Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Epilog

DARA manusia biasa. Manusia yang baru saja memungkiri janjinya. Namun, manusia biasa juga tidak mampu mengawal segala-galanya. Termasuk air matanya yang mengalir bak pili air yang rosak tidak mampu dibaiki lagi.

 

“You broke the promise.”

 

Seminit Dara berdiam diri sebelum suara paraunya muncul.

 

“I know…”

 

Ada tangan yang melingkar bahunya. Diusap perlahan. Perlakuannya tidak seiring dengan bahasanya. Dara sepatutnya dimarahi kerana memungkiri janji. Namun dia sedang dipujuk.

 

Kata Haris, dia dibenarkan jejak kaki di tanah perkuburan jika Dara berjanji untuk tidak menangis. Itu yang Dara lakukan sebaik kakinya melangkah turun dari kereta. Puas menahan, dia gagal juga menahan sebak sejurus bertinggung dipusara kecil. Air matanya gugur saat pandangan tertancap pada nama di batu nisan tersebut.

 

“Don’t blame yourself.”

 

Haris macam tahu-tahu apa yang bermain di fikirannya.

 

“I don’t.”

 

Jawapan Dara mengundang senyuman tipis Haris. Dara juga tahu, sepasang mata yang bersembunyi di sebalik kaca mata hitam itu terpasung padanya.

 

Perlahan-lahan Dara menoleh. Dia juga melakukan hal yang sama. Dia tidak mahu terus hanyut dek kesedihan. Bibirnya melukis senyuman sama tipis dengan Haris.

 

Tumpuan Dara kembali pada tanah merah yang membukit bila mana Haris mengetuai bacaan doa buat anak mereka. Dan ketika itu sekali lagi dia bergelut menahan kesedihan. Kali ini, dia berjaya mengawal air matanya dari tumpah. Dia sekadar menangis di dalam hati. Cukup hanya dia dan tuhan saja tahu kesedihan yang tiada tanggungnya. Kesedihan saat meratapi insan yang telah pergi buat selamanya.

 



 

“BUNGA mana?”

 

Bunga? Oh! Dara petik jari. Bagaimana dia boleh lupa hal yang satu itu? Dia mencari apa yang diingini Haris. Seminit menghilangkan diri di dapur sebelum dia muncul semula dengan sesuatu lalu diletakkan atas meja. Lebih tepat, di depan Haris.

 

“Cantik kan? Cantik macam selalu…” Ada senyuman terlukis di wajah Dara saat memandang bunga hidup yang diletakkan ke dalam pasu jernih.

 

Dara sedia untuk meneruskan santapannya bersama Haris sambil bertemankan bunga yang diminta. Tak tahu kenapa Haris itu sudah gila dengan bunga. Bunga yang berwarna putih melambangkan suci dan bersih. Itu yang dikatakan Haris tanpa jemu. Dia pula merasa bosan bila kecantikkan bunga diagung-agungkan melebihi dirinya sebagai isteri.

 

“D tengah bergurau dengan abang?”

 

Mata Dara bertembung dengan Haris. Jari dia menggarit kening sebelum mengurut pelipis. Tak faham kenapa Haris nak merenung dia begitu? Salah dia apa? Dia sudah menurut kehendak Haris tanpa protes.

 

“Tak! Abang nak bunga, takkan D nak bagi coklat? D masih belum pekak lagi.” Dara dengar dengan jelas apa yang diminta Haris. Dan Dara sangat-sangat tahu bunga kesukaan Haris.

 

“Abang nak bunga yang hidup. Yang ada kaki untuk berjalan. Yang ada mulut untuk bercakap. Yang selalu teman abang ke mana pun abang pergi.”

 

Kelip-kelip Dara pandang Haris. Bunga yang disebut-sebutkan Haris itu kenapa sama ciri-cirinya dengan manusia? Apa Haris mahu bunga yang datangnya dari angkasa lepas? Atau bunga jadian? Mengarut!

 

“Come on, Dara!” Haris semakin hilang sabar melihat wajah bingung Dara.

 

Dara rasa kesabaran dia kian menipis bila Haris terus-terusan meminta bunga aneh. Mana dia nak cari bunga idaman Haris itu? Apa lagi perut dia terasa lapar, bertambah pula melayani karenah suaminya.

 

“I don’t have it!" Akui Dara. Kalau Haris nak sangat bunga macam itu, apa kata Haris pergi cari sendiri. Nak tempah semua jenis bunga di kedai, belum tentu dapat memenuhi kehendak suaminya.

 

“Yes, we have!”

