Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 45

Pendekatan paling mudah ketika ini adalah berdiam diri. Jika Dara bersuara juga, hasil percakapannya pasti tunggang-langgang. Namun pendekatan untuk diam hanya bertahan beberapa minit saja sebelum dia akhirnya kecundang. Dia bersuara juga setelah menerima sorotan Haris yang begitu mengharap. Terselit juga ugutan di sebalik renungan suaminya.


“Sorry.” Semua ayat karangan dia karang berpuluh-puluh patah tadi menjadi sepatah saja. Kini dia menerima tatapan tidak berpuas hati milik Haris.


“Semudah itu?” Luah Haris sedikit kesal.


“Saya memang nak beritahu awak, Haris.”


“Bila?” Potong Haris laju. Dia gagal mengawal emosi. Kebisuan Dara itu buatkan dia semakin rakus bersuara.


“Atau memang awak nekad tak nak beritahu saya sampai bila-bila?” Tekan Haris lagi.


Aduh, penyakitnya menurun pada Haris. Suaminya sudah salah faham.


“Bukan macam tu Haris…”


“Teruskan…” Geram bila Ayat Dara itu putus-putus.


Dara mati ayat entah kali ke berapa. Sudahnya, dia buangkan pandangan ke luar tingkap. Tidak tahu dari mana harus dimulakan. Apa yang dia tahu, dia perlukan sedikit masa untuk bertenang jika ingin mengelak dari tercetusnya pergaduhan.


Semakin teruk Dara diserang rasa serba salah bila terdengar keluhan panjang Haris.


“Awak tak perlu beritahu sekarang kalau belum bersedia.” Mengendur suara Haris. Mendesak hanya buatkan Dara semakin menjauhkan diri. Itu perkara yang dia ingin elakkan.


Kepala Dara jatuh bila merasakan ada sentuhan hangat di atas pehanya. Dua kali Haris menepuk perlahan di situ.


“Sorry…Saya tak patut desak awak.”


Sepanjang perjalanan, tiada perbualan yang tercipta. Masing-masing sepi. Hanya Haris yang berkali-kali menjeling Dara. Sesekali kelihatan isterinya memeluk tubuh, tangannya turun naik menggosok lengan. Haris tidak rasa Dara itu kesejukkan. Sejak dari tadi dia melaraskan suhu paling rendah. Malah, aliran udara langsung tidak menghala pada isterinya. Itu jelas-jelas menunjukkan Dara cuba menutup keresahannya.


Haris meraih jari jemari Dara dan tiada sebarang bantahan dari pihak isterinya. Itu petanda positif yang Haris kesan. Dia ingin meredakan keresahan isterinya. Ekor mata dia dapat lihat dirinya sedang diperhatikan. Tanpa ragu, Haris pamerkan senyuman. Dia mahu Dara lihat bahawa dia itu suami yang memahami, yang sentiasa ada untuk tadah telinga mendengar apa jua masalah yang dihadapai Dara.


“Saya tak suka suasana canggung.” Sebut Haris.


Jangan kata Haris. Dara juga tidak suka suasana begitu. Apa lagi mereka dalam frasa menuju ke arah kebahagian. Dialah punca kebahagian mereka tersekat di pertengahan jalan.


“Jangan terlalu banyak berfikir…Kita lupakan saja tentang pil tu.”


Haris tidak sepatutnya berkata begitu. Itu hanya menolak sedikit demi sedikit Dara ke alam neraka.


“Berhenti ambil pil tu. Kalau ada rezeki kita, adalah. Kalau tak ada, kita boleh ambil anak angkat sebagai langkah terakhir setelah puas berusaha. Ramai kawan saya buat macam tu. Alhamdulillah…Rezeki mereka dapat timang anak sendiri selepas ambil anak angkat.” Haris cuba beli semula mood Dara. Kekura tangan isterinya dielus lembut. Bibirnya masih utuh memberi pesona supaya jualannya laku keras.


Dan percubaan Haris itu membuahkan hasil hingga dia tidak mampu lenyapkan senyumannya. Malah, semakin lebar senyuman Haris.


“That’s why saya cakap…I hate you, but I love you Haris.”


Dara kembali berbual santai dengannya semula. Dan Haris akan memimpin perbualan mereka keluar dari landasan canggung. Dia mahu Dara buang segala keruhan di wajahnya yang menyakitkan pandangan mata Haris.


