SETENGAH jam Dara mundar-mandir. Kemunculan Haris itu di luar jangkaan. Apatah lagi kemunculan lelaki itu menagih hutangnya kembali. Kata Imran, Haris itu hamba Allah yang memberi rezeki. Yang konon-kononnya ingin membantu Dara di dalam kesusahan. Sekarang ini apa? Semua itu dusta belaka.
Sudahlah hampir satu jam dia tadah telinga mendengar setiap leteran emak yang tiada berpenghujung. Emak terus-terusan menyalahi dia. Kata emak, dia yang sengaja melarikan diri dari Haris setelah berhutang. Sedangkan, itu semua adalah tidak benar sama sekali.
"Argh!" Marah Dara semakin meluap-luap apabila Emir gagal dihubungi sejak dari tadi.
Dara ingin meminta bantuan Emir supaya melunaskan hutangnya. Haris pun satu. Lelaki itu tolak bulat-bulat apabila emak ingin membayar bagi pihak dia terlebih dahulu. Kata Haris, emak tiada kena mengena dengan hutang mereka. Yang berhutang dengan Haris itu adalah Dara. Jadi, Dara yang bertanggungjawab sepenuhnya. Tidak perlu melibatkan orang tuanya.
"Bagi saya masa seminggu." Pinta Dara.
Permintaan Dara ditolak keras. Haris menggeleng kepala. Dia masih juga mahukan wang tersebut. Dan parahnya, Dara telah pun pindahkan semua wang tersebut ke dalam akaun Emir. Yang tinggal hanya berapa ratus saja untuk kegunaan dia bulan ini. Itulah kebodohan Dara.
Dara buang jauh-jauh raut muka bengis Haris. Haris yang disangka berhati mulia, rupanya sangat busuk hatinya. Seminggu menghilangkan diri, sekarang dia muncul dengan gaya ceti haram. Tidak ubah seperti along yang mengejar si penghutang.
"Emir! Angkatlah..." Dara rasa, ini kali ke empat puluh sembilan dia menghubungi Emir. Semuanya tidak berangkat.
Bagaimana dia ingin memindahkan wang jika akaun bank tersebut berdaftar atas nama Emir? Berdaftar dengan nombor telefon Emir? Lebih parah, buku akaun simpanan semestinya ada bersama Emir.
Dara putuskan untuk menyemak jumlah wang di dalam akaun tersebut sekali lagi. Kemudiannya dia akan cuba lagi menghubungi Emir dan berbincang dengan lelaki itu untuk mengeluarkan dua ribu ringgit. Nanti-nanti dia akan fikir cara lain untuk menggantikan semula wang tersebut.
Dara kaku sejenak. Otak dia baru merasakan ada aliran logik yang singgah.
"Kenapa aku nak pinjam, sedangkan...Duit itu, duit aku juga." Dara tertanya-tanya sendiri. Kalau nak difikirkan secara logik, dia yang lebih banyak menyumbang. Sepuluh ribu merupakan hasil simpanan dari dia. Maka dia merupakan pemegang syer terbesar.
Ya!
Memang tidak salah lagi. Dara pun punya hak. Emir pun tidak pernah menyatakan bahawa hanya lelaki itu mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan. Dan Dara sangat yakin, Emir pasti memahami situasinya.
Tanpa berlengah, Dara cuba mengakses masuk ke dalam akaun milik Emir. Jantung Dara terasa bagaikan direntap kasar apabila melihat angka tersebut. Jari dia lumpuh sehingga telefonnya sudah jatuh ke lantai. Otak dia juga ikut lumpuh untuk beberapa saat.
Dia tidak salah melihat kan? Atau dia ada masalah penglihatan?
Cepat Dara mengutip semula telefonnya. Sekali lagi dia mengamati baki tersebut. Bukan lima belas ribu seperti yang dia lihat semalam. Yang ada depan mata sekarang ini, lima belas ringgit dan dua puluh lima sen.
"Apa ni Emir..." Tenggelam timbul suara Dara. Hampir tumpah juga air mata dia.
Telefon di bawa ke telinga semula. Ini kali ke lima puluh percubaan Dara.
"The number you have..."
Belum habis suara operator berbunyi, Dara terlebih dahulu mencampak ke tepi telefon. Dia menekup wajah dengan telapak tangan. Emir gagal dihubungi. Padahal siang tadi mereka baru saja bertemu. Bila malam berlabuh, Emir menunjuk belangnya.
