“TIPAH dah lama nak tanya pasal Najmi, apa
cerita dia dan anak isterinya tu?” tanya Cik Tipah satu pagi di meja sarapan
ketika melayan Tan Sri Azizan yang tinggal berseorangan. Rindu benar dia dengan
anak lelaki tunggal Tan Sri Azizan yang dipelihara sejak lahirnya itu.
Tan
Sri Azizan memandang wajah yang bertanya. Dia tahu setelah kematian isterinya,
Cik Tipahlah yang banyak membantu dia mengurus rumah itu walau dalam keadaan
cacat. Tan Sri Azizan benar-benar terhutang budi dengan Cik Tipah yang bertahan
menunggu dia dan keluarganya.
“Hurm...
entahlah,” sahut Tan Sri Azizan malas.
Perangai Najmi mengecewakan Cik Tipah yang
membesarkannya sejak kecil. Perangai Najmi membuatkan Cik Tipah rasa bersalah
di atas kematian Puan Sri Normah. Sebab itu Tan Sri Azizan cuba mengelak dari
menjawab pertanyaan tentang Najmi yang kini sudah diketahui akan kedudukan
rumahtangganya yang mula dilanda badai itu.
“...kalau dia sedar dirinya siapa,
baliklah dia tu nanti,” jawab Tan Sri Azizan cuba menyenangkan hati Cik Tipah.
Cik Tipah tu bukan apa... dia kasihan
melihat lelaki itu menduda begitu lama. Kasihan melihat dia bersendirian. Jika
ada anak dan cucu tinggal bersama, tentu dapat menghiburkan hatinya yang
kerinduan. Cik Tipah hanya dapat membantu mana yang mampu sahaja.
“Habis...
hal abang tu macam mana?”
Tan
Sri Azizan melurutkan sedikit akhbar yang
dibacanya itu sambil mengangkat kening bertanya.
“Hal
apa?”
“Hal
yang Tipah dan Pak Hussin cadangkan tu?”
Sudah beberapa kali dia cadangkan agar Tan
Sri Azizan mengambil setiausaha di Mega Bina Holdings itu menjadi isterinya.
Kebetulan juga Pak Hussin ada memberitahu bahawa si setiausaha itu juga
kebetulan baharu sahaja menjanda.
“Tipah
rasa... sesuai ke?”
Tan
Sri Azizan masih bertanya tetapi wajahnya disembunyikan di sebalik akhbar yang
dipegang. Malu kut? Dah pangkat ayah aje dia dengan Nur Najwa tu. Makanya dia
pulak bukan dari golongan lelaki yang macam Dato’ Khairy tu asyik kerja hendak
mencari saja... tak cukup dengan satu.
Cik
Tipah memandang mencari wajah Tan Sri Azizan. Kemudian dia memberikan senyuman
nipis segaris.
“Kata
Ustaz Kazim Elias, orang lelaki ni tak patut menemui Allah dalam keadaan dia
bujang.”
Cik Tipah tiba-tiba dapat idea untuk
menyuarakan apa yang didengar dari ceramah Ustaz Kazim Elias dalam sebuah
program yang membincangkan perihal kekeluargaan di Astro Oasis dengan tajuk
Kalau Dah Jodoh.
“Abang kan seorang yang berkemampuan dari
segi zahir dan batin?”
Tan
Sri Azizan cepat melipat akhbar bila Cik Tipah buka kisah berkahwin lagi. Seram
sejuk dia jadinya. Kisah lamanya mula berlumba-lumba mahu memutarkan tayangan
percuma di minda pagi-pagi buta itu yang boleh membuatkan moodnya tonggang
terbalik pula nanti.
Cawan kopi diangkat ke bibir. Kopi yang
sudah sejuk itu terus dihirup sekali nafas. Memang kurang sedap masuk ke
tekaknya. Sedap lagi kopi yang dibekalkan oleh Pak Hussin pada setiap pagi. Dia
pura-pura menelek jam di pergelangan tangan.
