Home Novel Komedi/Romantik Komedi MY LOVELY TENGKU
MY LOVELY TENGKU
pitteriah abdullah
5/3/2014 11:02:50
1,133,109
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 32

ANAK RAJA TENGKU CEMPAKA ( BAB 32)

Sebulan sekali memang kami ada kan perjumpaan keluarga. Bukan di istana, bukannya di rumah kami. Tetapi di hotel. Sekejap saja masa berlalu, kandungan Zara Irdina sudah pun masuk enam bulan. Bulan depan masuk 7 bulan, dan bulan depan juga adalah majlis perkahwinan Syazana dan Shahir. Tengku Izraf Akif membenarkan dia pergi ke majlis tersebut malah dibenarkan tinggal di sana selama seminggu.

Pertemuan kali ini tanpa Papa dan Mama kerana Papa dan mama sibuk menguruskan hal-hal majlis perkahwinan Syazana. Tetapi yang datang adalah seluruh ahli keluarga di sebelah bonda. Anak-anak Tengku Cempaka semuanya hadir kali ini dan dari riak wajah mereka tentu ada sesuatu yang tidak kena. Muka Tengku Mawar masam mencuka dan penuh dengan kebencian saja. Begitu juga dengan muka Bonda. Ada apa sebenarnya ini.

“Kenapa tak cakap Zara ni sebenarnya anak luar nikah ayahanda?” soal Tengku Mawar membuatkan Zara Irdina ketar lutut mendengarnya. Zara Irdina memandang wajah suaminya. Tengku izraf Akif yang duduk berjauhan dengan Zara Irdina terus datang ke arah Zara Irdina dan menarik Zara Irdina ke dadanya sebagai tanda mahu melindungi isterinya.

“Siapa cakap ni?” soal Tengku Izraf Akif. Tak sangka perkara ini akan terbongkar juga hari ini. Ingatkan selama ini ahli keluarga bonda dan anak-anak bonda sudah tahu perkara yang menakutkan ini. Benarkah Zara Irdina ada hubungan dengan ayahanda?

“Sharifah Madziah datang beritahu kita orang dua hari lepas. Sharifah Kamariah ada hubungan sulit dengan ayahanda sampaikan ada anak luar nikah..,” jelas Tengku Mawar membuatkan mereka berdua terkejut mendengarnya. Tak sangka Sharifah Madziah sanggup buat macam ini? Apa salah kami kepadanya sehinggakan dia datang membawa berita duka ini kepada ahli keluarga kami? Pelik sungguh perangai manusia zaman sekarang.

“Tak pasti lagi pun perkara ini. Sharifah Kamariah saja yang tahu kebenarannya,” bidas Tengku Izraf Akif. Kalau betul, kenapa?

“Tak sangka anak haram itu jadi menantu bonda,” turut Tengku Mawar dengan menjeling tajam ke arah Zara Irdina.

“Jangan celupar sangat mulut tu, kak!” balas Tengku Izraf Akif. Dia tahu Tengku Mawar sudah naik marah dan memandang wajah Zara Irdina dengan penuh kebencian. Di mana hilangnya kasih sayang seorang kakak buat seorang adik. Mereka dulu rapat dan mesra. Malah saling menyayangi, tetapi hari ini, semua itu sudah tidak ada lagi.

“Hati bonda perlu dijaga, Akif. Mana ada seorang isteri yang sanggup melihat anak haram suaminya menjadi menantunya, biar pun kau tu hanya anak angkat bonda, Akif!” tutur anak sulong Tengku Cempaka, iaitu Tengku Mukriz. Kata-kata ini membuatkan hati mereka berdua dihiris sembilu yang tajam. Sebut juga aku anak angkat bonda, sebelum ini tak pernah pun pertikai siapa aku di hatinya.

“Saya bukan anak Tengku Burhan!” nafi Zara Irdina. Tidak mungkin orang yang semulia Tengku Burhan sanggup melakukan perkara yang sekeji ini. Tidak mungkin..., Tengku Izraf Akif memegang erat tangan kanan isterinya. Kita hadapi semua ini bersama-sama, Dina! Selagi abang ada, abang akan melindungi Dina dan anak kita.

