MAK CIK PATONAH teresak.
Awalnya perlahan, kemudian esakan itu menjadi kuat. Air matanya juga
berjuntaian jatuh tanpa mampu ditahan-tahan lagi.
Maryati juga begitu. Entah kenapa, isi surat itu benar-benar
menghiris jiwa raganya. Dia teringatkan anaknya, Tengku Munirah. Kenapa Tengku Munirah tidak
sebaik Aziana?
“Jadi, memang benar seperti kata mereka yang anak-anak mak cik
berjawatan tinggi dan berjaya semuanya?” tanya Maryati selepas esakan Mak Cik
Patonah usai.
Mak Cik Patonah tidak terus menjawab. Dia mengesat air matanya
yang masih tersisa. Maryati semakin teruja.
“Apalah gunanya berpangkat dan kaya-raya jika tidak ada kasih
sayang. Mak cik tak harapkan duit anak-anak selagi mak cik masih boleh
bergerak. Kalau dah tak boleh bergerak, mak cik akan ikut ke mana ALLAH nak
campak mak cik.”
“Aziana memang anak yang baik. Hanya dia yang mak cik ada.
Walaupun hidupnya susah di sana, tapi dia tak pernah lupakan mak cik. Dia akan
tetap kirimkan khabar setiap minggu. Tapi yang lain-lainnya...” tangis Mak Cik
Patonah bersambung lagi. Untaian manik yang luruh semakin bertaburan.
“Mak cik, sabarlah. Maafkan Mar, mak cik. Kalau mak cik rasa sakit
ingat semua kisah tu, tak payahlah cerita. Mar dah faham sekarang,” pujuk
Maryati sambil memeluk bahu Mak Cik Patonah.
“Semasa suami mak cik masih hidup dan anak-anak masih kecil, mak
cik jarang menangis walaupun hidup kami susah. Dengan pendapatan sebagai
seorang pemandu teksi, kami besarkan kelima-lima anak kami. Mak cik buat kuih
untuk tambah rezeki. Mak cik ambil upah mengemas rumah orang hari minggu hingga
akhirnya mereka membesar dan berjaya,” kata Mak CIk Patonah meneruskan cerita
tanpa mempedulikan kata-kata Maryati.
“Kenapa mak cik tak tinggal dengan mereka?” Terlontar soalan itu
daripada mulut Maryati dengan tiba-tiba.
Mak Cik Patonah melepaskan pandangan ke luar tingkap. Angin senja
menemani burung-burung yang berterbangan pulang ke sarang. Awan-gemawan yang
memutih juga ikut berarak. Cantik.
“Seperti kata Aziana, mereka dah lupa diri. Kekayaan dan kemewahan
hidup yang buat mereka hilang rasa kasih. Anak-anak lelaki mak cik terlalu
sibuk. Mereka lebih suka tinggal di luar negara. Ada yang bekerja di sana dan
kahwin di sana. Ada yang menguruskan perniagaan di sana.”
“Mereka langsung tak balik dan jumpa mak cik?”
“Ada, tapi jarang. Sangat jarang,” jawab Mak Cik Patonah.
Maryati membiarkan Mak Cik Patonah melayan rasa.
“Hanya Aziana yang kerap bertanya khabar. Dia nak balik ke sini,
tapi tak boleh.”
“Kenapa?” Maryati semakin teruja. Dilihatnya Mak Cik Patonah
bermuram lagi. Dia membiarkan. Dia seperti mampu membaca kesedihan yang ada di
hati wanita itu.
“Aziana tersalah pilih suami. Eh, tak... jodohnya dah ditakdirkan
begitu. Dia berkahwin dengan seorang lelaki bangsawan, keturunan Syed dari
Singapura. Awalnya mereka bahagia. Tapi entah di mana silapnya, Aziana dimusuhi
oleh keluarga mertuanya. Suaminya pula hanya mengikut telunjuk keluarganya.
Aziana seperti hamba tebusan di sana. Dia hilang kuasa di rumah sendiri. Dia
tidak dibenarkan berjumpa sesiapa. Itu yang mak cik sedih.” Mak Cik Patonah
tunduk, sebak.
“Jadi dia tak pernah balik ke sini?”
