguh dia! Seperti sedang dipermain-mainkan pula. “Hoi! Nak lalu...lalu jelah! Ingat jalan ni awak punya ke hah? Buat pekak telinga je!” Sebaik berpaling, Rima terus melontarkan kemarahan. Selepas itu hatinya terasa puas. Manusia seperti itu kadang-kadang perlu juga diajar supaya tahu menghormati orang lain.

“Memanglah ni bukan jalan saya! Saya bukan suka-suka nak hon. Dari tadi saya panggil tapi buat tak tau je...saya hon jelah.” Ujar suara yang datang dari tempat duduk pemandu sebuah lori kecil berkepala merah.

“Erkkk!...awak ke?” Sebaik muka Sulaiman menjenguk dari pintu lori, Rima tersipu-sipu. Mukanya yang memerah dek panas matahari bertambah merah kerana malu.

“Naik...saya tumpangkan adik. Panas ni kan.” Ajak Sulaiman di dalam lori yang bergerak perlahan. Mujur kenderaan tidak banyak. Ada juga pemandu yang marah-marah sebab Sulaiman mengganggu laluan mereka. Rima serba-salah. Hendak ditolak, kakinya sudah penat berjalan. Mahu menerima, segan pula rasanya.

“Hmmm...adik duduk belakang lori boleh tak?” soal Rima sesedap rasa. Sulaiman ketawa kuat. Gelihatinya dengan sikap Rima yang main hentam saja.

 “Belakang tu biasanya saya letak baja padi dan segala macam yang berkaitan padi je. Kadang-kadang ada jugak orang sewa lori comel saya ni untuk bawak lembu. Adik nak jugak ke duduk kat belakang?” ujar Sulaiman pula. Rima tersengih-sengih malu.

 “Cepatlah naik sebelum saya kena belasah dengan pemandu-pemandu lain.” Tambah Sulaiman lalu memberhentikan lori di tepi jalan.

Dalam keadaan yang serba-salah, Rima naik juga. Kakinya yang sudah lecet betul-betul tidak selesa untuk dia terus berjalan. Itulah padahnya bila memilih kasut yang kurang sesuai. Sebaik meletakkan punggungnya di tempat duduk sebelah pemandu, Rima cepat-cepat meletakkan begnya di atas paha untuk menutupi bahagian dadanya. Tidak selesa! Seakan-akan Sulaiman terjeling-jeling tidak sudah. Bukan tidak percaya kepada Sulaiman, tapi perlu berhati-hati walaupun itu cuma perasaan buruknya saja.

“Kenapa? Adik takut dengan saya?” Rupa-rupanya Sulaiman perasan dirinya agak dicurigai.

 “Eh, taklah...mana ada takut pun...cuma takut sikit aje.” Kadang-kadang Rima memang lurus bendul. Sulaiman menggeleng sambil tersenyum. Tidak terniat di hatinya hendak melakukan yang tidak baik kepada Rima. Dia mendekati Rima bukan kerana nafsunya tapi kerana satu perasaan halus yang sudah lama bercambah dalam hatinya.

 “Awak jangan kecik hati ya...sebenarnya saya tak biasa duduk dua-dua macam ni. Saya naik lori awak ni pun sebab kaki saya dah lecet. Sakit tau.” Jelas Rima sejujurnya.

 ‘Sebab tu aku sayang kamu!’ desis Sulaiman yang masih tersenyum. Melihat Sulaiman senyum tidak susah, Rima terus diam dan tunduk. Takut tergoda dengan senyuman Sulaiman.

 ‘Hihi...comelnya bila dia senyum...rasa nak suruh dia masuk meminang aje!’ bisik Rima lalu ketawa dalam hati.

 “Kenapa adik jalan kaki?” Terbang semua angan-angan Rima bila Sulaiman bertanya.

 “Adik nak cari rumah sewa. Nak duduk asing dari keluarga, adik nak berdikari. Ni dah masuk hari ketiga adik mencari tapi tak jumpa jugak.”

 “Rumah sewa...hmmm, rumah sewa...ya, ya...minggu sudah saya ada nampak iklan rumah untuk disewa. Betul-betul depan bus stand...tapi rumah kedai. Bawah kedai, atas tu untuk disewa.”

