Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 35

“SIAPA? Umairah?”


Bukan main terkejut Mak Iti bila disergah suara garau dari belakang. Sempat tangannya melekap di dada sebelum menghela nafas.


“Terkejut Mak Iti!”


Haris tidak peduli lagi raut terkejut wanita yang hampir menginjak senja ini. Dia lebih tertarik dengan komplot Mak Iti dengan si pemanggil. Mujur dia tergerak untuk mencarinya di dapur. Puas mencari, rupanya Mak Iti ada di luar rumah. Macam pencuri, sekejap-sekejap menjeling ke dalam.


“Maira nak apa lagi?”


Sepatutnya, tiada apa lagi di antara mereka. Itu kata Umairah setelah dia sendiri menoktahkan hubungan mereka. Dan kemunculan Umairah ketika memerangkap Emir bukan dalam perancangan Haris.


“Dara mana? Nak Mak Iti buatkan air?” Sengaja Mak Iti alihkan perhatian anak muda di depannya. Sekarang, bukan masa yang sesuai untuk mereka buka cerita perihal Umairah. Apa lagi ada orang lain bersama mereka.


“Kan Haris dah cakap, jangan pernah berhubung dengan Maira lagi.”


Susah hati tuanya. Dia cukup kenal dengan Haris. Kalau itu permulaan ceritanya, jangan disebut cerita lain. Dia akan tetap dengan cerita Umairah. Cerita yang berjaya menghidupkan segala emosi.


“Tak elok kalau Dara dengar. Umairah kan bekas tunang Haris. Kalau Dara dengar nanti, kecil hati dia.” Kalau boleh, dia tak nak hal ini diperbesarkan.


“Dia dah balik.” Mendatar suara Haris. Nama Umairah itu berjaya mengubah emosi dia.


 


Haris ini memang keras kepala. Sukar diajak berkompromi. Daripada pandangan mata tuanya, Haris mahukan jawapan sesegera yang mungkin. Bukan esok, lusa atau tulat.


“Masuk dulu.”


Mak Iti terlebih dahulu meloloskan diri ke dalam rumah. Walaupun kawasan taman ini masih belum ramai penghuni, ada baiknya mereka berbincang di dalam. Sekurang-kurangnya, cerita ini tidak mudah merebak lalu menjadi umpatan semua.


Tak sampai lima minit, segelas air yang berwap sudah terhidang di depan Haris. Air nescafe campur milo yang menjadi kegilaan Haris. Sengaja Mak Iti bancuh air kegemaran Haris supaya hati marahnya surut.


“Minum…Biar tenang dulu.” Dia tahu Haris bagaimana. Hanya nama Umairah seorang yang berjaya menyerlahkan sisi barannya Haris.


Haris menurut. Air yang masih panas itu sekejap saja sudah separuh diteguk. Tergeleng Mak Iti bila Haris meneguk air tersebut rakus biarpun masih panas.


“Apa lagi dia nak? Nak tuntut ganjaran atas kerjasama dia tempoh hari?” Haris tidak menunggu lama untuk soal siasat. Sangkaan dia, hal melibatkan Umairah telah selesai. Rupanya, Umairah sengaja menggunakan orang tengah pula. Dan orang itu, orang yang dekat dengannya.


“Memanglah Maira tu salah. Tapi, bukan selamanya salah. Mak Iti layan kamu berdua pun dah macam anak sendiri.” Mak Iti mulalah suarakan pendapatnya selaku orang lebih berpengalaman.


“Dia cuba hubungi Haris, tapi tak pernah pun Haris jawab.” Cerita Mak Iti lagi.


“Maira lupa ke dia hak siapa?”


 


Mengeluh Mak Iti dibuatnya. Umairah pun satu. Sudah ada Emir pun masih nak mengejar yang lain. Tak ada gunanya mengejar Haris. Dia boleh nampak Haris lebih bahagia bila bersama Dara.


“Dia tahu…Dia masih isteri Emir. Cuma dia menyesal. Haris tahu kan macam mana Emir tu.” Mak Iti masih berdiplomasi. Tidak terikut-ikut dengan marah Haris. Silap haribulan, dia ikut sama marahkan Umairah sekali.


“Tu bukan hal Haris…”


Mengendur bahu Mak Iti. Sukar untuk mengajak Haris berbincang. Semuanya dipangkah. Semua ditepis. Kalau boleh mengelak, sekarang juga Haris itu ingin angkat punggung dan beredar dari sini. Namun dia kenal Haris sejak kecil lagi. Haris belum pernah menunjukkan sisi kurang adabnya dengan orang tua.


“Tak baik berdendam. Maira cuma nak jumpa dengan Haris, nak minta maaf. Itu je.”