“Abang
pergi dululah,” kata Tan Sri Azizan cepat mahu melarikan diri.
“Fikirkan
cadangan Tipah tu bang!”
Tan
Sri Azizan hanya angkat sebelah tangan tanpa menoleh lagi.
HARI itu, Mega Bina Holdings melancarkan penjualan
rumah Bina Ceria di atas tanah berkeluasan 300 ekar. Mereka yang berminat
dialu-alukan datang melihat rumah contohnya. Seawal pagi, kawasan di hadapan
bangunan Mega Bina Holdings itu telah dipenuhi orang ramai yang datang berduyun-duyun
untuk dibawa melihat rumah contoh yang telah disediakan.
“Inilah
rumah kedai tiga pintu yang papa beli tu.”
Nur
Najwa terdengar suara seperti yang dikenalinya berada sama di dalam ruang yang
tertebeng dengan logo sebesar alam bertulis ‘We Deliver Home In Paradise’ yang
berlambangkan rumah di dalam taman. Replika model-model rumah dan pelan
pembangunan Bina Ceria dipamerkan di atas meja besar di tengah-tengah ruang
pameran untuk dirujuk oleh pelanggan.
Setiap blok rumah akan di sertakan dengan
sebuah taman untuk penghuni berehat bersama anak-anak di hujung minggu atau
beriadah kerana tersedia laluan berbasikal dan untuk orang berjoging. Di hadapan
setiap rumah itu sudah ditanam dengan pokok-pokok yang dapat menyejukkan si
penghuni itu sendiri. Tidak seperti sesetengah taman perumahan yang lapang
tanpa ditanam dengan pokok-pokok yang boleh menyebabkan kawasan tersebut
menjadi sangat panas.
“Excuse
me?”
Nur
Najwa menoleh ke arah suara yang sudah dekat di lubang telinga.
“Karl?” ucapnya sedikit terkejut walaupun
tadi dia memang sudah menyangka jejaka itu berada sama di situ.
“Meet
my mom, Datin Sabariah.” Khairul Syafiq memperkenalkan mamanya kepada Nur
Najwa. Mereka bersalaman. “Inilah Nur Najwa yang Along ceritakan pada mama tu.”
Sudah
beberapa kali dia membuka cerita tentang Nur Najwa dengan mamanya untuk memberi
klu tentang kemahuannya. Akhirnya dia dapat peluang untuk mempertemukan wanita
yang sering diceritakan itu dengan mamanya di majlis pelancaran rumah berkembar
Bina Ceria, anak syarikat Mega Bina Holdings.
Datin
Sabariah merenung Nur Najwa dari atas ke bawah. Perempuan janda berhias inilah
rupanya yang ditunggu oleh anaknya dan sama digilai oleh suaminya. Patutlah... memang
manis wajahnya dan kelihatan murah senyumnya. Namanya sudah lama didengar,
tetapi itulah pertama kali dia berpeluang melihatnya dari dekat. Dia memang
sudah lama menyimpan hasrat untuk bertemu empat mata dengan wanita yang
bergelar janda berhias yang diminati oleh suaminya itu. Perubahan pada diri
suaminya itu cepat sahaja dihidu.
“Papa ada projek baru ke Along?” tanya
Datin Sabariah satu petang ketika kelibat anaknya itu baru sampai ke rumah.
Geram betul dia bila ditanya kepada
suaminya tidak mahu mengaku pula. Tetapi angin sepoi-sepoi bahasa sudah mula
meniup cuping telinganya dengan gosip yang berbau skandal itu. Entah apa biji
butir yang diborakkan oleh teman-teman di kelab itu tidak didengarnya... yang
pasti ayat ‘janda berhias’ itu lepas sahaja masuk ke lubang telinga. Setelah
dikaji selidik, ternyata Nur Najwa itulah orangnya. Memang ayu dan manis... muda
pula tu, siapa yang tak makan hati?
“Kenapa?”
bertanya Khairul Syafiq pula.
