Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,622
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 12

-12-

SETELAH dia rasa lega dan tenang, dia kembali menatap skrin. Tiba-tiba dia rasa ingin membalas jasa penulis itu dengan ucapan terima kasih. Lalu di bawah artikel itu di ruangan komen dia menulis: “Terima kasih kepada Putera Lapan kerana menulis artikel yang amat bermakna ini. Sudah lama saya tidak menangis mengingati mati, malam ini air mata saya keluar dengan penuh keinsafan. Semoga ALLAH memberikan pahala-Nya yang banyak kepada anda.”

Putera Lapan menjawab: “Alhamdulillah, terima kasih kerana sudi membacanya.”

Zulfikar senyum. Dia kembali melayari alam maya itu. Matanya terpandang pada sebuah mesej di dinding FBnya. Mesej itu ditulis oleh rakan yang menggunakan nama Sweetie Jay. Dia kurang pasti siapakah rakan itu. Mungkin dia seorang wanita, mungkin juga seorang lelaki. Gambar profil yang digunakan ialah sekuntum mawar merah dan batangnya penuh berduri. Ia satu simbolik, fikirnya.

Sweetie Jay: Hai Putera! Lamanya tak dengar berita. Awak sihat ke?

Putera Aduka: Hai Sweetie Jay! Siapakah gerangan anda, menyapa hamba tanpa nama.

Sweetie Jay: Hahaha!! Takkan tak kenal kita..melampaulah tu!

Putera Aduka: Siapa??

Sweetie Jay: Berapa ramai yang tahu nama awak Putera Aduka..?

Zulfikar termenung seketika. Sejak dia buka akaun FB, tidak ada yang tahu dia menggunakan nama Putera Aduka melainkan…

“Azila? Ya hanya Azila yang tahu siapa Putera Aduka. Sebab Azila yang buka akaun FB ni..hmm..mesti dia..” bisik Zulfikar sendirian. Akhirnya dia mengulum senyum. Dia segera menaip komen.

Putera Aduka: Aduhai adinda,.maafkan kanda kerana tidak upaya mengecam sebuah nama.

Sweetie Jay: Tak apa. Wah! Dah ramai kawan nampaknya. Awas! Jangan jatuh cinta dengan rakan FB sudahlah. Nanti mengganas harimau berantai.

Putera Aduka: Harimau berantai telah kanda patahkan kuku dan taringnya.

Sweetie Jay: Berani ke?

Putera Aduka: Anak raja bermain rakit,

Bermain rakit di tengah laut

Jangan sengaja mencari sakit,

Kalau dinda sayangkan mulut.

Sweetie Jay: Wah! Putera Aduka sudah jadi pendekar, berani dan ganas. Macam nilah lelaki..suka, suka, suka!

Putera Aduka: Hamba adalah pendekar sejak mula. Hanya tidak mahu menunjukkan langkah.

Sweetie Jay: Sudahkah tuan hamba bertemu Dang Anum yang dirindu?

Putera Aduka: Entah di mana dia menghilang. Hingga kini, bayang namanya pun tidak kelihatan. Sungguh hamba kecewa.

Sweetie Jay: Usah kecewa. Usaha lagi hingga dia ditemui.

Zulfikar senyum lagi. Terbayang keletah manja dan nakal Azila ketika di pejabat. Selama kenal gadis itu, dia jarang melihat gadis itu muram atau bersedih. Setiap masa, Azila sentiasa tenang dan lincah. Seolah-olah dalam hidupnya tidak ada istilah sedih dan masalah.

Tidak lama, Zulfikar menjeling jam di dinding. Sudah hampir pukul 12.00 tengah malam. Shamira belum juga balik. Hatinya cuak. Dia nampak Shamira sekarang semakin bebas keluar masuk ke rumah tanpa pantang larang dan hukum. Dia bingung. Dia semakin keliru. Dayuskah dia sebagai lelaki dan suami?

Sebelum dia keluar dari alam maya itu, dia sempat menulis di dinding Fbnya: Engkau sudah semakin tinggi terbang untuk mencapai awan. Aku masih di celah rumput yang sering dipijak orang.

Zulfikar mematikan suis komputer. Dia rasa matanya mula kelat dan berat. Tidak lama dia tertidur. Dia terlena. Dia langsung terlupa semua hajat untuk bersemuka dengan Shamira.