 

Sepasang kening cantik Dara hampir bertemu. Mana? Dara tak pernah tahu pun akan kewujudan bunga istimewa tersebut? Sudahlah ayat-ayat Haris itu bak bajak yang menghakis kesabaran. Selera dia mati bila Haris seperti ingin menyalahkan dia kerana gagal mencari bunga idamannya.

 

“Then, find it yourself.” Tanpa jiwa suara Dara. Tubuh dibawa bersandar pada kerusi. Nak juga melihat dengan kepala matanya sendiri bagaimana rupa bunga idaman Haris.

 

“Baby!”

 

Ketawa Dara meletus. Mana ada bayi di dalam rumah mereka. Sudah lama mereka tidak mempunyai bayi sejak enam tahun yang lalu. Haris hilang akal agaknya!

 

“Baby flower!” Jerit Haris lagi.

 

Sekarang, Dara menggeleng kepala sebelum merenung tajam Haris yang seperti tercari-cari sesuatu.

 

“Yes, daddy!” Suara halus bergema menyahut panggilan Haris. Berlari-lari si kecil dari ruang tamu mendekati daddy yang yang sudah mendepa tangan.

 

Terbuka sedikit mulut Dara. Tidak percaya apabila melihat Haris mencium ke dua belah pipi si kecil berulang kali tanpa jemu. Bibir Haris juga tidak jemu menyebut ‘I miss you, bunga!’

 

“Bunga?!” Seingat Dara, dia tidak pernah menamakan anak mereka sebegitu.

 

“Only daddy call me, Bunga.” Si kecil mula menangkan Haris. Suka bila digelar sebegitu.

 

“Haris?!” Dara sudah pandang Haris. Dia perlukan penjelasan suaminya.

 

Sebaliknya, Haris tidak menghiraukan Dara. Tumpuan dia lebih kepada anak mereka. Malah, tangan dia melekap di kedua-dua belah telinga anak kecil itu.

 

“Jangan dengar…Pergaduhan orang dewasa tidak elok untuk budak-budak.”

 

Naik turun kepala si kecil, mengeyakan kata-kata Haris. Perilaku anak beranak itu hanya mengundang amukan besar Dara.

 

“Dah makan?” Haris tidak peduli dengan amarah isterinya. Dia sibuk berbual dengan bunga idamannya.

 

“Dah!” Laju anak kecil itu memberi jawapan.

 

“Good!” Sepantas kilat juga Haris memberi pujian bersama satu lagi ciuman di pipi gebunya.

 

Dara mencebik.

 

“Siapa bagi makan?”

 

“Mommy!”

 

“Tapi mommy tak bagi daddy makan lagi.”

 

Haris itu sedang memberi ajaran songsang. Sengaja nak meracun fikiran anaknya. Kini sepasang mata anak kecil itu memandang pada dia pula. Seolah-olah Dara sengaja mendera Haris. Sengaja biarkan Haris kebulur.

 

“How could you, mom? Daddy lapar.”

 

Ayat si kecil mengundang senyuman nakal Haris. Lebih teruk, Haris jongket kening sekali pada dia. Suaminya sengaja mengajar perkara yang bukan-bukan. Sengaja buatkan bunga kecil mereka berpihak pada suaminya. Sengaja ingin menampakkan dia seperti nenek sihir yang jahat.

 

“Bunga!” Dara lambaikan tangan pada si kecil. Bukan main laju anaknya berlari mendekatinya. Seharusnya perlakuan anak mereka mengundang wajah cemberut Haris.

 

Memanglah Haris lebih rapat dengan anak mereka, tapi satu hal yang suaminya perlu sedar. Anak akan tetap mencari emaknya walau segarang dan setegas mana pun ibu mereka. Dan Dara berjaya buktikan dia lebih disayangi.

 

“Apa kata bunga suap daddy? Mommy dah masak special-special punya.”

 

Besar bukaan mata Bunga bila dengar Dara membuat tawaran. Dia sangat suka dengan tawaran tersebut.

 

“Nak?” Tanya Dara lagi.

 

“Nak!”

 

“Here you go.” Dara menghulurkan mangkuk kecil yang telah siap diisi dengan makanan.

 

Bukan main seronok Bunga, dia berlari-lari mendapatkan Haris lalu sudu disuakan pada daddynya. Tanpa ragu, Haris mengambil suapan tersebut dengan muka gembira. Tanpa mengesyaki apa-apa.

 

Baru kunyahan ketiga, Haris berhenti. Raut gembira dia tenggelam dek kerdipan mata dia yang semakin laju. Dia bergelut merasa apa yang baru saja lalu ditekaknya ketika ini. Rasa yang sangat luar biasa.

