ILHAM, KHALIDA – BAB 13
Khalida melihat Ilham tanpa berkelip. Betulkah dia? Atau pelanduk dua
serupa? Hish, hish, macam tak percaya pula. Dia bukannya suka datang ke sini.
Khalida hanya memandang suaminya yang sedang bersalaman dengan nenek, selepas
itu salam pula dengan mak.
“Jemput masuk, Ilham!” pelawa nenek mesra. Amboi kita orang yang dari tadi
sampai nenek tak jemput pun masuk.
“Tak mengapa, nak berehat kejap!” kata Ilham sambil bersalaman dengan
Ayien.
“Lida, bawa masuk beg suami kau tu,” suruh Puan Naimah pula. Khalida memandang
ke arah Emma sambil menjungkit bahunya. Tetapi depan mak, mana nak berani
hendak membantah.
“Along, pakai jampi apa yang buat Abang Ilham tu ikut along balik hari
ini?” tanya Saiful yang lebih mesra dengan panggilan Apul. Saiful ini anak
nombor tiga.
Emma memeluk erat adiknya, Shima. Dan adik lelakinya yang bekerja sebagai
guru pun turut pulang kali ini. Seronoknya, bukan senang hendak berkumpul
ramai-ramai seperti ini.
“Tak main lah, jampi-jampi!” balas Khalida turut memeluk Shima yang
dianggap seperti adik sendiri. Kami
sekeluarga walaupun berlainan ibu, dan berlainan bapa tetapi nenek dan datuk
tetap orang yang sama.
“Lida, mak nak cakap kejap!” panggil mak dari arah dapur. Nenek turut
melambai tangan ke arah Khalida. Khalida, Emma dan Shima turut masuk ke ruang
dapur.
Mak sekarang buka taska di kampung ini. Mak sudah menjadi pengetua taska.
He he he, macam pengetua sekolah pula.
“Rahsia keluar jangan dipecahkan Lida. Mak tahu hubungan Ilham dan Lida
tidak bahagia, tetapi biarlah semua itu disimpan di dalam hati. Rahsia suami
isteri biar lah kau orang saja yang perlu tahu,” pesan mak. Keluarga kami
memang sudah tahu dari dulu lah tentang kisah cinta Ilham dan Zura dan cerita
Ilham dipaksa kahwin oleh datuknya, Ku Ibrahim. Tiada rahsia!
Mereka terpaksa lepaskan Khalida di tangan Ilham kerana terhutang budi
kepada Ku Ibrahim saja, kalau tidak memang mereka tidak akan lepaskan Khalida
ke tangan lelaki seperti itu.
“Betul tu Lida. Esok ahli saudara mara kita nak datang, sebab nenek dan mak
kau cadang nak buat majlis tahlil untuk aruah ayah kau dan atuk kau malam besok
selepas selesai majlis bertunang, pandai-pandai lah Lida uruskan perkara ini
yer,” sambung nenek pula. Khalida hanya
mengangguk. Bab berlakon ni, kami memang dah cekap, jadi bukan satu masalah
pun.
“Apa pun syukur sangat sebab Ilham sudi datang kali ini, boleh dia jadi
ketua keluarga untuk rombongan meminang besok, “ kata Puan Naimah pula. Betul
lah kami kan tak ada ayah, tak ada datuk, jadi aku yang sulong, Ilham kena jadi
abang sulong lah
“Nah, angkat air ni untuk abang kau!” kata Emma sambil meletakkan air oren
bersama kerepok lekor.
“Ilham tetap tetamu rumah kita, dan tetamu perlu diraikan. Kalau keluarga
dia melayan kita dengan cara yang buruk, kita wajib melayan anak dia orang
dengan cara yang paling baik!” nasihat nenek lagi.
“Baik bos!” sahut Khalida sambil mengambil dulang lalu di bawa ke beranda.
Sampai di sana terdengar suara Ayien yang sedang marah kepada Ilham. Adik
aku yang seorang ini pun perangai macam aku juga. Jenis tidak sabar!
“Encik Ilham, kita orang ini sebab terhutang budi saya dengan datuk Encik
Ilham kalau tidak kerana perkara itu, dah lama saya bagi penumbuk dekat muka
Encik ilham,” marah Ayien.
“Ayien.. ooo pandai-pandai nak tumbuk muka orang pula!” marah Khalida.
Ayien tidak endahkan kakak sulongnya.
“Encik Ilham buat macam-macam dekat akak saya, ingat akak saya nie apa?
Kalau tak nak dekat akak saya, lepaskan saja, ramai lagi lah yang nak dekat
akak saya!” sambung Ayien lagi.
“Woii.. sabar, sabar. Kau tu nak bertunang esok!” tegur Khalida. Kau cakap
macam tu kat akak kau nie, nanti Ilham tak kena penumbuk, kau yang makan
penumbuk aku dulu.
“Along nie sabar sangat!”
“Pergi mandi, atau belek cincin tunang ke apa ke?” suruh Khalida sambil
menepuk bahu Ayien.
“Along!”
“Ayien, adik muda dari Encik Ilham kan, jadi perlu ada rasa hormat kepada
orang yang lebih tua. Kita kena jaga maruah keluarga kita,” perlahan saja suara
Khalida.
Ayien terpaksa patuh dengan permintaan Khalida. Bila Ayien hilang, baru lah
Khalida duduk di sebelah suaminya. Dihulurkan air oren lalu Ilham menyambutnya
dan meneguknya perlahan-lahan.
“Tinggal di rumah lagi bagus!” kata Khalida perlahan. Datang menambahkan
masalah aku saja.
“Mak call dan suruh datang, jadi saya datang lah, harapkan awak, awak blah
tinggalkan saya begitu saja!” ooo, mak
yang suruh datang.
“Sebelum ini saya ajak, awak tak sudi pun. Rumah saya nie banyak nyamuk,
banyak lipas,” perli Khalida. Dahaga rupanya, habis air oren yang Emma buat.
Ilham menjeling tajam ke arah Khalida.