KETIKA itu fikirannya
kembali kosong. Jasadnya ada di situ, tapi rohnya melayang entah ke mana.
Tangannya mengetik papan kekunci. Matanya merenung skrin. Namun hatinya kosong.
Rasa sepi dan rasa rindu semakin mengigit-gigit nubarinya.
“Wah! Encik Zul dah pandai main FB?” Seseorang menegur dari
belakang.
Zulfikar menoleh. Matanya bertembung dengan mata Wan Mas, kerani
pentadbiran yang terkenal becok.
“Saja...”
“Sejak bila ni?” Wan Mas bertanya, sinis dan perli.
“Kenapa? Aneh ke? Awak ingat saya teruk sangat sampai tak tahu nak ikut perkembangan semasa?”
Zulfikar menjawab sinis juga.
Wan Mas tersentak. “Bukan apa... sebelum ni saya tak pernah tengok
Encik Zul melekat depan komputer macam ni. Dan saya tak nampak pun nama Encik
Zul dalam senarai rakan Puan Shamira.”
Zulfikar mengangkat muka. Kali ini hatinya bergetar. Benar kata
Sahidi, semua kakitangan pejabat itu adalah rakan FB Shamira. Sungguh pandai
Shamira bermain muslihat.
“Jadi awak pun rakan dia? Dia cari awak ke awak yang sibuk cari
dia?” Zulfikar sengaja memerangkap perasaan wanita yang bernama Wan Mas itu.
“Dia cari kami semua. Kalau kami nak cari dia, mungkin kami malu.
Sebab, siapalah kami nak digandingkan dengan dia,” jawab Wan Mas.
Zulfikar diam. Dia mengira-ngira. Ada benarnya kata-kata Wan Mas
itu.
“Encik Zul bertuah ada isteri sebijak Puan Shamira.”
“Apa maksud awak?”
“Dia seorang yang bijak dan tegas. Buah fikirannya juga bernas.
Perjuangannya untuk kamu wanita amat dibanggakan. Banyak usul-usulnya yang
sudah dibawa ke parlimen dan dibahaskan,” jawab Wan Mas.
Zulfikar diam. Pandangannya beralih merenung skrin komputer.
“Putera Aduka? Siapa Putera Aduka?” Tiba-tiba mata Wan Mas juga
terpandang skrin. Zulfikar tergamam dan menggelabah.
“Oh... err... kawan saya,” jawab Zulfikar tergagap.
Wan Mas mengangguk.
“Awak selalu ke berhubungan dengan isteri saya?” Zulfikar cuba
mengalihkan pandangan dan perhatian Wan Mas.
“Setiap hari. Dia selalu menyapa saya dan komen di dinding saya.
Kadang-kadang dia telefon dan ajak berbual.”
“Berbual? Topik apa?”
Wan Mas termangu-mangu.
Zulfikar meneliti wajah itu. Dia dapat mengesan, ada sesuatu yang
terselindung di sebalik wajah itu. Tiba-tiba interkom di atas meja Zulfikar
berbunyi. Tanpa berlengah Zulfikar menjawab.
“Encik Zul, bos nak jumpa.” Suara Ruby Wati, pembantu peribadi
kepada bosnya lunak menyampaikan arahan.
Zulfikar bangun. Hajatnya untuk berbual panjang dengan Wan Mas
tergendala.
“Saya nak pergi jumpa bos. Lain kali kita sembang lagi.”
“Yalah. Harap Encik Zul bersabar,” ujar Wan Mas perlahan.
Zulfikar menoleh seketika. Kata-kata itu mengundang keraguan dan
kecurigaan. Namun dia sudah tidak ada masa untuk terus bertanya.
Ketika dia masuk, Tuan Haji Razali Mat Zin sudah siap menunggu.
Wajah lelaki yang selalunya ceria dan kaya dengan senyuman itu kelihatan masam
mencuka.
“Tuan haji nak jumpa saya?” Zulfikar mengatur kata dengan penuh
hati-hati. Remang wajah bosnya itu begitu membimbangkan hatinya.
“Ya. Saya memang nak jumpa awak. Ada hal yang perlu saya minta
penjelasan dari awak Zulfikar.”
“Apa dia, tuan haji?” tanya Zulfikar bertambah curiga.
“Mengenai isteri awak,”
“Kenapa dengan isteri saya?”
Diam. Tuan Haji Razali Mat Zin tiba-tiba mengeluh. Berat dan
mendesah. Dia seperti melepaskan rasa marah yang teramat. Zulfikar pula menanti
dengan debaran kencang.
