-3-
KESENGSARAAN hidupnya bermula selepas Nik Anum pergi.Hampir
dua tahun dia hidup dalam merana. Dia hilang rasa. Dia hilang selera dan dia
hilang harga diri sebagai lelaki. Perpisahan itu benar-benar mengejutkan jiwa raganya.
Terlalu cepat masa memisahkan segalanya. Amat mudah cinta yang terjalin sejak
bertahun-tahun itu putus di tengah jalan.
“Anum,
kenapa cinta kita harus berakhir begini?” tanya Zulfikar ketika Nik Anum
menyampaikan cerita luka itu. Tanpa malu dia menangis teresak-esak. Nik Anum
lebih-lebih lagi esaknya. Lama mereka bertangisan. Lama mereka tenggelam dalam
lautan kesedihan yang langsung tidak bertepi.
“Anum
minta maaf, Zul. Anum terpaksa menerima jodoh yang ditentukan keluarga. Mereka
langsung tak beri peluang untuk Anum memilih. Zul tahulah keluarga Anum, tegas
dan keras dalam bertindak. Anum tak rela, tapi Anum juga tidak ada upaya..” Dalam
sedu-sedan Nik Anum bersuara. Hati Zulfikar luluh. Bukan hanya kerana cerita
yang baru didengarnya, tapi kerana mendengar tangisan Nik Anum yang begitu
mendayu.
“Sabarlah
Anum..” Setelah lama bertangisan,
akhirnya dia cuba memujuk. Dia cuba berbohong pada hatinya bahawa dia sangat
sabar. Walhal kalau boleh dia ingin menjerit meluahkan rasa kecewa dan sedihnya
ke seluruh alam semesta. Biar awan yang berarak tenang itu tahu. Biar
burung-burung yang berterbangan itu ikut merasakan. Biar ombak yang setia
menghempas pantai juga maklum bahawa dia sedang sengsara.
“Macam
mana Anum nak sabar, ini soal cinta kita. Ini soal masa depan Anum. Macam mana Anum
nak sabar ketika istana cinta yang cuba kita bina akan dirobohkan oleh
keadaan..”
“Mungkin
Tuhan tidak menetapkan jodoh antara kita..” pujuknya perlahan. Hanya itu alasan
yang mampu terucap.
“Zul!
Zul tak sayangkan Anum agaknya..?”
“Kenapa
Anum kata begitu? Anum masih tak rasa bagaimana dalamnya cinta dan kasih sayang
Zul pada Anum selama ini? Apa lagi yang Anum nak Zul buktikan?” Dia menarik
tangan Nik Anum, meletakkan di dadanya. Dia ingin Nik Anum rasa jantungnya yang
mula berdegup tidak sekata. Nik Anum menoleh. Kemudian menarik tangannya dan
mengucupnya beberapa kali. Titik-titik air mata Nik Anum basah di belakang
tangannya.
“Kalau
benar Zul cintakan Anum, mahukah Zul buat sesuatu untuk Anum?” Nik Anum
merenung ke dalam matanya.
“Apa
saja, jiwa dan raga Zul adalah untuk Anum. Katakanlah Anum.” Dia mengangguk dan
berkata jujur dari hatinya yang luhur. Nik Anum terdiam lama. Dia tunduk
merenung pasir pantai yang memutih. Angin lembut di Pantai Bisikan Bayu
berhembus perlahan. Ombak juga tidak berdebur kuat. Semuanya seakan-akan faham
akan kesedihan yang sedang mereka rasai ketika itu.
“Anum,
kenapa diam? Katakanlah apa yang perlu Zul buat untuk membahagiakan hati Anum?”
tanya Zulfikar sambil membetulkan anak-anak rambut yang berjuntaian di dahi Nik
Anum. Dengan perlahan pula dia mengucup lembut dahi Nik Anum.
Nik
Anum mengangkat mukanya. Mata Nik Anum yang bengkak itu direnungnya dengan
kasih dan belas.
“Kita
lari dari sini. Kita pergi jauh-jauh. Kita bina istana cinta kita jauh dari
sini,”
“Maksud
Anum? Kita kawin lari?” Dia tergamam. Nik Anum angguk. Mata gadis itu masih
merenungnya. Dia serba salah.
