- 9 -
ZULFIKAR pula
memandu ke arah Pantai Bisikan Bayu dengan fikiran yang serabut. Hal Nik Anum
memenuhi ruang akal. Hal Shamira pula, mencemari minda tenangnya.
“Anum, kalau kita ditakdirkan untuk berpisah, apakah benda yang boleh Zul
jadikan kenangan?”
“Di sini, di batang pokok ru ini. Jom kita tulis.” Suara Nik Anum melekat
di telinganya. Mereka mengopek kulit
pokok ru. Dengan sebatang paku, mereka menggarik-garik batang ru itu dengan
nama mereka. ZULFIKAR CINTA NIK ANUM.
Entah kenapa, serta merta kakinya menekan brek. Kereta diberhentikan. Dia
turun dan mencari-cari sebatang pokok. Tidak ada. Dia melilau lagi. Memang di
situ tempatnya. Dia tidak silap. Hujung kuala itu penandanya. Memang di situ.
Tapi, di mana pokok ru itu?
“Anum, kenapa kita harus lalui semua ini..?” Akhirnya dia mengeluh, perlahan
dan lemah. Hatinya mula hampa. Sebelum ini dia tidak teringat langsung pada
pokok itu. Hari ini baru dia teringat. Sudah terlalu lama. Tentunya pokok itu
sudah tumbang dan reput. Atau mungkin sudah dikerat-kerat lalu dibakar.
“Anum, apa lagi tanda kenangan yang ada,”
Zulfikar teringat pada cerita yang didengar dari Tuan Maihamah tadi.
Bertambah-tambah lagi kesedihan dan kesayuannya.
Pantai Bisikan Bayu, anginnya menderu
Ombaknya setia dengan deburan kasih melepas rindu
Rindu Zulfikar pada Nik Anum semakin penuh di kalbu
Seperti rindu Adam pada Hawa yang terpisah di masa lalu.
Lama
bermenung, lama berkhayal dan lama merintih melepaskan segala yang membungkam
di dada ke laut yang luas, Zulfikar bergerak meninggalkan pantai itu. Hari
sudah panas lantaran matahari sudah berada di puncak langit.
Dia
tidak terus balik ke rumah. Dia masih ingin mencari kedamaian hati. Dia masih
ingin mencari jalan meringankan resah di dada. Dia memilih untuk ke sebuah
restoren.
Ketika
keretanya sampai betul-betul di hadapan restoren, telefon bimbitnya berdering.
Awalnya dia malas untuk menyambut panggilan, tapi tiba-tiba dia rasa dia perlu
berdepan dengan kenyataan. Dia tidak boleh terus lari dari Shamira.
“Assalamualaikum!
Babah kat mana ni?” suara Atikah kedengaran lunak mesra. Hati seorang ayah rasa
senang dan bahagia.
“Babah
kat Pasir Puteh ni. Tadi baru lepas hantar nenek ke klinik,” jawab Zulfikar.
“Mama
kata babah ke pantai tu lagi..” kata Atikah. Zulfikar segera tergamam. Dia mula
faham tujuan Atikah menelefonnya. Dia mula tahu bahawa Atikah adalah utusan
tidak resmi Shamira untuk menyiasat pergerakannya. Tiba-tiba hatinya mual.
Semakin hari dia melihat bayangan Shamira semakin jelas dalam diri Atikah.
“Ikah,
apa salahnya babah ke pantai itu? Hanya di situ tempat babah dapat bertenang,”
“Tapi,
tempat tu tak bagus untuk kesihatan babah,”
“Apa
maksud Ikah?”
“Babah
tu sakit. Tempat macam tu akan berikan kesan buruk pada kesihatan babah,”
“Babah
sakit? Sakit apa?” Zulfikar separuh menjerit. Dia benar-benar terkejut dengan
apa yang didengarnya.
“Mama
kata babah mengalami kemurungan. Babah mengalami gangguan mental..”
“Hah??
Mama kau kata begitu? Masya-Allah..” Zulfikar memotong cakap Atikah. Darahnya
menyirap panas. Hampir dia ragu-ragu pada telinganya yang mendengar kata-kata
itu.
“Minggu
depan Ikah balik. Ikah boleh temankan babah ke klinik. Babah perlukan rawatan
segera sebelum penyakit babah melarat,” Atikah semakin berani.
Zulfikar
terdiam. Seluruh denyut nadinya seperti mahu berhenti. Begitu juga aliran darahnya
yang panas itu mendidih seperti lahar gunung berapi.
“Babah
dengar tak apa yang Ikah cakap ni?”
Diam.
Zulfikar menelan air liur.
“Babah?”
Masih
diam.
“Babah?
Kenapa ni? Apa dah jadi dengan babah ni?”