Keesokan paginya, dia bangun lebih awal dari biasa dan terus menunaikan solat subuh dengan kusyuk. Selesai berwirid dan berdoa, dia masuk ke bilik. Shamira masih terbongkang lena. Dia membuka almari baju dan mengambil sehelai baju kemeja yang tergantung di situ.

Sebelum melangkah keluar, dia menjeling lagi. Serta merta dia teringat pada artikel tulisan Putera Lapan yang dibacanya malam tadi. Hatinya tiba-tiba sedih dan sayu.

Dia terus ke bilik sebelah. Menekan suis sterika dan menggosok kemeja kerjanya itu. Sejak dulu memang dia tidak pernah menyusahkan Shamira. Dia akan menggosok sendiri baju dan seluarnya. Mereka tidak ada pembantu rumah sepenuh masa, hanya bergantung kepada khidmat seorang wanita Indonesia yang datang seminggu sekali untuk melakukan kerja-kerja rumah. Jadi semua kerja membasuh dan mengemas rumah wanita itu yang buat. Sejak akhir-akhir ini, wanita itu pula kurang sihat dan jarang datang. Jadi, Zulfikar yang banyak menggantikan tugas itu.

Sambil tangannya ligat menggosok, bibirnya rancak bersiul-siul. Sungguh lapang dadanya. Sungguh tenangnya jiwanya pagi itu.

“Esok, awak ambil cuti,” kata Shamira dari belakang. Zulfikar berpaling.

“Kenapa pula? Suka-suka awak saja nak suruh saya cuti. Awak ingat pejabat tu mak bapak awak yang punya?”

“Heh! Mak bapak jangan nak sebut!” tengking Shamira.

“Kenapa? Awak rasa awak tak ada mak bapak?” Zulfikar membalas dengan pedas. Dia tahu Shamira marah kalau hal keluarganya disentuh.

“Sudah! Saya tak nak buang masa bertekak pasal itu. Saya tahu esok awak ambil cuti. Atikah balik malam ni. Kami dah buat temu-janji untuk awak!” tegas Shamira. Sekali lagi Zulfikar tersentak. Dia teringat pada panggilan telefon yang diterima dari Atikah tempoh hari. Dia teringat semua anggapan Atikah dan Shamira terhadap perubahan sikapnya. Tiba-tiba hatinya bergetar!

“Temu-janji untuk berjumpa doktor sakit jiwa tu? Apa awak dua beranak ni memang ingat saya ni gila?”

“Awak tidak gila, tapi perlukan kaunseling. Bertemu pakar jiwa tidak semestinya gila. Jangan awak pendek akal,” jawab Shamira selamba. Getaran hati Zulfikar yang terpancar di wajahnya yang mula merah itu sengaja tidak diendahkan.

“Mira, awak dengar sini! Saya tak akan ambil cuti. Saya tak akan ikut pendapat gila awak berdua. Yang patut jumpa pakar jiwa itu awak, bukan saya! Kalau awak nak bawa anak gadis awak itupun, boleh. Pergilah berdua kerana dua-dua sudah ada simptom orang gila!!” Zulfikar menengking. Shamira bercekak pinggang, segera menentang mata Zulfikar.

“Awak cakap saya dan Atikah gila?!” tanya Shamira dengan jeritan.

“Sebab awak yang kata saya gila!” balas Zulfikar, dengan jeritan juga. Suara Shamira tenggelam di sebalik gema suara parau Zulfikar.

“Awak memang dah gila! Memang sah awak gila!”

“Awak dan Atikah yang gila! Sebab kata saya gila!”

“Sudahlah! Saya tak nak dengar apa-apa alasan lagi. Saya tahu, esok awak ada di rumah. Temu-janji tu pukul 10.00 pagi. Titik!” Shamira berpusing dan ingin melangkah keluar.

“Boleh belahlah dengan temu janji awak tu!” Zulfikar bertempik, dengan geram dan marah. Langkah Shamira mati. Untuk pertama kali dia mendengar suara Zulfikar sekasar itu.

“Baik. Kalau esok awak tak ada, awak tahulah nasib awak!” ugut Shamira.

“Nak buat apa? Nak bunuh saya? Atau..atau..awak nak ceraikan saya?” Zulfikar ketawa. Sinis.

