Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,613
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 11

-11-

HUBUNGAN Zulfikar dan Shamira berada dalam keadaan yang amat tegang. Sejak balik dari kampung, Zulfikar langsung tidak pedulikan Shamira. Dia buat hal sendiri. Bangun pagi, dia bersiap dan pergi kerja. Petang, balik dari kerja dia singgah di kedai mamak. Lepas kenyang baru dia balik, mandi dan solat lalu terus tidur.

Kemuncak pertelingkahan itu berlaku apabila Zulfikar membawa pulang sebuah kereta Produa Kancil 850cc yang dibelinya itu.

“Kereta siapa awak bawa tu?” tanya Shamira. Dia seperti mencebik melihat kereta itu tersadai di tepi rumahnya.

“Kereta sayalah. Kenapa?” jawab Zulfikar selamba. Dia seperti cuba menghidupkan api marah Shamira. Wajah Shamira berubah merah padam.

“Bila awak beli? Tak cakap dengan saya pun?!”

“Saya nak cakap dengan awak untuk apa? Supaya awak boleh hina saya lagi..?”

“Awak ni kenapa? Sejak akhir-akhir ni macam nak cari salah saya saja?” balas Shamira, kurang senang. Zulfikar diam. Dia membiarkan Shamira mencari silap sendiri, bukan mencari silap orang lain.

“Sekurang-kurangnya awak bincang dengan saya sebelum beli,” kata Shamira selepas mendapati Zulfikar diam.

“Nak bincang buat apa? Yang saya kena bincang ialah dengan pihak yang nak beri saya pinjam duit. Dengan awak, tak ada kena mengena. Bukan awak yang nak kena bayar!”

“Tapi saya ni isteri awak! Sejak bila saya tak ada hak untuk ambil tahu hal awak ni?” Shamira mula melenting. Kemarahannya mula berputik. Zulfikar semakin selamba.

“Agaknya ini yang awak dapat di kampung tu ya? Agaknya mak awak yang hasut awak untuk menentang dan bencikan saya,”

“Shamira!! Jangan kurang ajar sangat? Jangan nak buruk-burukan mak saya!” tengking Zulfikar. Sejak dulu dia memang pantang kalau Mak Senah dikaitkan. Perkahwinannya dengan Shamira telah meretakkan hati Mak Senah. Jadi dia tidak mahu hati ibunya terus dilukai..

Pertengkaran itu tamat di situ kerana Zulfikar segera menghindar diri. Dia mengambil kunci kereta dan keluar dari rumah. Shamira terpekik-pekik memanggil, namun Zulfikar tidak menoleh. Akhirnya perang dingin berlaku. Tidak ada suara tegur menegur lagi. Hati Zulfikar rasa lapang. Dia pergi ke pejabat dengan hati yang senang. Tidak ada soal jawab dan suara Shamira yang suka memerintah itu tidak menyentuh kuping telinganya lagi.

“Baguslah Zul. Kau benar-benar telah menjadi lelaki,” kata Sahidi ketika mendengar cerita Zulfikar.

“Apa selama ini aku tak jantan? Kau ingat aku mak nyah?” tanya Zulfikar dengan ketawa. Sahidi ikut ketawa. Dia memang melihat satu kelainan di wajah Zulfikar sejak akhir-akhir ini. Wajah itu ada keceriaan dan tenang. Tidak seperti sebelumnya, kusut dan muram.

“Wah! Dua kumbang kalau bersembang tak nampak saya di belakang..” sapa Nurul Ain, rakan setugas mereka. Zulfikar menoleh. Sahidi juga.

“Dah Ain duduk dari belakang, memanglah tak nampak. Apa Ain ingat saya ni ada mata tambahan yang letak di sini,” jawab Zulfikar sambil menunjukkan di belakang kepalanya. Ketawa mereka pecah.

“Apa yang cik abang berdua sedang bincang ni? Ada bisnes baik ke?”

“Hish! Ain ni sibuklah. Ini hal orang lelaki. Ain tak boleh tahu,” jawab Sahidi.

“Yalah tu. Tak apalah kalau tak nak kongsi. Kita ni siapakan?” Nurul Ain pura-pura merajuk.

“Eleh..eleh..Miss Lady Ain merajuklah pula..” kata Zulfikar. Dia menyengih. Dengan cepat Nurul Ain menoleh. Ada sangsi di wajahnya.