“Saya rasa, saya nak enam orang anak. Tiga lelaki, tiga perempuan.”


Haris menjeling Dara. Dia berjaya dengan cemerlang bila rona wajah isterinya berubah. Tiada lagi raut sedihnya.


“Saya rasa, saya nak bagi awak tugas melahirkan anak kalau itu impian awak.” Dara melemparkan jelingan.


“Why not? The more the merrier.” Itu pendapat Haris. Permulaan memang susah, tapi kesusahan mereka akan terbalas bila anak-anak mereka sudah besar nanti.


“Oh no, Haris…Kalau semua ikut perangai awak, saya berani jamin…The merrier will turn to disaster. Saya yang akan dibuli seluruh legasi Hilman Haris.”


Meledak ketawa Haris. Sebagai serangan balas, Dara menarik semula tangannya dengan muka cemberut.


“Jangan nak gembira sangat. Kalau rezeki saya jadi bakal ibu, dalam perut lagi saya akan hasut anak kita supaya satu geng dengan saya.”


Lagi. Ketawa budiman Haris itu semakin panjang. Tiada tanda ingin berhenti.


“Saya serius Haris.” Dara semakin geram dengan suaminya.


“Okey!” Haris angkat tangan kiri, sementara tangan kanan masih statik pada steering. Dia mengalah. Tapi ketawanya masih tersisa.


“Hei!”


Dua kali Haris mengerling. Dia rasa ada penyepit ketam yang singgah di pinggangnya tadi. Itu yang menbuatkan dia terjerit.


“Don’t Dara!”


Haris sudah semakin kerap menjeling isterinya bila Dara tersenyum penuh makna. Tangannya sedia untuk melancarkan serangan ke dua.


“I’m driving right now.” Haris ingatkan Dara. Dia tidak senang duduk bila isterinya merapat.


“Suami saya cekap memandu. Dan dia cintakan saya. Dia tak akan biarkan saya cedera sedikit pun.”


Haris melirik. Dia menemukan senyuman Dara bersama pakej sebelah kening terjongket. Dia telan liur.


“Saya boleh terima kalau tempat lain, tapi bukan situ. It’s sensitive part.” Akui Haris.


Peduli apa. Itu yang Haris temui pada wajah Dara ketika ini. Dan dia membuat tawaran lain.


“Tunggu sampai rumah dulu. Masa tu saya sendiri akan serah diri.”


“No.” Dara tidak terima tawaran tersebut.


“Duit belanja saya bagi lebih bulan ni.” Haris beri tawaran lain.


“Saya bukan macam Emir.” Silap besar Haris mahu sogok dia dengan wang. Duit bulan lepas masih ada banyak lagi.


“Shopping?”


Rakus gelengan kepala Dara. Dia bukan kaki shopping. Haris pun tahu hal itu.


“Saya buat kerja rumah sebulan.”


“Tak perlu sampai seBulan, dua hari awak dah tayang muka penat. Kekemasan itu hanya bertahan dua hari. Masuk hari ketiga, kekemasan bertukar kekusutan. Yang ini saya tolak keras.” Hujung ayat Dara mencebik.


Haris tersenyum. Kelat! Bab-bab urusan rumah dia memang gagal teruk.


“Fine, what do you want?” Haris buka peluang pada Dara buat permintaan.


Dua ke tiga kali juga Haris mengerling. Senyuman Dara itu sebagai tanda dia perlu tunaikan apa jua permintaan isterinya tanpa banyak soal. Senyuman penuh makna. Macam ada agenda yang sedang isterinya cuba sembunyikan.


“Anything?” Tanya Dara ingin kepastian.


“Just let me know, and I will consider it.”


“Betul?” Sekali lagi Dara bertanya. Takut selepas dia suarakan permintaannya, Haris bakal tarik semula keputusan tersebut.


Fokus Haris sedikit terganggu. Dia diserang rasa kurang senang bila melihat kesungguhan Dara. Reaksi isterinya juga berbeza. Dara sedang mendekatinya dengan bibir melengkung. Dan Haris berusaha sehabis baik untuk kekal tenang.


“Ya, saya akan tunaikan apa saja permintaan awak.”


Sebaik menerima jawapan, Dara sudah menjauhkan diri. Lima minit juga isterinya menyepi. Jari runcing mengetuk perlahan bibir. Sempat Haris betulkan duduk. Mula rasa tidak sedap hati.


“Awak ingat tak, awak pernah cakap tak akan halang saya bekerja?”


