HARIS pura-pura tidak nampak Dara yang baru saja melintasi. Dia tenang menikmati makan malam tanpa sedikit pun merasa terganggu. Bukan tak perasan beberapa kali Dara menjeling ke arahnya. Sempat dia menangkap wajah pucat tidak berdarah Dara bila tertangkap makan berdua-duaan dengan Emir.
"Macam mana? Dia okay?" Atiya yang baru kembali dari tandas, mengambil tempat bertentang dengan Haris.
Haris menunjukkan ibu jarinya. Kepala terangguk dua kali sambil terus menikmati makannya.
"Emir ada buat apa-apa?"
Gelengan Haris menjawab soalan ke dua Atiya yang menyusul.
Panjang helaan nafas Atiya. Dia mula rasa goyah. Takut rancangan mereka bakal menemukan kegagalan. Bukan senang mereka ingin menangkap si pelaku.
Atiya pandang Haris. Ketika itulah Si Haris angkat tinggi ke dua-dua belah kening dia. Haris sedang bertanya kepadanya apa yang sedang dia runsingkan.
"Dara terlalu naif." Keluh Atiya.
Haris geleng kepala lagi. Disertakan sekali raut wajah serius. Kening terkait rapat.
"Haris rasa dengan bantuan Dara, kita boleh jerat mereka?" Ke dua belah tangan Atiya berlabuh di atas meja, tubuhnya sudah mendekat. Suaranya separa berbisik.
Sekali lagi Haris menunjukkan ibu jari.
"Dara tu penarik. Memang sesuai sangat kita ambil dia bekerja di sini." Baru beberapa hari, bukan main gigih Emir mengajak Dara keluar makan. Itu petanda yang sangat positif. Petanda bahawa Emir punya hati pada Dara.
"Tapi...Dalam waktu yang sama. Dara juga terdedah kepada bahaya." Atiya perlu memikirkan dari semua aspek. Kebaikkan dan keburukan penglibatan Dara dalam menjayakan rancangannya.
Haris mendabik dada. Dua ke tiga kali dia menekan dada kanan. Bibir melorek senyum megah. Pakej kepercayaan sekali bahawa dirinya boleh diharapkan.
"Sudahlah! Haris bukan ada dua puluh empat jam dengan Dara. Jangan nak tunjuk hero sangat!" Atiya mencebik. Kurang percaya dengan Haris yang kononnya mampu melindungi Dara.
Haris jegilkan mata. Dia tidak main-main. Dia sungguh-sungguh boleh melindungi Dara. Dia hanya perlukan kepercayaan Atiya.
"Kalau macam tu, pergi bagi tahu Dara sekarang...Siapa Haris sebenarnya." Cabar Atiya. Dia sengaja ingin memancing reaksi Haris.
Seperti yang Atiya duga, senyuman Haris kian pudar. Lelaki itu menunjukkan betapa mendungnya hati lelakinya. Betapa payahnya dia ingin berterus terang kepada Dara. Lebih buruk, bagaimana penerimaan Dara nanti?
"Haris suka Dara." Jujur Atiya. Dia dapat membaca isi hati Haris.
Senyuman Haris yang hilang itu, telah berpindah kepada Atiya. Tadi elok Haris tunduk, sekarang lelaki itu tidak berkelip memandang dia.
"Orang lain mungkin tak tahu...Tapi bukan akak. Akak kenal adik akak macam mana. Akak tahu pandangan Haris pada Dara tak sama." Atiya mencapai air milik Haris. Dia perlu basahkan tekaknya yang kering.
"Kalau bukan sebab Makcik Jiha, Haris tak akan dapat jumpa Dara. Haris tak dapat jumpa dengan perempuan idaman Haris." Sengaja Atiya membakar jiwa adik lelakinya. Serangan dia berjaya apabila warna muka Haris bertukar merah.
"Baik Haris berterus terang tentang perasaan Haris. Akak takut, Emir selangkah ke depan. Haris juga melepas."
Haris berdehem. Keras. Entah kenapa, tekak dia pula merasa kering. Tidak senang bila nama Emir terheret sekali dalam perbincangan mereka.
"Akak tengok, Dara tu pun macam ada hati dengan Emir. Yelah...Emir tu kan perfect ten. Ramai staff yang tergoda dengan dia." Sengaja Atiya mengapi-apikan keadaan.