“Encik Zul? Mana Encik Zul tahu nama itu?” tanya Nurul Ain dengan mata terbeliak.

“Ain ingat Ain sorang saja yang pandai main muka buku tu?”

“Muka buku?” Sahidi pula menyampuk.

Facebooklah.” Dengan segera Zulfikar menjawab. Sahidi ingin ketawa. Namun serta merta dia menutup mulutnya dengan tangan.

“Encik Zul ada facebook? Tapi bila? Saya tak nampak pun nama Encik Zul dalam facebook?”

“Ain ingat Ain seorang yang pandai guna nama samaran. Saya pun ada..” Zulfikar mengenyit mata dengan senyum.

“Siapa?”

“Carilah sendiri,” Zulfikar bertambah galak berseloroh.

“Encik Zul dah jadi sahabat saya?” Nurul Ain inginkan kepastian. Zulfikar angguk. Dengan cepat Nurul Ain kembali ke mejanya. Tangannya ligat menekan butang komputer. Dia mencari dan mencari. Tapi langsung tidak ada nama Zulfikar.

“Encik Zul, tak ada pun! Isteri Encil Zul Puan Shamira adalah..” kata Nurul Ain. Kebetulan Azila masuk dengan secawan kopi.

“Zila, kau tahu nama samaran Encik Zul dalam facebook?” tanya Nurul Ain. Azila menoleh ke arah Zulfikar. Ketika itu Zulfikar menggelengkan kepala.

“Entah. Aku tak tahu. Dia ada facebook? Betul ke?” Azila pura-pura terkejut.

“Itu yang aku sedang cari. Dia kata dia ada facebook..”

“Kau carilah sampai jumpa. Aku nak buat kerja ni..” Azila berjalan ke mejanya. Dia cuba mengelak diri kerana pada masa itu dia sudah mula hendak ketawa. Nurul Ain sibuk mencari.

“Kau tengok, semua staf di sini jadi rakan FB bini kau,” bisik Sahidi.

“Biarlah. Dia orang ternama. Dia orang berpangkat. Dia orang yang disanjung. Aku ni tak ada siapa nak kenal,” balas Zulfikar perlahan. Tiba-tiba dia rasa sebal.

“Bukan itu maksudku,”

“Habis tu apa?” Zulfikar angkat muka. Dia menatap wajah Sahidi dan mencari jawapan.

“Maksud aku, gerak geri kau sedang diperhati. Bini kau menggunakan semua kesempatan yang ada untuk mengintip kau,” jawab Sahidi penuh yakin.

“Intip aku? Kenapa?”

“Kenapa aku tak tahu. Tapi yang jelas, sejak akhir-akhir ni dia rajin menelefon ke sini dan bertanya pasal kau. Aku rasa ada spy dia di sini..”

“Mana kau tahu?”

“Aku pernah dengar ada staf yang bersungut dan merungut,”

“Apa mereka kata?”

“Mereka kata mereka rimas bila disoal dengan bermacam soalan. Aku rasa kau kena cakap dengan Shamira sebelum hal ini berpanjangan dan nama kau tercemar di pejabat ini. Aku rasa Shamira tu mengesyaki kau,” Sahidi menjawab dengan penuh hati-hati.

“Syak apa?”

“Dia syak kau ada perempuan lain. Sebab itu dia tanya pukul berapa kau balik dan keluar dari ofis setiap petang..”

“Gila!!” Zulfikar mendengus geram. Serta merta mukanya merah padam.

“Ada lagi yang kau tak tahu,” sambung Sahidi lagi.

“Apa dia?”

“Anak kau. Dia pun selalu mencari maklumat dengan staf di sini,”

“Hah? Siapa? Afiq atau Atikah?” Zulfikar terkejut. Kata-kata Sahidi benar-benar tidak dijangka. Ia benar-benar memeranjatkan.

“Yang perempuan. Kalau kau tak percaya kau boleh tanya Che’ Roma. Dia yang mengadu pada aku. Dia minta nasihat aku sebab aku ni kawan baik kau,” jawab Sahidi. Zulfikar tunduk. Kali ini dia rasa ombak rasa benar-benar sedang membadai hatinya.