“Sejakdia kahwin, hanya dua, tiga kali dia balik. Itu pun ketika keluarga
mertuanya datang ke sini untuk makan angin. Aziana curi-curi masa untuk datang
ke sini. Mak cik sungguh belas tengok dia. Anak sebaik dia diuji dengan
kehidupan begitu. Kesian dia... kesian anak mak cik tu.” Air mata Mak Cik
Patonah terhambur semula bersama rintihan itu.
Maryati ikut menangis. Entah kenapa dia seperti melihat bayangan
bondanya di dalam diri Mak Cik Patonah.
“Kenapa dia tak minta cerai dan balik ke sini?”
“Dia sayangkan anak-anaknya. Mereka dah ugutdia. Kalau bercerai, dia tak akan
dapat berjumpa dengan anak-anaknya lagi. Lalu kerana itu, mak cik tak izinkan dia minta
cerai. Biarlah dia hidup dengan anak-anaknya.”
Maryati terdiam. Tiba-tiba dia rasa terpalit dengan soalannya
sendiri. Nasib Aziana seakan-akan sama dengan nasibnya.
“Mar, nasib Mar lebih baik dari Aziana,” kata Mak Cik Patonah.
Maryati keliru dengan kenyataan itu.
“Benar, Mar. Nasib Mar jauh lebih baik...”
“Apa maksud mak cik?”
“Sekurang-kurangnya Mar mampu melepaskan diri. Mar mampu mulakan
hidup baru. Mar berjaya keluar dari penderitaan itu.”
“Tapi, seluruh hidup saya dah musnah! Tengku Hisyam dah hancurkan
semuanya. Saya tak berharga apa-apa di mata dan di hati anak-anak,” rintih
Maryati.
“Tak, Mar. Tengku Hisyam hanya merobohkan sebahagian aje dan
membina sebahagian yang lain,” ujar Mak Cik Patonah.
Maryati makin keliru. Wajah Mak Cik Patonah ditatap lama. Maksud
yang tersirat di sebalik kata-kata wanita itu langsung tidak difahami.
Wanita itu mengerdipkan mata dengan senyum. Walaupun senyuman itu
masih tersalut duka, Maryati senang melihatnya.
“Kerana perbuatan Tengku Hisyam, Mar bangkit dengan semangat baru.
Mar menjadi wanita yang lebih matang. Tapi Aziana? Dia tidak berkesempatan
untuk berbuat begitu. Dia hidup dalam air mata. Dia hidup hanya kerana ALLAH
belum mahu dia mati,” kata Mak Cik Patonah.
Maryati menilai kata-kata itu. Dia mengakui kebenarannya.
Azan maghrib berkumandang dari surau berdekatan. Mereka tunduk,
menjawab seruan suci itu di dalam hati. Ada segaris kesyahduan yang menyapa
hati, lembut dan kudus.
“Mar, jom kita solat. Kita mohon petunjuk-Nya,” ajak Mak Cik Patonah sambil bangun.
Maryati ikut bangun. “Lepas solat, Mar nak minta diri.”
“Tak nak tunggu mak cik habiskan cerita?” tanya Mak Cik Patonah
dengan senyum.
“Mak cik kata nak kena tunggu seribu satu malam. Lama tu!” balas
Maryati, dengan senyum juga.
“Nasib manusia ditentukan oleh ALLAH. Kadang-kadang apa yang kita
rancang tidak sama dengan apa yang terjadi. Tidak ada manusia yang ingin
hidupnya susah dan menderita. Tapi, kenapa ALLAH berikan begitu?” Mak Cik
Patonah menyapu wajah polos Maryati dengan renungan mata kasihnya.
“Kenapa, mak cik?” Maryati sengaja bertanya.
“Sebab ALLAH ingin menguji iman kita. Kalau tidak diuji, tak akan
ada peningkatan iman. Sebab sikap semula jadi manusia... ketika senang mereka
lupa. Lalu ALLAH duga dengan kesusahan dan penderitaan, barulah manusia itu
sentiasa dekat dengan Al-Khalik,”
jawab Mak Cik Patonah, tenang.
Hati Maryati dihurung sangsi. Semakin banyak soalan muncul dalam
mindanya. Siapakah Mak Cik Patonah sebenarnya? Pertuturannya tidak seperti
seorang tukang cuci. Kewibawaannya juga terserlah, tulus dan tawaduk? Siapa
dia?