"Kena pula, Dara tu cantik. Lembut orangnya. Akak berani kerat jari, semua lelaki hidung belang dekat office tu hampir buta tenung Dara." Atiya menyuap roti garlic yang baru sampai dan masih hangat.
"Haris tak takut ke Dara kena kebas?" Dia sudahi hujah dengan mengajukan soalan pada Haris. Dia pasti, punggung Haris sudah merasa bahang.
"Dara hanya akan pandang Haris saja."
Tisu di atas meja, Atiya capai lalu dicampak ke arah Haris. Setelah sekian lama dia menghidupkan api, baru sekarang dia dapat dengar suara adik lelakinya.
"Bisu konon!" hambur Atiya.
Haris tidak mengelak. Tisu tadi jatuh di atas ribanya. Dia bangkit. Belum cukup selangkah, suara Atiya menahan dia dari pergi.
"Nak ke mana? Akak belum habis cakap lagi." Soal Atiya geram.
Dia belum lagi sempat brain wash Haris. Dia tak suka Haris menipu demi meraih simpati Dara. Dia perempuan. Dia tahu penerimaan Dara kelak.
"Pergi kerjalah." Acuh tak acuh saja jawapan Haris.
"Jangan nak menipu. Kerja Haris dekat sini belum selesai lagi."
Haris pandang Atiya. Dada dia turun naik. Bebelan kakak dia umpama peluru berpandu yang menyerang emosi dia bertubi-tubi. Sikit lagi dia memuntahkan marahnya tadi. Nasib baik dia mengenangkan Atiya itu kakak kandungnya sendiri. Bebelan kakaknya itu demi menjadikan dia manusia.
"Haris tahu. Haris akan ekori Dara sampai dia selamat sampai rumah. Itulah kerja Haris." Kata Haris perlahan dan tegas.
Melebar senyuman Atiya. Adik lelakinya boleh diharapkan. Kenapalah Yasmin memilih untuk curang ketika hampir bersatu dengan Haris? Kenapalah Yasmin terlalu bodoh menilai adiknya?
"Don't!" Tegah Haris laju. Sorotan simpati Atiya membuatkan dia tahu nama siapa yang bakal disebut kakaknya. Dia kalau boleh, tak nak ambil tahu lagi perihal lalu. Dia ingin kuburkan terus nama itu.
"Just go..." usir Atiya. Kalau dia sebut juga nama Yasmin, Atiya rasa seminggu Haris tidak akan menjejakkan kaki ke rumah.
Haris tidak tunggu lama. Dia bawa langkahnya ke pintu keluar. Sepantas itu juga dia mengeluarkan kunci kereta miliknya. Sebaik tiba menjejakkan kaki di luar, radar mata terus terpasang. Dia mencari-cari produa Myvi kuning milik Dara. Nasib menyebelahi dia bila kereta Dara baru saja mengundur keluar tidak jauh dari sini.
Sepuluh minit mengekori, Haris rasa ada yang tidak kena. Dia mula berfikir-fikir sendiri.
Orang perempuan memang memandu begini ya? Sekejap laju, kemudian perlahan semula. Sepanjang pemanduan, ada lebih sepuluh kali menekan brek. Hingga dia juga terpaksa melakukan hal yang sama.
Belum pun Haris berhenti mengomel sendiri di dalam hati, mata dia sedikit meluas sebelum dia menekan brek mengejut.
"Macam mana dia boleh lepas ujian JPJ?" Rungut Haris bila nyaris dahi dia menghasilkan seni berunsurkan darah.
Haris panjangkan leher. Kereta milik Dara selang satu kereta di depan. Dia ingin mencari titik punca mengapa Dara berhenti mendadak.
Kereta di depan ke kiri memotong dari sisi, sempat pemandu kereta tersebut menurunkan cermin sambil mengeluarkan tangan kiri. Entah apa yang dimarahkan lelaki itu. Wajahnya jelas tidak berpuas hati dengan tindakan Dara yang menyusahkan semua pihak.
Haris pandang ke depan semula. Padanlah. Kereta Dara telah pun menyalakan lampu hazard. Bunyi hon dari belakang langsung Haris tidak hirau. Dia masih kekal berhenti di belakang kereta Dara.