Nasib baik dia bukan berada di rumah. Kalau tidak, tentu ada yang kena penamparnya. Dia tahu ini semua olah Shamira. Atikah tidak akan berani melakukan hal itu tanpa arahan ibunya.

Zulfikar bangun. Hatinya retak.

“Kau nak ke mana?”

“Aku nak jumpa Che’ Roma. Aku nak selidik perkara ini. Di, perkara ni cukup memalukan aku. Macamlah aku ni penjenayah hingga mereka buat aku macam ni..” Zulfikar terus melangkah ke meja Che’ Roma yang letaknya tidak jauh dari situ. Sahidi melihatnya dengan mata belas dan simpati. Dia juga melihat wanita yang bernama Che’ Roma angguk berkali-kali menyebabkan wajah Zulfikar merah seperti udang kena bakar!

Pulang ke rumah petang itu, Zulfikar tidak sabar untuk bersemuka dengan Shamira. Ketika itu pula Shamira belum pulang. Dia tahu Shamira akan lambat. Dia akan menunggu. Dadanya sudah panas berbara. Dia akan ledakkan semuanya. Dia tidak sanggup lagi menanti esok.

Sehingga pukul 10.00 malam, kelibat Shamira tidak juga kelihatan. Dia mengambil telefon, cuba untuk menghubunginya. Namun egonya berbisik megah, bahawa dia lelaki yang tidak boleh mengalah mencari. Dia berbaring di sofa dan menanti. Bosan. Lalu dia masuk ke bilik dan mencari beg komputer riba.

Sambil menunggu Shamira, dia melayari alam maya. Dia membaca komen-komen dan cerita yang ada. Cerita politik. Cerita kutuk mengutuk banyak memenuhi ruang FB hari itu. Dia malas untuk membacanya. Dia menyelusuri sebuah artikel yang ditulis oleh Putera Lapan, salah seorang yang menjadi rakan FB secara rambang. Dia tidak kenal siapa itu Putera Lapan. Namun dia selalu membaca dan mengikuti setiap artikel yang ditulisnya. Kali ini Putera Lapan menulis dengan tajuk: KEADAAN ROH SEBELUM JASAD DIKEBUMIKAN’

Roh yang keluar dari jasad akan diangkat naik ke langit untuk menerima ketentuan dari Allah mengenai tempatnya nanti (samada di syurga atau di neraka). Lalu Allah memerintahkan malaikat membawanya turun ke bumi. .

Dengan taat, malaikat membawa roh itu turun dan meletakkan di tengah rumahnya. Dari situ roh itu akan dapat melihat dan mendengar apa yang berlaku dan dilakukan oleh keluarganya dan mereka yang berada di rumahnya. Ia akan tahu siapa yang bersedih dan berduka kerana ketiadaannya, tetapi ia tidak boleh berbicara apa-apa. Namun begitu antara roh dan jasad masih berhubungan antara satu sama lain dengan cara tersendiri. Ini seperti yang telah diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri, katanya: “Rasulullah s.a.w bersabda : Sesungguhnya mayat itu tahu siapa yang memandikan, mengusung dan memasukkannya ke dalam kubur. Ia dapat mengetahuinya kerana adanya hubungan roh dan badannya.”

Roh akan merintih ketika pakaian dilucutkan dari badan mayat: “Wahai orang yang akan memandikan, kuminta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan kerana di saat ini aku sedang beristirehat dari kesan seretan Malakul maut.”

Ketika mayat itu diletakkan di atas hamparan kain kafan pula, ia akan menyeru:

“Wahai orang yang memandikan, janganlah kuat-kuat dalam mengkafani kepalaku sehingga aku dapat melihat wajahku, anak-anakku dan keluargaku. Sebab inilah penglihatan terakhirku kepada mereka. Adapun aku pada hari ini berpisah dengan mereka dan aku tidak akan melihat mereka sehingga hari kiamat.”

Ketika mayat diletakkan di tempat untuk dimandikan, maka ia dipanggil tiga kali oleh suara dari langit : “Wahai anak Adam!! di manakah tubuhmu yang kuat, bukankah sekarang kamu sudah menjadi lemah? Di mana mulutmu yang selalu bercakap? Bukankah sekarang kamu diam membisu? Di manakah semua kekasihmu? Bukankah mereka sekarang mengasingkanmu?”