Tetap
diam.
“Betullah
kata mama, babah dah berubah. Babah mesti dirawat. Kawan Ikah seorang pakar
jiwa..”
Tut!
Tut. tut!!
Zulfikar
mematikan talian. Telinganya tidak mampu mendengar lagi. Hatinya tidak mampu
menahan lagi. Atikah klon Shamira. Kata-katanya seperti duri yang menyocok
nubari, pedih dan ngilu.
Tanpa
berlengah dia mematikan hajat untuk membasahkan tekak. Dia menghidupkan semula
enjin kereta dan memandu pulang ke rumah. Sepanjang jalan dia rasa jiwa raganya
lara. Semangatnya rasa lebur.
“Cepat
kau balik Zul?” Mak Senah bertanya hairan ketika tiba-tiba Zulfikar muncul.
Biasanya kalau ke pantai, Zulfikar akan menghabiskan masa hingga ke petang. Dia
sendiri tidak pernah tahu apa yang dibuat oleh anaknya di tempat itu. Dan dia
tidak pernah berniat untuk tahu. Biarlah. Kalau di situ Zulfikar rasa dia
tenang, biarlah.
“Saya
nak balik ke Kota Bharu, mak,” jawab Zulfikar.
“Kenapa?
Selalunya kau balik tengah malam sikit..”
“Saya
pinjam kereta orang. Nak kena hantar kereta tu. Kalau dah sampai sana malam,
bila nak hantar. Esok pagi tentu dia nak guna,” jawab Zulfikar, sengaja memberi
alasan. Mak Senah angguk perlahan. Alasan yang diberikan Zulfikar itu dirasakan
logik dan ada benarnya.
“Kalau
macam tu, mari kita makan dulu. Mak dah siap masak ni,”
“Lauk
apa mak?” Zulfikar menoleh.
“Lauk
kegemaran kau..” jawab Mak Senah selamba. Dia tahu dia tidak perlu untuk
menyebutnya. Zulfikar pasti tahu.
“Hah?
Mana mak dapat ikan haruan?” tanya Zulfikar dengan mata bercahaya. Tiba-tiba
pula seleranya terbuka.
“Mak
beli dengan Mat Deli,”
“Kat
mana juga Mat Deli ni dapat ikan haruan,” rungut Zulfikar.
“Mat
Deli tu rajin memukat di kubang arwah atoknya tu. Banyak ikan keli dan haruan
dalam kubang tu,” jawab Mak Senah sambil menyenduk nasi dan gulai ikan haruan
dengan daun kesom. Aroma daun kesom mencecah hidung.
“Sedapnya
bau mak. Lapar saya dibuatnya,” Zulfikar menarik pinggan.
“Heh!
Basuhlah tangan dulu. Baca bismillah. Jangan gopoh sangat. Dah tak lari dah
haruan tu,” kata Mak Senah dengan senyum ketika melihat selera Zulfikar yang
datang mendadak. Seperti seorang anak kecil, Zulfikar patuh. Dia menarik
mangkuk yang berisi air pembasuh tangan dan membisikkan bismillah sebelum
sesuap nasi masuk ke mulutnya.
“Mira
ada telefon kau, Zul?” tanya Mak Senah.
“Tak
ada. Dia telefon mak?”
“Ya.
Marah betul dia dengan mak,”
“Kenapa?”
Zulfikar berhenti mengunyah. Matanya mencari jawapan dari wajah Mak Senah.
“Sebab
mak tak halang kau pergi ke pantai tu,” jawab Mak Senah dengan berhati-hati.
Dia bimbang selera makan Zulfikar yang membuak itu terputus.
“Biarlah
mak. Jangan ambil hati. Kalau dia bising-bising, mak suruh tanya saya sendiri,”
“Mak
cakap macam tulah, suruh telefon kau sendiri dan tanya kau di mana,”
“Dia
tak telefon, tapi anak dia yang telefon,” jawab Zulfikar dengan mulut yang
penuh.
“Anak
dia? Siapa?” Mak Senah curiga. Cara Zulfikar menjawab seperti cara orang sakit
hati dan marah.
“Atikah..”
“Huh!
Anak kau juga..” jawab Mak Senah. Zulfikar tidak menjawab.
“Dia
tu bayangan mamanya. Perangai dia sama..”
“Perangai
macam mana..?”
“Entahlah
mak. Saya makin tak selesa sejak akhir-akhir ini. Dulu saya hanya mengadap
perangai Shamira. Kini saya mengadap perangai dua beranak tu! Kadang-kadang
sakit hati ni mak..” rintih Zulfikar. Mak Senah belas. Dia akhirnya faham
maksud yang tersirat.