Mana mungkin Haris lupa. Dia yang memberi mandat tersebut. Dia pun cukup faham dengan wanita zaman kini yang lebih suka berdikari tanpa mengharapkan bantuan sesiapa. Termasuk para suami. Haruslah dia juga turut merasa tergugat jika itu kemahuan isterinya.


“Kenapa? Awak tak jadi nak kerja? Kalau itu keputusan awak, it's made me more than happy.”


Senyuman Haris dibalas dengan jelingan geram Dara.


“Saya belum cakap apa-apa lagi Haris.”


“Okey, tell me...” Haris nak juga dengar keputusan yang telah dibuat isterinya.


“Saya akan kerja. Tapi bukan di syarikat papa awak. Saya buat keputusan cari kerja lain. Sesuai dengan kelayakkan saya dan tentunya saya nak cari pengalaman baru.”


Sikit lagi Haris bakal brek mengejut. Mujur lampu isyarat bertukar merah.


Dara diam tidak berkutik. Dia gagal mendengar kemarahan dari mulut Haris. Tetapi dia berjaya menemukan marah suaminya yang tertahan. Buktikan, halkum Haris itu bergerak dua kali. Malah, suaminya membuang pandangan ke luar tingkap sejenak. Suara Haris juga ikut lenyap secara tiba-tiba.


Senang cakap, keadaan menjadi canggung semula. Tiada gelak tawa yang menghiasi perjalanan.


“So...That’s your final decision?”


Suara Haris yang muncul tiba-tiba itu mengejutkan Dara setelah lima minit suaminya sepi. Dara pula yang tidak pandai menjawab. Dia pula kelu. Dia pula tak tentu arah.


“Itu yang saya nak bincang dengan awak sebenarnya.” Salah pilihan ayat Dara. Dia tak pernah bincang pun hal ini dengan suaminya. Dia buat keputusan sendiri tanpa meminta pandangan sesiapa.


Dara berharap sangat Haris itu memahami dirinya. Perkara ini sangat penting. Restu Haris dia perlukan dengan apa cara sekalipun.


“Yes or no?” Satu saja jawapan yang Haris perlukan sekarang ini.


Soalan Haris itu umpama menjerut pangkal leher Dara.


“Awak marah saya Haris?”


Haris menoleh dengar soalannya di balas soalan.


“Did I? Come on Dara. Tadi saya yang offer awak nak apa, dan saya tak akan tarik balik janji saya.” Haris itu menampakkan seluruh barisan giginya. Dia sedang paksa dirinya untuk tersenyum, biar tidak kekok.


“Diam...tandanya pilihan awak, ya Dara.” Haris tahu, memang itu pun jawapan Dara nanti.


Pandangan mereka beradu seketika. Dan ketika itulah lampu telah pun bertukar hijau.


“Awak dah dapat kerja baru?”


Sepuluh jari Dara terasa seram sejuk. Bimbang dengan penerimaan Haris jika dia menjawab soalan suaminya.


“Dah.” Jujur Dara. Sejak menjadi isteri Haris, dia memilih untuk jujur dalam segala hal.


Ekor mata, Dara nampak Haris genggam erat steering kereta biarpun rahang suaminya ada kawah dalam di pipi kirinya.


Kereta Haris masuk ke perkarangan rumah. Handbrake ditarik sebelum tali pinggang di lepaskan. Haris terlebih dahulu keluar dari perut kereta sebelum suaminya berhenti di pintu penumpang lalu pintu dibuka dari dalam.


“Kita bincang dekat dalam.”


Apa yang Dara nampak, Haris menahan segala rasa yang tidak baik untuk tatapan dia. Lambat-lambat dia turun dan mengekori Haris dari belakang. Rasa sejuk semakin mencengkam sejurus pintu tertutup rapat.


Mata tidak lepas pandang Haris yang menggantungkan Kunci kereta. Dua butang baju atas dilepaskan sebelum dia pusing memandang Dara. Kedua belah tangan berada di pinggang.


“Awak dapat kerja dekat mana? Kerja apa? Skop kerja?” Haris muntahkan soalan. Nada suaranya masih terkawal lagi.


Baru Dara mahu buka mulut, Haris angkat tangan kanan. Menahan dia dari bercerita.


“Sebelum tu…Tentang pil perancang…”


Dara fikir hal itu tidak akan dipanjangkan, mana tahu Haris ungkit semula kisah tersebut.


