-1-
PANTAI BISIKAN BAYUtentu masih putih pasirnya.
Ombaknya juga tentu masih setia memecah pasir pantai. Angin pun, tentu masih setia
mendesir lembut. Pantai, ombak, bayu laut dan mentari senja seperti bersatu
dalam satu petang yang indah dan nyaman.
Alangkah indahnya panorama alam di pantai itu. Zulfikar amat merinduinya.
“Esok, saya nak balik tengok mak,” kata Zulfikar ketika sedang
bersiap-siap untuk ke pejabat.
“Nak tengok mak awak ke nak ke pantai tu?” tempelak Shamira.
“Dua-dua sekali,” jawab Zulfikar selamba, tanpa menoleh.
"Kenapa awak suka sangat ke pantai itu? Seingat saya, sejak kahwin
sampai sekarang awak tak pernah lupa untuk ke sana. Asal balik kampung, awak mesti
nak ke situ. Ada apa-apa ke di
situ?"
"Saya sukakan ketenangan di pantai itu,"
"Saya tak percaya! Awak seperti menunggu sesaorang. Atau awak sedang
mengenang sesaorang. Awak cuba sembunyikan sesuatu dari saya!" Suara
Shamira tiba-tiba tegang. Setiap kali dia mendengar hal pantai itu, dia akan
melenting.
"Saya tak tunggu sesiapa. Saya cuma suka tengok ombak pecah di
tepian pantai. Sungguh cantik kejadian ALLAH," balas Zulfikar perlahan.
"Baik, saya cuba untuk percaya. Tapi awas kalau awak bohong!" Itu
ugutan Shamira. Bukan sekali dua dia mengugut begitu. Acap kali.
Zulfikar sudah lali dengan ugutan itu.
Sebuah keluhan tiba-tiba terlontar dari bibir Zulfikar. Dia tahu Shamira
cemburu. Memang patut Shamira cemburu. Memang patut Shamira curiga. Sudah lebih
dua puluh tahun, dia tetap tidak mampu melupakan pantai itu. Isteri mana yang
tidak rasa curiga dan menaruh syak.
Kadang-kadang
Zulfikar sendiri keliru dengan dirinya. Dia pernah bertekad untuk melupakan
pantai itu. Dia pernah memujuk hati melupakan semua memori di pantai itu. Dia
berjaya. Namun semuanya tidak lama. Dia akan resah gelisah. Tidurnya selalu diigau
mimpi. Berdiri dia rasa salah. Duduk dia rasa kurang selesa. Bila berbaring,
dia rasa hempasan ombak Pantai Bisikan Bayu sedang mengulit dirinya!
Masa
sudah lama berlalu. Semakin lama dia semakin tidak mampu berjauhan dengan
pantai itu. Malah sejak hari-hari
terakhir ini, semua nostalgia di pantai itu menghimpit rindunya. Dia rasa
semakin dekat dengan masa lalunya. Dia rasa semakin hampir dengan memori itu.
Begitu dekat.
"Kalau
ditakdirkan jodoh kita memang tak ada dan kita terpisah, mahukah Zul berjanji
dengan Anum bahawa Zul akan selalu datang ke sini?" Suara Nik Anum kembali
menerjah telinganya. Dia tidak lupa pada suara itu. Juga pada renungan mata Nik
Anum yang redup.
"Zul
janji, Anum."
"Betul?"
tanya Nik Anum lagi.
"Betul."
"Sampai
bila?"
"Sampai
bila-bila. Selagi hayat dikandung badan. Selagi nyawa diberi Tuhan,"
katanya bersungguh-sungguh.
"Kalau
Zul mungkir?"
"Zul
tak akan mungkir. Kalau Zul mungkir bermakna Zul dah toreh hati dan mendera
jiwa sendiri. Zul akan terseksa seumur hidup,"
Nik
Anum ketawa. Suara ketawanya yang gemersik itu segar di celah deburan ombak.
"Bolehkah
Anum percaya janji lelaki yang kacak macam Zul ini?" Nik Anum mengerdipkan
matanya. Sungguh manja. Hati Zulfikar berdebar. Dia gementar. Berdepan dengan
Nik Anum yang lincah dan manja itu, dia selalu kalah kepada perasaan sendiri.
"Kenapa
Anum selalu sangsi pada cinta dan kasih sayang Zul selama ini? Anum nak Zul
buat apa untuk buktikan hati Zul ini hanya pada Anum?"
"Anum
nak Zul panjat pokok kelapa tu!"
"Baik.
Kalau itu yang boleh buat Anum percaya, sekarang juga Zul akan panjat,"
katanya sambil bangun dan berlari ke arah sebatang pokok kelapa yang tinggi
menunjang langit. Dia memang nekad untuk membuktikan cintanya. Biar Nik Anum
percaya. Biar Nik Anum yakin dengan hati dan perasaannya yang tidak pernah
berbelah bagi.
"Zul!
Zul! Nanti dulu!" Nik Anum berlari mengejarnya. Namun dia tidak peduli.
Dia terus berlari dan mendepa batang pokok kelapa itu tanpa rasa gentar. Malang
sekali, nasib tidak menyebelahinya. Entah kenapa, pelukannya pada batang pokok
kelapa itu terlepas dan dia terjelepuk jatuh.
"Zul! Zul!" Dia terdengar jeritan Nik Anum di celah desiran
angin dan deburan ombak. Jeritan itu semakin sayup di hujung telinganya. Kemudian
ia hilang. Senyap. Semuanya gelap. Dia pengsan.
Ketika dia sedar, dia sudah ada di ribaan Nik Anum.
"Zul, kenapa buat macam ni..." tangis Nik Anum.
"Anum yang suruh.."
