Home Novel Komedi/Romantik Komedi YANG MANA SATU NI?
Bab 4 ~ Cadangan Pak Hussin

     DI MEGA Bina Holdings, Tan Sri Azizan dan Nur Najwa sama sibuk ke hulu dan ke hilir bagi memastikan rumah-rumah contoh semua sudah siap untuk dipamerkan bagi tontonan orang ramai yang berminat dengan bentuk dan pelan rumah yang mereka sediakan. Tidak menang tangan Nur Najwa untuk beberapa hari itu bagi memenuhi kriteria rumah contoh yang mereka mahukan sebelum tarikh yang telah ditetapkan.

     “Sekarang ni memang trend Tan Sri,” jawab Nur Najwa bila Tan Sri Azizan sedikit berkerut kening melihat rumah contoh berkembar dua tingkat itu yang warnanya berlainan pada setiap bilik.

     “Yang colour pink ni, biasanya untuk bilik anak perempuan dan sebelah sana tu...” Nur Najwa menuding ibu jari ke bilik lagi satu di tepi tangga. “...colour biru, untuk anak lelaki.”

     Tan Sri Azizan tiba-tiba tergelak. Pecah ketawanya bila membayangkan bilik Noor Azizah dan bilik Najmi diwarnakan begitu.

     “Tan Sri tak suka dengan idea saya ke?” Soal Nur Najwa sedikit pucat mukanya kerana kerja-kerja sudah 90 peratus siap. Jika Tan Sri Azizan tidak suka dengan ideanya itu, mereka tidak punya banyak masa lagi untuk mengecat semula.

     “Sesuai ke katil ni untuk anak lelaki saya?” tanya Tan Sri Azizan sambil senyum melebar ke telinga memandang katil berbentuk kereta yang disediakan di dalam bilik yang berwarna biru muda.

     “Oo... ini contoh bagi mereka yang baru berkeluarga Tan Sri,” ujar Nur Najwa mengurut dada. Apalah Tan Sri ni... bagi orang kena heart attack aje. Pelanggan mereka selama ini memang rata-rata dari orang yang baru berumahtangga... tentulah anak mereka masih kecil-kecil lagi semuanya.

     “Warna-warna itupun boleh menarik minat pembeli juga,” sambung Nur Najwa lagi. “Perabutnya semua tu bekalan dari IKEA aje... di situ barangannya lebih moden.”

     Tan Sri Azizan angguk setuju.

     “Tapi saya dulu tak ada idea macam tu untuk anak-anak saya,” ucap Tan Sri Azizan sama memerhati ruang tengah bahagian atas yang peti TVnya dilekatkan terus ke dinding.

     “Bagus idea ni... tak banyak makan ruang.”

     “Lagipun untuk mengelak anak-anak kecil dari mengusik peti TV tu Tan Sri. Selamat sikit jika digantung terus ke dinding. Walaupun ruang atas ini tidak berapa luas, bila disusun atur begini, nampak bergaya juga, kan?”

     Tan Sri Azizan angguk lagi. Sesekali dia membuang pandang ke arah wanita yang lincah bekerja itu. Walaupun di dalam resumenya dia bukan dari lulusan Interior Designer, tetapi dia punya citarasa yang tinggi juga.

     “Tan Sri!” Panggil Pak Hussin dari tingkat bawah. “Dah pukul 12.30 ni,” beritahu Pak Hussin yang membelek jam di lengannya. Dia memang ambil berat tentang waktu makan dan rehat Tan Sri Azizan semenjak isterinya Puan Sri Normah meninggal dunia.

     “Okey,” sahut Tan Sri Azizan dari atas. “Jom Najwa,” ajaknya kerana Nur Najwa tadi datang ke situ bersamanya sekereta.

     Sudah seminggu ini Nur Najwa perasan apabila siap makan, Pak Hussin akan menyediakan ubat yang perlu diambil oleh lelaki itu. Sakitkah Tan Sri ini? Hatinya terdetik ingin tahu. Mereka bertiga di Aneka Hotel untuk buffet lunch. Pak Hussin yang sibuk promote makanan buffet di hotel itu kerana anak lelakinya ada bekerja di situ sebagai pengurus di bahagian sumber manusia. Pak Hussin kemudian diajak sama makan semeja dengan Tan Sri Azizan... nampak dia tidak berkira langsung dengan Pak Hussin pemandu peribadinya itu. Pak Hussin pula yang malu-malu hendak duduk dan makan dengan majikannya.

     “Makan ajelah apa yang kamu teringin Sin, di sini berapa banyak dan berapa kali kamu nak tambah pun tak kisah sebab dia dah kira untuk satu kepala,” ujar Tan Sri Azizan di hari pertama Pak Hussin diajak mengikutnya makan tengahari di situ.

     Biasanya dia minta dihantar balik ke rumah sahaja. Tetapi sejak kesibukan ini, makannya di hotel dan solatnya di surau atau masjid pula.

     Naik juling mata Pak Hussin hendak memilih lauknya. Anaknya si Shuhaimi tu jika balik ke rumah, selalu bercerita tentang menu yang terdapat di hotel itu. Tetapi bila anaknya mengajak dia dan isterinya makan tengahari di situ, isterinya menolak. Dia segan kerana harus berprotokol jika makan di hotel, bersudu garpu bagai. Tetapi bila Tan Sri Azizan yang mengajak tanpa isterinya, Pak Hussin memang tidak menolak.

