Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
12,520
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

Aku menangis. Ya. Baru sebentar tadi aku tanpa sengaja menitiskan air mata gara-gara disakiti oleh Raid biarpun tidak sesakit mana. Sebagai balasan buat aku menangis, tangan secara refleks menumbuk dada Raid sehingga terlepas cengkaman lelaki itu.


“Heera, sorry…Saya tak sengaja.” Raid mengejar langkah aku.


“Heera…”


Pedulikan rayuan Raid. Jika Raid tidak mahu buka mulut, biar aku sendiri turun padang siasat tentang Raisha. Aku boleh cari rakan sekutu yang lain.


“Look…Saya betul-betul tak sengaja.” Raid berjaya menjadi tembok, menghalang aku pergi.


“Okey…Saya maafkan awak.” Kata aku tanpa jiwa. Gara-gara rasa marah masih tersisa.


“Jadi, tolong ke tepi.” Arahku. Mata tajam merenung dia.


Arahan aku gagal dipatuhi. Bukannya pergerakkan, tetapi keluhan berat Raid sampai ke pendengaran. Keluhan itu sedikit sebanyak sedang menjiruskan petrol ke hati aku yang sememangnya sedang marak. Belum ada tanda-tanda mahu terpadam.


“Okey, saya tahu awak kawan baik Rai.”


Aku peluk tubuh. Kan bagus kalau awal-awal lagi Raid beri kerjasama. Tiadalah aksi tumbuk-menumbuk. Tiada juga kejadian merajuk. Malah, air mata mahal aku pun tidak akan gugur.


“Dan saya tahu rancangan awak dengan Raisha.”


Sebelah kening aku naik tinggi. Banyak sebenarnya rancangan aku dengan adik tiri Raid. Mana mungkin Raid tahu semuanya. Lebih-lebih lagi rancangan adiknya mahu menjadikan aku sebagai kekasih gelap abangnya. Supaya rancang Raid dan Serina ke jinjang pelamin gagal.


“Kita kahwin Heera.”


Aku tergelak dengar gurauan tak terjangka Raid. Sangat tiba-tiba saja dia mengajak aku kahwin. Tak sampai seminit kami bercerita hal Raisha, sekarang Raid bercerita pula hal kahwin.


“Saya syak awak mabuk Raid.”


Dia pandang aku setengah percaya. Macam orang tertelan cicak mati pun ya.


“Tunggu sini. Saya belikan air untuk hilangkan mabuk awak.” Aku berura-ura pergi. Nanti aku akan minta tolong sesiapa hantarkan air untuk Raid, asalkan aku dapat lepaskan diri. Lepas dari kegilaan Raid.


“Saya suka awak.” Raid bersungguh-sungguh menghalang.


“Jangan jadi bodoh Raid. Setakat bekas merah tadi, awak buat keputusan nak kahwin dengan saya? Awak bukan bunuh saya pun. Cuma tak sengaja sakiti saya.”


Mengecil sepasang mata Raid. Tak suka agaknya dengan gurauan kasar aku. Lebih tak suka bila aku mengungkit kejadian tadi.


“Anggap saja perbincangan kita selesai.” Aku tak nampak kecerahan masa depan jika kami terus bekerjasama. Yang ada hanya kegelapan.


“Saya faham awak datang bulan. Cukup seminggu kita bincang semula. Saya yakin masa tu mood awak dah okey.”


Kurang ajar ya insan bernama Raid. Berani-beraninya dia bercerita hal wanita dengan aku. Muka bersahaja dia buatkan aku rasa nak bagi sepuluh cop jari pada wajahnya.


“Antara kita dah tak ada urusan lagi…” Sebaliknya mulut aku bercakap dengan nada masih terkawal. Tiada carut-mencarut. Seolah-olah mengeyakan aku sedang bercuti dalam melaksanakan ibadah.


“Kalau macam tu, kita bincang. Sekarang… Sebab saya tak rasa kita akan berjumpa. Boleh jadi awak akan lari jauh dari saya.”


