Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 17

"MAAF!"


Ini merupakan maaf ke dua daripada Dara. Bukan perutusan maaf yang dia tagihkan daripada Dara. Dia perlukan kerjasama Dara untuk membuktikan siapa sebenarnya Emir. Lelaki yang digila-gilakan sangat oleh Dara.


"Masih nak tarik laporan pasal boyfriend awak? Kalau itu keputusan awak...Awak boleh stay sini lagi dua ke tiga malam. Senang saya nak pantau. Makan minum pun percuma. Silap haribulan, awak boleh jadi bakal Hafizah kalau awak daftar keahlian seumur hidup dalam ni."


Sepi dipihak Dara. Kebisuan Dara bukanlah kemahuan Haris. Mungkin dia perlu memberi tekanan lagi supaya Dara buka mulut.


"Mungkin juga saya boleh sabitkan awak  bersubahat dengan lelaki tak guna tu atas kesalahan berniat untuk seleweng duit syarikat. Jangan ingat niat jahat boleh terlepas hukuman. Dan hukuman subahat sama setimpalnya dengan pelaku." kata Haris lagi. Sengaja ingin menakut-nakutkan Dara.


Hampir bertaut sepasang kening Dara yang elok terbentuk. Dia sedang memproses ayat-ayat Haris. Dia tertanya-tanya sama ada Haris sedang menuduh, atau sedang menjatuhkan kesalahan di atas bahunya?


"Sila buat pilihan Cik Dara. Masa saya terlalu banyak dibazirkan pada awak. Banyak lagi kerja saya perlu selesaikan. Berderet-deret kes sedang menunggu." Haris melirik pergelangan tangannya berkali-kali. Dia mula bosan dengan kebisuan Dara.


Dara putuskan untuk angkat bendera putih. Haris itu bila bersuara tiada tolok tandingannya. Dia juga tidak sanggup memanjangkan isu ini lagi. Silap haribulan, teruk dia dihentam Haris.


"Saya tak akan tarik laporan tu." Putus Dara setelah menimang-nimang baik buruknya.


Haris bercekak pinggang. Dia membalas renungan Dara sebelum dia membuka mulut.


"Spill it out! Ada emas ke dalam mulut awak sampai tak boleh buka mulut besar-besar? Kalau cakap macam dalam kelambu, siapa boleh dengar? Saya ni dah la ada masalah pendengaran. Sebut biar jelas dan kuat." Sengaja Haris kuatkan suara. Dia mahu Dara menjadikan dirinya sebagai contoh. Tegas dalam menegakkan kebenaran.


Dara pejam mata sejenak. Haris ini tahunya marah saja. Apa pun ayat Dara, pasti lelaki ini akan melenting tidak bertempat.


"Saya...tak...akan...tarik...laporan...terhadap...Emir!" Sepatah-sepatah Dara sebut. Biar jelas. Sesuai dengan kehendak Haris.


"Bagus!"


Bagus? Itu boleh diambil kira sebagai pujian tak? Tapi kenapa Dara rasa pujian Haris itu cenderung pada ugutan sebenarnya.


Diam dipihak Haris. Itu tandanya, lelaki itu berpuas hati dengan hasil siasatan mereka untuk hari ini. Dan itu petanda bagus bagi Dara. Petanda dia bakal keluar dari neraka ini tidak lama lagi.


"Nanti partner saya yang akan datang buka gari. Kalau saya yang buka gari, takut terpalit dosa. Tersentuh sana sini nanti."


Dara rasa, kalau sekali lagi Haris sebut 'dosa'. Dia bakal mengamuk besar. Dia bukanlah perempuan murahan sangat ingin disentuh.


"Dah boleh balik, terus balik. Jangan nak menyimpang." Sempat Haris titipkan pesan. Bukan boleh percaya sangat dengan orang perempuan. Bila jiwa dah goyah, mulalah emosi. Mulalah buat perkara yang bukan-bukan.


Cukup tiga langkah Haris, Dara bersuara. Dia ada soalan yang ingin diajukan kepda lelaki itu. Dia tidak akan tenang selagi tidak mengajukan soalan tersebut.


"Saya ada soalan, Haris..."


Dara tahu, Haris itu tidak kejam sebenarnya. Lelaki itu menoleh ketika dia bersuara. Kini, Haris sedang memandang ke arahnya. Menunggu dia mengutarakan soalan.


"Mana awak tahu Emir ada minta bantuan saya untuk mengeluarkan wang milik syarikat?" Itu yang Dara ingin tahu. Selama ini, rahsia itu selamat tanpa pengetahuan sesiapa. Bukan main terkejut dia bila Haris menyebut hal itu sebentar tadi tanpa gagap.