“Saya tak pernah ambil pun pil perancang tu.” Akui Dara.


Pengakuan Dara itu berjaya membuatkan Haris ketawa itu lari dari landasannya.


Tak mungkin Dara tak ambil pil tersebut. Dia sendiri nampak daripada dua puluh biji pil itu, empat daripadanya telah pun hilang.


“Saya memang berniat nak makan, tapi niat saya tak kesampaian bila setiap kali saya nak makan awak akan muncul. Akhirnya, dua biji pil tu selamat menjadi makanan tong sampah.”


Boleh jadi Dara berbuat begitu. Berdasar kesungguhan isterinya bercerita, Haris tahu Dara tidak berbohong. Lagi dua biji ke mana perginya? Dara hanya menyebut dua biji, bukan empat.


“Dua biji lagi saya sayang nak buang. Jadi, saya masukkan dalam minuman awak.”


Pengakuan berani mati Dara itu berjaya membuatkan senyuman Haris itu jauh tersasar sehingga senyuman itu lesap sepenuhnya.


“Saya pun dah refer pada pakar, setakat dua biji itu tak akan beri apa-apa side effect pun. And you are not supposed to be ‘Nyah’.” Dara terus membuat pengakuan tanpa peduli muka Haris yang tertelan bongkah ais.


Tiga langkah Dara mara, merapat jurang mereka. Tangan naik mengancing butang baju Haris semula. Bibir dipaksa mengukir senyuman biarpun pahit mengenangkan nasibnya selepas ini. Sempat dada suaminya diusap perlahan bagi meredakan marahnya.


Selesai memerhati penampilan Haris, tangan kanan suaminya diraih lalu digenggam erat.


“Kenalkan, saya Dara Batrisya dari unit integriti yang ditugaskan untuk siasat salah laku dalam kalangan anggota.”


Senyuman Dara hampir hilang saat terpandang raut wajah Haris yang sarat dengan awan hitam. Disusuli dengan kilat saling berkelahi. Begitu jugalah hati dia ketika ini.


“Cuti panjang saya akan tamat minggu ni…Jadi,” Ayat Dara terhenti. Dia sedang mencari rohnya yang hampir hilang tatkala direnung Haris.


Lambat-lambat kekura tangan Haris dibawa rapat ke pucuk hidung. Lama dikucup sebelum wajah diangkat menatap Haris semula.


“Saya nak minta izin dari awak untuk kembali ke kerja hakiki saya.”


“Jadi, awaklah anggota JIPS yang dia orang heboh-hebohkan tu? Yang turun padang untuk siasat kes melibatkan ayah awak tu?”


Diam. Ya, Dara nekad untuk diam bila Haris sedang melampiaskan marahnya. Suaminya ada hak untuk marah.


“Betul Dara?”


Maaf. Hanya itu mampu Dara katakan di dalam hati. Senyuman dia pun sudah hilang entah ke mana.


“Are you happy, Dara?”


Belum sempat dia bersuara, Haris mencantas laju.


“Of course you are. Awak memperbodohkan saya.”


Haris salah! Dia tidak pernah gembira.


Memang dia tidak kenal siapa Hilman Haris. Apa yang dia tahu, dia diarahkan untuk menyiasat dalam diam laporan yang diterima mengenai salah guna kuasa anggota dalam menyelesaikan kes yang kebetulan melibatkan ayahnya. Dan kemunculan dia sebagai orang awam tidak disedari sesiapa termasuk Haris.


“Cukup untuk hari ni. Saya dah selesai.” Haris segera capai beg kerjanya di atas meja berhampiran. Dalam kelam kabut dia raih, habis segala isinya terkeluar. Ruangan tersebut dipenuhi kertas kerjanya.


Dara tunduk untuk mengutip. Belum sempat dia menyentuh, ada suara menghalang keras.


“Don’t!”


“Saya memang kurang cerdik…Jangan buat saya nampak lagi kurang bijak.”


Tanpa sedar bibir Dara mengetap kuat. Perlahan-lahan dia bangun. Berdiri tepat di depan Haris.


“Saya yang kurang bijak, Haris. Saya sepatutnya berterus terang sejak dari awal lagi.” Tenggelam timbul suara Dara. Dia gagal mengawal emosi kalau lawannya Haris.


Anak mata Haris bergerak-gerak. Sebelum dia terlebih dahulu melarikan sepasang matanya.


“Tunggu surat dari saya.”

Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.