Maryatipulang ke rumahnya selepas
makan malam bersama Mak Cik Patonah. Dia sampai di rumah hampir pukul 10.00
malam. Di pertengahan jalan, dia sudah membeli sebungkus nasi goreng kampung
untuk bekalan makan sahur. Dia berniat hendak berpuasa sunat keesokannya.
“Mar, ke mana kau pergi?” tanya Musalmah, teman serumah ketika dia
masuk. Wajahnya nampak panik dan cemas.
“Kenapa?” Maryati segera duduk di hadapan Musalmah.
“Tadi ada seorang lelaki cari kau.”
“Dia datang ke sini?”
“Tak. Dia telefon ke sini, berpuluh kali,” lapor Musalmah.
“Dia cakap dia siapa?”
“Aku dah tanya. Dia kata Tengku Hisyam. Siapa Tengku Hisyam?
Suaranya keras. Aku takut, Mar...” kata Musalmah.
Maryati tunduk. Dadanya menahan rasa. Rupa-rupanya belum berakhir
kejahatan yang ada di hati Tengku Hisyam terhadapnya.
“Mar, kita dah lama tinggal serumah. Tapi kau tetap membisu untuk
bercerita mengenai diri kau. Sampai sekarang aku jadi curiga dan keliru.
Mar...”
“Maafkan aku, Sal. Tak sepatutnya aku biarkan lelaki itu menelefon
sampai ke sini. Tak sepatutnya dia tahu di mana aku berada,” kata Maryati
memotong cakap Musalmah.
“Tapi, siapa Tengku Hisyam tu?”
“Bekas suami aku,” jawab Maryati tenang.
Kali ini Musalmah terdiam. Banyak yang dia ingin tanya, namun
tiba-tiba lidahnya kelu untuk berkata. Hatinya mula menghitung sesuatu. Pasti
ada yang tidak kena dengan kisah hidup Maryati. Mesti ada satu rahsia besar
yang disimpannya selama ini.
“Aku masuk dulu. Nak solat isyak. Kau janganbimbang, Sal. Aku janji, lelaki tu
tak akan ganggu kau lagi di sini. Aku janji.” Tiba-tiba Maryati berkata dengan
sungguh-sungguh.
“Apa maksud kau, Mar?” Musalmah bertanya curiga.
“Kalau perlu aku akan pindah dari sini...”
“Mar! Bukan itu maksud aku. Kalau selama ini aku tahu kisah hidup
kau, aku boleh hadapi semuanya dengan baik. Tapi, aku tak pernah tahu apa-apa,”
kata Musalmah dengan wajah kesal. Dia tidak pernah berniat untuk menghalau
Maryati dari situ. Tidak pernah.
Maryati senyum. Dia tahu Musalmah sahabat yang baik. Selama mereka
tinggal sebumbung, tidak pernah dia rasa sakit hati dengan Musalmah.
“Sal, aku minta maaf sekali lagi kalau hal yang berlaku hari ini
menyusahkan fikiran kau. Aku bukan nak berahsia. Tapi, terlalu banyak kisah
sedih dan duka yang berlaku dalam perjalanan hidupku. Aku bimbang kalau kau tak
mampu nak dengar. Jadi biarlah ia terus menjadi rahsia. Kalau lelaki itu
telefon lagi, kau cakap tak tahu, sudah. Aku amat berharap, kau tak layan dia.
Dia tu berbadan manusia, berhati syaitan dan berjiwa binatang!” Suara Maryati
kasar dan bergetar. Akhirnya, dia berlalu meninggalkan ruang tamu dan Musalmah
yang masih terkebil-kebil. Dia masuk ke bilik, menghempaskan diri ke katil.
Hatinya berbungkal kesal. Bayangan wajah Tengku Hisyam muncul dengan tiba-tiba.
Wajah yang cuba dilupakan sejak hari-hari terakhir ini, kembali menyesakkan
dadanya.
“Engkau jangan lari dari aku. Kalau kau lari, kau akan tahu nasib
kau! Aku cari kau hingga ke lubang cacing!”