"Anum hanya main-main. Anum hanya bergurau.."
"Habis Anum nak bukti cinta dan kasih sayang Zul kan? Zul dah kata,
Zul sangat menyintai Anum. Tapi Anum masih ragu-ragu. Anum nak bukti. Sekarang,
Zul dah buktikan. Anum masih tak
percaya?" Zulfikar merenung mata Nik Anum yang basah. Hatinya puas. Air
mata Nik Anum dilihat seperti mutiara yang bergemerlapan. Ia bukti kasih sayang
dan cinta Nik Anum terhadapnya.
"Anum belum jawap pertanyaan Zul. Anum yakin tak dengan cinta Zul?
Atau Anum nak Zul terjun ke laut pula?"
"Jangan buat lagi Zul. Jangan buat jantung Anum tak berdegup. Ya, sekarang
Anum yakin. Yakin sangat-sangat. Anum tak akan ragui lagi.." Nik Anum
menarik tangannya, mengucup berkali-kali. Hati Zulfikar semakin lega. Dia rasa
petang itu adalah petang yang terindah dalam hidupnya. Dalam kesakitan itu, dia
tersenyum senang.
"Ni yang awak senyum-senyum ni apa hal pula?" Tiba-tiba dia
disergah oleh Shamira. Zulfikar terkulat-kulat. Memori manisnya putus. Tiba-tiba
hatinya rasa sebal dan kesal dengan kemunculan Shamira itu. Dia diam. Masih
mencari-cari kesan kenangan yang hilang itu.
"Kenapa
ni?" Shamira menyergah lagi. Dia semakin hairan dengan sikap Zulfikar.
"Kenapa
apa?" tanya Zulfikar pula.
"Awak
ni macam orang tengah angau bercinta. Macam orang sedang berkhayal. Macam orang
gila bayang!"
"Awak
tu yang perasan. Saya tak apa-apa. Saya okey saja,"
"Awak
tu termenung dari tadi. Kemudian tersenyum-senyum sendirian. Itu yang awak kata
okey?" Suara Shamira semakin lantang.
Zulfikar
rasa terjerat. Bayangan wajah Nik Anum yang putih mulus dengan lesung pipit di
pipinya kembali meniti birai mata. Sudah dua puluh lima tahun, masihkah Nik
Anum semanis dulu?
"Jaga
awak, kalau saya dapat tahu awak menyeleweng!" Shamira memberi amaran.
Serta merta wajah Nik Anum hilang dari
ingatannya. Sekali lagi Zulfikar rasa kesal.
"Dah
makin tua, makin kuat dia berkhayal. Entah betina mana yang diingatnya,"
rungut Shamira. Zulfikar diam. Tidak guna dia berlawan kata dengan Shamira. Dia
semakin malas untuk melayan kerenah dan rungutan isterinya itu.
"Jangan
lupa poskan bungkusan yang dah saya siapkan tu. Atikah menunggu kiriman bajunya
tu," tambah Shamira lagi. Zulfikar angguk perlahan. Bungkusan itu sudah
diletakkan dalam kereta sejak malam tadi. Telinganya sudah sepuluh kali
mendengar arahan itu. Shamira buat dia macam orang tua nyanyuk.
"Juga
jangan lupa, tengah hari nanti ambil saya di ofis," kata Shamira sambil
bersolek.
"Awak
nak ke mana?" Zulfikar menoleh ke arah isterinya.
"Kan
saya ada simposium wanita di Perdana Hotel. Awak lupa?" tanya Shamira
sambil melorotkan matanya kepada Zulfikar. Sekali lagi Zulfikar terkebil-kebil.
Dia cuba mengingati sesuatu.
"Ada
ke awak beritahu saya? Bila?" tanya Zulfikar selepas gagal mencari
ingatannya.
"Tengok!
Kalau saya kata awak ni kuat mengelamun, angau, nyanyuk, awak tak terima. Malam
tadi sebelum tidur kan saya dah cakap. Apa yang awak ingat ni? Makin teruk dah
ingatan awak ni.." rungut Shamira dengan wajah masam.
"Saya
dah tua.." jawab Zulfikar dengan nada lemah.
"Kalau
dah tua, buatlah cara tua!"
"Cara
tua tu macam mana?"
"Ingat
buat amal, jangan asyik dok gilakan pasir pantai tu saja!" sindir Shamira
dengan senyum sinis. Zulfikar mengetap bibir. Bukan marah dengan sindiran
Shamira, tapi geram dengan sikapnya yang makin tua semakin nampak kurang
ajarnya.
"Boleh
tak awak cakap baik-baik dengan saya?" Zulfikar rasa darahnya mula panas.
"Habis
dari tadi awak ingat saya ni cakap pelat?" Shamira memperli.
Entah
kenapa pagi itu darah Zulfikar cepat panas. Dia cuba bertenang. Dia memujuk
hatinya supaya sabar.
"Apa
lagi yang awak nak saya buat ni? Awak tak bagi saya jumpa kawan-kawan, saya ikut.
Awak tak bagi saya keluar main badminton atau bola sepak, saya ikut. Semua yang
awak nak, saya turut. Apa lagi yang tak
kena?"
"Saya
tak suka awak ke pantai itu, ada awak ikut? Malah sekarang awak makin kerap ke
sana. Tiap-tiap minggu awak balik dan melepak di sana. Itu awak tak
fikir?" tanya Shamira dengan nada
suara yang tinggi. Zulfikar terdiam. Dia rasa ingin berdebat dengan Shamira,
tapi masa sudah suntuk untuk ke pejabat. Dengan cepat dia mencapai kunci kereta
dan berlalu. Dia tidak mahu terus diasak dengan permintaan Shamira yang keliru
itu.