“Kau tahu mana? Tak sangka Sharifah Kamariah yang bonda anggap seperti adik kandung sendiri sanggup buat kerja terkutuk ini..,” tuduh Tengku Mawar. Zara Irdina menahan sebak di dalam dada. Dosa apa kah aku sehingga dituduh seperti ini?

“Apa kak mawar cakap ini, kita mana ada bukti semua ini. Tak baik buat tuduhan melulu macam ini,” pujuk Tengku Izraf Akif. Malah melibatkan orang yang sudah tiada di dunia ini.

“Tak mungkin Sharifah Madziah nak membohongi kami di sini. Kau sudah melakukan sumbang mahram dengan Zara Irdina, dan perkahwinan macam ini telah mencemarkan maruah diraja,” sambung Tengku Mukriz. Air mata Zara Irdina menitis keluar juga akhirnya. Sedih sangat dituduh sedemikian rupa. Apa salah kami?

“Perkahwinan kami bukan satu kesalahan, bukan satu dosa pun,” bela Tengku Izraf Akif. Sumbang mahram kat mana pulak ni? Aku dengan Dina tak ada kena mengena pun. Kalau betul Dina anak ayahanda pun, aku hanya anak angkat. Ayahanda ku bukan Tengku Burhan, tetapi Tengku Burhanuddin.

“Zara Irdina tetap anak haram ayahanda. Kami memang tak kisah status Zara dulu tetapi tak sangka dia ada hubungan dengan keluarga kita, Akif. Haram tetap haram Akif dan bonda tak sanggup melihat Zara Irdina di depan matanya lagi. Perbuatan kau orang berdua terlalu jijik!” sambung Tengku Mawar. Tengku Izraf Akif menarik nafas yang panjang, manakala Zara Irdina masih menangis di dadanya.

“Betul ke bonda apa yang Kak Mawar cakapkan ini?” tanya Tengku Izraf Akif. Kalau betul, biarlah di sini saja hubungan kita. Aku tak sanggup mendengar orang menghina dan mencaci isteri aku lagi.

“Tolong pergi jauh dari hidup bonda dan jangan sesekali muncul di hadapan bonda lagi.. bonda tak sanggup...,” ucap Tengku Cempaka dan terus menangis. Terhiris hati Tengku Izraf Akif mendengarnya, bonda pun sudah tidak sayangkan kami lagi.

“Cukuplah bonda, Akif faham siapa Akif dan Dina di hati bonda. Halalkan makan minum Akif selama Akif tinggal dengan bonda dulu, budi dan jasa bonda hanya ALLAH saja yang mampu membalasnya..,” ucap Tengku Izraf Akif sambil menarik tangan Zara Irdina pergi dari situ.

“Bonda, Akif tak bersalah...,” ucap Zara Irdina dan mahu membela suaminya tetapi Tengku Izraf Akif menghalangnya.

Sepanjang perjalanan pulang Zara Irdina menangis mengenangkan nasib dirinya. Mengenangkan Tengku Iskandar Shah yang kehilangan kasih sayang nendanya nanti. Suaminya pula kehilangan kasih sayang seorang ibu sedangkan selama ini bonda dan Tengku Izraf Akif terlalu rapat. Amat rapat sehinggakan ada yang cemburukan hubungan mereka berdua.

Tengku Izraf Akif menghela nafasnya dan mengeluh. Kenapalah mudah percayakan kata-kata orang luar? Aku tak marah kalau buang aku dari keluarga mereka, singkir aku dari kehidupan bonda tetapi yang aku kesalkan kenapa mesti percaya kepada orang luar melebihi dari anak sendiri? Itu yang aku kesalkan.

Kedua pula, kenapa diletakkan api kemarahan dan kesalahan kepada Zara Irdina pula. Dia kah yang bersalah kerana semua ini terjadi? Sedangkan dia hanya mangsa keadaan. Dan mencaci orang yang aku cintai merupakan satu perbuatan yang cukup melampau aku rasakan. Tolong hormat isteri aku, siapa pun dia, dia adalah isteri aku yang sah.

“Benciiiiiiiii..,” jerit Zara Irdina mengejutkan Tengku Izraf Akif.

“Dina, ingat ALLAH, sayang!” pujuk Tengku Izraf Akif kereta segera diberhentikan.