“Tapi tak taulah masih ada lagi ataupun tak.” Tambah Sulaiman.

 Rima berkira-kira sebentar. Sesuaikah untuknya tinggal di rumah kedai? Kalau sudah tidak ada pilihan, apa boleh buat. Kalau boleh dia tidak mahu membuang masa lagi. Banyak masa sudah dibazirkan hanya untuk mencari sebuah rumah sewa.

 “Kita tengok, nak?”

 “Boleh!...lepas tu saya belanja adik ABC gunung. Adik suka kan?” balas Sulaiman diikuti dengan pertanyaan.

 “Nak! Memang adik suka. Dulu selalu ke gerai tu. Sejak sambung belajar, lepas tu mengajar, dah kurang masa nak makan ABC gunung.” Rima teruja. Sulaiman senyum lagi. Dia dapat melihat Rima yang ceria dan manja. Bukan manja yang dibuat-buat tapi ia semulajadi. Mungkin tanpa Rima sendiri sedar sikapnya yang satu itu.

 “Saya selalu ke situ...dan saya salah seorang pelanggan tetap. Ingat lagi tak 4 tahun dulu? Kat situlah kali pertama saya nampak adik. Kali pertama jugak saya belanja adik kan?” Mengenang kisah lama adalah satu perkara yang menyeronokkan. Rima malu-malu mendengarnya. Dia diam menikus. Tidak tahu hendak membalas kata-kata Sulaiman.

 “Haaa, dah sampai pun...sedar tak sedar je. Terasa cepat pulak masa berlalu.” Ucap Sulaiman yang mengandung seribu makna dan hanya dia sendiri yang tahu. Rima angguk lalu senyum. Sebaik lori berhenti, cepat-cepat Rima membuka pintu untuk turun. Kelam-kabut saja keadaannya. Sulaiman membiarkan saja. Dia faham Rima betul-betul tidak selesa.

 “Ada lagilah!” suara Rima yang kuat menunjukkan dia gembira. Iklan tentang rumah untuk disewa masih ada. Rima berjalan laju sambil tersenget-senget menahan sakit lecet di kakinya. Sulaiman mengekor dari belakang.

 “Ambik nombor telefon nilah.” Rima menggaru kepala, baru tersedar dia tidak membawa begnya.

 “Alaaa, pen dalam lori.” Omel Rima bermuka penat. Memang malas mahu berpatah balik untuk mengambil pen.

 Sulaiman mengambil sebatang pen dari celah kolar T-shirtnya lalu dihulurkan kepada Rima. Rima cepat-cepat mengambilnya dan terus mencatit nombor telefon yang tertera. Sulaiman pula asyik mencuri-curi pandang ke muka Rima. Bukan senang mahu menghabiskan masa bersama Rima.

“Heiii, engkau ke adik? Apa buat kat sini?” Pen dalam pegangan Rima hampir tercampak apabila tiba-tiba saja belakangnya ditepuk dengan kuat oleh seseorang. Sulaiman juga agak terkejut.

“Eh! Salwaaa!...tak sangka jumpa engkau! Adik cari rumah sewa.” Sebaik Rima menoleh, dia hampir separuh menjerit kesukaan. Tidak disangka akan bertemu dengan teman baiknya pada hari yang panas itu. Mereka berpelukan.

“Engkau pun ada, Ziman?” ujar Rima lagi dan menghadiahkan senyuman kepada Ziman.

“Biasalah...rumah aku kan tak jauh dari rumah Salwa. Saja aku mengekor dia tengok-tengok kedai yang dia nak sewa.” Ziman menjeling ke arah Salwa lalu mereka sama-sama tersenyum.

 Ziman menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Sulaiman. Sulaiman menyambut dengan senang hati.

 “Awak kan yang dulu makan ABC gunung dengan Rima?” tanya Sulaiman tanpa segan-segan.

 “Ya...sayalah tu. Ingat lagi ya abang...aaa, abang apa ya...dah lupalah.” Balas Salwa dengan ramah.