MasyaAllah. Bijaknya Raid. Pandai dia meneka agenda aku selepas ini. Sekelip mata aku tertangkap. Sayangnya, mulut aku bagai digam. Tak ada hati nak berdebat lagi.


“Saya tak tahu bila, macam mana…Apa yang saya tahu, saya dah jatuh cinta dengan awak, Heera. Saya nak kita kahwin.”


Raid bagai dibayangi hal perkahwinan. Sejak dari tadi dia masih belum berputus asa melamar aku. Semua ceritanya berkisarkan penyatuan dua manusia berbeza jantina.


“Untuk pengetahuan awak…Saya tahu awak dan Rai rancang untuk pisah saya dengan Serina. Dan saya pun tahu awak dah terima deposit tiga ribu.”


Aku geleng kepala tidak percaya sebelum mengeluh berat. Dalam diam, segala rancangan gila tersebut rupanya sedang tersebar meluas tanpa pengetahuan aku sendiri. Cerita yang tidak sepatutnya terbongkar.


“Awak sakit Raid. Dan awak tenat…Sangat-sangat tenat.” Kata aku lalu angkat kaki. Sayangnya, bukan mudah Raid nak biarkan aku pergi. Sekali tarik aku kembali berdepan dengan dia.


“Tolong, saya merayu. Biarkan saya pergi.” Tak guna bertomoi dengan Raid. Aku bakal kalah besar nanti. Dia bukan tandingan aku juga. Maka, merayu pun aku sanggup.


“Tadi awak nak sangat bincang…Kita dah masuk frasa bincang tu dua minit yang lalu.” Raid tatap aku. Sedikit pun tidak mengalihkan pandangan.


Tak terkira keluhan aku. Perbincangan sebelah pihak tidak akan menemukan penyelesaian. Untuk kali ini, demi menyelesaikan semuanya, aku akan ikut kata Raid. Sama-sama berbincang supaya tiada salah faham lagi.


“Ya…Memang saya terima rancangan gila Rai untuk jadi penyondol. Nak pisahkan awak dengan Serina.” Akui aku. Sudah tiba masanya  jujur padanya.


Hujung bibir Raid naik tinggi. Sinis sekali senyuman itu pada pandangan mata aku. Seolah-olah aku terlalu murah kerana terjebak dengan rancangan gila Raisha.


“Saya cuma nak jadi penyelamat awak. Serina tu tak sesuai untuk lelaki sebaik awak, Raid. Saya dah lama kenal dia. Sejak dulu lagi."


Daripada sinis, aku nampak Raid sudah bongkak bila aku memuji dia. Sempat dia betulkan anak rambut yang menutup sebahagian mata. Kolar baju dibetulkan. Sejujurnya, aku tidak gemar pemandangan tersebut.


“Memandangkan awak dah jumpa yang lebih baik dari Serina, maka kontrak saya dan Rai terbatal. Tugas saya pun selesai. Tak ada keperluan lagi saya babitkan diri dalam masalah awak.” Putus aku.


“Siapa cakap kontrak awak terbatal? Kontrak awak dengan Rai mungkin dah terbatal. Tapi awak akan perbaharui kontrak dengan saya pula. Kontrak seumur hidup.” Selar Raid laju.


Berkerut teruk dahi aku.


“Tahniah. Misi awak berjaya dengan cemerlang Heera."


Melihat wajah aku yang kurang faham, Raid bertindak mara beberapa langkah. Merapatkan jurang. Sengaja nak menguji sistem pernafasan aku yang tentunya mengalami masalah. Bimbang memerlukan khidmat bantuan pernafasan.


“Saya memang dah jatuh cinta dengan awak, Heera. Jadi, saya mohon awak bertanggungjawab atas perbuatan awak. Tolong terima saya tanpa sebarang alasan.”


Aku terlebih dahulu melarikan pandangan mata bila renungan Raid itu melemaskan. Tidak setakat melemaskan, ada senyuman gatal juga menyusul. Senyuman yang ada unsur-unsur menggoda.