Sesudah jasad selesai dimandikan dan dikafankan, malaikat membawa roh itu kembali kepada jasadnya antara kain kafannya. Roh itu akan bertanya: “Kenapakah kamu membawa aku lagi kepada jasad yang telah aku tinggalkan?” Malaikat lalu menjawab : “Kami hanya melaksanakan perintah Allah. Oleh itu engkau pun terpaksalah mengikutinya.”

Ketika mayat diletakkan untuk disembahyangkan, maka sekali lagi ia dipanggil dengan tiga kali teriakan : “Wahai anak Adam! Segala amal yang telah kamu lakukan akan kamu lihat. Jika amal kebajikanmu baik kamu akan melihat dengan baik. Jika amal kebajikannya buruk, maka kamu akan melihatnya dengan jelek juga.” .

Dari hadis riwayat Bukhari yang diterima dari Abu Said al-Khudri katanya: “Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Apabila jenazah itu diusung oleh beberapa orang lelaki, maka berkatalah ( roh orang-orang yang soleh ) : Bawalah aku segera! Bawalah aku segera!. Tapi kalau ia orang yang jahat, berkatalah ia : Sungguh celaka aku. Ke manakah aku akan dibawa?. Keluhannya itu akan didengari oleh semua makhluk kecuali manusia, kerana jika manusia mendengarnya, pasti ia akan menjerit ketakutan.”

Dari hadis yang lain pula mengatakan : “Semasa berada di atas usungan, roh itu akan bergerak-gerak sambil berkata : “Wahai keluarga, kerabat dan anak-anakku, wahai orang yang memakai pakaian kami, membahagi-bahagi harta kami, serta mendiami rumah kami, janganlah kamu sampai diperdayakan oleh dunia sebagaimana ia telah memperdayakan kami. Kami telah mengumpulkan harta dari jalan yang haram dan halal dan kami telah meninggalkannya kepada kamu. Harta itu untuk kamu dan kami tinggal menerima hisab ( perhitungan ). Hati-hatilah kamu dengan apa yang telah terjadi kepada kami ( mati ).”

Ketika itu juga ia ( mayat ) akan mendengar seruan dari langit : “Wahai anak Adam!! sangat berbahagialah kamu jika kamu termasuk dalam golongan yang bertaubat. Sangat berbahagilah kamu jika amalmu baik, sangat berbahagialah kamu jika sahabatmu dalam keredhaan Allah dan sangat celakanya kamu jika para sahabat kamu orang yang dimurkai Allah.”

Akhirnya mayat yang sudah siap itu sampai ke kubur. Di saat berada di tepi kubur, sekali lagi mayat akan di panggil: “Wahai anak Adam! Bukankah kamu menambah damai kepada tempat yang sempit ini? Bukankah kamu membawa kekayaan di tempat kefakiran ini? Dan bukankah kamu membawa cahaya penerang di tempat yang gelap ini?”

Begitu juga ketika ia diletakkan di dalam liang lahad, ia juga akan dipanggil oleh kubur sebanyak tiga kali, “Wahai anak Adam! Kamu di atas punggungku bergurau senda, tapi kamu dalam perutku akan menangis. Kamu di atas punggungku bergembira ria, tapi kamu dalam perutku menjadi cemas dan duka dan kamu berada di atas punggungku dapat berbicara, tapi kamu dalam perutku menjadi diam.”

Setelah liang lahad ditutup dan kubur ditimbuskan dengan tanah dengan sempurnanya, maka tinggallah jasad yang kaku itu dalam kubur yang sempit dan sepi itu seorang diri melainkan dengan tiga perkara iaitu amal kebajikannya, sedekahnya dan doa anak-anaknya yang soleh.

Sebuah keluhan mendesah keluar dari bibir Zulfikar. Hatinya tersentuh. Lalu dia terfikir, bagaimanakah nanti nasibnya ketika berdepan dengan malaikat maut? Sudah cukupkah bekalnya untuk mengadap Tuhan? Dengan penuh sayu dan hiba, tiba-tiba air matanya menitik.

“Astaghfirullahhalazim…ampunilah aku ya ALLAH. Kuatkanlah imanku untuk berdepan dengan dugaan-Mu ya ALLAH,” ucapnya dengan sebak. Lama dia tunduk diam dan bertafakur.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.