Home Novel Komedi/Romantik Komedi YANG MANA SATU NI?
Bab 7 ~ Usaha meneruskan misi

KHAIRUL Syafiq senyum mengingat waktu di Mega Bina Holdings setelah menemui wanita yang tiba-tiba sahaja dapat memikat hatinya. Kalau dia tahu, sudah tentu dia bawa sama sekampit gula yang masih disimpannya itu supaya wanita itu terus mengenalinya.

Waktu itu dia kelam kabut ke premis 7 Eleven usai solat maghrib dan isyaknya di masjid. Mujur premis itu sahaja yang masih dibuka... sempatlah dia mencari pencukur janggut. Mamanya dah bising-bising minta dia mengambil alih Maya Sutera sepanjang siang itu...

“Along rasa perniagaan ni tak sesuai dengan jiwa Alonglah?”

Khairul Syafiq rasa malu pula bekerja di kelilingi perempuan yang ramai. Entah mengapa dulu dia ikut sangat kehendak mamanya yang mengarah dia mengambil jurusan fashion designer. Sempat dia bekerja di negara barat setelah tamat pengajian, tetapi tiba-tiba dia merasa tidak sesuai pula.

Pergaulan diantara lelaki dan wanita bukan muhrim serta pendedahan aurat ini sudah macam perkara biasa sahaja. Model-model bertukar baju dengan selamba di depan matanya.

“Apa maksud Along tak sesuai?”

Datin Sabariah yang mendengar pelik. Elok aje dia tamat pengajian ijazahnya? Sempat pulak ditawarkan bekerja dengan syarikat pakaian yang ternama di negara barat itu. Dia sama tumpang gembira dan bangga punya anak yang terpilih. Bila anaknya menyampaikan hasrat untuk pulang dan bekerja di negara sendiri, dia tambah suka kerana mereka sudah ada butik pakaian Maya Sutera.

“Rekaan pakaian tu rasanya sesuai untuk orang perempuan aje ma... Along ni kan lelaki?”

“Sekarang ni kerja lelaki, perempuan boleh buat, begitu juga kerja orang perempuan, lelaki pun mampu buat. Tengok aje chef terkenal di dunia ni, Jamie Oliver, Anthony Bourdain, Gordon Ramsay dan Chef Wan tu semua kan lelaki?” Bebel Datin Sabariah yang hanya ada dua orang anak lelaki itu.

Kalau mahu berkira sangat, mana nak dicari anak perempuan pada usianya itu? Kalau hidup bermadu itu tidak sakit, sudah tentu dia tidak payah hendak sibuk-sibuk semasa suaminya dulu beristeri muda. Masalahnya, hati manusia ini penuh dengan cemburu dan rasa iri hati. Biasalah... lelaki ni, jika dah dapat yang muda karang, asyik melayan yang itu sahaja mentang-mentang yang isteri tua tu memang dah tua. Masa mula-mula mintak kebenaran untuk beristeri lagi tu... bukan main lembut gigi dari lidah. Berjanji mampu berlaku adillah konon. Datin Sabariah sudah tahu benar kisah rumahtangga yang bermula dengan persengketaan akibat tidak berpuas hati dan akhirnya salah seorang akan ambil keputusan untuk mengundurkan diri.

Khairul Syafiq angkat dua tangan. Kalau hendak berdebat, memang panjang lebar jadinya. Fashion designer dengan kerjaya chef itukan banyak bezanya?

“Tengok Salikin Sidek tu... boleh aje berjaya dengan kerjaya menjahitnya? Siap ada butik di Ampang Park dan SACC Mall lagi,” sambung Datin Sabariah lagi tidak puas hati kerana anaknya seolah menyalahkan dia kerana memilih jurusan pereka fesyen sebagai kerjaya.

Memang itu tujuan asalnya. Mereka sudah ada butik pakaian, jadi anaknya yang bakal mewarisi usaha yang dilakukan itu haruslah ada kepandaian dari segi barang yang mahu dipasarkan. Dia berharap benar salah seorang dari dua orang anak lelakinya itu dapat meneruskan perniagaan yang dijalankan.