 

“Sedap?” Polos Bunga bertanya.

 

“Se…Dap!” Haris sedikit gugup untuk menjawab. Wajah merah padamnya cuba disembunyikan.

 

“Can I taste it?” Bunga bawa sudu kecil itu ke mulutnya pula.

 

“No!” Haris pantas menahan.

 

“Why?”

 

Haris tiada jawapan untuk soalan Bunga. Wajah putih si kecil ditatap. Dia semakin rasa serba salah bila Bunga masih menunggu jawapan daripada mulutnya.

 

“Mommy masak tak sedap ke?”

 

Haris angkat muka, pandang Dara yang duduk tidak jauh dari sini dengan mimik muka yang sama dengan Bunga. Malah, isterinya sedang berpeluk tubuh memandang dia. Kening dijongket sekali. Dia semakin sukar memberi jawapan bila Dara menyerang dia lagi. Isterinya mengubah posisi sambil tangan kanan menongkat dagu pula. Jelas-jelas isterinya nampak teruja untuk mendengar jawapan bakal dia berikan nanti.

 

“Sedap…Mommy masak apa, mana pernah tak sedap.” Haris mengambil mangkuk kecil ditangan Bunga. Dua kali suap, mangkuk tersebut telah licin. Hampir saja dia tersedak.

 

Bunga ketawa sambil menepuk tangan beberapa kali sebelum berlari mendapatkan Dara.

 

“Mommy…Mommy!”

 

“It’s a trap! Daddy was lying! Bunga baru bagi daddy a lot of chilies” Bunga buat bulatan cukup besar bagi anak sekecilnya.

 

“Bunga nak sangat tahu…How could daddy say the taste is good?”

 

Haris kehilangan ayat. Sangkaan dia, semua ini angkara Dara. Siapa tahu Bunga juga mengikut jejak ibunya. Buat kali pertama dia terjerat. Jerat anaknya sangat mengena. Sekarang, dia menerima renungan tajam dari Dara.

 

Bibir isterinya bergerak-gerak. Dia cuba membaca gerakkan bibir tersebut. Dua kali ulang, dia sudah faham bahasa senyap Dara. Bahasa yang membuatkan dia tidak boleh tinggal diam.

 

“D!” Haris bingkas bangun, mengejar Dara yang membawa pergi sekali Bunga.

 

“Mommy pesan, tidur luar.” Kata anak kecil mereka yang berada dalam dukungan Dara.

 

“I’m sorry…Daddy salah.” Haris tetap saja mengejar langkah Dara.

 

“Mommy cakap, tiada maaf bagi daddy. She’s hurt so much!”

 

Dara sembunyikan senyuman. Dia suka bila Bunga berpihak padanya. Dia suka bila Bunga bijak membuat Haris tidak keruan. Dia suka bila Haris kalah buat pertama kalinya. Bukan kalah dengan Dara. Tapi dengan satu-satunya anak mereka.

 

Haris masih mengejar langkah mereka anak beranak. Dia mendaki dua anak tangga sekali gus bagi mengejar langkah Dara.

 

“Nanti siapa nak jaga Bunga dengan mommy? Dua-dua perempuan.”

 

“Bunga dah masuk kelas taekwondo.”

 

“Bila?” Haris tidak tahu pun hal ini.

 

“Semalam.”

 

“For what?” Dalam mengah Haris bertanya.

 

“To protect daddy and mommy.”

 

Jawapan Bunga bukan saja membuatkan Haris berhenti melangkah. Dara juga begitu. Segera dia mencari wajah bunga. Seingat Dara, dia tidak pernah mengajar Bunga berkata demikian. Dia dan Haris sepatutnya melindungi malaikat kecil mereka.

 

“Siapa ajar bunga cakap macam tu?” Dara tidak mampu menahan diri daripada bertanya.

 

“Somebody.”

 

Dara picing mata. Baru sehari dia menghantar bunga ke kelas taekwondo, Bunga sudah pandai bercakap seolah-olah dirinya pemegang tali pinggang hitam! Dara akan siasat siapa ‘somebody’ yang dimaksudkan Bunga.

 

 

 

PAGI ini kesabaran Dara itu senipis tisu. Tangisan Bunga hampir merobek kesabarannya. Dia sedang menahan diri daripada meletup. Dia harus bijak menyelami hati Bunga. Dia perlu mencari tahu punca Bunga bersikap begini.

 

“Look…Daddy tak ada. Ada urusan yang Daddy perlu selesaikan. Jadi, hari ni mommy yang akan hantar Bunga pergi school.” Pujuk Dara tanpa jemu.

