DARA tidak tahu apa yang merasuk dia. Atau dia yang kerasukan? Dalam masa beberapa hari, dia membuat keputusan yang sangat drastik. Dia dengan hati terbuka menerima cintanya Emir. Dia secara tidak rasminya setuju menjadi teman wanita lelaki itu. Tetapi bersyarat. Dia tidak mahu hubungan dia dan Emir diketahui semua. Jangan sampai ada khabarkan kisah mereka hatta melalui angin sekali pun.
Syarat Dara di sambut baik oleh Emir. Malah lelaki itu tidak banyak soal, cukup Dara menyambut cintanya sudah memadai. Itu kata Emir.
Lebih menggila, Dara dengan rela hati memberi nombor telefon dia kepda Emir. Sejak dari itu, malam-malam Dara di temani suara maskulin Emir. Suara Emir menjadi lagu yang mendodoi dia hingga terlena.
Di tempat kerja, Dara dan Emir seolah-olah tidak mengenali antara satu sama lain. Ini juga merupakan salah satu terma dan syarat Dara. Dia akan berpura-pura tidak memandang lelaki itu. Dia takut Amy atau Suraya dapat menghidu. Lebih parah, mereka berdua akan melaporkan hal ini kepada Atiya.
Sedang Dara sibuk menyiapkan laporan kewangan bulanan, ada mesej yang baru masuk. Dia tidak menunggu lama untuk membuka mesej tersebut. Mesej yang dia tunggu-tunggukan. Merekah senyuman Dara bila menerima sekeping gambar Emir yang sedang makan sendirian. Disertakan sekali emoji sedih kerana tiada Dara menemaninya.
"Wah! Bukan main berseri lagi dapat mesej. Pakwe Dara ke?"
Hampir jatuh telefon milik Dara. Sumpah dia terkejut dengan sergahan Amy. Amy itu boleh hilang dan muncul bila-bila masa bersama bom.
"Sorry!" Pinta Amy yang duduk di sebelah Dara. Dia dapat lihat dengan jelas wajah pucat tidak berdarah milik Dara.
Dara hanya lemparkan senyuman tipis. Disebabkan rasa terkejutnya masih belum berkurangan, dia masih membisu. Sepatah pun belum meluncur dari bibirnya.
"Siapa tu?" Amy masih ingin tahu, muncung dihala pada telefon Dara yang ada di atas meja. Tadi bukan elok Dara genggam telefon tu. Bukan main berseri muka Dara membaca mesej tersebut.
"Pakwe?" Duga Amy lagi.
Dara kaku. Tiba-tiba dia jadi bisu dan lumpuh. Sepanjang perkenalan singkat yang mereka, Dara dapat mengesan kepakaran Amy dalam mencungkil rahsia.
"Haris?" Tebak dia tanpa jemu.
Rakus gelengan Dara. Tidak tahu bagaimana Amy boleh terfikir untuk menyebut nama Haris. Sudah lama rasanya tidak bersua muka sejak kejadian Haris menumpangkannya pulangZ Dia pun ingin bertanyakan kepada Amy tentang keberadaan Haris. Oleh kerana takut dilabel perigi mencari timba, Dara kuburkan saja soalan tersebut.
"Ingatkan Haris dah jadi boyfriend Dara." Ada kekecewaan pada nada suara Amy.
"Mana ada!" Barulah suara Dara muncul. Menafi sekeras-kerasnya. Tak ada angin, tak ada ribut nama Haris pula dipetik sebagai kekasih dia.
"Jadi, apa yang Atiya dengan Amy nampak, tak betul lah?" Amy kurang percaya dengan penafian Dara. Dia ada bukti. Dia ternampak mereka berdua satu kereta tempoh hari.
Dara yang baru memberi tumpuan pada kerja, terbantut. Dari penggayaan cerita Amy, mungkin dia ada ternampak Dara dan Haris di mana-mana. Dan timbul spekulasi yang mengatakan mereka sedang hangat bercinta.
"Amy salah lihat tak." Dara cuba tanam tanggapan yang baik-baik dalam kepala Amy.
"Mungkin..." Meleret sebutan Amy.