“Akif, aku anak siapa sebenarnya? Betulkah ibu ku melakukan perkara terkutuk dengan suami bonda?” soal Zara Irdina sambil meraung. Kasihan bonda, hatinya tentu terlalu terluka dengan semua ini. Mana ada seorang isteri yang sanggup menerima berita sebegini. Kalau aku ditempat bonda pun tentu aku marah juga. Suami yang kita cinta berlaku curang dengan orang yang kita anggap sebagai seorang adik.

“Dina jaga diri tu, kau tu mengandung!” kata Tengku Izraf Akif. Tak tahu nak pujuk macam mana kali ini sebab yang tahu semua jawapan ada lah Sharifah Kamariah tetapi Sharifah Kamariah menutup rapat mulutnya.

“Kau asyik anak kau saja, aku serabut sekarang. Semua impian kita musnah sekelip mata. Hubungan kau dengan bonda terputus dengan berita ini? Kenapa Sharifah Madziah buat semua ini? Apa kebaikan untuk dirinya dengan melihat keluarga kita porak peranda?” marah Zara Irdina. Tengku Izraf Akif tersenyum saja. Stress lah tu. Kejap lagi mesti pening kepala sebab terlampau stress.

“Jangan fikir lagi, nanti darah tinggi pula, jaga anak tu,” katanya lagi. Iskandar Shah saja yang menjadi kekuatan kami berdua.

“Kau hanya fikirkan dia saja kan dari aku, dari aku yang macam orang nak gila ini?” lantang suaranya memarahi Tengku Izraf Akif. Hmm, fikir sampai pecah kepala pun tidak ada gunanya. Sebelum majlis kahwin hari itu, dah agak semua ini akan berlaku. Bonda akan mengamuk kalau dapat tahu Zara Irdina adalah anak luar nikah suaminya, manakala anak-anak bonda tentu tidak boleh menerima Zara Irdina. Perasaan sakit hati dan benci ini adalah normal bagi kita yang bergelar manusia. Sebab itu dia membawa lari Zara Irdina dan merahsiakan tempat tinggal mereka berdua.

“Astagfirullahazim..,” ucap Tengku Izraf Akif.

“Akif!”

“Ikut lah apa yang aku cakapkan ini, Astagfirullahalazim..,” ulang Tengku Izraf Akif sambil membawa tangan Zara Irdina di atas perutnya sendiri. Degup jantung Iskandar Shah terasa di tangan mereka berdua.

“Astagfirullahalazim!” ucap Zara Irdina sebak. Gerakan Iskandar Shah semakin terasa di tangannya malah perutnya turut merasa sakit kerana ditendang oleh si keil itu.

“Dia kekuatan kita sekarang Dina. Hanya dia saja yang kita miliki sekarang. Jadikan dia sumber inspirasi untuk kehidupan kita kelak!” pujuk Tengku Izraf Akif. Zara Irdina mengangguk.

“Akif!” panggil Zara Irdina sambil memeluk suaminya dengan erat. Syukur alhamdulillah, dia ada di sisi ku saat ini. Andainya tidak, tentu aku sudah hilang punca sekarang.

“Kuat semangat okey, Banyak benda lagi yang perlu kita lakukan selepas ini. Fikirkan tentang aku, anak-anak kita dan banyak lagi. Suatu hari nanti, kebenaran sebenar akan muncul jugak!” pujuk Tengku Izraf Akif.

Entah lah, sebab benda ini berlaku tanpa di duga sekali. Hubungan kami sudah pecah belah. Sudah lama dia mengenali Tengku Cempaka dan ahli keluarganya, hari ini semuanya sudah berubah. Dia tidak boleh menerima berita ini sama sekali. Dia tidak boleh menerima cara Tengku Cempaka membuat keputusan kali ini. Bukankah selama ini Tengku Cempaka seorang wanita yang bijak untuk menyelesaikan masalah, tetapi kenapa hari ini Tengku Cempaka membiarkan perasaan menguasai diri?

Tengku Cempaka pun manusia biasa, Zara Irdina. Kalau begitu aku pun manusia biasa juga? Apa salah aku? Apa salah suami aku?

“Shah tak dapat jumpa dengan nendanya lagi..,” kata Zara Irdina sambil mengusap perutnya itu. Kami sudah dibuang keluarga dan hukuman ini terlalu berat untuk kami berdua. Tengku Iskandar Shah tidak boleh bertemu dengan nenda dan keluarga nendanya lagi. Kami sudah menjadi orang terbuang.