Sepasang mata Haris bertemu dengan mata tua di depannya. Dia mencari kejujuran. Apa itu saja yang diinginkan Umairah? Kenapa perlu sampai melibatkan Mak Iti? Boleh saja Umairah sampaikan saja pada dia secara berdepan.


Payah Mak Iti ingin menelan liurnya. Haris itu sedang mengimbas dirinya. Dan sebentar lagi, sistem pengera bakal berbunyi kerana Mak Iti selalu gagal dalam menipu. Selalu tertangkap.


“Dia minta Mak Iti pujuk Haris macam mana nak keluarkan Emir dari penjara. Berapa pun denda, Maira bayar. Naik turun mahkamah pun dia sanggup.”


Panjang helaan nafas Haris.


“Isteri mana yang sanggup biarkan suami dia meringkuk dalam penjara? Lagipun, dia orang tu baru saja menikah. Apa nak jadi kalau seorang dekat luar, seorang lagi dekat dalam? Cuba beritahu Mak Iti, isteri mana yang rela tunggu kalau suami dia bertahun-tahun duduk dalam penjara?”


Panas cuping telinga Haris menerima tazkirah tentang hubungan suami isteri. Itu tak ada kena mengena langsung dengan dia. Bukan dia yang membuat laporan mengenai kejahatan Emir.


“Tadi Maira pergi Balai Polis, nak tarik balik laporan terhadap suami dia.”


Anak mata Haris naik lagi. Nampaknya, Umairah itu benar-benar nekad mahu keluarkan Emir dari penjara. Tak hairanlah kalau selepas ini Dara pula diajak memeriahkan majlis penarikkan laporan.


“Haris faham kan? Sekarang hanya tinggal pihak Haris saja.”


Perbualan mereka terganggu bila terdengar ada barang jatuh datangnya dari ruang tamu. Serentak mereka berpandangan sebelum Haris terlebih dahulu mengangkat punggung untuk periksa di depan. Berjarak tiga langkah, dia menemukan susuk tubuh yang sedang bertinggung mengangkat semula batang roller yang panjang sudah jatuh menyembah lantai.


Tangan Dara berhenti bila merasa ada derapan kaki yang sedang menghampirinya dari belakang. Bibir atas dan bawahnya bertemu. Dia tertangkap!


“Sorry! Saya buat sepah…” Dia bersuara sebaik saja berpaling. Tak perlu merasa terkejut kerana dia tahu siapa yang sudah terpacak di situ.


“How long you been here?”


Anak tekak Dara bagaikan terjerut mendengar nada kurang mesra Haris.


“Apa yang awak dah dengar?”


Serkap jarang lelaki ini berjaya menghentikan aliran darah di wajahnya. Lidahnya kelu nak menjawab soalan-soalan tahap detektif Haris.


Helaan nafas Haris sampai ke pendengaran Dara. Tak, lebih kepada merengus sebenarnya.


 


“Come…time for bedtime story.”


Dara tidak tahu mahu tergelak atau apa. Tapi, apa yang dia tahu. Haris itu semakin pandai bercanda!


Mata Dara mengekori Haris. Sempat duduknya dibetulkan di top table. Dia melihat Haris sedang membancuh minuman buatnya. Bukan itu saja, sempat juga Dara curi-curi teroka ruangan dapur yang belum lengkap sepenuhnya. Namun, ruangan sederhana besar ini sudah terisi dengan meja makan, fridge, dan beberapa perkakasan sekadar untuk mengalas perut. Dia berhenti melilau setelah air berwarna coklat pekat terletak di depan mata.


“Felo! My favorite one.”


Air zaman kereta terbang ke? Dara tak pernah dengar pun nama air ni. Aneh-aneh saja kesukaan Haris.


“Nescafe and milo.”


Terjuih bibir Dara. Cakaplah neslo kan senang. Lebih familiar. Tapi, Haris mana suka yang familiar. Lelaki ini lebih gemar kelainan.


Dara pandang sekeliling. Tadi dia dengar dengan jelas dua suara yang berbeza. Yang tinggal kini hanya Haris sendirian.


“Cari Mak Iti?”


Sepasang mata Dara bertemu dengan mata redup Haris. Lelaki ini tahu apa yang dia cari.


“Mak Iti tak lari mana. Selagi kita berdua, Mak Iti masih ada di sini.”


Turun naik kepala Dara. Tak perlu bertanya lebih lanjut. Banyak tanya, silap hari bulan Haris boleh melenting.


 


Dara menghirup air bancuhan Haris bila dia menangkap lelaki itu telah mengambil tempat di depannya. Sengaja dia mengelak dari bertentang mata. Takut bakal disoal siasat.


“Maira tu anak kawan papa saya. Kami dah kenal lama. And we fall in love a year ago.”