 “Sulaiman...Abang Sulaiman. Sedap sikit telinga ni dengar bila ada orang panggil abang. Terima kasihlah ya.” Seloroh Sulaiman yang mahu mengena.

 ‘Huh!...macam perli adik je tu!” bisik Rima yang buat-buat tidak dengar.

 “Sama-sama...dah biasa, kalau umur jauh memang saya panggil abang. Lainlah dia ni...kan Ziman?” sahut Salwa lalu mengusik Ziman pula. Sulaiman dan Ziman sama-sama ketawa kecil.

 Pertemuan tanpa disengajakan itu sangat menggembirakan mereka. Salwa sudah hampir berjaya dalam mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang peniaga. Untuk permulaan ini dia hanya mampu menyewa rumah kedai sebelum dapat memiliki rumah kedainya sendiri.

“Awak kata nak belanja ABC tadi...adik dah kering tekak ni.” Pinta Rima tanpa silu. Untuk makan percuma tidak perlu malu. Bukannya selalu. Sulaiman angguk lalu turut mempelawa Salwa dan Ziman untuk sama-sama menikmati ABC gunung.

“Tak baiknya engkau ni adik...panggillah Abang Sulaiman. Tu kan tanda hormat. Betul tak, Abang Sulaiman?” Sengaja Salwa berbuat begitu kerana dia tahu Sulaiman memang menyimpan hati terhadap Rima.

 ‘Isyyy!...Salwa ni memang nak kena!’ rungut Rima diam-diam.

“Adik...sini kejap...aku nak cakap sikit,” lalu Salwa menarik Rima agak jauh dari Ziman dan Sulaiman. Rima mengikut saja.

“Kenapa engkau sampai nak sewa rumah ni, adik. Kalau ikutkan rumah engkau tu tak adalah jauh sangat dari sekolah. Setau aku, engkau ni cukup tak suka nak duduk jauh dari ibu ayah engkau tu.” Salwa agak curiga dengan apa yang hendak dilakukan oleh Rima. Seperti tidak munasabah.

 Sebagai sahabat, Salwa selalu saja dapat menghidu sesuatu yang tidak kena pada diri Rima . Rima adalah sahabat terbaik yang tidak penah menimbulkan sebarang masalah. Rima teragak-agak untuk menyatakan apa yang sedang ditanggungnya kepada Salwa. Dia mengambil masa untuk berfikir.

 “Susah adik nak cakap, Salwa...buat masa ni biarlah adik cuba selesaikan sendiri. Kalau adik perlukan engkau nanti, adik cari engkau ya. Jangan kecik ati tau...adik cuma tak nak susahkan orang lain. Lagipun masalah ni taklah besar sangat pun.”

 Itulah keputusan Rima. Cukuplah hanya Juki yang tahu apa yang sedang ditanggungnya sekarang ini. Tidak molek menceritakan kekurangan keluarga sendiri kepada orang lain.

“Hmmm...okey, aku terima alasan engkau...tapi bila engkau perlukan aku, jangan tidak-tidak, ceritakan semuanya pada aku ya.” Pinta Salwa dengan berharap.

“InsyaAllah...engkau doakan adik akan dapat rumah kedai ni...bolehlah kita berjiran nanti ya Salwa.” Rima memberi jaminan.

“Dahlah...jom kita pergi gerai ABC, alang-alang Sulaiman...errr, Abang Sulaiman nak belanja, kita makan puas-puas nanti.” Rima ketawa malu-malu.

 “Haaa, baru betul...Abang Sulaiman!” usik Salwa lalu ketawa kuat.

Cepat-cepat Rima menekup mulut Salwa dengan tapak tangannya. Ziman dan Sulaiman serentak menoleh bila ada sisa suara Salwa yang masih boleh didengari. Rima menarik semula tangannya dari mulut Salwa dan berjalan dengan selamba ke arah kedua anak muda yang tidak sama umur itu. Salwa membontot di belakang. Kemudian mereka berjalan ke gerai ABC yang tidak jauh dari deretan kedai tempat mereka sedang berdiri. Salwa beriringin dengan Rima dan Ziman beriringan dengan Sulaiman.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.