Hmm, apa nak buat, ini dinamakan takdir. Tengku Izraf Akif meneruskan perjalanan membiarkan Zara Irdina melayan perasaannya sendiri. Dia sendiri tak sangka bonda kesayangannya itu akan bertindak begini sekali. Kesabaran manusia pun ada hadnya juga. Ada batasannya. Tetapi, mana bukti kenyataan ini? Betul ke atau ini hanya tekaan Sharifah Madziah saja sebab hubungan rapat antara Sharifah Kamariah dan Tengku Burhan. Bonda kena siasat dulu, bukannya terus percaya kata-kata Sharifah Madziah.

Siasat betul-betul jangan main tuduh saja kerana ini melibatkan maruah dan harga diri orang.

Sampai di rumah, baru pukul 9.00 malam. Masih terlalu awal. Dia terus keluar kerana mahu menuju ke masjid saja. Ah, hendak mencari ketenangan elok cari di masjid saja.

“Turun lah, tak kan nak tidur kat dalam kereta pula!” katanya apabila Zara Irdina tidak berganjak dari tempat duduknya. Dia mahu mendukung Zara Irdina tetapi Zara Irdina menolaknya. Hidung merah, mata pun merah. Tengku Izraf Akif hilang kata-kata untuk memujuk Zara Irdina. Bab pujuk ni yang aku lemah. Aku memang tak pandai nak memujuk hati isteri aku sendiri.

“Duduk lah kat dalam kereta ini sorang-sorang, aku nak pergi solat kat masjid,” kata sambil berjalan meninggalkan Zara Irdina. Setelah dia pergi barulah Zara Irdina keluar dari kereta dan berjalan masuk ke dalam rumah. Terus masuk ke dalam bilik dan merebahkan diri di dalam bilik saja.

Kata-kata Tengku Cempaka bermain di dalam fikirannya. Wan Yusuf dan Wan Aisyah sudah banyak kali menghubunginya tetapi dia sengaja tidak menjawab sehinggalah Tengku Izraf Akif pulang dan membawa nasi kerabu malam ini. Beli saja kerana mood untuk memasak memang tak ada malam ini.

“Untuk apa menangis, orang menangis sebab dah insaf atas segala kesilapan, kau menangis sebab dihina orang, sudah lah buang air mata saja!” katanya sambil meletakkan nasi kerabu bersama air di atas meja kecil di sebelah Zara Irdina.

“Sedih lah dia orang buat macam ini, buat hukuman tanpa usul periksa pulak tu,” kata Zara Irdina sambil membelakangkan dirinya dari suaminya.

“Makan dulu, jangan biarkan perut tu kosong, nanti sakit pula. Shah lagi...,”

“Shah, Shah, semua ini kau punya pasal. Kau sudah tahu semua ini kan? Tetapi kenapa buat aku macam ini?” marah Zara Irdina. Runsing sangat! Aik, ingat dah okey tadi.

“Malas nak layan kau, nak pujuk kau!”

“Tolong tinggalkan aku sendirian, aku tak nak tengok muka kau malam ini!” jeritnya sambil mengambil bantal peluk dan dihayunkan ke badan Tengku Izraf Akif. Tengku Izraf Akif mengelengkan kepalanya. Ke situ pula jadinya malam ini.

Terus dia keluar dari situ.

“Harap-harap kepala otak kau tu boleh fikir dengan elok malam ini,” pesan Tengku Izraf Akif sambil menutup daun pintu.

Dia sendiri pun tak boleh tidur malam ini, kenangan bersama bonda, kenangan tinggal di istana semuanya bermain di dalam fikirannya. Semuanya datang satu persatu dalam kepala otaknya. Pejam mata saja ternampak raut wajah bonda. Selama ini, walaupun diusir, dia masih berjiwa kental kerana ada bonda, ada sokongan ahli keluarga bonda tetapi kali ini, dia hanya ada Zara Irdina dan anaknya saja.

Itulah sumber kekuatan dirinya sekarang. Syukurlah aku masih disayangi dan dikelilingi oleh mereka yang ada di daerah ini. Sekurang-kurangnya mereka adalah matlamat aku sekarang.