“Orang dekat kelab tu dah puas bercakap,
mama aje yang pekakkan telinga.” Datin Sabariah mengadu kepada anaknya. Tentu
anaknya itu tahu apa projek yang sedang dijalankan oleh bapanya.
Pejam celik mata Khairul Syafiq mengingat.
Rasanya memang tak ada projek terkini kerana pejabat baru Maya Sutera itu pun
masih belum siap kerja-kerja pengubahsuaiannya. Dia banyak di lokasi lama jadi
disangkanya papanya tentu sibuk mengurus lokasi yang baharu.
“Rasanya tak ada ma, tapi tak tahulah
kalau papa tak beritahu Along pasal tu.”
“Along tolonglah tengok-tengokkan sikit
papa tu. Dia kan dah pernah menduakan mama dulu, tak mustahil dia ada agenda
untuk pasang lagi satu,” ujar Datin Sabariah yang seakan dapat menghidu rasa
kurang enak kebelakangan ini.
“Mama dah letih hendak melayan
perangainya. Kalau dia masih mahu mencari yang lebih baik dari mama, kali ini
mama akan mengalah. Biarlah dia rasa hidup dengan isteri baru tanpa mama. Biar
pula dia rasa susah senangnya hidup membina semula rumahtangga di usianya itu.”
“Mama rasa papa ada skandal ke?”
Datin Sabariah angkat bahu. Jika memang
sudah tertulis dia bakal hidup bermadu, dibuat bagaimana baik pun, perkara itu
tetap juga akan berlaku. Sekarang ini dia pasrah jika benar berlaku lagi.
Daripada suaminya main sorok-sorok yang boleh menambah sakit hatinya, biarlah
dia minta dilepaskan. Kalau dah tinggal sendiri, dia bebas lakukan apa yang dia
mahu tanpa rasa cemburu di hati.
“Dia sukakan janda berhias, yang kerja di
Mega Bina tu,” tutur Datin Sabariah sebak.
Siapa yang tidak merasa sedih bila sudah
berusia begini suami mula pasang angan-angan untuk mencari yang muda? Sedangkan
dia sendiri sudah sama berusia, tidak sedarkah?
“Lelaki ni
makin tua makin laku Datin.”
Teringat
kata-kata seorang dari temannya yang menyampaikan berita itu kepadanya pada
suatu hari.
“Lagi-lagi
lelaki yang berharta macam Dato’ tu.”
Yalah... nak buat macam mana? Bukannya
boleh diputar kembali masa yang lalu. Lebih baik dia mengalah dari dia terus
berbalah yang akhirnya bisa mengundang parah. Tidak perlu dia bertekak untuk
menegakkan haknya sedangkan si suami masih dengan kehendaknya. Lagipun anak-anaknya
sudah besar, mereka tahu dan mengerti apa yang berlaku nanti.
“Janda berhias? Siapa tu?”
Datin Sabariah merenung wajah anaknya.
Oo... dia terlupa bahawa anaknya sama sukakan janda berhias itu, Cuma mungkin
dia belum mengetahui identiti sebenar perempuan itu. Kalau untuk anaknya dia
memang setuju benar. Tetapi sekarang wanita itu sedang menjadi rebutan antara
anak dan suaminya pula.
“Najwa yang Along selalu cerita dengan
mama tu?”
“Hah!?”
Datin Sabariah angguk.
“Papa minat dengan Najwa tu juga? Biar
betul mama ni...”
“Ya! Kalau tak percaya cuba tanya
Budin...”
Puas Budin, pemandunya itu disoal siasat
berhubung dengan resit dari Blooming Florist yang ditemuinya itu. Mau tak mau,
si Budin terpaksa memberitahu walau dia dah ‘kaw tim’ baik punya dengan si Tina
penyambut tetamu Mega Bina Holdings itu.
