PAGI itu terasa sejuk sekali. Selepas
menunaikan solat subuh, Pak Din membuka pintu belakang rumah yang terus
menghadap jalan di sebelah belakang. Bahagian belakang rumahnya itu memang
tidak bertanah lagi kerana isterinya mahukan dapur yang luas untuk kegunaannya
yang sering mendapat tempahan nasi lemak dan kuih muih.
Hanya longkang besar sahaja yang
memisahkan dapur rumahnya dengan jalan sebelah belakang itu untuk laluan lori
memungut sampah. Hujan lebat yang turun sepanjang malam hingga ke subuh itu
membuatkan longkang di belakang itu bersih dari kotoran. Jika tidak tu ada juga
nampak tersangkut dengan lampin pakai buang entah anak siapa yang punya.
Mungkin tidak dimasukkan ke dalam tong sampah yang bertutup, maka sampah-sampah
itu habis dikais oleh anjing-anjing liar pada waktu malam.
Pak Din mendepangkan tangan mengeliat
beberapa kali. Sakit badannya jika tidak bekerja... tetapi pada cuaca yang
panas beberapa hari lepas, dia memang tidak mampu hendak ke rumah arwah Mak
Siti untuk membersihkan lamannya.
Sudah hampir sebulan dia tidak pergi
menjengah rumah itu. Memang tidak ada orang yang menghuninya, tetapi
budak-budak nakal di kampung itu yang dirisaukan. Anak-anak remaja yang ponteng
sekolah suka benar lepak di rumah tinggal itu kerana ianya terletak di sebelah
belakang dari jalan besar. Rumah yang sudah uzur itu tidak mampu bertahan walau
dipasangkan dengan mangga sebesar penumbuk pun.
Pak Din pula sibuk mengikut kontrak
memasang kabel letrik di kawasan pedalaman sebuah kampung yang mendapat
peruntukan dari kerajaan. Walaupun dia sudah melepasi usia pencen, namun jika
diperlukan untuk kerja-kerja penyambungan wayar kabel itu, dia turut jua. Siapa
yang tidak perlukan duit, kan? Jika sudah demikian, bila masa dia hendak ke
sana ke mari? Masalah dengan anak perempuan bongsunya ini pun masih belum
berakhir lagi. Sekejap jadi sekejap tak jadi... hisy!
“Saya nak ke rumah Mak Siti tu hari ni... kalau
hari cerah karang, saya nak meracun.”
Mak Zah yang sedang menyediakan sarapan
pagi itu menoleh suaminya yang hanya berkain pelikat tanpa baju ke hulu ke
hilir dalam rumah yang tidak luas mana itu. Orang sejuk-sejuk, dia boleh
berlenggeng pulak, desis Mak Zah.
“Nak ke rumah Mak Siti ke nak ke warung
Pak Ya tu?” sindir Mak Zah yang nampak suaminya macam tidak senang duduk.
“Ei? Kalau tak percaya... jomlah ikut
sekali,” marah Pak Din dengan sindiran isterinya itu.
Mak Zah menjeling. Eleh! Siapa entah yang
hendak mengikut dia ke sana tu? Gumam Mak Zah yang memang fobia betul kalau
tersebut nama Mak Siti. Namun, bukan Mak Siti itu yang dirisaukan... tetapi
anaknya Cik Tipah itu yang pernah dikenenkan dengan Pak Din. Walau cerita itu
sudah lama berlalu, cemburu itu tetap ada tersemat di hati kerana kejayaan
hidup Cik Tipah dengannya amat jauh berbeza bak langit dan bumi.
MAK ZAH yang baru pulang dari bandar itu menggaru
kepala yang tidak gatal. Dia rasa hendak menjerit tadi bila dilihat baki akaun
ada tambahan lagi sejumlah RM50,000. Gila! Siapa yang telah tersilap
menyalurkan wang sejumlah itu ke akaunnya? Nazrikah? Atau Najwakah? Namun, nama
Pak Din suaminya memang tidak masuk di dalam senarai sangkaannya itu. Hendak
dikatakan duit ASBnya... sudah tentulah ASB ada bukunya sendiri.
Dia menumpang Maimon untuk ke bank
mengambil wang, langsung ke Pejabat Pos membayar segala bil, cukai pintu dan
cukai tanah. Maimon ada mengajak singgah ke kedai kain Jakel yang baru sahaja
dibuka di daerah mereka itu, tetapi Mak Zah tidak pula memberitahu Pak Din dia
hendak ke situ bimbang berlama-lama nanti, dimarahi oleh Pak Din pula jika dia
pulang dari meracun, dilihat Mak Zah masih belum berada di rumah.
