Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 53

DARA ingkar arahan Haris supaya berhati-hati. Dara sengaja buka langkah besar-besar kerana  tidak sabar untuk bertemu empat mata dengan Julia. Apa yang baru saja didengari daripada pihak atasan itu agak mengejutkan. Sesuatu yang dia sendiri tidak menjangka hal tersebut. Dan dia cukup pantang kalau ada yang menipu. Menipu untuk kebaikkan bolehlah lagi dia pejam mata. Tapi menipu demi untuk kepentingan diri, memang minta kena semburlah jawabnya.


Daun pintu dikuak agak kasar sehingga terhasil bunyi dentuman pintu menyapa dinding. Ada dua pasang mata yang tertumpu padanya. Dara peduli apa dengan renungan mereka. Urusan dia lebih penting ketika ini. Urusan yang melibatkan si penerima rawatan. Siapa lagi kalau bukan Julia.


Dia mara. Menghampiri Julia yang sedang duduk di birai katil. Kebetulan Julia baru saja selesai menerima rawatan. Tangan kanan dia elok berbalut dan ada satu tampalan melintang pada pucuk hidungnya. Benarlah kata Arif, kecederaan Julia itu tidaklah seteruk mana.


“Boleh tinggalkan kami berdua?” Pinta Dara yang berdiri tegak di antara mereka berdua.


“Boleh. Kerja saya pun baru selesai.”


Ramah wanita itu menjawab, malah dia memberi laluan pada Dara untuk mendekat. Mungkin kerana penampilan Dara yang lengkap dengan seragam membuatkan doktor muda tersebut tidak ragu-ragu memberi kebenaran.


Sepasang mata Dara itu hanya tertumpu pada Julia yang nampaknya tidak hairan dengan kemunculan dia. Malah Julia lebih tertarik melihat lengannya yang berbalut.


Sebaik telinga Dara menangkap bunyi pintu mengatup, dia tidak menunggu lama untuk bersuara. Dia sudah tidak sabar-sabar menjadi penyerang. Dia juga tidak sabar menunjuk taringnya. Dia ingin meledakkan semua marahnya yang ditahan sejak dari tadi lagi.


“Macam mana keadaan awak, Julia?”


Sebaliknya Dara meletakkan sikap profesional yang paling depan. Biarpun marahnya sukar dibendung, dia meletakkan marah itu perkara paling corot sekali. Dia tak nak perasaan marah menguasai diri. Kalau itulah yang terjadi, teruk Julia menerima amarahnya. Buka gelanggang gusti pun dia sanggup.


“Belum lagi mati.”


Kasar sekali jawapan balas Julia. Bohonglah kalau Dara itu tidak merasa terbakar mendengar bahasa tersirat perempuan bernama Julia.


“Sayangnya…” Keluh Dara.


Keluhan Dara itu berjaya menarik perhatian Julia untuk mengangkat kepala. Dahi licinnya mula menunjukkan beberapa lapisan halus. Kurang faham. Apa yang sayangnya?


Dara memeluk tubuh sambil merenung tepat ke anak mata Julia.


“Kalau tak, boleh lah saya calonkan awak untuk menerima anugerah bagi anggota yang telah meninggal dunia. Jasa awak patut dikenang. Sebab orang yang dah mati ni, selalu orang ingat. Selalu orang rindu-rindukan.”


Mungkin Julia merasa terpukul dengan ayat Dara. Buktinya, tiada lagi ketenangan pada raut wajahnya. Sorotannya juga kian tajam. Rahangnya bergerak-gerak menahan rasa yang baru bertandang. Dan apa yang dia nampak, Julia itu hampir sama dengan ular sawa yang menunggu masa untuk menerkam dia bila-bila masa saja.


Dara duduk di atas katil bertentang dengan Julia. Boleh jadi perbualan mereka makan masa yang lama. Boleh juga menjadi singkat. Bergantung pada kerjasama Julia.


“Tak betul?” Kening Dara naik tinggi.


“Straight to the point. Ada sebab awak ke sini, Dara.”


Dara mengulum senyuman. Julia bijak membaca fikirannya. Yang kurang bijaknya, kenapa Julia yang memulakan terlebih dahulu? Mungkin Julia belum kenal siapa Dara sebenarnya. Cumanya, dia masih menerapkan bahasa-bahasa indah. Yang sedap didengari.


“Kalau awal-awal saya tahu, saya tak akan benarkan awak gantikan tempat Amy. Kerjasama awak itu terlalu bagus. Sampaikan rancangan yang disusun rapi pun boleh gagal gara-gara awak, Julia.” Sekarang, Dara sedang memperdengarkan bahasa indahnya.


Salah Dara kerana tidak selidik latar belakang Julia sebelum memberi lampu hijau untuk Julia bekerjasama dengan Haris. Salah Dara juga kerana tidak berbincang dengan suaminya terlebih dahulu. Fikiran dia melayang. Mengimbau kembali perbualan yang baru saja beberapa jam yang lalu sebelum Dara ke sini bertemu dengan Julia.


