HARIS mampu tarik nafas lega bila dengar Asri akan ke luar negara bersama kedua orang tuanya. Bukan main terkejut dia mendengar pengakuan berani mati budak bernama Asri Khan. Sekurang-kurang, anak dalam kandungan mereka selamat dari dijodohkan dengan sesiapa pun.
Kenal pun tidak, tiba-tiba Asri boleh meluahkan telah jatuh cinta dengan anaknya yang belum dilahirkan. Siapa yang tidak terkejut. Berkali-kali juga Haris menerima permohonan maaf daripada ibu bapanya. Berkali-kali itu juga dia tidak berhenti melirik pada Asri
Dia mengharapkan raut wajah penyesalan daripada Asri Khan. Siapa tahu, Haris menerima senyuman tipis daripada bakal menantu tidak jadinya. Malah, ketika bersalaman Asri sempat berkata sesuatu padanya sehingga dia rasa mod berjaga-jaga sebagai bapa kepada anaknya terus aktif. Dia merasa sifat protektif yang sudah lama hilang juga kini muncul kembali.
“I will find her when I grow up…”
Sejak dari kejadian tempoh hari, Haris dibayangi senyuman milik si kecil itu, sehingga dia merasa tidak senang duduk. Dia rasa senyuman itu menghantui dia ke mana saja. Itu yang membuatkan dia tidak keruan. Rasa tidak keruan dia mengundang perhatian isterinya
“You are thinking too much, abang…”
“D tak rasa pelik?”
Kening Dara naik tinggi. Apa yang pelik? Asri sama saja dengan kanak-kanak lain. Petah bercakap. Bercakap pula bila perlu saja. Selebihnya Asri lebih gemar berdiam diri. Bagus cara didikan ibu bapa mereka. Cuma bahagian ‘fall in love’ itu Dara hanya anggap sebagai gurauan.
“Don’t you think he was talking like an adult? Macam mana budak lapan tahun boleh bercakap soal cinta? Nonsense!”
Dara rasa Haris terlalu ambil serius. Bukan dia tidak dengar perbualan antara mereka berdua. Malah Asri tak nampak membahayakan ketika berkata demikian.
“It’s weird, Haris…”
Kini, giliran Haris pula menunjukkan kedutan di dahinya. Sekarang Dara memandang dirinya pelik pula gara-gara Asri?
“Haris yang D kenal fikirannya matang. Bukan macam ni…I think you are being childish.”
Dara bangkit, mendekati suaminya. Seharian menghadap Haris, dia juga menjadi tidak keruan. Nama Asri saja yang sering meniti dibibir suaminya. Dan semestinya, terlalu banyak yang bakal bapa ini runsingkan. Padahal, anak mereka belum pun melihat dunia.
Sepatutnya, mereka lebih memikirkan detik-detik untuk melahirkan anak sulung mereka. Dara mahu merakam momen ini, bukannya berkelahi hal-hal yang remeh temeh.
“Tiada apa yang perlu dirisaukan. Ajal maut semua di tangan Allah…Begitu juga soal jodoh. Masih terlalu awal untuk memikirkan jodoh anak. Jadi, berhenti fikir bukan-bukan, Haris.”
Perlahan-lahan bentuk kening Haris kembali sedia kala. Suaminya sudah mampu berfikir dengan waras. Perubahan positif tersebut buatkan Dara lukiskan senyuman. Dia suka dengan sikap tolak ansur Haris. Dia suka bila Haris mampu mendengar nasihatnya. Segala-galanya tentang Haris, dia suka.
Memandangkan emosi Haris sudah membaik, dia ingin menyambung kerjanya yang tertangguh. Gara-gara Haris, dia tak sempat menyediakan pakaian bayi mereka yang perlu dibawa ke hospital nanti.
“Abang tolong…”
Huluran Haris itu melebarkan lagi senyuman Dara. Haris terlalu ringan tulang sejak kebelakangan ini. Semua kerja suaminya pulun.
“Thank you.” ujar Dara dengan senang hati. Sementara itu, dia akan sediakan keperluan lain atau dia akan berjalan keliling rumah.
“Jangan pergi jauh-jauh.” Titip Haris bila melihat Dara membuat u-turn menghala ke pintu luar.
“Baik abang!” Bukan main laju Dara menjawab.
“Anything, call me.”
“Phone dekat bilik.” Jawapan Dara memaksa dia berhenti melangkah. Kebisuan Haris secara tiba-tiba itu membuatkan dia berpaling. Pasti ada yang tidak kena.
“Tak perlu guna phone…Jerit pun boleh. Tak boleh jerit, bagi signal. Pecahkan apa saja yang dekat dengan D. And I will run to you on the spot.”
Yang aneh-aneh saja permintaan Haris. Dan percayalah, sebaik saja Dara jejak kaki ke luar, Haris itu akan berada di setiap penjuru. Langsir rumah bakal menjadi tempat persembunyiannya untuk mengintip. Jadi, cadangan Haris itu tidak sesuai untuk dipraktikkan kalau suaminya menjadi cctv bergerak. Yang memerhatikan dia tanpa culas.