“Zulfikar, saya tahu awak pegawai yang baik. Selama ni, saya
nampak prestasi kerja awak sangat bagus. Sebab
tu, saya tak mahu awak campur adukkan hal kerja dan hal rumah tangga,”
kata Tuan Haji Razali Mat Zin.
Hati Zulfikar semakin berdebar. “Berterus teranglah, tuan haji.
Saya kurang jelas apa sebenarnya yang tuan haji nak kata,” katanya pula.
“Isteri awak baru telefon. Dia minta saya luluskan cuti untuk awak
esok. Setahu saya awak tak mohon cuti pun. Macam mana saya nak luluskan. Lalu
saya simpulkan, ini mungkin ada yang tak kena pada awak dan isteri awak,” jelas
Tuan Haji Razali Mat Zin. Matanya merenung Zulfikar.
Diam. Tunduk. Sabar.
“Awak sendiri tahu, saya memang tak suka hal-hal rumah tangga
dibawa ke pejabat. Dan saya juga tak suka kalau ada orang yang cuba campur
tangan dalam keputusan saya. Saya tahu isteri awak seorang yang berpengaruh,
tapi itu tidak bermakna dia boleh suka-suka nak guna pengaruhnya untuk
mempengaruhi saya.”
Masih diam. Masih tunduk dan masih juga bersabar walaupun
dirasakan darah yang mengalir ke seluruh tubuhnya mula terasa panas.
“Apa penjelasan awak sekarang?” Tiba-tiba Tuan Haji Razali Mat Zin
bertanya.
Zulfikar rasa terjerat. Dia melepaskan keluhan. “Entahlah, tuan haji.”
“Kalau memang benar awak ada temu janji esok, kenapa tak nak ambil
cuti? Pergilah... jangan biarkan sakit awak melarat.”
“Isteri saya cakap saya sakit apa?” Zulfikar mengangkat muka. Kali
ini dia merasakan perlu tahu.
“Dia tak cakap apa-apa. Dia cuma cakap awak tak nak berjumpa
doktor. Dia kata dia dah aturkan temu janji itu. Boleh saya tahu kenapa awak
tak nak pergi?”
“Sebab dia nak bawa saya jumpa pakar sakit jiwa. Tuan haji tengok
saya, ada tak saya ni orang yang ada masalah jiwa? Tuan haji nampak saya ni
macam mana?” tanya Zulfikar sambil bertentang mata dengan Tuan Haji Razali Mat
Zin. Dia tidak mahu berselindung lagi. Hal yang dilakukan oleh Shamira hari itu
membuatkan dia rasa tidak perlu menutup kisah.
Tuan Haji Razali Mat Zin ternganga. Dia seperti tidak percaya apa
yang didengarinya.
“Tuan haji jawablah dengan jujur. Saya ni nampak macam orang sakit
jiwa ke?” Zulfikar bertanya lagi. Kali ini suaranya mula bergetar kerana
hatinya mula sebak. Tuduhan Shamira dan Atikah sudah sampai ke peringkat yang
tidak boleh dibicarakan di mahkamah.
“Zulfikar, maafkan saya. Saya mula faham apa yang sedang berlaku.
Tapi kenapa sampai begitu sekali tindakan isteri awak tu?”
“Sebab saya mula berani membangkang cakap dia. Sebab saya tak
dengar arahannya lagi. Sebab... sebab...” Zulfikar semakin dituba rasa.
Kerongkongnya seperti dikait duri, tidak mampu meneruskan bicara.
Tuan Haji Razali Mat Zin terkesima seketika. Dia bersimpati. Dalam
masa yang sama, sebagai lelaki dia ikut rasa tercabar.
“Jadi benarlah apa yang saya dengar selama ini?”
“Apa yang tuan haji dengar?” Zulfikar merenung wajah bosnya.
“Macam-macam. Namun yang saya tak boleh tahan, bila orang kata
awak ni takut bini. Awak ni hidup bergantung pada bini sebab gaji bini awak
lebih besar dari gaji awak.” Tuan Haji Razali Mat Zin mengatur kata-kata dengan
penuh berhati-hati.
“Ya. Ramai orang yang anggap begitu. Apa yang sebenarnya berlaku
saya malas nak layan kerenah dia. Saya tak kuasa untuk bergaduh dan bermasam
muka dengannya. Saya sayangkan anak-anak saya. Saya tak mahu ganggu emosi
anak-anak saya sebab itu saya ikut saja apa kata dan arahan dia. Tapi itu tak
bermakna saya takut pada bini saya tu!” tegas Zulfikar. Kali ini suara itu
kasar dan meninggi. Suara itu membuatkan Tuan Haji Razali Mat Zin terpegun
seketika. Untuk pertama kalinya dia melihat Zulfikar marah. Untuk pertama kali
juga dia mendengar suara Zulfikar yang pecah seperti guruh!