Bahu Dara bergegar teruk. Dia mengimbau kembali semua janji-janji manis Emir. Angan-angan dia bersama Emir. Semua hadiah mahal pemberian Emir. Semakin teruk gegaran bahu Dara.
Dara panggung kepala. Wajah dia yang basah dek air mata, diseka rakus.
"Mungkin Emir ada masalah. Emir bukan begitu orangnya." Dara buang jauh-jauh semua persepsi buruk perihal Emir. Dia cuba fikir yang baik-baik.
Esok Dara akan berjumpa dengan Emir. Pasti lelaki itu akan memberi jawapan kepada semua soalan-soalan Dara. Hari ini Dara campak jauh-jauh semua nasib buruk dia. Termasuk sekali sikap buruk Emir. Malam ini dia tidak akan tidur. Dia sanggup bersengkang mata menunggu matahari terbit. Dia tidak akan mampu lelapkan mata jika urusan dia bersama Emir belum selesai.
Pagi keesokkan harinya, terkoncoh-koncoh Dara menekan butang lif. Sempat dia betulkan beg tangan yang hampir melorot. Semalaman bersengkang mata, satu jam sebelum subuh barulah dia terlena. Dalam keadaan masih mamai, pagi ini dia terlambat ke pejabat gara-gara terperangkap dalam kesesakkan jalan raya. Perkara ini sudah pun Dara sampaikan kepada Amy, dan mujur Amy tidak marah. Malah, sempat dia titipkan supaya Dara berhati-hati ketika memandu.
Dara sentuh matanya yang bengkak sedikit. Harap-harap, tiada siapa yang bertanya mengapa wajah dia sembab.
Sebaik kaki dia masuk ke dalam ruangan pejabat. Dia dapat merasakan aura gelap menyapa. Ruangan pejabat yang sebelum ini lengang, tampak sibuk. Ada beberapa orang anggota polis berada di dalam pejabat Atiya. Amy berdiri sebelah majikannya sambil menunjukkan beberapa document.
Langkah Dara menjadi berat. Satu per satu langkah diambil untuk ke tempatnya. Mata dia asyik melirik ke arah mereka semua. Lambat-lambat juga Dara melabuhkan punggung. Belum sempat punggung dia mencecah kerusi, Amy menguak pintu. Deras dia menghampiri Dara. Tak jadi Dara nak duduk.
"Kenapa Amy?" Soal Dara bila terpandang raut wajah penuh masalah dia.
Amy duduk ditempatnya. Sempat dia mendengar helaan nafas panjang Amy. Dara turut merasa Amy itu kepenatan.
"Dari malam tadi Amy dengan Atiya tak balik. Tuan Habib pun baru saja pulang."
Bohonglah Dara tidak merasa terkejut. Apatah lagi dengan kemunculan Tuan Habib. Jarang-jarang dengar Tuan Habib ke sini. Dia pun hanya dapat berjumpa lelaki separuh abad itu hanya sekali saja.
"Ada yang tak kena?" Ikutkan hati Dara, banyak yang dia ingin bertanyakan. Namun, dia juga punya kesedaran. Dia hanya pekerja biasa. Yang tidak punya hak untuk ambil tahu semua yang berlaku.
Amy menjeling sekilas Atiya yang tampak tenang berhadapan dengan pegawai polis.
"Ada pekerja yang seleweng duit syarikat."
Wajah Dara pucat tidak berdarah. Sepuluh jari dia menggigil teruk. Demi menutup rasa terkejutnya, dia melarikan pandangan mata. Sepuluh jari terkait sesama sendiri. Dia tidak berani bertentang empat mata dengan Amy.
Lima minit sepi, barulah Dara punya kekuatan untuk meneruskan perbincangan mereka.
"Siapa orangnya?" Dara teringin sangat tahu siapa si pelaku tersebut.
"Suraya."
Kali ini Dara tidak mampu menutup rasa terkejut dia. Itu perkara yang dia sendiri tidak jangkakan. Padanlah mereka beria-ia mencari pekerja baru untuk menggantikan Suraya. Bahkan Amy bersungguh-sungguh mengingatkan supaya dia tidak percaya bulat-bulat pada Suraya.