Selang lima minit, barulah Haris nampak kereta Dara mula bergerak. Itupun, kereta itu hanya bergerak sedikit sebelum berhenti semula. Nampak gayanya, kereta Dara mengalami kerosakkan. Lampu hazard juga masih belum terpadam. Ketika itulah baru Haris nampak Dara turun dari perut kereta. Jelas raut wajah gadis itu kelihatan gelisah dengan apa yang berlaku.
Terhenti niat Haris mahu turun dari kereta. Dia melihat ada beberapa orang sudah menghulurkan bantuan dengan menolak kereta Dara ke bahu jalan supaya tidak menganggu pengguna jalan raya yang lain.
Haris menimang-nimang sama ada ingin menunggu atau turun membantu Dara. Dia juga sudah berhenti di bahu jalan. Hanya beberapa meter saja di belakang kereta milik Dara. Steering kereta diketuk perlahan. Dia perasan sesuatu. Kepala dia ke kanan sedikit. Pandangan dia jatuh pada tayar kereta Dara yang telah kempis.
Hujung bibir dia ternaik.
Rasanya, Dara bukan setakat jatuh. Dah jatuh, di timpa tangga pula. Tidak hanya enjin kereta mengalami masalah, tayar juga sama.
Sepuluh minit berlalu, masih belum ada tanda-tanda bantuan bakal tiba. Dia menunggu juga jika Emir muncul. Siapa tahu. Pertama kali bertemujanji mereka sudah bertukar-tukar nombor telefon. Dapat saling berhubung. Atau Dara sengaja tidak mahu meminta bantuan Emir.
Sepuluh minit berlarutan hingga ke dua puluh minit. Nampak gayanya, terpaksalah Haris turun. Tadi, sempat dia menelefon trak untuk menunda saja kereta Dara. Dia pun bukanlah pakar membaiki kereta. Setakat tukar tayar itu tiada masalah bagi dia.
Haris menghampiri Dara yang berdiri di depan kereta sambil bercekak pinggang. Tidak berkelip melihat pemandangan di depan mata dia ketika ini. Tangan Dara sedikit kotor. Kemudian dia membongkok melihat enjin keretanya. Haris jadi tertanya. Apa yang sedang dilakukan oleh Dara? Tangan gadis itu sibuk melakukan sesuatu.
"Ehem!" Haris berdehem.
"Argh!" Dara terjerit kecil dek terkejut. Tangan dia memegang kepala yang terhantuk pada bonnet kereta.
Haris diam. Mata dia rakus jika ada cecair merah yang mengalir dari kepala Dara. Negatif!
"Haris?" Dara pandang Haris yang sudah berdiri di sisinya. Atas bawah dia pandang lelaki ini.
"Apa awak buat dekat sini?" Dara mula menyerang Haris dengan soalan.
Haris terfikir bagaimana dia ingin menjawab soalan Dara.
"Awak ikut saya?"
Belum sempat Haris ingin mencari alternatif, serangan ke dua menyusul. Dara sedang menuduh dia.
Haris juga tidak tahu bahasa isyarat. Dia pandang sekeliling. Mencari alasan untuk mengelak tuduhan Dara. Pandangan dia jatuh pada deretan bangunan di belakang perhentian bas. Mulalah dia melakukan penerangan. Turun naik tangan Haris.
Kerutan di wajah Dara cukup jelas. Dia hampir tua sepuluh tahun memahami apa yang cuba disampaikan Haris kepadanya. Sekejap tangan Haris berada di perut. Kemudian naik ke mulut. Akhir sekali jari Haris lurus pada belakang Dara hingga memaksa dia menoleh belakang. Entah kenapa, dia rasa sangat huru-hara penerangan Haris. Biarpun huru-hara, otak Dara tetap saja ligat menyusun cerita tidak teratur versi lelaki ini.
Tadi Haris tunjuk dia makan. Kemudian dia menggosok perutnya berkali-kali dengan muka berkerut. Dan yang terakhir Haris menunding pada Poliklinik yang terletak tidak jauh dari sini.
"Awak sakit perut lepas makan?" Tebak Dara.