“Anum,
ini bukan jalan penyelesaiannya. Ini akan tambahkan lagi masalah yang ada,”
“Hanya
itu jalan yang kita ada. Kita kena tempohinya kalau kita sayangkan hubungan
ini,” balas Nik Anum dengan tegas. Zulfikar menggelengkan kepala berkali-kali.
Dia tidak sanggup melakukannya.
“Tidak
Anum. Kita tak boleh buat macam tu. Itu akan mencemar maruah keluarga Anum.
Jangan malukan mereka, Anum.”
“Jadi,
Zul sanggup berpisah dengan Anum? Zul sanggup tengok Anum menjadi milik orang
lain?”
“Memang
Zul tak sanggup berpisah dengan Anum. Apa lagi nak bayangkan Anum hidup dengan
orang lain. Tapi..”
“Sudahlah!
Sekarang Anum tahu hati Zul macam mana. Zul hanya kata sayangkan Anum. Tapi Zul
tak sanggup berkorban untuk Anum. Tak apalah, biar Anum pergi. Biarlah kita
berpisah. Selamat tinggal!” Nik Anum bangun dan berlari meninggalkannya. Dia
terkedu. Dia kaku. Langsung dia tidak mengejar Nik Anum. Sebaliknya dia duduk
mengais-ngais pasir yang sedang dihakis ombak.
Takdir
telah memisahkan dia dengan Nik Anum. Dia memaksa diri untuk reda. Pada hari
perkahwinan Nik Anum, dia termenung di Pantai Bisikan Bayu. Dia menjerit pada
ombak. Dia meraung pada angin. Dia merintih pada awan. Seluruh hidupnya
dirasakan kelam dan gelap. Dia hidup dalam kebingungan. Sungguh dia nanar.
Kehilangan Nik Anum menjadikan dia lupa diri dan tanggungjawabnya sebagai
insan. Banyak masa dihabiskan dengan termenung, menangis dan merintih. Semua
kerja tidak mampu dilakukan dengan baik.
"Sampai bila kau nak hidup macam ni Zul?" tanya Abas pada satu
hari.
"Kenapa?"
"Kau tengoklah diri kau tu. Daripada segak dah jadi kusut masai dan
tak bermaya. Kenapa kau nak seksa hidup kau macam ni. Bukalah mata. Dunia ini
masih luas. Masih ramai wanita lain selain Nik Anum. Hidup kau mesti diteruskan
Zul," kata Abas dengan wajah simpati yang jelas.
"Dia akan kembali. Aku akan tunggu dia.."
"Jangan mimpi di siang hari, Zul. Dia dah kahwin. Dah ada anak.
Untuk alasan apa lagi dia kembali pada kau?"
"Tidak. Itu janjinya. Kami dah berjanji untuk hidup bersama,"
"Astaghfirullahhalazim, kau sedarlah dari lena kau tu! Nik Anum dah
tak ada. Dia dah kahwin. Kau tak payah
nak tunggu dia lagi..!" kata Abas separuh menjerit. Dia terkebil-kebil,
bingung. Benarkah apa yang dikatakan oleh Abas itu? Benarkah Nik Anum sudah meninggalkannya?
Akhirnya
dia memujuk hatinya. Memang Nik Anum sudah tiada. Memang Nik Anum sudah pergi. Memang
Nik Anum sudah menjadi isteri orang. Dia cuba menerima kenyataan. Sungguh
pahit. Sungguh pedih.
Lalu
dia dikenalkan dengan Shamira. Abaslah yang bertanggungjawab mengatur
perkenalan itu. Semuanya tidak lama. Beberapa bulan kenal, tiba-tiba dia
menerima usul Abas untuk mengambil Shamira sebagai isteri. Dia tidak sempat
untuk dia mengenali hati budi Shamira. Tidak sempat juga hatinya dicambah
cinta. Perbincangan dengan keluarga pun tidak ada.
Shamira
yang minta urusan perkahwinan dipercepatkan. Tidak ada pertunangan, terus kepada
pernikahan. Persandingan juga dibuat ala-kadar. Dia akur. Dia percaya pada
kata-kata Abas bahawa Shamira akan membuat dia
melupakan Nik Anum. Shamira akan memimpin dia untuk memulakan hidup
baru.