“Tak mungkin!”


Apa yang diberitahu Julia, dia mempunyai pengalaman selama setahun. Malah, Julia sendiri mengakui pernah menjalinkan kerjasama dengan Haris. Lebih hebat, gandingan mereka menemui kejayaan. Itu yang membuatkan Dara tidak ragu, malah dia meletakkan sepenuh kepercayaan pada Julia.


“Then you are wrong.”


Hampir berdarah bibir Dara gara-gara terlalu kuat mengetap sebaik mendengar empat perkataan yang meluncur dari mulut pihak atasannya.


“Julia tu tak pernah bekerjasama dengan Haris. Dan lebih teruk, pengalaman dia tak pernah memberangsangkan. Semuanya out!”


“Sebab?” Spontan dia bertanya. Dara perlu tahu puncanya. Ayat pertama itu Dara mungkin boleh terima, tapi bukan ayat ke dua dan ketiga. Dengar perkataan ‘out’ itu, bikin jiwa Dara panas.


“Ask her…You will find it.”


Kerana arahan itulah Dara ke sini dalam keadaan tergesa-gesa. Mahu berjumpa secara depan-depan dengan Julia. Setelah lama berbalas renungan, apa yang dia nampak Julia itu masih berkeras untuk mengaku kesalahannya. Sengaja mengunci mulut rapat-rapat.


“Awak sepatut jujur. Bukannya mereka-reka cerita. Tentunya saya percaya dengan cerita dongeng awak, Julia.” Dara bersuara. Nada suaranya juga masih terkawal.


“So?”


Dara cuba bersabar. Berhadapan dengan Julia yang sekarang, tidak sama dengan Julia yang tempoh hari. Karakternya berubah hampir seratus peratus. Boleh jadi Dara juga berbuat demikian kalau dia gagal mengawal diri.


“Kalau begini cara kerja awak, saya berani jamin. Mana-mana pihak pun tak nak bekerjasama dengan awak. Dan hari ni awak berjaya membuktikan bahawa awak tidak layak dalam bidang ni.”


Agak kejam pilihan ayat Dara, namun dia perlu jujur. Hilang semua ayat-ayat indah dia bila Julia itu seperti tidak makan saman. Lagi kan pula, ada banyak mata yang memerhati gerak gerinya dalam diam. Dia berani jamin bila-bila masa saja Julia akan ditendang keluar. Paling teruk, Julia mungkin bakal kehilangan kerja kalau dia melakukan kerja dengan sambil lewa.


“Itu yang awak nak bukan? Awak boleh tepuk tangan kerana berjaya menendang saya keluar. Sila pergi raikan kejayaan awak tu dengan Haris.”


Jatuh sepasang bahu Dara. Apa yang sedang Julia merepekkan? Tanggapan Julia itu tidak benar sama sekali. Mulut dia memang kejam, tapi bukan hati dia. Dia bukan jahat sangat sampai nak tutup periuk nasi orang lain.


“Jadi, betullah awak lebih layak digelar ular? Percakapan awak semuanya bercabang-cabang. Akhirnya, awak tunding jari ke orang lain demi menutup kesalahan sendiri?” Rumus Dara.


Dara abaikan rona wajah Julia yang sudah merah. Dia pilih untuk hapuskan konsep bahasa indah. Julia lebih layak diberi bahasa kesat. Biar perempuan ini lebih sedar diri dan berpijak di dunia nyata.


“Semua orang tahu awak macam mana, kecuali saya.” Dara terus-terusan menyerang bila Julia masih berdegil.


“Itu belum lagi saya buat aduan awak cuba nak goda Haris depan mata saya sendiri.”


Ayat Dara berjaya membuat Julia menjadi gelisah. Tadi elok Julia bertentang mata dengannya bak helang, sekarang dia tunduk bermain dengan sepuluh jarinya.


“Kalau hal ini sampai ke pengetahuan pihak atasan, saya tak akan dapat bantu awak lagi.” Dara bangkit. Urusan dia telah selesai bila Julia tidak mahu memberi kerjasama.


“Sebab keputusan saya dah bulat. Saya pilih untuk menjadi kejam.” Usai berkata, Dara melangkah. Semakin lama dia di sini, semakin teruk kesabaran dia dicarik.


Baru dua langkah, Dara berhenti.


“Saya tahu…Saya salah.”


Barulah Dara diperdengarkan suara Julia yang hampir tenggelam. Perlahan-lahan dia menoleh. Julia masih juga begitu. Tunduk meramas sepuluh jarinya.


“Saya ingat saya dapat raih semula perhatian Haris. Tapi cinta Haris tu bukan lagi milik saya.”


Kali ini, Dara membawa tangannya memeluk tubuh. Bimbang dia gagal mengawal diri sebaik mendengar ayat seterusnya Julia.