Dua jam meninggalkan Zara Irdina di dalam bilik sendirian, membuatkan dia resah. Takut perkara yang tidak diingini berlaku pula. Terus dia masuk ke dalam bilik dan melihat Zara Irdina sedang membuka kain telekung. Baru sudah sembahyang dan sedang memegang perutnya yang semakin besar itu. Muka Zara Irdina berkerut sedikit.

“Kenapa?” soal Tengku Izraf Akif sambil mendekati Zara Irdina. Nasi kerabu masih belum disentuh. Mungkin sedang menahan kelaparan.

“Shah buat perangai!” jawabnya. Sejak dari tadi asyik bergerak kuat di dalam perutnya. Sekejap ke kanan, sekejap pusing ke kiri dan membuatkan dia tidak selesa untuk tidur.

“Itulah cakap yang bukan-bukan lagi dekat anak, Shah kecil hati lah tu, bonda dia marah dia tadi,” ingat Tengku Izraf Akif. Diambilnya sudu, lalu disuapkan nasi ke dalam mulut Zara Irdina. Zara Irdina mengunyah perlahan.

“Mama minta maaf, okey. Mama sayangkan Shah, Shah adalah kekuatan mama dan ayahanda sekarang!” pujuknya. Tengku Izraf Akif tersenyum. Senang hati mendengar, malah hatinya turut lega kerana Zara Irdina tidak menangis lagi.

“Nah, habiskan nasi nie, tak payah buat perangai sangat, kau tu dah nak jadi mak budak pun,” kata Tengku Izraf Akif sambil memberi nasi dan sudu kepada Zara Irdina.

“Suaplah!” Tengok aku dah okey terus buat macam ini. Geram sungguh!

“Makan lah, aku nak ambik nasi aku kat bawah!”

“Tak makan lagi?”

“Nak makan apanya tengok kau meroyan tadi, hilang selera!” kata Tengku Izraf Akif. Zara Irdina mengelengkan kepalanya. Bukan salah dia pun, bukan salah Iskandar Shah pun. Tak baik buat mereka anak beranak macam tu.

“Nak ikut!” lebih selesa makan kat meja makan.

“Cepat sikit!” gesa Tengku Izraf Akif menunggu Zara Irdina yang berjalan ke arahnya. Perut macam ini pun nak buat banyak kerja lagi. Suruh berhenti buat kerja-kerja amal pun tak nak.

“Mujur ada sikecil ini, tadi lemah semangat tau tak?” dia kawan aku sejak kecil lagi. Jadi, aku memang suka bercerita kat dia.

“Shah, ajar mama Shah sikit!” kata Tengku Izraf Akif.

“Sorry, sebab cakap yang bukan-bukan tadi,” kesal sebab mulut ini melalut apa tah tadi. Cakap pula yang bukan-bukan. Tengku Izraf Akif tersenyum lagi.

“Sudah lah tu, kuatkan hati kau, jangan cepat mengalah!” ujarnya.

Kalau orang sudah tak suka buat apalah kita merayu lagi. Kalau orang sudah benci, buat apalah kita rindukan lagi. Aku percaya, kalau kita kerap buat kebajikan dan kebaikan, suatu hari nanti kebaikan akan datang kepada kita juga.

“Kalau Dina di tempat bonda pun, Dina marah juga. Mana ada perempuan sanggup menerima suaminya curang dengan perempuan lain. Cakap terus terang Dina tak nak kongsi abang dengan sesiapa pun. Abang kepunyaan Dina seorang saja, jadi Dina faham perasaan bonda. Abang jangan marah kan bonda yer,” pujuk Zara Irdina ketika selesai makan.

“Hmmm..,” tak nak cakap lagi tentang hal ini, Dina! Sakit jiwa.

“Abang!”

“Jom tidur, letih sangat dah ni. Esok awal pagi nak kena pergi kerja pula!”

“Dengar lah cakap Dina dulu!”

“Abang nak lupakan semua perkara yang berlaku malam ini. Kalau Dina nak, Dina boleh buat macam abang, kalau Dina nak ingat pun, abang tak paksa Dina,” luahnya.

Rupanya Tengku Izraf Akif menyimpan di dalam hati. Itu yang susahnya bila membiarkan api membakar di dalam hati. Zara Irdina yakin, hati bondanya akan sejuk apabila melihat Tengku Iskandar Shah lahir nanti. Tetapi hati suaminya yang susah untuk dilenturkan.

Previous: BAB 31
Next: BAB 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.