“Apa yang merasuk awak ni sebenarnya? Hantu laut tu?” tanya Shamira.

“Bukan hantu laut, tapi hantu awak. Hantu Shamira!!” Zulfikar melangkah keluar dari bilik itu. Dia tidak mahu membuang masanya lagi. Sekarang waktu dia pergi kerja. Shamira terlambat tidak mengapa, sebab dia bos besar. Tapi dia? Hanya pegawai kerani yang kerja di bawah arahan orang lain.

Setengah jam kemudian, kedengaran enjin kereta Zulfikar menderum pergi. Shamira mendengarnya dengan hati yang berdarah. Sikap Zulfikar semakin hari semakin mencabarnya. Dia tidak mahu menyerah kalah. Dia akan pastikan dia menang dalam pertarungan itu. Dia berjanji.

Tangannya dengan cepat mendail satu nombor. Dia akan bercakap dengan sesaorang.

“Hello Naimah, saya ni,”

“Ya Puan Shamira, ada apa pagi-pagi telefon saya ni?”

“Awak dah sampai ofis ke belum?”

“Belum. Saya masih dalam perjalanan. Kenapa puan?”

“Hari ni saya nak minta bantuan awak. Awak tolong perhatikan Encik Zulfikar. Dia sampai ofis pukul berapa, keluar minum dengan siapa dan siapa yang menelefon dia. Boleh?”

“Oh! Ingatkan apa. Kalau itu tak jadi masalah. Saya akan catit semuanya dan serahkan pada puan,”

“Bagus. Nanti saya bayar semuanya,” kata Shamira dengan senyum.

Zulfikar pula sepanjang jalan ke tempat kerja, tidak putus-putus mengeluh. Ketenangan yang baru dirasai selepas subuh, hilang begitu sahaja. Dia mula rasa resah. Rasa marah dan geram semakin menimbun tinggi dalam jiwanya. Kalau dulu perasaan itu hanya seperti busut kecil, kini ia seperti gunung Himalaya. Di celahnya penuh dengan lahar panas yang tunggu masa untuk meletup!

“Selamat pagi Putera!” sapa Azila, menyengih. Zulfikar menoleh.

“Sweetie Jay??” Zulfikar cuba mencari kepastian. Azila menyengih dan angguk.

“Jangan panggil saya begitu kalau depan orang lain. Hanya awak seorang yang tahu rahsia ini. Biar pecah di perut jangan pecah di mulut!” Zulfikar meletakkan jari telunjuk di bibirnya sebagai tanda memberi amaran.

“Yalah, itu saya tahu. Putera jangan takut. Putera harus berani..!” kata Azila separuh berbisik.

Zulfikar membalas kata-kata itu dengan senyuman. Azila meninggalkannya. Zulfikar duduk di kerusi dan menekan suis komputer. Pagi itu dia perlu siapkan semua kerja yang tertangguh. Dia cuba membuang semua huru-hara yang ada di dadanya.

“Selamat pagi Zul,” tegur Sahidi yang muncul termengah-mengah.

“Kau termengah-mengah ni kenapa?”

“Aku berlari naik tangga,”

“Kenapa? Lif rosak ke?”

“Taklah. Saja aku nak bersenam. Awal kau sampai?” tanya Sahidi selepas nafasnya mula teratur perlahan.

“Aku yang sampai awal ke kau yang terlambat! Tengok jam tu!” Zulfikar menunjukkan ke arah jam di dinding.

“Pukul 8.50. Awal lagi..” kata Sahidi dengan ketawa. Dia berjalan ke mejanya.

Zulfikar meneruskan kerja. Seluruh tumpuan dan perhatian diberikan kepada helaian-helaian kertas dari beberapa fail yang ada di atas meja. Sedang tumpuannya bergelut pada dokumen yang ada, tiba-tiba isyarat pesanan ringkas bergetar di telefon bimbitnya. Dia segera menekan.

-Babah, jangan lupa temu janji dengan doktor esok. Babah mesti ambil cuti.

Zulfikar mengetap bibir. Gelombang yang membadai di dadanya, mengganas. Hati yang mula sejuk, kembali panas. Sebuah fail yang ada di tangannya dibalingkan dengan keras. Lantunan fail itu mengejutkan rakan-rakan yang sedang tekun bekerja.