“D tak lama…Sepuluh minit je.” Itu cadangan Dara. Pusing-pusing keliling rumah tidak akan mengambil masa yang lama. Dalam waktu yang sama, dia sedang mengusir jauh rasa bimbang Haris.
“Okey.”
Jawapan pendek Haris itu mengundang rasa lega Dara. Dia tak kisah Haris ingin mengintip dirinya atau tidak. Yang dia kisah, kebenaran daripada suaminya. Apa yang Dara belajar seperkara sepanjang kehamilan, keredhaan suami sangat penting.
Apatah lagi dia diambang kelahiran cahaya mata. Dia takut jika kemarahan Haris itu menjadi penyebab dia mengalami kesulitan sepanjang proses kelahiran kelak. Ini antara pesanan yang dititip emak sepanjang masa. Ini yang membuatkan Dara sedar, tanpa emak, Dara itu masih terkapai-kapai dan terbawa-bawa zaman jahiliahnya ketika anak daranya sampai ke status bakal ibu.
Langkah pertama Dara itu sangat menyakitkan apabila dahi dia terasa berlanggar dengan sesuatu. Mujur tidak terlalu kuat. Mujur juga bentuk syiling lima puluh sen tidak terbentuk pada dahinya.
“Kenapa tutup pintu?” Soalan yang terpacul dari mulut Dara sebaik mata dia jatuh pada pintu utama yang menjadi penghalang dia melihat dunia luar.
“Times up!”
Takkanlah! Dara baru saja nak keluar. Serasa dia, baru beberapa minit saja yang masa berlalu. Jejak kaki ke luar pun belum. Tiba-tiba tempoh masanya telah pun tamat.
“Sepuluh minit tu dah membazir sebab D termenung…Termenung dan termenung. Tak ke membazir macam tu?”
Oh, bunga! Mommy harap, kamu tidak ikut perangai daddy kamu. Boleh pening mommy. Sempat hati Dara menjerit protes.
“Dah, jom…Masa untuk baby makan. Abang tak nak anak kita lapar.”
Usapan di perut terhenti bila Dara mendengar sesuatu. Sesuatu yang membuatkan dia menjeling Haris.
“Daddy dia yang lapar sebenarnya, bukan anak…”
Ayat berbaur geram Dara itu mengundang tawa Haris. Bahu isterinya dipaut lalu bibirnya melabuh sekilas pada dahi Dara.
“Terima kasih sebab memahami abang.”
Dara sembunyikan senyuman. Sebentar lagi, dia akan digula-gulakan Haris.
“Terima kasih sebab sudi lahirkan legasi Haris.”
Bukan percuma. Sebagai balasan, Haris perlu menjaga anak mereka setelah Dara berhempas pulas melahirkan legasi Haris kelak. Terima kasih saja tidak memadai. Dia perlukan kerjasama yang adil.
“I wish our baby is a boy…”
Dara segera membina jarak. Hal ini sudah lama mereka tutup buku. Sepatutnya masalah lelaki atau perempuan tidak timbul lagi. Haris suka buatkan otak dia dikerah tiba-tiba untuk berbahas dengan suaminya.
“Abang tak nak anak kita kena pikat dengan Asri.”
Mengendur bahu Dara. Seingat dia, cerita tentang Asri Khan itu sudah lama terkubur. Mana tahu Haris sedang menggali semula kubur tersebut dan cuba-cuba menghidupkan semula kisah yang Dara hampir-hampir lupakan.
Bibir atas dan bawah Dara baru saja terpisah, dia ingin bersuara. Namun Haris pantas meletakkan jari telunjuk ke bibir. Suaminya tahu, jika Dara bersuara, mereka akan sama-sama terhumban ke dalam sesi pergaduhan manja. Manja-manja itu akan melarat. Seterusnya Dara akan tarik muncung sedepa.
Hala tuju mereka berdua sekarang adalah meja makan. Haris yang buka cerita, Haris juga yang cepat-cepat tutup cerita. Demi mengelah perbalahan.
SEBELUM bersalin, Dara ingin menghabiskan masanya sebaik yang mungkin. Dia ingin memanfaat sebelum perlu mengurungkan diri selama empat puluh empat hari. Dia sendiri tidak pasti sama ada dia bakal mengalami kemurungan atau menikmati proses berpantang tersebut. Yang pastinya, Dara perlu menjauhi kemurungan. Cukuplah sekali dia berpantang dalam keadaan sebegitu. Siang malam Dara tidak putus berdoa supaya urusannya kali ini dipermudahkan. Dia tidak mahu kecewakan Haris.
“D…”
“Ermm…” Dara tidak menoleh. Tumpuan dia lebih pada jalan raya. Hanya menunggu ke mana hala tuju Haris yang kononnya mahu mengembirakan hatinya.