Hampir tersembur air dalam mulut Dara. Belum apa-apa, Haris terlebih dahulu buka cerita kisah silamnya. Hujung jarinya menyeka bibir yang basah. Kalau nak buat ulang kaji sejarah lama sekali pun, Haris patut biarkan air dalam mulutnya selamat turun terlebih dulu.


“Kami hampir-hampir berkahwin.”


Dara diam. Dia tenang mendengar susur galur kisah hidup lelaki ini.


“Sampailah Maira jumpa Emir dalam satu mesyuarat yang melibatkan beberapa buat syarikat dalam menjayakan projek besar.”


Bagi Dara, tak hairanlah mereka boleh terjatuh cinta. Emir itu mesra alam. Mesra rakyat juga. Sepatutnya Emir boleh jadi wakil rakyat.


“She’s just like you.”


Umairah sama dengan dia? Apa maksud Haris? Bagi dia, mereka sangat berbeza.


“Terlalu percayakan ayat-ayat manis Emir. Dan saya lambat sedar mereka saling berhubung sampailah satu hari Umairah berkeras nak putuskan hubungan kami. Atas alasan kurang kasih sayang dari saya yang lebihkan kerja dari dia.”


Kecil besar saja Haris di mata Dara. Dalam menyampaikan cerita berselirat itu, sempat lagi menyindir.


“Unfortunately…Dia tak pernah tahu sisi gelap Emir. Tak sampai sebulan mereka berkahwin, Maira dah nampak baik buruk lelaki tu. Barulah dia cari saya semula. Dan dia perlukan nasihat saya apa perlu dia lakukan setelah dia mendapat tahu Suraya mangsa terbaru lelaki tu.”


“Awak bantu dia?” Dara teringin nak tahu. Kalau dia di tempat Haris, biar padan dengan muka Umairah. Sesaat, dia sedar. Tak sepatutnya dia berkata begitu. Dia juga mangsa. Sama seperti mereka semua.


“Saya suruh dia buat laporan dan jadi saksi untuk sumbat Emir dalam penjara. But she totally refused.”


Dara yang duduk menongkat dagu tidak senang duduk bila dirinya menjadi tumpuan Haris semula setelah lelaki itu puas merenung meja dengan pandangan kosong.


“Why?” Ya, Dara nak dengar alasan Umairah.


“Macam yang awak dengar tadi…Sayang punya pasal. Jelas di situ, saya memang dah tak ada dalam hati Maira.”


Muka Dara bagaikan tertelan batu. Haris sengaja menegur dia yang terdengar perbualannya dengan Mak Iti tadi.


“Tuhan sebaik-baik perancang bila Mak Lijah muncul tepat pada masanya.”


Dahi Dara bertingkat-tingkat. Nama itu macam pernah dia dengar.


“Makcik Halijah…”


Sah! Itu nama emak Dara.


Macam mana nama emak boleh terpalit sama dalam cerita Haris? Emak tak pernah cerita pun? Bila ketika mereka pernah bertemu? Dara memetik suis memorinya. Cuba mengingati jika emak ada bercerita dengannya. Sudahlah dia dengan emak boleh dikatakan tidak pernah sebulu. Apa dicerita emak, memang Dara selalu buat sambil lewa saja.


“Orang tu sombong sangat…Tak nak kerja dengan papa saya. Kalau bukan sebab Makcik Lijah, saya pun tak akan jumpa The naive little virgin.”


Melotot mata Dara bila hujung ayat dia menemui pesona kawah Haris. Kuat dia mengetap bibirnya. Agak payah nak mengawal lelaki ini. Apa yang dia kata jangan, itulah yang akan disebut-sebutkan.


“And guest what…Your naïve make me fall in love.”


Tak jadi Dara nak marah bila Haris bijak membeli jiwanya semula. Dia pula yang bertarung emosi supaya kekal tenang di depan lelaki ini.


“Bagi saya, sangat senang nak beli jiwa bakal mak mertua, tapi susah nak beli jiwa anaknya. Dia cuma nampak Emir. Yang kacak. Yang macho. Yang manis.” Sengaja Haris merenung, nak pancing reaksi Dara.


“Emir tu pakej lengkap yang jadi dambaan semua perempuan. Lainlah awak, sekali bercakap. Boleh herot-herot mulut saya tahan geram.” Dara bela diri


Sepasang mata redup Haris bertukar tajam.


“Masih nak puji dia, hurm?”


Dara gigit pinggir bibir. Tak patut dia memuji lelaki lain. Lebih tepat, suami orang.