 

“No! Bunga tak nak pergi school!” Bentak bunga dengan muka merah padam.

 

Dara memicit pelipisnya. Dia pejam mata sesaat. Nafas ditarik panjang-panjang.

 

Selama ini, tidak pernah pula Haris beritahu Dara mengenai ragam Bunga dipagi hari. Selalunya, jawapan balas Haris adalah Bunga sangat gembira apabila dihantar ke sekolah. Apa yang dia lalui sekarang bebeza benar dengan laporan harian Haris.

 

“Bunga tak boleh cuti. Tak bagus. Cikgu suka murid yang rajin ke sekolah.” Dara menggandakan usahanya. Dan usahanya mengundang cebikan Bunga. Itu membuatkan Dara semakin rasa ada sesuatu yang tidak kena sehingga Bunga berkeras tidak mahu ke sekolah.

 

“Beritahu mommy…Siapa yang berani kacau bunga? Siapa yang berani buat Bunga takut? Mommy akan ajar dia.”

 

Barulah perlahan-lahan Dara melihat Bunga mengangkat muka. Cebikannya juga kian menghilang. Jari Dara laju menghapuskan air yang hampir menitis.

 

“Sebab tu mommy hantar Bunga pergi kelas taekwondo. Bunga lawan siapa yang berani kacau Bunga. Yang cuba-cuba nak apa-apakan Bunga.”

 

“Bunga boleh buat macam tu?” Tenggelam timbul suaranya.

 

“Of course!” Dara tidak teragak menjawab.

 

Barulah Dara diperlihatkan senyuman Bunga. Jari kecil itu rakus menghapuskan air matanya.

 

“Tapi ingat! Lawan bila Bunga rasa dalam bahaya. Bukan nak tunjuk siapa kuat.”

 

Bunga mengangguk kepala sekali berserta senyuman.

 

“Good girl!” Dara menggosok kepala Bunga lalu tubuh anak kecil itu ditarik ke dalam pelukkannya.

 

Bunga melambai tangan beberapa kali sebelum dia berlari-lari anak masuk ke dalam. Sejurus tiba di muka pintu, dia mula berjaga-jaga. Dia memandang kiri dan kanan sebelum melangkah masuk ke dalam.

 

Bibir kecilnya mengukir senyuman bila merasakan keadaan selamat. Cukup tiga langkah, kakinya membeku. Tubuhnya sedikit menggigil bila disapa.

 

“Hei!”

 

Bunga tidak jadi meneruskan langkah. Jika dia berbuat demikian, dia akan pasti akan dihalang untuk meneruskan langkah.

 

“Kau dengar tak aku panggil?”

 

Bunga teguk liur. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah mana datangnya suara tersebut.

 

Pandangan mereka bertemu. Bunga hampir putus nafas bila orang yang menegurnya melangkah menghampirinya. Dia hampir buka langkah seribu. Namun entah mengapa, dia kekal di situ. Dia teringat pesanan mommynya untuk mengeluarkan jurusan taekwondonya jika orang itu berani mengapa-apakan dirinya.

 

“Nama kau…”

 

Bunga panggung kepala. Dia beranikan diri memandang muka orang yang bertanyakan soalan yang sama sejak dua hari lalu. Sepasang bibir kecilnya mengetap. Tangannya mencengkam tali beg kuat.

 

“Kalau kau beritahu nama kau, aku tak akan muncul lagi.”

 

Sepasang mata Bunga bersinar.

 

“Janji?” Tanya Bunga polos. Dia melihat orang di depannya angkat bahu sekali.

 

“Lily Kejora.” Beritahu Bunga tanpa ragu. Sempat dia melihat senyuman tipis orang yang menganggu dia sejak dua hari lalu. Kemudian senyuman itu hilang.

 

“Bunga…”

 

Kelip-kelip Bunga pandang lelaki yang sudah bertinggung di depannya. Dia mundur selangkah.

 

“Asri!”

 

Suara yang memanggil buatkan lelaki di depan Bunga mendengus.

 

“Tunggu aku, Bunga.”

 

Kelip-kelip Bunga pandang lelaki itu. Dia tidak faham apa yang dikatakannya. Dia hanya mampu memandang lelaki itu bangun lalu melangkah pergi. Bunga jadi semakin hairan. Hairan bila dia rasa ingin mengejar lelaki itu. Dapat dia rasakan ini merupakan kali terakhir dia berjumpa lelaki itu.

 

 

 

 

::: The End :::

Boleh dapatkan spin off Perangkap Cinta :-

Ebook Mr Squid


Email : [email protected]

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.