Sudah diajak suaminya sejak awal pagi,
tetapi Pak Din bilang dia mahu meracun lalang di rumah arwah Mak Siti. Jika dia
tidak berbuat demikian, bermakna mereka tidak amanah dengan wang yang telah
disalurkan kepada mereka setiap bulan itu. Biasanya wang yang dimasukkan ke
akaun Mak Zah itu berjumlah sebanyak RM5,000 termasuk perbersihan 5 ekar kebun
sawit, upah pekerja untuk memotong buah, meracun dan membaja.
Jika Pak Din sama membuat kerja-kerja itu,
dapatlah dia untung lebih sikit. Jika dia berangan nak jadi mandor, memang
dapat tengok ajelah duit yang diamanahkan untuk mengurus kerja-kerja
pembersihan itu.
Anak perempuan arwah Mak Siti yang dua
orang itu dikatakan berkahwin dengan orang kaya di bandar, jadi setakat RM5,000
itu tidak jadi kudis kepada mereka. Main percaya aje semenjak Mak Siti
meninggal dunia dahulu lagi. Wajah-wajah mereka memang tidak pernah muncul ke
kampung itu untuk menjenguk rumah pusaka yang ditinggalkan. Kalau Pak Din dan
Mak Zah tu jenis orang yang tidak amanah... tentu mereka sudah lama jadi orang
kaya dengan habuan yang disalurkan kepada mereka setiap bulan itu. Manakala
wang hasil jualan sawitnya pula Cik Tipah minta didermakan ke tabung surau di
kampung itu selepas kematian ibunya, Mak Siti.
Namun, beberapa minggu lepas, Cik Tipah
ada menelefon akan memasukkan sejumlah wang bagi membaiki rumah pusaka itu
kerana katanya dia akan pulang untuk tinggal di situ. Pak Din pula tidak berani
untuk meneruskan arahan itu tanpa tuannya, maklumlah dia perlu tahu lebih
terperinci juga rumah yang bagaimana yang dimahukan oleh Cik Tipah itu, kan?
PAK Din yang keluar dari bilik air usai mandi
untuk bersolat zohor itu pelik melihat isterinya yang masih tergaru-garu
punggung dengan tudung kepala yang masih belum dibuka.
“Awak
dah kenapa?” soal Pak Din yang menyangka isterinya sudah tidak tertahan mahu
menggunakan bilik air di bawah itu.
“Bang!”
Mak Zah menarik tangan suaminya. Pak Din pula cepat mengelak.
“Saya
dah ambil wudhu’lah,” jerit Pak Din.
“Awak
tengoklah sini...” ajak Mak Zah yang mengembangkan buku banknya.
“Ada
apa?”
“Siapa
yang dah tersalah masukkan duit sejumlah RM50,000 ke dalam akaun saya ni?”
Hah?
RM50,000? Pak Din cepat memanjangkan lehernya menjenguk baki yang ditunjukkan
oleh isterinya itu. Banyaknya?
“Takut
saya bang! Buatnya orang tu datang cari saya nanti, macam mana?” ujar Mak Zah
terasa risau benar dengan keadaan yang tidak disangka itu.
“Oh!
Itu duit untuk baiki rumah Mak Sitilah,” beritahu Pak Din.
Terlupa
pula dia Cik Tipah ada menyuruh dia mencari orang untuk membaik pulih rumah
arwah emaknya menerusi panggilan telefon pada petang Sabtu. Kebetulan isterinya
keluar menghadiri kuliah Keluarga Sakinah yang dikendalikan oleh Ustazah
Natrah. Dia berjanji akan memasukkan
sejumlah wang ke akaun Zakiah Harun, isteri Pak Din yang diamanahkan untuk
menjaga rumah dan kebun sawitnya sebagai
wang pendahuluan.
Tidak
disangka wang pendahuluannya besar sungguh. Kalau di daerah tempat tinggal Pak
Din itu, rumah kos rendah sudah boleh diperolehi dengan harga sekitar RM30,000.
Rumah bagaimana yang mahu dibina oleh Cik Tipah itu?
“Betul
ke?” tanya Mak Zah surut sikit rasa cemasnya.
Kenapa banyak sangat? Dia nak buat rumah
besar mana? Banyaknya duit dia? Begitu Mak Zah tertanya-tanya sendiri dalam
hati mengingatkan betapa senangnya mereka memperoleh wang sebanyak itu.
