Sumpah! Sejak dari semalam Dara merasa keliru. Keliru dengan apa yang terbentang di depan mata sejak akhir-akhir ini.
Semalam karakter Amy itu lain. Sama dinginnya dengan Haris. Hari ini, sikap Amy berubah lagi. Amy berceloteh seperti biasa seolah-olah tiada apa yang dirancang bersama semalam. Tiada komplot yang terjadi antara mereka bertiga. Semuanya kembali normal seperti mana mereka berjumpa buat kali pertamanya di sini.
“Saya tahu Dara. Awak ada banyak soalan. Tapi sekarang bukan masanya saya nak jelaskan satu persatu.” Amy perasan dirinya menjadi fokus Dara. Apa pun dia lakukan, Dara masih belum melepaskan pandangannya walaupun sesaat.
Jauh di dasar hati, Amy yakin Dara terlalu banyak persoalan yang ingin dikemukakan. Terlalu banyak tanda tanya yang bermain di fikirannya. Hal tersebut buatkan dia diserang rasa serba salah.
“Patutlah bila saya minta awak ajar, awak akan mengelak. Awak akan minta Suraya ajar saya.”
Amy yang menyibukkan ke sana ke mari tanpa arah, berhenti melangkah. Dia masih berdiri lima kaki daripada Dara sambil membalas renungannya. Baru tadi dia menyebut Dara itu pasti akan memulakan sesi soal jawab. Sekarang dia sudah diperdengarkan andaian pertamanya.
Dara mendengar helaan nafas Amy. Sangat dalam helaan nafas tersebut. Sarat dengan pelbagai rasa yang terpendam.
Perlahan-lahan Amy menghampiri. Dia akui, apa dikatakan Dara itu benar. Dia bukanlah pakar dalam bidang kewangan. Kepakaran dia adalah menjalankan tugas sebagai mata-mata Haris dan dalam waktu yang sama melindungi Dara jika Emir bertindak di luar kawalan. Dia bukannya sudah bertahun kerja di sini seperti yang diheboh-hebohkan sebelum ini.
“Kita pergi bank untuk masukkan duit syarikat…Tapi awak hanya biarkan saya sendirian dan awak berdiri dekat luar. Bukan tu saja, saya kena sediakan laporan kewangan bulanan keluar masuk duit dari pembekal. Termasuk kira-kira semua gaji bulanan pekerja. Kecuali gaji awak, Amy.” Bukan Dara ingin mengungkit. Dia sedar semua perkara itu. Hanya diam itu pilihan tepat di pihaknya selaku pekerja junior.
Kali ini, Dara sengaja memberi renungan tajam-yajam. Dia perlukan penjelasan Amy. Siapa Amy sebenarnya. Kali ini dia berharap sangat Amy tidak mengelak.
“I’m sorry, Dara…”
Gelengan perlahan Dara yang menolak perutusan maaf Amy. Dia bukannya tidak mampu lakukan kerja itu semua. Dia sangat mampu kerana adanya juga Atiya yang mendorong dia dari belakang. Cuma dia semakin penasaran bila gaji bulanan Amy tiada dalam senarai pekerja. Siapa yang membayar gaji Amy?
Ikutkan hati Dara, malam tadi juga dia ingin soal siasat Amy. Namun dek kerana malam tadi mereka mempunyai misi, dia terpaksa melupakan hasrat tersebut terlebih dahulu. Hal Emir lebih penting.
“Untuk apa? Awak ada buat salah dengan saya?” Dara sengaja berkata begitu. Dia tahu, kalau Amy tidak melakukan sebarang kesalahan, Amy tidak akan tayangkan muka serba salah begini.
Belum sempat Dara mendengar ayat seterusnya daripada Amy, ada satu aura yang baru muncul hingga meranapkan harapan dia untuk mendengar semua pengakuan Amy.
Amy yang baru saja mengambil tempat di depan Dara, bangun mendadak. Riak serba salahnya juga ikut sama hilang. Dia kembali serius. Mod bekerjanya aktif semula.
“Dia rakan sepasukan saya. Awak tak ada hak tanya apa kerja dia, apa salah dia, dan apa yang dia lakukan tanpa pengetahuan awak.”
Tak perlu Dara menoleh. Dia tahu siapa yang baru munculkan diri kemudiannya menyindir kerana telah mengusik orang kuatnya.
Haris sudah berpeluk tubuh berada di sisinya. Hanya tumpuan Dara itu masih milik Amy yang serius tanpa suara. Melihat kerjasama yang cukup cemerlang di antara Haris dan Amy, ada baiknya dia tarik diri sekarang. Dia tak diperlukan dalam perbincangan mereka berdua. Bubar merupakan pilihan paling tepat.
“Siapa bagi awak arahan untuk bangun? Duduk! Kita baru nak mulakan short briefing.”