“Apa lagi yang awak nak dari saya? Semua harta dan maruah diri
saya dah habis. Awak dah lepaskan saya. Mahkamah pun dah sahkan perceraian
kita. Jadi, jangan ganggu hidup saya lagi. Tolonglah!” rayunya dengan air mata.
Namun lelaki itu ketawa, sinis dan menyindir.
“Saya tak nak awak jumpa anak-anak!”
“Tapi mereka tu anak saya.”
“Cuba tanya dengan mereka, siapa yang suka dengan awak. Malah
mereka malu nak mengaku awak ni ibu mereka!”
“Sebab awak yang menghasut mereka. Awak yang jadikan hidup saya
tebusan awak, kemudian awak paksa anak-anak saya membenci saya dengan cara
terkutuk awak tu!” jeritnya sepenuh hati. Ketika itu tidak ada sesiapa pun yang
mendengar jeritannya. Tengku Hisyam memang tidak berhati perut. Dia telah
memutuskan kasih sayang seorang ibu dengan anak-anaknya dengan muslihat yang
amat kotor dan jijik!
“Munirah, mama sayangkan Munirah dan adik-adik. Tolong jangan
tinggalkanmama.”
“Tak. Kami tak nak ikut mama. Kami akan ikut papa. Kami tak mahu
hidup dengan seorang ibu yang tak bermaruah!”
“Bukan mama yang yang tak bermaruah, tapi papa kamu. Dia yang
menggadaikan maruah seorang isteri untuk kepentingan sendiri. Dia buat fitnah
yang meloyakan,” jelasnya bersungguh-sungguh. Ketika itu tidak ada yang lebih
bermakna di dalam hidupnya selain pengertian seorang anak. Sepatutnya Tengku
Munirah, membela nasib seorang ibu daripada fitnah, bukan sebaliknya.Tengku Munirah sudah berusia sembilan
belas tahun. Dia sudah dewasa untuk menilai semuanya.
Diam. Tengku Munirah tunduk.
“Munirah tahu apa yang berlaku pada mama? Munirah dah tengok apa
yang papa buat pada mama sejak dulu. Kenapa tak ada anak-anak yang bela nasib
mama? Kenapa semua biarkan mama terkontang-kanting menempuhi dugaan seorang diri?”
Masih diam.
“Mama dah tak ada apa-apa lagi selain anak-anak. Semua harta dan
saham milik ibu, papa kamu dah jual. Semua wang simpanan mama, papa dah
habiskan. Semuanya...” Dia teresak, mohon simpati Tengku Munirah sebagai anak
yang sulung.Tengku Mukhlis yang berusia lima belas tahun dan Tengku Maisara yang
baru berusia sepuluh tahun, hanya akan mengikut keputusan kakaknya.
Namun, Tengku Munirah terus berpaling dan melangkah pergi.
“Tolong jangan tinggalkan mama. Tolonglah...” Dia memegang tangan
Tengku Munirah. Kemudian Tengku Hisyam muncul, menarik tangan Tengku Munirah
dan berlalu pergi. Anak gadisnya itu mengikut tanpa meronta. Juga tanpa menoleh
lagi.
Ketika itu, dia menjerit dan meraung. Air mata seorang ibu
berjuraian seperti hujan di musim banjir. Beberapa orang datang memujuknya.
Pekarangan mahkamah menjadi sebuah medan tangis seorang ibu.
Sudah beberapa tahun kenangan pilu itu berlaku. Namun segalanya
dirasakan masih baru. Ia akan lebih berdarah, setiap kali Tengku Hisyam muncul.
“Sampai hati kamu, Munirah.” Tiba-tiba bibir Maryati terketar,
merintih.
‘Jangan menangis, Maryati. Buat apa kau nak kenang mereka
sedangkan mereka tak pernah ingat pada kau. Kau harus kuat. Kau harus bina
hidup baru dengan semangat baru. Kau tak boleh lemah,’ pujuk hatinya. Seperti
ada suatu kekuatan menyelusuri urat nadinya. Dengan tangkas dia bangun.
“Ya! Aku kena kuat. Tengku Hisyam! Aku tak takut pada kau! Aku
hanya takut pada ALLAH!!” Dia menjerit dengan kuat. Dia seperti hilang kawalan
diri.