“Dia cintakan awak, Dara.” Julia panggung kepala, bibirnya tersenyum biarpun nampak tersangat kekok.


Serasa Dara, kalau Julia tidak beritahu hal itu, dia juga tahu. Haris itu cinta mati dia. Buktinya, cinta mereka akan muncul dalam beberapa bulan lagi.


“Memang saya salah…Saya penting diri. Saya yang sengaja campur adukkan urusan peribadi dan kerja. Inilah hasilnya bila saya tak dengar kata, ikut kepala sendiri bila Haris terang-terang menolak ketika saya buka cerita melibatkan hati dan perasaan.” Julia mengerling lengannya. Mujurnya nyawa dia masih panjang.


Dara mula dapat membaca punca mereka bergerak berasingan pagi tadi. Kenal benar dengan sikap Haris yang suka bergerak sendirian, itu lebih baik. Tak perlu pening kepala memikirkan orang lain.


“Betul cakap awak, disebabkan kedegilan saya semuanya jadi huru hara.” Kalau diikutkan rancangan Haris, mereka akan terus mengintip. Tetapi kerana terlalu marahkan Haris, dia memberi arahan untuk menyerbu. Padahnya, kehadiran dia dapat dihidu.


Dara menghela nafas panjang. Pada pandangan dia sebagai wanita sama seperti Julia, dia tahu perasaannya. Dia tahu Julia itu masih berharap Haris akan kembali padanya biarpun Julia juga tahu hal itu mustahil. Sekarang, Julia sendiri pasti sudah dapat jawapannya daripada Haris sendiri. Jawapan yang pasti menyakitkan jiwa dan raga wanita yang hatinya rapuh bak tisu.


“Aturan Allah tak pernah salah, Julia. Siapa tahu…Ada yang lebih baik akan muncul selepas ini. Mungkin orang tu lebih sayangkan awak.” Tangan Dara jatuh pada bahu kiri Julia, dan ketika itu Julia panggung kepala sehingga pandangan mereka bertemu. Riak wajah terkejut Julia itu diabaikan. Dia sedang melemparkan senyuman kedamaian buatnya.


Huluran Dara disambut baik bila Julia juga melakukan hal yang sama. Hilang semua aura gelap yang berlegar di sisinya.


“Haris macam mana?”


Senyuman Dara hampir lenyap bila nama Haris muncul. Dia kehilangan ayat. Dia tidak tahu mahu berikan jawapan apa.


“He fine.”


Dia berjaya membuang jauh rasa bersalah Julia bila senyumannya semakin lebar. Semakin menampakkan keikhlasannya melepaskan Haris.


“Julia! Mana you?”


Serentak mereka menoleh bila pintu terbuka luas bersama suara yang kedengaran cemas. Kemudian pandangan mereka bersatu kembali.


“Jodoh awak dah sampai, mungkin. Risau sangat sampai tak nampak orang di cari ada depan mata.” Bahu Julia ditepuk perlahan. Dia juga perasan rona wajah Julia itu seperti sedang menahan malu.


Dara bertindak menjauhkan diri ketika melihat lelaki ini berjalan laju ke katil yang menempatkan Julia.


“God, Julia! You buat I cemas. I sanggup drive laju-laju untuk sampai sini.” Atas bawah Julia ditilik. Mencari jika ada kecederaan serius.


Melihat kesungguhan Haikal yang merupakan anak kenalan mama, buatkan Julia rasa tak salah kalau dia menerima nasihat Dara. Dia hanya memerhati mulut Haikal yang berbicara entah apa, dia pun tidak pasti. Mata dia hanya terpaku pada wajah cemas Haikal. Lama. Setelah sekian lama, baru dia sedar Haikal itu ada pesonanya. Haikal berkali-kali mengajak dia berkahwin tapi berkali-kali itu juga Julia menolak.


“Kita kahwin, Haikal.”


Ajakkan Julia itu berjaya menghentikan celoteh Haikal. Hampir saja dia hamburkan ketawa bila melihat wajah pucat tidak berdarah milik Haikal.


“Kita kahwin.” ulang Julia bila Haikal seakan-akan tidak percaya. Inilah masanya dia membuka hatinya untuk lelaki lain.


Diluar, sepanjang Dara melalui kaki lima hospital hati dia masih belum tenang. Dia masih menanti khabar gembira. Dia sangat memerlukan keajaiban ketika ini. Tangan dia jatuh pada perutnya, automatik bibir Dara tersenyum bila mengenangkan zuriat dia yang masih kecil.


Kegembiraan Dara diragut dengan bunyi telefon miliknya. Hampir terlepas telefon tersebut bila melihat nombor tertera. Ini kali ketiga Dara menerima panggilan yang sama. Panggilan daripada pihak hospital.


“Hello?” Hampir tenggelan suara Dara. Biarpun takut, Dara tetap kuatkan diri mendengar berita yang bakal sampai ke telinganya sebentar nanti.

Previous: Bab 52
Next: Bab 54

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.