“Sabarlah
Zul. Kau kena kuat berdepan dengan dugaan ini,”
“Tak
cukup sabarkah saya ni mak? Dah dua puluh lima tahun. Rasa macam dah habis
sabar saya ni..” keluh Zulfikar lagi.
“Tambah
lagi nasinya,” suruh Mak Senah ketika melihat Zulfikar sedang menyapu licin
pinggannya.
“Cukuplah
mak, kenyang sangat nanti susah nak bawa kereta,”
“Kau
nak bawa balik gulai ni? Boleh mak masukkan dalam bekas,”
“Tak
payahlah mak. Saya malas nak masak nasi. Sehari dua ni, saya makan kat luar
je,”
“Habis
Mira tak masak?” tanya Mak Senah, hairan.
“Dah
lama dah dia tak kisahkan dapur. Sejak dia naik pangkat dan jadi orang penting,
dia dah tak anggap dapur itu penting untuk sebuah rumah. Itu yang saya rasa nak
beli dapur baru..” Zulfikar cuba bergurau. Kemudian dia tersenyum.
“Jangan
nak cari masalah. Masalah yang ada tak mampu kau selesaikan, nak tambah masalah
lain pula,” kata Mak Senah mencebik.
“Apa
yang jadi masalahnya?”
“Kau
ingat Mira tu jenis orang yang boleh bertolak ansur? Kalau kau nak tengok dapur
kau dipecah-pecahkan, cubalah..” jawab Mak Senah dengan senyum. Zulfikar ikut
tersenyum. Dia membayangkan wajah kelat dan wajah marah Shamira.
“Mak..”
tiba-tiba Zulfikar teringat sesuatu. Dia rasa ingin berkongsi dengan ibunya.
Mak Senah segera berpaling.
“Ada
apa?” tanya Mak Senah. Mata mereka bertembung.
“Nik
Anum,” Zulfikar seperti berbisik.
“Hah?
Kau jumpa dia?” Mak Senah teruja. Lama sungguh dia tidak bertemu dan mendengar
berita mengenai anak gadis Engku Bedah dan Nik Idrus itu. Kali terakhir ialah
seminggu sebelum dia berkahwin.
“Mak,
Anum minta maaf kerana terpaksa buat keputusan ini. Bukan Anum tak sayangkan
Zul, tapi Anum terpaksa. Anum tak diberi pilihan selain menerima,”
“Ya.
Kami sedar siapa kami ni, Anum. Memang tidak setaraf dengan keluarga Anum,”
“Mak,
tolong jangan kata macam tu. Anum tak pernah pandang semua itu. Tapi, ini
pilihan ayah dan bonda, Anum.”
“Tak
apalah, Anum. Pergilah. Anum anak yang baik. Bertuah ayah dan bonda Anum ada
anak macam Anum,”
“Mak,
tolong jaga Zul. Kesian dia. Anum akan tetap sayangkan dia..”
“Jangan
Anum, berdosa. Bila Anum dah jadi bini orang, seluruh hati dan perasaan Anum adalah
untuk suami. Berdosa kalau Anum masih nak ingat orang lain,”
“Anum
harap satu hari kami akan bertemu juga. Walaupun ketika itu rambut Anum dah
beruban putih atau Anum dah bongkok tiga, Anum akan tetap kasihkan Zul. Mungkin
sekarang bukan jodoh kami. Mungkin Allah akan tentukan jodoh kami di akhir
hidup kami. Anum akan tunggu masa itu tiba, mak. Berdoalah untuk kami..” kata
Nik Anum sambil menangis di ribaannya. Tiba-tiba dia rasa suara itu terngiang
semula di telinganya. Kuat dan nyaring.
“Kau
jumpa Anum?” Tanpa disedari soalan itu terkeluar lagi dari mulut Mak Senah.
Kali ini lebih kuat dan mengharap. Mana tahu masa yang dikatakan oleh Nik Anum
itu benar-benar telah sampai.
Geleng.
Zulfikar berkeluh kesah.
“Dia
dah lupakan kita. Dia tak pernah cari kita lagi..” Mak Senah juga ikut
mengeluh.
“Dia
hidup susah mak,” kata Zulfikar perlahan. Mak Senah segera menoleh. Kata-kata
itu seperti bunga api, pecah dan merecik ke seluruh jiwanya.
“Jadi?
Memang kau ada jumpa dia?” desak Mak Senah. Zulfikar menggelengkan kepala.
“Kalau
kau tak jumpa, mana kau tahu dia hidup susah?” Mak Senah bertambah keliru.
“Ombak
di pantai tadi yang sampaikan cerita,” jawab Zulfikar dengan ketawa. Mak Senah
ikut ketawa. Namun, jauh di sudut hatinya dia mengesyaki Zulfikar ada menyimpan
sesuatu darinya.
****