     Rasa macam nak makan lauk-lauk kampung, ada jantung pisang cecah air asam. Ada lauk ikan masin masak cili api dengan nanas... huisy! belum apa-apa dah meleleh air liur dibuatnya. Nampak yang tengah menggoreng kuetiau itu sedap pulak... siap ada letak kerang lagi. Di sebelah hujung ada yang sedang memarut ais untuk air batu campur dan ada juga cendol pulut. Hai! Rambang betul mata, begitu hati Pak Hussin berkata. Tetapi rasa rugi pula datang dengan Tan Sri, jika tidak, boleh dia bertunggu bertangga di situ merasa kesemua yang kelihatan enak-enak belaka.

     “Ubat apa tu Pak Hussin?” tanya Nur Najwa apabila Tan Sri Azizan bangun untuk mengambil buah-buahan.

     “Darah tinggi,” jawab Pak Hussin. “Kalau saya tak ingatkan karang, dia buat-buat lupa aje.”

     Nur Najwa angguk. Kalau tengok dari penampilan Tan Sri Azizan ni nampak masih segak lagi. Maklumlah anak sulongnya dikatakan baru berusia dalam lingkungan 30an sahaja. Lebih muda dari ayahnya Pak Din kerana abang longnya sudah berusia lebih 35 tahun.

     “Kenapa dia tak nak kahwin lagi Pak Hussin?” tanya Nur Najwa begitu ingin tahu tentang urusan peribadi Tan Sri Azizan pula.

     Pak Hussin merenung Nur Najwa pelik. Jodoh itukan rahsia Allah? Masakan Pak Hussin tahu untuk menjawab soalan itu?

     “Kamu ajelah kahwin dengan dia...” Begitu tiba-tiba yang dijawab oleh Pak Hussin.

     Dalam seminggu itu, Pak Hussin nampak keakraban majikan dan pengurus pengganti Hans Yusof itu amat sesuai pula bila digandingkan. Sudah beberapa wanita kenalan Tan Sri Azizan yang Pak Hussin jumpa tidak pula memikat hatinya.

     “Eh! Pak Hussin ni buat lawak pulak,” marah Nur Najwa. Ada ke nak suruh kahwin dengan Tan Sri Azizan?

     “Apa yang lawaknya? Tentu kamu dapat pahala kerana dapat menjaga makan minumnya yang sudah lama menduda itu,” ujar Pak Hussin cuba mengingatkan.

     Nur Najwa terkedu dengan saranan Pak Hussin. Tiba-tiba dia jadi malu pula. Kelibat Tan Sri Azizan yang sedang mengambil buah-buahan di tengah dewan makan itu sesekali dikerling dengan penjuru mata. Terasa malu dengan Pak Hussin datang menerpa. Tidak disangka dalam diam Pak Hussin ada meletakan dia sebagai calon isteri Tan Sri Azizan pula.

     “Ala... apa salahnya, buat balas budi dia yang telah mengambil kamu bekerja di syarikatnya,” tambah Pak Hussin sedikit mengungkit pertolongan yang diberikan oleh Tan Sri Azizan dahulu.

     Betullah... waktu itu, si Hans Yusof sudah pun memilih calon untuk jawatan yang diiklankan. Nur Najwa memang tidak memenuhi kehendaknya. Tetapi Tan Sri Azizan masuk campur mahukan Nur Najwa yang direkomenkan oleh Pak Hussin itu.

     “Umur aje tua... tengok orangnya tu...” Muncung Pak Hussin ditalakan ke arah Tan Sri Azizan di tengah dewan makan. “...segak dan bergaya lagi. Lebih kurang macam pasangan Normala Shamsuddin dengan Dato’ Seri Azmi Khalid tu, mana nampak beza?”

     Wah! Pak Hussin siap buat perbandingan lagi. Mereka berdua kemudian senyap bila Tan Sri Azizan datang dengan dua piring berisi buah-buahan dan kuih muih dari berbagai jenis itu menghulurkan piring ke tengah meja.

     “Najwa, awak ambilkan saya kopi...” Arah Tan Sri Azizan yang sudah menarik kerusi dan melabuhkan duduknya.

     Pak Hussin sama berpandangan dengan Nur Najwa ketika mendengar arahan dari Tan Sri Azizan itu. Pak Hussin kemudian melemparkan senyum melirik. Nur Najwa merenung lelaki itu berkerut muka macam rasa hendak ditelannya. Geram betul. Tak padan orang tua ni, pandai-pandai pula dia dalam diam hendak menjodohkan orang, getus Nur Najwa. Namun, arahan dari majikannya itu tetap dituruti. Siapalah dia yang berani mengatakan tidak, kan?

     “Kenapa Sin?” tanya Tan Sri Azizan yang nampak pelik dengan senyuman pemandunya itu.

     “Nothing!” jawab Pak Hussin yang tiba-tiba pula keluar bahasa Londonnya itu.

     Tan Sri Azizan tambah pelik. Ini mesti ada yang digosipkan oleh Pak Hussin dan Nur Najwa tentang dirinya, bisik hati Tan Sri Azizan sambil sama mengerling ke arah Nur Najwa.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh