Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,619
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 14

MARYATI sampai ke pejabat lebih awal daripada biasa. Ketika itu, belum ada sesiapa lagi di ruang itu melainkan Mak Cik Patonah, tukang cuci yang sentiasa sampai awal.

“Awal Mar sampai, kenapa?” tanya wanita itu dengan senyum. Dia membalas senyum itu dengan mesra. Senyuman itu ikhlas. Dia memang mesra dengan semua kakitangan di Teratai Holdings. Dari tukang cuci, tukang kebun dan pengawal keselamatan hingga kakitangan pentadbiran yang lain, semuanya mesra. Tidak ada yang silu untuk menegurnya.

“Datang awal tak salah, mak cik. Yang salah, datang lambat,” jawab Maryati dengan lembut agar tidak menggores hati Mak Cik Patonah.

“Ya... ya...” Mak Cik Patonah menyengih. Dia menyambung kerjanya.

“Kalau mak cik dah siap buat kerja, buatkan saya secawan kopi, ya?” pinta Maryati.

Mak Cik Patonah angguk. Tangannya masih ligat mengelap meja-meja yang ada di ruang itu. Tidak lama, wanita itu menghilang.

Maryati menekan suis komputer. Kemudian dia meninjau-ninjau berita menarik dalam portal berita. Itulah rutinnya setiap pagi sebelum memulakan tugas. Selepas dirasakan tidak ada yang menarik, dia menutupnya.

“Mar, ini airnya.” Mak Cik Patonah meletakkan secawan kopi O kegemaran Maryati yang masih berasap.

“Terima kasih, mak cik,” ucapnya sambil menguap.

“Mar nampak letih, kenapa? Semalam tak cukup tidur?” tanya Mak Cik Patonah.

“Biasalah, mak cik. Sejak akhir-akhir ni, saya susah nak tidur. Dah dekat-dekat azan subuh baru terlena. Sekejap saja, dah terbangun,” kata Maryati.

Mak Cik Patonah bersimpati. “Mar banyak berfikir. Cuba bertenang dan kosongkan fikiran sebelum tidur.”

Maryati menarik cawan kopi. Aroma bau kopi itu menyegarkan jiwanya.

“Saya dah cuba, mak cik. Tapi, makin saya cuba makin banyak perkara yang memenuhi fikiran. Semuanya saya nak kena fikir. Hal keluarga... hal kerja dan hal...” Maryati menghirup kopi itu. Tidak jadi dia meneruskan kata-katanya.

“Ya. Mak cik faham, Mar,” kata Mak Cik Patonah separuh berbisik.

“Harap mak cik amanah simpan rahsia diri saya. Tak ada sesiapa di sini yang tahu siapa saya melainkan mak cik,” ujar Maryati.

Mak Cik Patonah mengangguk. Dia sendiri tidak menyangka akan mendapat kepercayaan Maryati.

“Mar, sampai sekarang mak cik masih keliru. Kenapa Mar begitu percayakan mak cik. Kita tak pernah kenal sebelum ni?” tanya Mak Cik Patonah mencari jawapan. Sejak dua tahun mengenali Maryati, itulah soalan yang sering muncul di fikirannya.

Diam. Maryati masih menghirup kopi panas itu. Dia rasa segar. Semangatnya dirasakan ikut segar.

“Mak cik, hati saya yang kata mak cik ni amanah.”

“Sebabnya?”

“Entahlah. Hanya ALLAH Yang Maha Tahu. Sepertimana DIA tahu kenapa saya dipilih untuk melalui semua dugaan ni,” jawab Maryati.

“Sebab ALLAH sayangkan Mar. Bila kita diduga dengan kesusahan, kita tidak lalai dan tidak melupakan-Nya. Mar kena tabah dan redha. Mungkin ada hikmah yang DIA akan berikan pada satu hari nanti,” ujar Mak Cik Patonah.

“Hikmah apa lagi yang ada, mak cik? Hidup saya dah lama hancur. Impian bahagia saya dah lama berkubur. Yang ada sekarang hanya jasad dan roh duka.”

“Mar, jangan persoalkan kerja Tuhan.Jangan sangsi pada takdir-nya. Mengucaplah, Mar. Jangan sedikit pun bagi ruang kepada syaitan untuk melemahkan iman kita,” pujuk Mak Cik Patonah.

Maryati terangguk-angguk, kesal apa yang diucapkannya tadi. Kata-kata Mak Cik Patonah ada betulnya.

“Selamat pagi, Mar!” sapa Raihanah, rakan kerjanya. Maryati hanya tersenyum.

“Mar, mak cik sambung kerja, ya?” kata Mak Cik Patonah.

“Mak cik nak jual apa pula dengan kami hari ni?” gurau Raihanah.

Mak Cik Patonah ketawa, tapi dia tidak menjawab. Dia tidak mahu menunggu lama. Dia amat bimbang pada tohmahan buruk orang pada keakraban dia dan Maryati.

“Mak Cik Patonah tu pelik kan, Mar?”

“Pelik macam mana?” Maryati menoleh. Tiba-tiba dia teruja untuk mendengar komen Raihanah terhadap wanita tukang cuci pejabat itu.

“Yalah, dia tu bukan orang susah. Tapi masih nak kerja sebagai tukang cuci di sini.”

Diam.

“Saya dengar cerita, anak-anaknya semua berpangkat dan kaya-raya. Kenapa dia kerja macam ni? Dia tak fikir air muka anak-anak dia ke? Kalau saya jadi anak-anak dia, saya malu mak saya kerja tukang cuci. Duduk saja di rumah dan buat amal ibadat, kan bagus?”

“Rai, jangan bercakap pada perkara yang kita tidak tahu. Mak Cik Patonah mungkin ada alasannya sendiri. Kita hanya melihat dari luar, tapi kita tidak merasainya,” tutur Maryati.

Raihanah terdiam. Namun masih ada perasaan tidak puas hati di wajahnya.

“Aku ke bilik air sekejap,” kata Maryati lalu bangun dan berjalan meninggalkan ruang pejabat itu. Dia sebenarnya ingin mengelak diri daripada terus mendengar rungutan dan komen Raihanah terhadap Mak Cik Patonah. Kalau tadi dia teruja untuk tahu, kini dia tidak mahu mendengarnya lagi.

Lama dia termenung menghadap cermin di singki. Lama dia mencari-cari kebenaran kata-kata Raihanah tadi. Mak Cik Patonah tidak pernah menceritakan hal keluarganya. Dia sendiri tidak pernah bertanya. Hanya daripada rakan-rakan sekerja dia tahu bahawa wanita itu telah melahirkan lima anak yang berjaya semuanya. Kata mereka, kelima-lima anak Mak Cik Patonah lulusan universiti dan berjawatan tinggi. Malah salah seorang anaknya selalu keluar ceritanya dalam surat khabar. Kalau benar, kenapa Mak Cik Patonah masih bekerja?

“Mar? Termenung ni kenapa?” Tiba-tiba muncul Mak Cik Patonah dengan sebatang kayu penyapu di tangannya.

“Tak ada apa, mak cik. Tengok muka Mar ni, hah...” Maryati cuba memberi alasan yang logik.

Tawa Mak Cik Patonah berderai.

Maryati melihat wajah Mak Cik Patonah yang ceria. “Mak cik ketawakan Mar? Kenapa?” tanyanya, menjeling wajah Mak Cik Patonah dari cermin.

“Mar macam sedang bercakap dengan budak kecil. Apa yang Mar tengok pada wajah Mar tu? Kesedihan? Kehampaan? Atau kekesalan?”

“Mak cik, bercakap dengan mak cik buatkan Mar selalu keliru.”

“Keliru kenapa?” Mak Cik Patonah mengerdipkan mata memandang Maryati.

“Siapa mak cik ni sebenarnya?” Maryati tidak mahu menyimpan terlalu lama kemusykilan yang berputik di hatinya. Dia tidak mahu terus mendengar semua cerita dari orang lain. Dia perlu mendengarnya sendiri daripada mulut Mak Cik Patonah.

“Mak cik kan tukang cuci? Dah dua tahun mak cik bekerja di sini. Takkan Mar belum kenal mak cik?”

“Mar nak kenal mak cik yang sebenarnya, bukan sebagai tukang cuci pejabat ni,” jawab Maryati, bersungguh-sungguh. Tangan Mak Cik Patonah ditarik dan digenggam erat untuk mengatakan keinginannya yang jitu.

“Apa yang Mar nak tahu?”

“Kesemuanya tentang diri mak cik. Mak cik tahu kesemua tentang diri Mar. Apa salahnya kalau Mar juga tahu hal diri mak cik?” jawab Maryati.

Mak Cik Patonah tersenyum, tenang dan penuh keibuan. “Baiklah. Tapi bukan di sini. Petang ini Mar ikut mak cik balik ke rumah. Mak Cik tak akan berahsia dan berselindung apa-apa dari Mar. Sekarang masa kerja. Tak baik kita abaikan amanah yang diberikan pada kita,” kata Mak Cik Patonah.

Maryati tiba-tiba rasa amat teruja. Dia seperti mendapat satu peluang yang tidak diberikan kepada orang lain. Selama ini, tidak ada sesiapa pun yang tahu di mana dia tinggal dan siapa keluarganya. Semuanya rahsia.

“Baiklah. Petang ni Mar ikut mak cik. Mar tunggu mak cik di pondok bas. Mar buat kerja dulu ya?” kata Maryati. Dia kembali ke mejanya dan menyambung kerja.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.