Dara menjeling Haris disebelahnya. Dalam memberontak, dia menurut. Kembali duduk tanpa sedikit pun menoleh, kerana mengenangkan arah dia pada lelaki itu masih tersisa. Beg tangan elok terletak di atas meja. Dia hanya diam sementara menunggu bicara selanjutnya. Untuk kali ini, dia izinkan lelaki itu menjadi pengacara sesi taklimat ringkas.
Dua minit berlalu, tiada apa yang disebut oleh Haris sehingga memaksa Dara itu menoleh. Lalu dia mendongak bertentang mata dengan Haris yang masih berdiri sambil berpeluk tubuh.
“Apa dia? Mulalah! Atau kita perlu mulakan dengan doa? Biar lebih berkat? Sejujurnya, saya tak hafal doa selamat. Doa menghadapi sakaratul maut, InsyaAllah...boleh."
Dara sudah bilang, kalau dia itu semakin mahir dalam menyindir. Hasilnya, dia menemukan sepasang mata Haris yang kian mengecil. Sorotannya juga kian menikam. Aura jahat mula berlegar-legar.
Serentak Dara dan Haris pandang ke hadapan bila mendengar ketawa halus. Cepat saja Amy itu sembunyikan ketawanya. Beberapa kali Amy berdehem sebelum dia serius kembali.
Dara masih mampu mengawal marahnya, sebaliknya Haris itu terlebih dahulu menghadiahkan jelingan buat Amy yang masih mengetap bibirnya berkali-kali.
Tidak tahu apa yang menggelikan hati Amy sampaikan nak ketawa pun perlu ditahan-tahan. Ini mesti gara-gara Haris berada di sini. Atau prinsip Haris, waktu bekerja tidak dibenarkan untuk ketawa? Rugilah siapa yang menjadi rakan sepasukan Haris. Tak ada kehidupan langsung. Kehidupan Haris itu tiada sinar. Dua benda saja yang Haris tahu. Marah-marah dan sindir-menyindir.
“Dengar…”
Dara pasang telinga besar-besar. Dia tak nak kejadian malam tadi berulang lagi. Kata Haris, dia kurang fokus.
“Lepas kejadian semalam, kekasih gelap awak buat keputusan mengejut untuk masuk kerja hari ni."
Tubuh Dara terus menegak. Dia tersentak mendengar berita yang baru disampaikan Haris. Kenapa dia langsung tidak tahu menahu hal ini? Dapat dia rasakan, Emir benar-benar telah mencampak dia jauh-jauh. Jauh dari kehidupan lelaki itu. Selepas ini, jangan haraplah dia akan diperdengarkan segala tentatif kehidupannya lagi.
“Dia tak tahu ke?” Haris bertanya pada Amy bila nampak muka Dara sarat dengan persoalan.
Gelengan kepala Amy menjawab soalan Haris.
Kali ini, Haris memusingkan sendiri kerusi yang di duduki Dara supaya menghala ke arah dia. Biarlah Dara mahu marah atau apa, dia perlukan kerjasama lebih daripada pihak Dara. Kerana, Emir itu pastinya akan mencari Dara. Dan Haris tahu, ada banyak yang Emir ingin cungkil melaluinya.
Haris menoleh sekilas untuk memastikan pintu telah pun tertutup rapat. Dia tidak mahu ada seorang pun di luar sana mendengar perbualan mereka.
“Saya percaya dan yakin. Dia akan ajak awak lunch atau makan malam. For sure!”
Jadi? Haris nak Dara buat apa kalau Emir mengajak dia makan? Dia perlu laburkan duit lagi pada lelaki tak guna itu dan belanja Emir makan? Banyak cantik!
“Saya benarkan awak pergi.”
Ketawa perlahan Dara terhambur sehingga mengundang sorotan tajam Haris semula.
“Tak lah…Gaya awak cakap, macam awak tu dah jadi suami saya. Saya hanya perlukan keizinan mak saya. Bukan awak, Haris." Dara bukan sahaja menjawab sepatah dua. Berpatah-patah dia menjawab. Dan Amy yang dari tadi jadi pemerhati pun ikut sama tergelak.
Hanya Haris yang tidak. Dia lebih suka merenung Dara tanpa emosi. Jauh di sudut hatinya, merasa kagum juga bila Dara sudah pandai melawan kata-katanya.
“I see…” Haris menjauhkan diri. Dia kembali berdiri tegak dan melakukan aksi berpeluk tubuh.
“Kalau macam tu, pandai-pandai awak la bersoal jawab dengan Emir nanti. Dia pastikan akan soal siasat awak sampai ke lubang cacing. Dan awak pun boleh buat benda yang sama. Cuba korek rahsia dia selagi boleh. Terutamanya, segala kejahatan dia.”