Sepi seketika. Keadaan jadi canggung gara-gara cerita yang ditimbulkan Amy. Suara Amy tidak riuh seperti selalu selepas kedengaran kecewa bila Haris itu bukan kekasih Dara.
"Tapi kan..."
Sekali lagi bahu Dara terangkat. Amy menepuk bahunya sekali. Agak keras. Telahan Dara, cerita tadi sudah tiba ke garisan penamatnya. Mana tahu tadi itu hanya permulaan cerita.
"Hari tu Dara cakap, kereta Dara rosak kan?"
Ya!
Dara ada buka mulut perihal itu. Perlahan-lahan dia mengangguk kepala.
"Maaf kalau soalan ini sensitif sikit..."
Bahaya ni! Soalan-soalan Amy bukan boleh di duga. Semuanya ibarat bom jangka. Jarang-jarang soalan itu tidak penuh dengan jerangkap. Yang sikit itulah yang memberi impak sangat besar.
"Siapa yang bayarkan semua kos baiki kereta Dara?"
Aduh!
Soalan itu pun Dara masih tercari-cari jawapannya. Puas dia memujuk tuan punya bengkel. Pujukan dia menerima jalan buntu apabila pujukan dia tidak dihiraukan. Lebih parah, dengan selamba tuan punya kedai jawab begini pada Dara.
"Rezeki Cik. Jangan pernah tolak rezeki. Sekali tolak, tak akan datang lagi."
Dara rasa, dia ingin mengambil minyak hitam kemudian lumurkan saja pada mulut tuan punya kedai. Itu bukan rezeki. Tapi itu namanya makan budi! Biarpun Dara itu tidak punya banyak duit, dia akan usahakan asalkan tidak menyusahkan orang lain.
Baru Dara buka mulut, Amy datang lebih dekat. Amy lupa penjarakkan sosial yang sepatutnya wujud. Amy tidak kisah jika berlakunya penularan penyakit dalam kalangan mereka. Tidak berkedip Dara saat lutut mereka bertemu. Entah bila dia berpusing menghadap Amy, dia pun tidak sedar.
"Amy tak tahu lah betul ke tak. Tapi Amy ternampak resit dekat dalam kereta Atiya. Bila tengok tandatangan pada resit, nampak macam familiar. Lepas tu Amy perasan nombor kad pengenalan bawah tandatangan. Terus Amy khatam baca isi kandungan resit tu. Satu pun tak tinggal."
Kenapa Dara rasa berdebar-debar semacam ya? Amy pun satu. Terus pada point saja kan senang. Tak perlukan bermukadimah tanpa penghujung.
Ketika Dara sibuk menunggu penuh debaran, boleh pula Amy menyebut nombor kereta dia. Laju dia mengeyakan. Memang nombor pendaftaran kereta tersebut milik dia.
"Nah!" Amy halakan skrin telefon pada Dara.
"Ini sain Haris...Haris yang settlekan kos baiki kereta Dara."
Belum habis rasa terkejut, mulut Dara tidak mahu mengatup lagi. Cepat tangan dia menekup mulut.
Sumpah!
Dia terkejut dengan pengakuan Amy. Berserta bukti kukuh lagi Amy kemukakan kepadanya.
Jari telunjuk Amy melekat pada bibir. Sempat dia pandang sekeliling. Takut ada yang mendengar perbualan mereka berdua.
"Ini Amy curi-curi ambil gambar. Atiya pun tak tahu. Cuma nombor kad pengenalan Haris tu memang Amy hafal sangat. Puas Amy jadi penyiasat. Nak juga tahu apa yang Haris buat sampai sanggup habis duit dekat dua ribu." Lansung tidak dilarikan sepasang matanya dari menatap Dara.
"Rupanya, Haris habiskan duit untuk bakal isteri dia." Daripada serius, Amy sudah mengusik. Bahu Dara dicuit sedikit.
Jadi, dialah hamba Allah yang terlalu baik hati itu? Padanlah Dara lihat battery dia pun dah berganti baru. Segala bocor-bocor pada bahagian enjin, hilang. Bersih. Kereta dia yang susah start, sekarang bukan main senang hidupnya. Makin berdesup laju lagi. Brek yang sebelum ni perlu ditekan dari jauh, bukan main mencengkam lagi. Entah apa yang dibaiki, Dara pun tidak tahu.