Setelah menemui keberanian, barulah aku mencari Raid semula. Tetapi Raid itu licik orangnya. Godaan dia semakin menjadi-jadi. Sengaja menyebak rambut bersama deretan gigi putihnya. Saja nak tunjuk dia itu jejaka idaman semua.


“Awak masih tunangan Serina Raid. Tolong ingat perkara penting tu.” Aku ingatkan dia.


“Semalam kami dah putus tunang. Dan hari ni hari pertama saya kembali bujang semula. Saya bebas. Saya bukan milik sesiapa lagi.”


Liur diteguk. Terasa berpasir. Tidak hanya sistem pernafasan, sistem pencernaan aku juga dikesan mengalami masalah.


“Boleh jadi Serina akan cari awak semula.” Masih tidak yakin Serina melepas Raid semudah itu.


“No…Dia tak akan cari saya. Saya berani jamin.”


“Dan saya dah jumpa papa dan Abang Mus…Dia orang cakap awak masih belum ada yang berpunya. Mereka serahkan keputusan di tangan awak."


Sikit lagi rahang aku tidak mahu mengatup. Sepantas itu Raid buat kerja? Baru putus tunang semalam, hari ini sudah mencari yang lain? Hebat!


“Raid…Saya minta maaf sangat-sangat. Saya…” Aku hilang susunan ayat. Tidak tahu bagaimana mahu menolak lamaran Raid yang mendadak. Tidak mahu alasan apa yang boleh buat Raid putus asa.


“Ada berapa bulan lagi nak raya. Masih sempat kalau nak buat majlis. Dan awak boleh minta maaf raya nanti.” Gurau Raid.


Mengetap bibir aku. Tak kelakar biar pun Raid sudah hamburkan ketawa. Ketawa versi lelaki budiman.


“Saya serius Heera…Kahwin dengan saya. Saya penat dimainkan. Penat juga nak bercinta lama-lama.” Raid kembali serius bila aku masih belum memberikan jawapan positif.


Jeda. Diam itu masih pilihan utama. Otak gagal merangka segala ayat berbaur bantahan.


“Okey, macam ni…” Raid menggosok perlahan rahangnya.


“Syarat kontrak saya senang. Tak susah…”


Aku picing mata. Adik-beradik sama saja. Semuanya nak bersyarat. Syarat yang semestinya berat sebelah.


“Jaga makan minum saya seumur hidup…Ada dengan saya susah senang...Pandai jaga diri sebagai seorang isteri."


Itu perkara asas. Tak perlu rasanya masuk dalam senarai syarat. Aku sedia dengar syarat yang lebih ekstrem. 


"Macam mana? Setuju jadi isteri saya?"


Seminit menunggu, tiada syarat lain menyusul melainkan desakkan. Desakkan yang buat aku yakin untuk menolak. Itu merupakan pilihan terbaik. 


"Maaf Raid. Saya terpaksa menolak. Berkahwin dengan awak tak termasuk dalam rancangan. Maaf  lagi, kalau saya mainkan perasaan awak." Semoga Raid terima permohonan maaf aku. Biarpun aku tahu peratus Ra terima itu sangat sedikit.


"Saya balik dulu." Tak sanggup rasanya nak tatap wajah terkesima Raid. Ada baiknya aku angkat kaki.


"Macam mana Rai? Kahwin dengan saya. Saya akan tolong awak cari tahu siapa Raisha sebenarnya."


Aku berhenti di sebelah Raid. Badan automatik berpusing menghadap dia.


"Kahwin dengan saya. Semua persoalan awak akan terjawab." Tawaran Raid menyusul.


Mata segera mengimbas. Raut wajah Raid bebas dari segala unsur-unsur penipuan. Mata dan bibirnya tidak merekah senyuman. Apa yang aku nampak, Raid serius. 


"Semua?" Banyak-banyak soalan dalam kepala, hanya sepatah terluah.


Raid angguk kepala sekali. Sekali itulah yang buat aku pertimbangkan semula lamaran Raid.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.