Perlahan-lahan ke dua tangan Haris mendarat pada pinggangnya. Soalan itu sangat mudah bagi Haris.


"Sebab saya suka...Dan sampai bila-bila saya akan ambil tahu tentang bakal isteri saya. Biarpun dia sibuk bercinta dengan lelaki lain. Tapi dia tetap bakal isteri saya! Bercintalah bagai nak rak sekali pun, dia perlu ingat seperkara itu."


Ayat Haris membuatkan Dara mati akal. Buat kali keduanya dia mendengar Haris menyebut ayat tersebut. Ayat yang disebut dengan keyakinan tahap paling tinggi. Ayat yang Dara rasa berjaya menggelikan hatinya.


Ketawa perlahan Dara meletus sejurus tubuh Haris hilang disebalik pintu. Ketawa Dara lenyap bila daun pintu tadinya tertutup rapat, kini terbuka kembali. Muncul semula figura Haris yang memberi pandangan yang paling Dara benci. Pandangan yang membelah jiwa wanita dengan renungan bak bilah itu.


"Jangan pernah terfikir nak jadikan kereta kebal awak tu sebagai suami! Saya tak nak bakal isteri saya pegang gelaran gila. Kalau tak...jangan harap awak dapat jumpa kereta awak semula."


Dara keliru. Siapa yang pegang gelaran gila ketika ini? Dia atau Haris?


Ketawa Dara terlepas lagi. Kemudian dia merenung ke muka pintu. Haris telah pun menghilang. Meninggalkan dia sendirian di sini. Bukankah, gelaran gila itu layak untuk Haris? Haris itu yang suka berfikiran seperti orang hilang kewarasan. Bercakap pun merepek.


"Haris itu mimpi di siang hari!" Ujar Dara perlahan. Dia pun tak pernah terfikir untuk menjadi calon isteri Haris.


Biarlah apa pun di dalam fikiran Haris. Apa yang penting, dia bakal bebas sebentar lagi.





BUKAN main laju langkah Haris. Dia perlu segera. Dia perlu mendapatkan maklumat penting tentang keberadaan Emir. Jadi, ada perkara yang perlu dia selesaikan sementara Dara menjadi tahanan selama satu malam di dalam lokap. Perkara tersebut perlu dilaksanakan sebelum dia melepaskan Dara pergi.


Daun pintu di tolak sedikit kasar sehingga menyentakkan seluruh anggota lain yang berada di dalam bilik tersebut. Sepasang mata Haris hanya tertumpu kepada seorang saja.


"Amy!"


Panggilan Haris membuatkan Amy panggung kepala seketika. Sebelum kepala dia jatuh semula pada lelaki disebelah.


"Macam mana?" Haris duduk di depan mereka berdua. Dia ingin mendengar perkara positif, perkembangan terkini kes tersebut.


"Dapat trace dia dekat mana?" Soalan ke dua Haris menyusul. Kesabaran dia hilang sejak dia menahan Dara. Wanita itu sungguh cemerlang memetik api kemarahan dia.


"Belum."


Jawapan Amy mengundang rasa hampa Haris. Namun, cepat-cepat dia menepis. Mereka masih punya peluang selagi Dara bersama mereka. Jadi, Haris perlu bersabar sedikit lagi.


"Dara macam mana?" Giliran Amy pula bertanya.


Satu malam Amy risaukan keadaan Dara. Bukan main terkejut dia bila menerima berita Dara ditempatkan semalaman di sebalik tirai besi. Bukan dia saja merasakan begitu. Seluruh unit ini juga merasa terkejut.


Soalan Amy, Haris biarkan sepi. Dia tidak berniat untuk menjawab pertanyaan Amy selaku mata-mata dia di pejabat milik keluarganya. Sengaja dia mengutus insan-insan yang prihatin. Insan yang mempunyai ayat-ayat belati. Ayat-ayat yang boleh membunuh emosi seseorang hanya dengan dua tiga patah perkataan saja. Itu yang dia terapkan kepada semua anggotanya. Dan dia berjaya mengrekrut mereka semua dengan cemerlang.


"Kau ada apa-apakan dia?"


Soalan seterusnya Amy berjaya menarik perhatian Haris. Teruk sangat ke dia sampai mahu mengapa-apakan perempuan? Dia belum pernah pegang rekod lelaki dayus lagi. Sentuh perempuan pun belum pernah. Ini kan lagi nak mengapa-apakan anak orang.


"Aku dah belasah dia sampai pengsan. Aku kerat-kerat badan dia. Kejap lagi, aku akan campak dekat kolam ikan belakang balai sana. Biar jadi makanan ikan-ikan tu." Bercanggah apa yang berada di dalam fikiran dengan apa dikatakan Haris.