“Nak pergi toilet?”
Soalan Haris memaksa Dara mencari sisi wajah suaminya. Dara perlu akui hal tersebut. Dia semakin kerap ke tandas sejak berbadan dua. Apatah lagi dia sedang menunggu masa untuk bersalin.
“No, thanks!” Dara tak rasa dia ingin ke tandas.
“Sure?”
Memang patut pun Haris bertanya. Keadaan jalan raya yang agak sesak, membuatkan kenderaan dipandu Haris masih belum berganjak sejak dari tadi lagi.
“Yes.” Jawab Dara. Tangan kiri Haris diraih demi menyakinkan suaminya. Jari-jari runcing Dara mengisi celah-celah jari besar Haris. Kelakuannya mengundang senyuman lebar suaminya.
Haris melirik jam tangannya. Dia mula membuat pengiraan masa yang bakal diambil untuk sampai ke tempat yang sudah ditempah khas untuk berbuka bersama dengan Dara.
Dara di sisi, mengusap perlahan perutnya. Usapan itu dilakukan berulang kali. Seolah-olah dia sedang mengusap anaknya.
“Larat lagi tak? Kalau tak boleh, D buka dulu.” Haris mula risau bila melihat Dara kerap mengusap perutnya. Perkara itu jarang-jarang isterinya lakukan. Kebiasaannya usapan itu hanya berlangsung beberapa minit. Apa yang Haris perasan, beberapa minit itu berlarutan sehingga ke lima belas minit. Sekarang, hampir ke setengah jam.
“Nope! Sayang…Tinggal setengah jam lagi nak berbuka.” Biarpun ada rasa risau yang menebal, Dara rasa sayang jika dia berbuka sekarang setelah seharian bertahan.
“Tapi sayang nampak pucat?”
Bukan main laju Dara menoleh. Pandangan dia bertaut dengan Haris. Kalau sudah sayang yang keluar dari mulut Haris, maka jelas-jelas dia tidak mampu sembunyikan resahnya.
“Did I?” Dara mengajukan soalan kembali pada suaminya.
“Ermm…”
Jawapan pendek itu berjaya mengeluarkan segala kerisauan yang tersembunyi sebentar tadi.
“Lagipun, abang tak rasa kita akan sampai dalam dalam setengah jam. Sepuluh minit masih belum ada sebarang pergerakkan lagi.”
Kata Haris itu ada benarnya. Namun Dara rasa, dia dalam keadaan baik-baik saja. Begitu juga kandungannya.
“No…You are not okay.”
Jarang-jarang firasat Haris salah. Walaupun kebetulan, Dara perlu percayakan naluri suaminya. Sejak dari tadi dia rasa ada yang tidak kena. Rasa tidak kenanya muncul dengan jelas bila tertangkap dek sepasang mata Haris.
“Take this…”
Mata Dara jatuh pada bungkusan yang diambil dari kerusi belakang, lalu dihulurkan kepadanya.
“Abang ada standby roti dengan biskut. Makan dulu. Air pun ada sekali.”
Perlahan-lahan Dara mengukir senyuman. Dia sendiri pun tidak pernah terfikir nak sediakan semua ini. Hanya Haris yang sering memikirkan dirinya.
Usai membaca doa, Dara berbuka juga awal dua puluh minit. Dia berharap, sejurus berbuka nanti, rasa bimbangnya kian beransur pergi. Barulah dia mampu meraih rasa lega.
Dua gigitan, Dara berhenti. Dia meneguk air sekali. Dan sekali lagi dia mengusap perlahan perutnya. Usapan demi usapan Dara lakukan. Setiap kali itu juga kelegaan dia tidak juga kunjung tiba. Dia semakin resah. Jarang-jarang hal begini berlaku. Selalunya, sejurus dia makan, dia akan menerima jawapan balas positif dari anak di dalam kandungan.
“Abang…” seru Dara setelah gagal bertenang.
“Tell me…What happen?” Haris tahu, ada yang tak kena sejak dari tadi. Dia sedia dengar khabar berita buruk tersebut sebelum terlambat.
“Baby tak gerak macam selalu…”
Sebaris ayat dari mulut Dara membuatkan Haris diam seribu bahasa.
Bohonglah dia tidak panik melihat Dara yang hampir-hampir tumpahkan air matanya. Sebaliknya, Haris tayangkan senyuman kekok. Tangan kasarnya melekap pada pipi Dara yang basah.
“Jangan fikir bukan-bukan…Baby tengah tidur agaknya.” Haris cuba sebarkan aura positif.
Rakus gelengan Dara. Dia yang mengandung. Dia tahu bila masanya pegerakkan anak mereka. Naluri dia kuat mengatakan ada yang tidak kena.
“Kita ke hospital…” Putus Haris.
Tidak jadi Dara bersuara bila Haris bersuara lagi. Raut wajah suaminya juga berubah serius.