Sahidi juga terkejut. Dengan cepat dia bangun dan mendekati Zulfikar. Dia rasa dia perlu tenteramkan fikiran Zulfikar yang sedang serabut itu.

“Zul, kenapa ni?”

Diam. Zulfikar menahan tubuhnya yang mula terasa dingin dan mengigil. Ada getar yang mula dirasakan.

“Apapun yang kau alami, kau kena sabar. Jangan biarkan syaitan menguasai diri kau, Zul,”

“Semakin lama semakin aku hilang sabar, Di,”

“Apa maksud kau?” tanya Sahidi. Zulfikar menghulurkan telefon bimbitnya.

“Kau bacalah sendiri,”

Sahidi mencari dalam kotak pesanan masuk.

“Yang mana?”

“Dari Atikah,” jawab Zulfikar. Sahidi membelek. Kemudian dia membacanya dalam hati.

“Temu janji apa hingga kau marah macam ni sekali?” Sahidi bertanya dengan wajah keliru. Zulfikar tidak terus menjawab. Dia masih melayan rasa marah dan geramnya.

“Kau sakit apa? Kalau benar kau sakit, pergilah jumpa doktor,”

“Mereka nak hantar aku pergi jumpa pakar sakit jiwa..” dengan perlahan Zulfikar menjawab. Namun jawapan itu menggegarkan telinga Sahidi.

“Hah? Tapi kenapa?”

“Mereka tuduh aku sakit jiwa. Sejak aku tak dengar arahan Shamira. Sejak aku bantah semua cakap dia..” Suara Zulfikar semakin berbaur kesal dan hampa. Sahidi menepuk dahi. Dia tergamam untuk terus berkata-kata. Benar-benar mengelirukan. Tidak disangka kalau nasib Zulfikar lebih buruk dari apa yang dilihat dari segi luaran.

“Jadi, apa kau nak buat sekarang?”

“Aku tak akan ikut cakap mereka. Kau nampak aku ni macam orang sakit jiwa ke?” tanya Zulfikar pula.

“Kau nak aku cakap yang jujur?”

“Ya. Sebab kau kawan baik aku. Kau tahu semuanya pasal aku. Cakaplah dengan jujur dari hati kau..” jawap Zulfikar.

“Sebenarnya sejak akhir-akhir ni, aku nampak kau ni semakin ceria dan tenang. Wajah kau yang kusut dan gelisah dulu tu dah tak ada lagi. Kau dah jadi Zulfikar yang baru,” kata Sahidi. Mata Zulfikar merenung wajah Sahidi, mencari kepastian yang nyata.

“Aku bercakap benar. Aku bercakap dari hati seorang sahabat,” kata Sahidi bersungguh-sungguh. Zulfikar membetulkan dirinya. Dia seperti mendapat satu kekuatan.

“Benarkah Di?” Zulfikar tersenyum.

“Benar belaka. Tidak ada yang benar melainkan benar,” kata Sahidi, berseloroh.

“Alhamdulillah..” ucap Zulfikar.

“Kenapa?” Sahidi terteleng keliru.

“Yalah, aku tak payah jumpa pakar jiwa tu. Biar mereka yang pergi jumpa. Dua beranak tu yang sakit!”

Sahidi ketawa.

“Kenapa kau ketawa?”

“Aku rasa lucu bila bayangkan kau di hantar ke Lorong Che’ Husin,” jawab Sahidi. Zulfikar kemudian ikut ketawa. Namun hanya perlahan. Lorong Che’ Husin begitu dikenali di Kota Bharu kerana di situ terdapat sebuah hospital sakit jiwa.

“Kau tak nak balas mesej anak kau tu?” tanya Sahidi ketika ketawanya usai.

“Aku akan balas. Kalau tidak mereka ingat aku nak ikut cakap mereka,” jawab Zulfikar sambil mengambil telefon bimbitnya dan menekan huruf. Sahidi meninggalkan meja Zulfikar. Dia tidak mahu masuk campur. Tugasnya meredakan Zulfikar sudah selesai.

Selesai menaip dan menghantar mesej kepada Atikah, Zulfikar mengemas mejanya. Kerja yang sudah selesai, segera diketepikan.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.