Dara rasa Haris itu baru saja menyerahkan bom padanya. Apa Haris fikir dia itu pakar dalam penyiasatan? Dia langsung tidak tahu bagaimana untuk memastikan Emir itu buka mulut menjawab semua soalan dia. Boleh jadi lelaki itu berbohong.
“Kali ni, saya dan pasukan saya tak akan pantau awak. Pandai-pandai awak lah jaga diri.”
Memanglah Emir itu tak pernah buat apa-apa pada Dara. Tapi, kalau dah nama dikehendaki polis, Emir itu sama bahaya seperti penjenayah lain. Dara boleh terdedah dengan bahaya. Jadi agak mustahil untuk dia jaga diri dengan kudrat yang tidak seberapa.
Baru Dara buka mulut untuk membantah keras, suara Haris sudah mendominasi.
“One…”
Dara pandang Haris dengan muka bingung.
“Two…”
Ada apa Haris tiba-tiba mengajak dia kira-kira?
“Three…”
Haris menyerahkan telefon miliknya. Apa Haris ingin mengajak dia berselfie dengan memberi petunjuk dari segi pengiraan?
Dasar lelaki miang!
Semua yang Dara fikirkan, habis bertempiaran bila telefon dia bergegar. Nama Emir naik sebagai pemanggil.
Dara salah faham lagi!
“Apa yang awak nak malu-malukan? Jawablah, dia bukan nampak pun muka awak kalau awak jawab call dia.” Haris perasan muka Dara merah-merah.
Dara mengetap bibir. Dia bukan malu pada Emir. Tetapi pada Haris. Gara-gara salah fahamnya. Malunya bukan kepalang. Mujur Haris tidak pandai membaca fikirannya.
Perlahan-lahan Dara berpusing bila Haris itu beberapa kali memberi isyarat supaya dia menjawab panggilan Emir. Dia lebih rela jawab sambil memandang muka Amy. Baru dia dapat karang ayat-ayat bergula supaya dapat menjerat Emir.
“Ya, Emir.” Dara sengaja melunakkan suaranya. Sengaja nak pancing respon Haris.
Tiada reaksi di pihak Haris. Oh, ya! Dara lupa. Lelaki itu mana pandai cemburu. Lelaki itu sendiri pernah mengakui hal tersebut. Wajarlah lelaki itu hanya diam saja.
Dara teruskan berbual dengan Emir. Dia sengaja membiarkan perbualan dia diselangi dengan ketawa. Kemudian, suaranya sekali-sekala dimanjakan. Dia tak kisah kalau Haris itu ingin muntah sekali pun. Dia hanya ingin rancangan mereka memberkas Emir berjaya.
“Deal!” Kata Dara sebaik dia menamatkan perbualan bersama Emir. Ada senyuman bangga terukir di wajahnya.
Senyuman Dara itu tidak kekal lama bila dia bertentang mata dengan Haris.
“Dia…Dia ajak saya makan.” Dara diserang gugup bila bertembung dengan Haris yang serius.
“Good!”
Pujian itu kedengaran seperti sindiran. Bagus kerana Dara itu sengaja nak menyakitkan hati Haris dengan gaya gediknya yang luar biasa ketika bercakap dengan Emir. Lebih kurang begitulah penyampaian Haris melalui renungannya.
“Go.”
Mana Haris tahu Emir mengajak dia keluar sekarang? Ini yang Dara penasaran mengenai Haris. Semuanya dapat dibaca dengan tepat.
“Jangan cakap macam tu bila awak berhadapan dengan Emir. Itu pantang dia. Habuannya, dia akan menyentuh awak dan masa tu jangan pernah awak menyesal kalau body tergadai.”
Pilihan ayat Haris yang ini bikin bulu roma Dara menegak. Dia diserang rasa menyesal kerana sengaja bebual terlalu luar dari biasa dengan Emir demi menyakitkan hati Haris. Siapa tahu kalau sekarang dia pula hampir mengalami serangan jantung bila mendengar Emir itu bakal bertukar menjadi perogol bersiri!
“Kalau body dah tergadai, jangan salahkan orang lain kalau puncanya daripada awak.”
Lagi.
Haris itu kalau dah berjaya menyakitkan harinya, Haris tidak akan melepaskan peluang untuk sakiti dia lagi dan lagi. Malah, Haris cuba menakut-nakutkan dia pula.
Dasar Haris tiada empati!
“Sorry for last night…”
Lumpuh semua kemarahan Dara bila mendengar bisikan Haris.
“Take care…”
Bisikan ke dua Haris menenggelamkan resahnya ingin bertemu Emir. Bagaimana Dara itu tidak memikirkan Haris kalau begini layanan lelaki yang emosinya sentiasa bolak balik? Hatinya juga ikut bolak balik sama ada memilih Emir atau Haris.