Amy menoleh kanan bila mendengar ketawa halus dari sebelah. Dia menajamkan pandangan. Cepat saja anggota itu meneruskan kerja. Sempat lagi anggota tersebut berdehem sebelum kembali serius. Konon-konon sedang menyambung kerjanya semula. Walhal, bahunya masih bergegar.


"Jangan ingat aku tak tahu. Kau belasah emosi dia kan? Kau kerat ayat-ayat dia dengan mulut beracun kau tu. Sebab tu kau campak dia dalam lokap satu malam. Kau siap book satu sel kosong khas untuk dia. Kau tak nak dia bercampur dengan orang lain."


Haris sekadar menjeling Amy. Sebab itu, dia lebih suka membisu. Amy pun sudah pandai melawan.


"Kalau dah diam, betul lah tu." Giat Amy. Dia bukan tidak tahu isi hati Haris. Lebih-lebih lagi selepas tahu dari mulut Atiya sendiri. Hati Haris tidak pandai menipu.


"Mana handphone Dara?" Haris menukar topik. Soal hati perlu ditolak ke tepi terlebih dahulu.


"Lelaki...Bab cerita pasal hati, memang jaguh mengelak. Kalau boleh, tak nak satu dunia tahu dia sebenarnya ada hati dan perasaan." Amy mencapai beg tangan milik Dara yang dia simpan. Segera dia capai telefon milik Dara lalu dihulurkan pada Haris.


Haris pandang Amy dengan hati berdongkol. Timbul rasa menyesal mengrekrut mereka pula. Balik-balik, dia juga menjadi mangsa mereka. Lebih-lebih lagi Amy.


"Tadi ada orang call Dara tanpa henti." Adu Amy.


"Siapa?" Spontan Haris bertanya.


"Nombor tak dikenali." Itu saja jawapan yang Amy ada.


Jelas-jelas Haris tidak berpuas hati dengan jawapannya.


Amy rasa Haris sudah melampui batasannya. Manalah dia tahu siapa yang menghubungi Dara. Jadi, soalan Haris itu agak payah untuk dia memberi jawapan. Namun, dia dan rakan sekerjanya awal-awal lagi sudah melakukan tugas dan mereka berjaya menemukan hasil yang positif.


"Kita orang dah cuba trace dari mana panggilan itu datang. Kau mesti terkejut..." Amy dengan pantas menunjukkan bukti yang dia temui.


"Orang yang call tu, sekarang ada di Kulai. Kampung Emir."


Perlahan-lahan Haris tegakkan badan. Tak salah lagi. Pasti panggilan tu datangnya daripada lelaki tak guna tu. Bermakna, Emir telah pun menukar nombor telefon baharu bagi mengelakkan dia dikesan.


Ketika itu juga, telefon milik Dara elok berbunyi. Haris orang pertama yang memberi reaksi. Dia memandang telefon milik Dara yang ada di atas meja, kemudian pandangan dia terhala pada Amy.


Amy turut mengamati nombor yang tertera. Memang tak salah lagi. Nombor itu lah yang tidak jemu-jemu menghubungi Dara sejak dari semalam.


"Dia..." Sebut Amy sambil membalas renungan Haris.


Tanpa menunggu lama, Haris terlebih dahulu mengambil telefon milik Dara. Belum sempat dia meleretkan skrin, ada suara yang menahan dia.


"Haris!" Panggil Amy. Saat mata dia bertembung dengan mata Haris. Dia menggeleng kepala. Haris tidak patut menjawab panggilan tersebut. Kalau betul itu Emir, pastinya Emir akan melarikan diri setelah mendengar suara Haris.


Tapi kedegilan Haris memang tidak dapat disangkal lagi. Telefon milik Dara telah pun sampai ke telinga Haris.


"Hello, Dara! Emir ni...Macam mana? Dah tarik laporan tu? Kita tak boleh jumpa selagi awak tak tarik laporan polis tu. Saya akan jadi buruan mereka."


Tanpa mengetahui siapa di hujung talian, Emir sudah bersuara tanpa henti. Haris tidak tunggu lama untuk matikan talian. Dia sudah tahu keberadaan Emir. Sekarang, dia hanya perlukan ke sana untuk menjerat Emir saja.


"Dalam beberapa hari ni, aku bawa bakal isteri aku pergi menjerat. Tunggu saja hasilnya." Haris mengembalikan telefon milik Dara.


Amy dan anggota di sebelahnya saling berpandangan. Kemudian, mereka mengangkat bahu. Mereka tidak dapat membaca apa yang sedang dirangka Haris sebenarnya.


"Itu pun kalau Dara nak ikut kau, Haris..." Amy bukan nak merendah-rendahkan Haris. Tapi dia kenal dengan kedegilan Dara.


Mengetap bibir Haris. Dia pantang dicabar!


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.