“Kalau macam tu, awak kena bertindak tegas dengan dia. Saya tak
mahu awak terus diumpat keji. Saya juga tak mahu dia terus ganggu staf di sini.
Sejak akhir-akhir ini, dia dah mula telefon ke sini dan siasat awak.”
“Jadi, memang benar apa yang saya dengar?” Zulfikar cuba
meyakinkan dirinya. Dia sudah mendengarnya daripada Che’Roma. Kini dia
mendengar pula daripada Tuan Haji Razali Mat Zin. Sungguh malu!
Tuan Haji Razali Mat Zin menekan interkom dan memanggil Ruby Wati
masuk.
Zulfikar semakin celaru dan gelisah.
Ruby Wati menolak pintu dan masuk.
“Nah, awak boleh tanya Ruby kalau saya bohong. Ruby tolong
ceritakan apa yang selalu awak dengar mengenai Puan Shamira,” kata Tuan Haji
Razali Mat Zin setelah Ruby Wati berdiri di hadapannya.
“Setiap pagi, Puan Shamira akan telefon ke sini dan bertanya
macam-macam. Kami semua dah naik bosan. Kalau dia tak buat, anak Encik Zul yang
buat. Soalannya tetap sama,” cerita Ruby Wati.
Zulfikar tidak mampu mengangkat kepala.
“Zul, saya faham masalah awak sekarang. Jadi awak selesaikanlah
dengan baik. Jangan sampai ganggu kerja awak dan kerja kawan-kawan awak di
sini.”
“Baru tadi dia telefon saya dan bertanya sama ada cuti Encik Zul
diluluskan atau tidak?” tambah Ruby Wati pula.
Zulfikar makin tidak mampu mengangkat kepala.Seperti ada sebiji batu besar yang sedang
menghempap kepalanya.
“Zul, saya rasa awak ambillah cuti. Saya akan luluskan,” kata Tuan
Haji Razali Mat Zin pula.
“Tapi, saya tak mahu pergi ke tempat yang mereka nak bawa.”
Zulfikar memotong cakap bosnya dengan cepat.
“Pergilah ke tempat lain. Pergilah bercuti. Saya tengok, awak
asyik kerja saja. Tak pernah pergi makan angin ke mana-mana. Nah, inilah
masanya,” balas Tuan Haji Razali Mat Zin dengan senyuman.
Mata Zulfikar terbuka luas. Buah fikiran bosnya dirasakan boleh
dipakai. Dia mengangguk perlahan.
“Ruby, kalau Puan Shamira telefon, jangan cakap apa-apa.” Tuan
Haji Razali Mat Zin berpaling pada Ruby Wati.
“Ya. Itu saya tahu. Cuma...”
“Cuma apa?” Zulfikar segera menatap wajah Ruby Wati yang kelihatan
amat bimbang.
“Hal ini juga jangan sampai diketahui orang-orang di luar bilik
ni.”
“Apa maksud awak Ruby?” tanya Tuan Haji Razali Mat Zin.
“Saya rasa mesti ada salah seorang darikakitangan pejabat ni pengintipnya.”
“Siapa?”
“Itu saya tak tahu. Saya cuma syak. Encik Zul kena berhati-hati,”
jawab Ruby Wati dengan jujur.
“Berapa hari awak nak bercuti?” Tuan Haji Razali Mat Zin segera
menoleh pada Zulfikar. Dia sengaja menukar topik untuk meredakan gelora di hati
Zulfikar.
Zulfikar diam. Dia masih bingung dan keliru.
“Baiklah. Biar saya yang buat usul. Awak ambil cuti seminggu.
Pergi jauh dari sini. Pergi ke satu tempat yang tidak diketahui orang.
Tenangkan fikiran awak dan cuba cari kekuatan diri. Pertahankan maruah lelaki!”
“Terima kasih tuan haji. Saya minta maaf kerana isteri saya,” ucap
Zulfikar dengan perasaan sebal.
“Tak apa, bukan salah awak. Orang perempuan ni...” Tuan Haji
Razali Mat Zin terhenti. Matanya terpaku pada pembantunya, Ruby Wati. Dia tidak
jadi untuk menghabiskan ayatnya.
Selepas semua urusan selesai, Zulfikar keluar dari bilik itu
dengan ucapan terima kasih yang berjuta. Langkah dan semangatnya dirasakan lain
dari biasa. Terasa darah keturunan pendekar Tok Janggut mengalir deras dan
panas di dalam badannya.