"Dia buat kerja tu enam bulan yang lepas. Adalah dalam dua puluh ribu duit syarikat yang dia kebas."
Dara terasa payah untuk meneguk liurnya. Mujur akal dia masih waras. Kalau dia ikutkan kehendak Emir semalam, rasanya dia juga bakal menerima nasib yang serupa enam bulan kemudian.
"Enam bulan ini juga Amy ulang alik ke syarikat pembekal barang yang bertanggungjawab menyediakan bahan-bahan pembinaan bangunan. Amy nak pastikan dia orang ada serahkan tuntutan resit atau tidak. Dan Dara tahu apa yang terjadi?"
Mata Dara rakus meneroka wajah Amy. Dia tidak tahu. Dia langsung tidak tahu apa dilakukan Suraya. Kerana dia belum cukup kenal Suraya. Jadi, bolehkah dia pilih untuk tidak ambil tahu? Dia takut untuk mendengar kerana dia juga hampir serupa dengan Suraya.
"Dia bayar syarikat tu untuk sama-sama komplot buat tuntutan palsu. Dia menjanjikan untuk memberi separuh daripada hasil penyelewengan mereka."
Dara rasa pandangan dia gelap. Berpinar sekejap kepala. Kenyataan Amy amat sukar ditelan.
"Tapi..." Ayat Amy tergantung.
Peluh renik tidak berhenti keluar. Terasa seperti Dara yang sedang melakukan kesalahan tersebut.
"Kita orang tengah cari bukti jika Emir terlibat."
Dengar saja nama Emir, habis bertebaran semua tanggapan baik-baik terhadap lelaki itu.
"Mana Emir sekarang?" Soalan cepu emas keluar dari mulut Dara setelah sekian lama menjadi pendengar setia. Dia perlu tahu jika Emir telah dicekup atau sebaliknya.
"EL...Dia minta dua minggu tanpa gaji sebab ada urusan peribadi."
Ada rasa kecewa di hati Dara. Sampai hati lelaki itu pergi tanpa memberitahu dia. Sebelum ini, Emir tidak lokek untuk berkongsi rutin harian dia walaupun tidak dipinta. Sekarang, lelaki itu hilang tanpa jejak. Tiba-tiba cuti kerana hal peribadi.
"Jadi, Emir memang bersubahat dengan Suraya?" Tinggi harapan Dara bahawa Emir tidak terlibat. Dia sudah menyerah separuh jiwanya kepada lelaki itu. Dia tak sanggup meratapi kebodohan dia sendiri.
"Tak...Hanya Suraya seorang yang terlibat."
Dara mampu menarik nafas lega. Telahan dia tidak salah. Emir lelaki baik-baik. Mana mungkin Emir melakukan perkara sebegitu. Boleh jadi Suraya dengan sengaja ingin mengheret Emir sekali.
"Suraya ada minta apa-apa pada Dara?" Soal Amy. Takut-takut kalau Suraya membuat onar dibelakang dia.
"Tak ada. Cuma dua hari lepas Suraya ada tanyakan password untuk semak semua penyata akaun syarikat." Jujur Dara. Dia tidak perlu selindung kerana jelas-jelas Suraya itu berniat jahat.
"Dasar tak tahu malu! Dia sedar tak dia tu sebenarnya dalam pemerhatian? Sebelum ni kita orang dah syak dia lah dalangnya. Cuma kami belum ada bukti kukuh untuk sabit dia. Sekarang, baru padan dengan muka Suraya." Amy meluahkan marahnya. Puas hati dia bila pegawai-pegawai polis muncul mengheret Suraya pergi.
"Tapi, Amy..." Ayat Dara tergantung. Dia was-was untuk bertanya.
"Betul ke Emir tak terlibat?" Soalan itu yang asyik berlegar dalam kepala Dara.
"Mula-mula...Dia memang dalam senarai suspek. Tapi ikutkan pengakuan Suraya, Emir langsung tidak terlibat."
Entah ke berapa kalinya Dara menghela nafas lega. Otak dia saja yang tak habis-habis menyebut Emir itu sebenarnya tidak baik. Demi mengenyah jauh segala persepsi buruk berkisarkan tentang Emir, dia perlu berjumpa Suraya dan dengar dari mulutnya sendiri. Persoalannya, bagaimana dia mahu mengadakan pertemuan jika rumah Suraya itu sudah berganti dengan penjara?