Laju anggukan Haris mengeyakan. Dia pula mengajukan soalan kepada Dara. Pura-pura bertanya mengapa kereta Dara tersadai di bahu jalan. Menampakkan semua yang terjadi adalah satu kebetulan.
Raut wajah Dara tampak sedih.
"Kereta saya rosak."
Itu yang menyedihkan Dara. Baru beberapa hari memulakan kerja, kereta dia sudah pandai meragam. Sudah pandai meminta wang supaya Dara baiki dia.
Kebetulan, muncul lori trak tunda yang berhenti di depan mereka. Seorang lelaki berbadan besar turun menghampiri.
"Kenapa ni kak?" Soal dia. Dia berbalas renungan sekilas dengan Haris. Haris yang meminta dia berlakon, pura-pura melalui kawasan ini. Supaya tidak tertangkap bahawa Haris lah yang memanggil dia ke mari.
"Kereta saya tak boleh hidup." Cerita Dara pendek.
Terangguk-angguk lelaki tadi.
"Akak nak saya tolong? Percuma. Saya tolong akak towing masuk bengkel. Dah dekat malam ni. Nak repair sekarang pun, banyak bengkel dah tutup." Lelaki itu memberi cadangan yang diarahkan Haris juga. Sekilas dia mengerling lelaki bernama Haris itu.
Jatuh ke dua-dua bahu Dara.
Nampak gayanya, terpaksalah Dara melepaskan perisai kuningnya untuk beberapa hari. Bukan setakat melepaskan, dia juga perlu mengeluarkan simpanan membaiki perisainya juga.
"Saya ikut. Nanti boleh saya tunjukkan bengkel mana yang biasa saya hantar. Selepas tu, saya nak minta abang hantar saya balik sekali, boleh?" Dara sendiri memberitahu perancangannya.
Haris dan lelaki itu saling berpandangan. Jelas raut wajah lelaki itu meraih jawapan Haris. Menghantar Dara pulang bukan dalam perancangan mereka. Haris terlebih dahulu memberi isyarat supaya dia menolak untuk tumpangkan Dara.
"Maaf kak! Saya lepas ni nak ke tempat lain. Tak sempat rasanya nak tumpangkan akak."
Ada segaris senyuman di bibir Haris.
Bagi mengelakkan adanya lagi permintaan daripada Dara, towing man tadi cepat melakukan kerja. Dia segera menunda kereta Dara, sempat dia menghulurkan kad pemilik bengkel yang akan membaiki keretanya. Kad milik dia juga diberi kepada Dara supaya dapat meyakinkan bahawa dia bukan pencuri.
Dara hanya memandang keretanya pergi. Dia tiba-tiba diserang buntu. Dia mahu pulang dengan apa? Sepanjang dia di sini, belum ada satu pun teksi melalui kawasan ini. LRT pula jauh. Baru Dara ingin menggunakan khidmat grab car, Haris mendekati dia.
Jari Haris lurus pada Dara, kemudian dirinya dan jari dia berakhir dengan menunding kereta miliknya. Dara faham maksud Haris. Kerana fahamlah, dia mengutarakan soalan.
"Tak susahkan awak ke?"
Gelengan Haris menjawab pertanyaan Dara. Haris terlebih dahulu melangkah. Dia menoleh kembali bila tiada tanda-tanda Dara mengekori dia.
Haris melambai-lambai pada Dara. Tidak lupa juga dia titip senyuman buat wanita itu. Senyuman yang menunjukkan dia ikhlas menghulurkan bantuan.
"Awak sepatutnya mohon pelekat oku untuk kenderaan, Haris. Supaya orang tahu. Supaya mereka semua lebih berhati-hati bila memandu berhampiran dengan awak." Ujar Dara sebaik dia memasuki ke dalam perut kereta milik Haris.
Terbata Haris.
Dia pandang sisi Dara.
Kemudian pandangan mereka bertaut sehingga otak Haris gagal berfungsi. Dia mati ayat. Dia tiada ayat untuk mengeyakan atau menerima cadangan Dara.
Sorotan redup Haris mula bertukar. Dia terasa disindir sebenarnya. Kesalahan terbesar dia adalah menumpangkan Dara. Risau dia bakal marah. Lebih risau jika tembelang dia akan pecah.