“Aku
harap perkahwinan ini akan mengubah hidup kau Zul. Aku harap Shamira dapat
menggantikan tempat Nik Anum di hati kau. Apa kurangnya dia. Dia cantik dan
bergaya. Dia berpangkat. Tak malu kalau kau kenalkan kepada keluarga atau
kepada Nik Anum. Malah kau boleh berbangga dengan Shamira,” kata Abas pada hari
dia menjabat salam sebagai suami. Dia hanya angguk perlahan. Dia tidak
mengharap untuk berbangga. Dia juga tidak mengimpikan untuk bermegah dan
berlawan dengan Nik Anum. Yang diharapkannya ialah dia mampu melupakan Nik
Anum. Dia mampu membuang semua kenangan bersama Nik Anum.
Selepas
menjadi suami, dia berusaha mencari dirinya. Dia berusaha meletakkan cinta dan
rasa kasihnya kepada Shamira. Walaupun selepas itu dia mula faham kenapa
Shamira mendesak disegerakan perkahwinan mereka. Dia langsung tidak mahu peduli
apapun sebabnya. Dia ingin membina mahligai bersama Shamira. Dia mencuba
sehingga lahirlah Atikah dan Muhamad Afiq. Sehingga anak-anaknya itu membesar
dan dewasa. Sehingga rambutnya yang hitam kini sudah putih.
Namun
apa yang diharapkan tidak pernah berlaku. Bisikan angin dan belaian bayu di
Pantai Bisikan Bayu tidak pernah dilupakannya. Nik Anum tidak pernah padam dari
unggun cintanya yang menyala. Semakin bertambah usianya, semakin bercambah pula
ingatan rindunya kepada Nik Anum. Akhirnya Nik Anum muncul dalam tidur dan
jaga. Dalam mimpi atau sedar, tetap ada nama dan bayangan wajah Nik Anum di
hujung nubarinya.
“Hai
Encik Zul! Pagi lagi dah mengelamun?” tegur Azila, pegawai di Bahagian Kewangan.
Suara Azila yang lemak merdu itu mematikan semua kenangan yang sedang bersusun
lalu di ingatannya.
Dia
membalas teguran Azila dengan senyum. Tidak ada ayat yang sesuai untuk dia
bersambung kata dengan Azila pagi itu.
“Encik
Zul dah baca surat khabar pagi ni ni?” tanya Azila.
“Berita
apa? Saya belum baca apa-apa lagi,” jawab Zulfikar sambil mendongakkan
kepala.
“Berita
mengenai isteri Encik Zul. Hari ni dia akan membentangkan kertas kerja mengenai
‘Peranan wanita dalam alaf baru’. Kami bangga dengan kejayaannya. Apa lagi dia
tu isteri Encik Zul," jawab Azila, masih tersenyum.
Zulfikar
mengangkat muka. Wajahnya selamba. Senyum yang tadi menguntum tulus di bibirnya
serta merta hilang. Nama Shamira telah membunuh semuanya. Dia memang mengakui Shamira
orang yang hebat. Memang dia tidak pernah menidakkannya. Sejak awal kahwin, dia
sudah tahu dan rasa bahawa Shamira adalah orang yang hebat. Dia disanjung. Dia
sentiasa dipuji. Semua orang memujinya. Namanya meniti dari bibir ke bibir. Dia
wanita bekerjaya yang pintar dan berwibawa. Dia sedang meniti hari-hari untuk
ke tempat yang lebih tinggi.
“Encik
Zul tak bangga?” Tiba-tiba Azila bertanya.
Zulfikar
terpinga-pinga. Kemudian dengan perlahan dia mengangguk, untuk menutup rasa
sebal yang sedang berbuku di hatinya.
“Encik
Zul memang bertuah. Ada bini yang cantik dan pintar,” sambung Azila lagi.
“Ya..ya..saya
memang bertuah..” kata Zulfikar perlahan. Suara itu seperti terselit di celah
kerongkong. Hari itu hatinya dirasakan amat sakit dan pedih dari hari-hari
sebelumnya. Shamira, yang disanjung-sanjung itu semakin hari semakin galak
menoreh hatinya.