Apa yang dia tahu, dulu perfomance kereta dia biasa-biasa saja. Sekarang, boleh dikatakan tip top. Smooth saja. Dara sendiri berpuas hati. Tapi apa yang dia tidak berpuas hati, kenapa Haris tidak berterus terang kepadanya? Kenapa perlu berahsia?
"Rahsia Dara selamat dengan Amy. Haris tu bagus orangnya. Sesuai sangat dengan Dara. Amy boleh bayangkan kalau kau orang ada anak nanti."
Semakin jauh menyimpang pemikiran Amy. Daripada mencari tahu siapa yang baik hati melaburkan duit untuk keretanya, sekarang Amy terjerumus ke alam perkahwinan. Lebih parah, Amy membayangkan anak dia dan Haris!
"Amy...Amy..." Dara cuba menarik perhatian Amy. Dia tidak tahu dari mana dia nak betulkan semua salah faham yang tercetus.
Haris pun satu. Kalau awal-awal dia berterus terang, kan senang. Keadaan pun tidak akan serumit ini. Kalau perkara ini sampai ke pengetahuan Emir? Apa dia mahu jawab? Mereka baru sehari dua menjalin cinta. Dara tidak mahu hubungan dia dan Emir kecundang seperti sebelum-sebelum ini. Dia sungguh-sungguh mahu menerapkan nilai-nilai kesetiaan dalam hubungan.
"Semua tu tak betul..." Dara betulkan duduk. Dia sedang menyusun ayat terbaik bagi mengelak dicalonkan sebagai bakal isteri Haris lagi.
"Memang Haris yang teman Dara ambil kereta hari tu." Pengakuan Dara, melebarkan lagi senyuman Amy. Senyuman tersebut meresahkan. Resah apa yang bermain di dalam fikiran Amy sekarang ini.
"Kami bukan pergi bertemujanji! Sumpah...Haris cuma hantar Dara pergi ambil kereta dan balik." Spontan tangan kanan Dara naik. Dia sedikit pun tidak berbohong.
"Pasal bayaran tu...Kalau Amy tak buka mulut. Dara sikit pun tak tahu itu angkara Haris. Haris dan tuan punya bengkel berkomplot! Dia tak nak beritahu pada Dara siapa yang menyeleaikan semua kos-kos baiki kerata itu. Lepas tu, Haris hilang tanpa jejak." Cerita Dara seringkas yang boleh. Intonasi suaranya masih terkawal.
Barulah senyuman Amy kian pudar. Dia nampak betapa bersungguhnya Dara menceritakan hal sebenar. Tapi itu semua hanya sementara. Senyuman Amy kembali semula seminit kemudian.
"Haris tak hilanglah! Dia ada kerja." Amy betulkan ayat terakhir Dara.
Hampir bercantum kening Dara. Kerja Haris itu sebagai pemandu Atiya. Sudah lama dia nampak Atiya memandu sendiri. Atau Haris sengaja nak mengelak daripada dia?
"Kalau Haris tu ada hati dengan Dara sekali pun, apa salahnya. Haris single, Dara pun single. Ngam apa!"
Tapi Dara ada Emir! Namun ayat itu yang tidak mampu Dara luahkan.
"Dah...Dah...Jangan risau sangat. Amy yakin sangat, Haris tu ikhlas nak tolong Dara." Amy sudah duduk jauh-jauh.
"Amy kenal Haris dah lama. Cuma satu saja nasihat Amy."
Jari Dara yang berada pada papan kekunci, keras. Tidak bergerak. Dia kalau boleh, tak nak dengar lagi nasihat Amy.
"Kalau Haris sanggup menghabiskan duit demi perempuan, itu tanda dia ada hati dengan perempuan tu. Dia akan pastikan perempuan itu jadi milik dia. Itu sebagai balasan atas pelaburan dia!" Amy masih lagi dengan senyum penuh makna dia.
Kini, Dara tidak pandai bernafas dengan teratur. Dia risaukan pelaburan Haris sedangkan dia telah menyerahkan hatinya pada Emir. Sebelum pelaburan itu membuahkan hasil berganda-ganda, Dara perlu sekat. Dia perlu kembalikan wang Haris dengan apa cara sekali pun!