“Ada
yang berminat?” Pertanyaan dari Nur Najwa itu memecahkan lamunan Datin
Sabariah. “Kalau rasa tak cukup besar, yang rumah berkembar ni boleh ambil dua
pintu sekali, tapi kena renovate sikitlah,” ajar Nur Najwa kerana tadi ada
beberapa pasangan yang mendapat idea sebegitu.
Jika
hendak membeli sebuah banglo, harganya agak mahal juga. Jika diambil rumah
berkembar itu terus dua pintu, memang tidak dinafikan akan keluasannya. Satu
pintu rumah berkembar mempunyai 4 bilik tidur dan 3 bilik mandi. Bayangkan jika
diambil dua pintu sekali? Mau tak besar jadinya? Bolehlah dapat halamannya kiri
dan kanan sekali walaupun tidaklah sebesar padang bola. Boleh juga memuatkan
sehingga 6 biji kereta.
“Mama
berminat ke?” tanya Khairul Syafiq kerana tadi mamanya beria-ia minta dibawakan
ke situ apabila dia mendengar ada pelancaran rumah contoh Mega Bina pemaju Bina
Ceria itu.
“Bukankah
papa kamu dah beli rumah kedai tiga pintu di Jalan Senyum Ceria tu?” sahut
Datin Sabariah. “Nak buat apa banyak-banyak rumah?” sambung Datin Sabariah
lagi. Banyak rumah kang, pandai pula dia pasang cawangan, fikir Datin Sabariah.
Padahal niatnya memang mahu ketemu dengan tuan yang empunya nama Nur Najwa itu.
Serta
merta Nur Najwa berdeham dan terbatuk beberapa kali. Terkejut betul dia dengan
insiden tengah hari itu. Pernyataan dari Datin Sabariah tadi terus membawa
mindanya kepada Dato’ Khairy. Kalau Datin Sabariah tahu suaminya pernah cuba
memikat dirinya, macam mana? Mau kena ganyang tengah khalayak ni pula karang.
Adoi!
Pada
hari pelancaran itu, pengunjung yang datang untuk melihat rumah contoh dijamu
dengan makanan seolah Tan Sri Azizan itu sedang mengadakan kenduri kahwin pula.
Nur Najwa cepat mengajak Datin Sabariah ke khemah untuk menjamu selera. Datin
Sabariah yang terasa mahu sangat mendekati Nur Najwa itu menurut.
“Jom
Along! Mama rasa lapar pulak,” katanya sambil melihat jam di tangan yang sudah
menunjuk hampir ke pukul satu tengahari.
Mereka
bertiga beriringan ke khemah yang ditempatkan di luar bangunan pejabat rumah
contoh itu. Datin Sabariah sengaja mencari peluang untuk duduk semeja dengan
Nur Najwa agar dia dapat bercakap empat mata dengan Nur Najwa yang menjadi
rebutan antara anak dan suaminya. Adakah Nur Najwa tahu akan hal itu? Adakah
Nur Najwa sengaja mahu memporak perandakan rumahtangganya? Semua itu akan
diselidikinya.
“Dah
lama kerja dengan Mega Bina?” tanya Datin Sabariah ramah.
“Dekat
empat tahun,” jawab Nur Najwa lurus.
Datin
Sabariah angguk sambil matanya memandang ke arah Khairul Syafiq yang sedang
mengisi makanan di dalam pinggan di meja buffet.
“Boleh
saya jumpa awak bila-bila satu hari nanti?” Datin Sabariah cuba mengatur satu
temujanji. Masakan dia mahu bertanya di situ? Jika didengar oleh anak
kesayangannya itu bagaimana?
Nur
Najwa berpusing memandang wajah yang bertanya. “Boleh Datin, tak ada hal... tapi
ada apa ye?”
Mata Datin Sabariah masih mengerling
melihat kelibat anaknya. Nur Najwa macam sudah mengagak apa yang mahu
dicakapkan oleh Datin Sabariah kepadanya.
“Di
sini tak sesuai... saya tak nak Karl dengar. Nanti saya call waktu lunch hour
esok,” ujar Datin Sabariah.
“Sure,”
jawabnya sopan.