“Yalah... esok Along akan mulakan kembali tugas di Maya Sutera,” sahut Khairul Syafiq cepat mengalah untuk memuaskan hati mamanya.

Hatinya kini sudah mula merasa tenang dan senang setelah dapat mengetahui di mana mahu mencari perempuan yang empunya sekampit gula itu. Kasihan betul dia melihat wajah terkejut perempuan itu malam kelmarin.

Perempuan itu juga sama kelam kabut masuk ke 7 Eleven malam itu. Nampak dia seolah mencari sesuatu. Perempuan itu tidak menoleh kiri dan kanan sehingga tersenggol dia yang sedang terbongkok-bongkok memilih pencukur janggut di rak bersebelahan.

“Opocot!” jeritnya terkejut.

Mujur dia yang disenggol tadi tidak tersungkur dan terperosok masuk ke dalam rak di situ. Ganas betul gayanya. Perempuan itu pula dilihat hampir melompat terkejut melihat wajahnya yang berjubah dan berserban putih malam itu. Apatah lagi malam itu malam Jumaat. Nampak dia mengurut dada. Hehehe... lawaknya!

“Maaf tuan,” ucapnya sopan. Walau dia sedang terbongkok-bongkok dan terjengkit-jengkit mencari sesuatu di rak, nampak sesekali perempuan itu mengerling ke arahnya.

Mereka kemudian sama-sama ke kaunter bayaran. Perempuan itu dilihat masih terkial-kial membuka dompetnya. Dia yang menunggu di belakang perempuan itu sesekali menjengah ke depan melihat apa masalahnya.

“Tak apa... saya boleh tolong bayarkan. Cuma gula ni aje kan?” Dia cuba membantu dengan bertanya kepada cashier 7 Eleven yang bertugas bila didapati perempuan itu seakan tidak cukup wang untuk membayar harga sekampit gula itu. Alah! Berapa sen aje pun... kira sedekah sudahlah.

Perempuan itu menoleh ke belakang memandang wajahnya dengan pernyataan itu.

“Tak apalah... saya tak jadi beli,” jawabnya kepada cashier 7 Eleven sambil menolak gula itu ke tepi apabila didapati dia tidak mempunyai wang tunai yang mencukupi. Kesiannya!

“Tak apa dik, abang bayarkan harga gula kakak tu.”

Dia kemudian keluar mahu menyerahkan bungkusan gula yang dibeli kepada perempuan itu, tetapi hampa kerana kelibatnya sudah tiada lagi di di situ.

Khairul Syafiq senyum lagi... kali ini dia harus mengatur strategi bagaimana mahu memikat perempuan itu pula. Sudahkah dia berpunya?

“Dah kenapa gelak pulak tu?” tanya Dato’ Khairy yang melihat banyak perubahan berlaku pada anak sulongnya itu. Sekarang ini nampak dia ceria sepanjang masa. Kerja-kerja yang diarah untuk menguruskan cawangan butik baru di rumah kedai sederet tiga pintu itu berjalan dengan lancar sekali walau itu pertama kali kerja yang sedikit rumit diserahkan di bawah tanggungjawabnya.

Dulu tu beria-ia mengelak tidak mahu mengurus Maya Sutera dan memberi alasan bahawa kerjaya itu tidak sesuai untuknya. Sekarang ini, apa pula yang telah membuat anaknya itu begitu rajin sekali membuat segala urusan yang diarahkannya?

Khairul Syafiq geleng kepala.

Mereka di meja sarapan pagi itu dijamu dengan bakso buatan Ibu Kartini. Wanita itu memang bagi orang mengantuk pagi-pagi dengan menu beratnya.

“Kalo pagi, makannya biar kenyang... orang yang tidak bersarapan pagi akan mudah mengalami obesitas.” Begitu pesanan Ibu Kartini kepada mereka semenjak dia diambil bekerja di rumah itu. Entah dari mana dia belajar... tetapi apabila dikaji dari segi saintifik, ternyata benar pula. Ada pepatah Inggeris yang mengatakan ‘Eat breakfast like a king, eat lunch like a prince and eat dinner like a pauper.’