“Jadi…Selama ni, awak lah dalang yang buatkan mak saya terjebak dalam menjual saham tanpa kenal apa tu bosan? Boleh dikatakan hampir setiap hari mak saya buat bidaan saham supaya saya terpengaruh untuk beli saham dari Ungku Zarif…Macam-macam cerita. Zarif itu, Zarif ini.”  Segala urat saraf Dara baru pandai nak berfungsi. Baru tahu punca bagaimana emak boleh berpihak pada lelaki ini.


Kalau sudah tersenyum meleret sebegitu, betulah semua ini angkara Haris. Dan sejurus itu, Dara diperdengarkan ketawa besar itu.


“Sorry…Awak tak sama langsung dengan Maira.” Kata Haris dengan sisa ketawa.


 


Maira lagi! Kenapa Haris mesti sebut nama dia?


“Maira kalau dekat tempat awak, boleh jadi berminggu-minggu marah dia pada saya. Tapi marah awak hanya beberapa jam. Sebab awak tak pandai simpan marah atau dendam pada orang lain lama-lama. Dan senaif-naif awak, bertenang itu yang pertama awak dahulukan. Awak tenang dengar cerita saya satu persatu biarpun sebenarnya marah awak itu berkobar-kobar. End up, awak akan tersenyum tanpa marah langsung selepas mendengar semua penjelasan saya.”


Apa sedang Haris memuji dia? Jadi, apa perlu Dara melompat?


“It’s that true? Ini yang saya belajar tentang awak dalam masa beberapa bulan ni.” Sambungnya lagi. Malah, Haris dekatkan diri dengan meja. Merenung Dara dengan kawah mahal dia.


“Pernah dengar ayat ni…Calm make you smarter.” Kata Dara.


“Dan saya berjaya buktikan, saya berjaya melawan Emir. And lately, saya sedang berjinak-jinak nak berlawan dengan awak pula.” Tanpa rasa bersalah Dara berterus terang. Biar Haris rasa tercabar.


Hilang senyuman Haris. Dia bersandar pada kerusi dengan tangan di silang ke dada.


“Awak tak akan menang!”


Haris sedang merendah-rendahkan Dara. Malah, dari sudut pandangan lelaki ini. Dia bukanlah tandingannya.


“Langit tak selalu cerah, Encik Hilman.”


Melebar senyuman Haris. Suara itu yang sama bergema. Suara yang sama merayu hingga dia hampir rebah tatkala Dara cuba membeli jiwanya dengan suara sengaja dilunakkan ketika dia memberi surat cinta bernilai seribu ringgit beberapa bulan yang lalu.


 


“Try me…”


Senyuman Haris itu penuh dengan muslihat. Sebelum timbul cerita yang boleh mencemarkan pendengaran, ada baiknya Dara bangun dan cuci cawan.


“Berapa lama awak nak sembunyi Dara…Awak dah buat saya suka pada awak. Tunjukkan saja diri awak yang sebenarnya.”


Dara berhenti. Bohonglah kalau dia tak terkejut dengar ayat Haris.


“Saya terima awak seadanya…Tapi saya tak nak awak terima saya kerana dendam. Perkahwinan kita tak akan kekal lama kalau awak tak buang virus yang akan hitamkan hati awak tu dari sekarang.”


Bibir Dara yang mendatar, perlahan-lahan melengkung. Dia masih membelakangkan Haris.


“Mama saya dah suka awak…No! My whole family keep asking me about you.” Haris bangun. Perlahan-lahan menapak menghampiri Dara.


“Tahniah. Awak dah raih kejayaan sangat besar.”


Entah kenapa, Dara tak merasa gembira dengar pujian Haris.


Haris kini sudah berdiri di hadapan Dara. Dia menemukan lagi dua kawah di pipi lelaki itu. Tak sedalam macam selalu. Ada kesinisan yang terselit.


“What do you want from me…Love?” Haris cuba cara lain supaya Dara menunjukkan sisi dirinya yang sebenar.


Puas Haris menunggu Dara buka mulut. Penantian dia tidak berpenghujung kerana Dara itu sangat bijak berlakon.


 


“Apa awak merepek ni?” Dara ketawa. Jelas ketawanya dibuat-buat.


“Tak faham?”


Lambat-lambat Dara geleng kepala.


“Tak mengapa…Saya akan pastikan awak buka mulut masa malam pertama kita nanti. Dengan apa cara sekali pun." Haris masih bermurah hati lemparkan senyuman biarpun tiada kerjasama dari pihak Dara. Kemudian dia angkat kaki, kerja-kerja mengecat dia belum selesai.


Senyuman Dara kian pudar. Renungan dia juga bertukar menjadi tajam. Mata dia mengekori rapat langkah Haris dari belakang sebelum susuk tubuh lelaki itu menghilang. Tanpa sedar dia mengepal sepuluh jari.

Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.