“Dia hendak duduk balik di rumah tu, tapitapi dia minta dirobohkan rumah lama dan dibina
baru.”
“Cik
Tipah? Dia dah nak pencen agaknya... itu yang dah nak balik ke kampung.” Mak
Zah meneka cerita. “Dah dapat EPFlah tu,” sambung Mak Zah yang memang tidak
pernah bekerja sejak dari muda.
Cemburu pula hatinya bila dengar orang
lain dapat EPF dan dapat duit pencen. Tetapi nasibnya baik juga kerana Nabil,
Nazri dan Nur Najwa ada memasukkan sejumlah wang setiap bulan ke akaunnya. Duit
upah Pak Din menjaga rumah dan kebun sawit itu juga dimasukkan ke akaun Mak
Zah.
Bagaimana rupa Cik Tipah itu? Cantik
sangatkah sampai setiap orang asyik bercerita tentang dirinya dahulu? Mak Zah
yang pernah jadi pembantu di warung Mak Siti semasa mudanya dahulu juga tidak
pernah berpeluang melihat Cik Tipah.
Cik Tipah itu dulu hanya dikenali dengan
namanya sahaja. Payah hendak berjumpa dengan orangnya yang tidak bercampur
dengan gadis-gadis di kampung itu kerana dia bersekolah di bandar. Kalau
adiknya si Normah tu memang Mak Zah kenal kerana Normah itu agak peramah orangnya.
“EH? Awak ni masih datang bulan lagi ke?” tanya
Pak Din yang sudah selesai menunaikan solat zohornya. Isterinya dilihat
terkebil-kebil masih menyandar di sofa.
“Apahal
pulak?” jawab Mak Zah menjeling tajam suaminya dengan pertanyaan berbau perli
itu.
“Siapkan
nasi, saya nak makan ni,” arah Pak Din.
Penat dia pagi ini meracun di sekitar
kawasan rumah arwah Mak Siti. Mujur cuaca hari itu molek... gerenti rumput dan
lalang yang diracunnya itu mati. Nanti senanglah jika Cik Tipah mahu datang
untuk melihat kerja-kerja merobohkan
rumah itu pula.
“Saya beli ajelah bang hari ni... mana
sempat nak masak lagi. Bukankah saya pun baru aje balik dari bandar tu?” jawab
Mak Zah terus bangun dan menapak ke dapur.
“Apa-apa ajelah,” sahut Pak Din yang sudah
ke singki mencuci tangan.
Tadi Mak Zah mengikut Maimon yang singgah
ke restoran makanan segera KFC. Sudah lama anak-anak Maimon mahukan ayam dari
restoran makanan segera itu. Puas dia sama memasak menggayakan ayam goreng ala
KFC, namun yang di restoran itu juga yang diidamkan oleh anak-anaknya.
“Ini namanya drive through Kak Zah,” ujar
si Maimon yang sudah memperoleh lesen memandu itu.
Sebab itu Mak Zah berani hendak mengikut
ketika dipelawa oleh Maimon sejak petang semalam. Mak Zah memang bercadang
hendak keluar ke bandar untuk mengambil sedikit wang buat belanja dan membayar
bil-bil. Kebetulan anak-anak Maimon tidak mengikut sama kerana semua bersekolah
pagi.
“Kalau bawak budak-budak, bukan boleh ajak
makan di sini... karang apa yang ditayang tu semua nak diorder,” bebel Maimon. “Ayahnya
pun main pesan ikut tingkap ni aje kak, itu yang Mon pun pandai tiru gaya dia.”
“Akak pun hendak jugalah Mon... orderkan
yang lima ketul spicy tu,” tutur Mak Zah menunjuk ke arah papan menu yang
ditayang di lorong pandu lalu.
“Kentang putar tu tak payahlah... macam
budak baru tumbuh gigi aje... bagi sayur yang saiz besar tu tak apa,” sambung
Mak Zah yang pernah dijamu dengan ayam KFC yang dibeli oleh Nur Najwa tetapi
dia memang tidak menyentuh kentang putar itu.
“Awak makanlah dulu bang, saya nak solat.
Karang dah terkenyang tak larat nak ruku’ pulak,” ujar Mak Zah setelah
menghidangkan ayam KFC masuk ke pinggan hidang. Sebotol air diambil dari peti
sejuk. Sebiji gelas pula dicapai dari rak pengering.