Idea di sebalik mengambil makanan berat pada waktu pagi adalah untuk menyediakan banyak tenaga bagi mereka yang bekerja dan bersekolah. Di samping itu, kalori dalam makanan yang diambil pada waktu pagi diproses dengan lebih cekap berbanding makanan yang dimakan pada waktu malam. Kajian penyelidikan juga menyokong idea ini. Namun, kalau dah pagi-pagi pekena bakso dengan sambal kicap cili api... mau berulang ke tandas tak berhenti.

Dato’ Khairy dan Datin Sabariah berpandangan diantara satu sama lain. Mereka kemudian sama-sama memandang anaknya yang kini sedang berselera benar menyudu bakso Ibu Kartini.


SELESAI bersarapan, Dato’ Khairy, Datin Sabariah dan anak mereka Khairul Syafiq beralih ke ruang tamu. Mereka mahu mendengar penjelasan dari anaknya tentang perubahan yang berlaku, Kata kelmarin mahu ke UK di tempat adiknya belajar dan dia sendiri mahu menyambung pengajian Master. Tetapi, tiba-tiba dia balik sebagai salah seorang dari jemaah Tabligh pula.

“Along mencari reda Allah ma,” cerita Khairul Syafiq membuka mukadimah. “...selama Along tinggal di rumah ni, Along tengok keluarga kita ni sibuk dengan harta dunia. Papa dengan mama tentu tahu, semua itu tak akan dibawa mati,” tegur Khairul Syafiq berani.

“Eh? Kamu dah nak mengajar kami pulak ke?” marah Dato’ Khairy.

Khairul Syafiq cepat mengangkat dan mengembangkan kedua-dua tangannya.

“Along mintak maaf... Along sebagai anak berhak menegur apa yang tidak betul kerana Along sayangkan papa dan mama. Sabda Nabi s.a.w, ‘Apabila mati seorang anak Adam, maka putuslah amalannya kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanafaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.’

Along nak jadi anak yang soleh itu sebagai tanggungjawab Along kepada papa dan mama. Along kagum tengok adik... walau sibuk dengan kuliahnya, dia masih mampu berdakwah dengan caranya.” Terang Khairul Syafiq panjang lebar.

Dato’ Khairy dan Datin Sabariah sama berkerut dahi mendengar penjelasan anak sulongnya itu.

“Adik pun berserban juga ke?” tanya Datin Sabariah.

Khairul Syafiq menggeleng. “Pakaian tu cuma sunnah aje ma, Islam tidak memberatkan umatnya untuk mengikut-ngikut adat sesuatu bangsa itu... yang dipentingkan adalah sunnah syariat itu sahaja.”

“Habis yang kamu sibuk berserban juga ni, kenapa?” soal Dato’ Khairy pula kerana pagi minggu itu, dilihat Khairul Syafiq pulang dari solat subuh berjemaah di surau dengan pakaian jubah dan berserban.

Khairul Syafiq melemparkan senyum tanpa gula. “Hehehe... Along saja nak beri kejutan pada papa dan mama.” Jawabnya santai.

“Bila nak kahwin ni? Papa dan mama bercadang nak mengerjakan umrah tahun depan. Mulai sekarang kami sudah mahu membuat persediaan dan menghadiri kursus yang disediakan itu,” ujar Dato’ Khairy. “Kalau kamu dah beristeri, senang hati kami hendak meninggalkan kamu nanti.”

“Alhamdulillah,” sahut Khairul Syafiq sambil meraup wajah. Tidak tersangka ada perubahan yang berlaku dengan kedua ibubapanya. Selama dia berdakwah, memang dia sentiasa mendoakan papa dan mamanya agar berhijrah ke jalan yang diredai Allah.

“Along ada misi yang masih belum selesai, lepas itu nanti baru Along beritahu mama tentang itu.”
“Misi apa pulak ni? Berapa lama lagi?” tegur Datin Sabariah.

“Adalah... nanti kalau Along dah dapat apa yang Along hajatkan itu, papa dan mama kena tolong Along.”

Dato’ Khairy memandang wajah isterinya dan mengangkat kening bertanya. Datin Sabariah pula hanya angkat bahu kerana dia sendiri tidak dapat membaca misi apa yang sedang dijalankan oleh anak sulongnya itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh