- 10 -
MAK SENAH
mengeluh. Nik Anum, sudah lama nama itu tidak muncul dalam fikirannya. Kini
nama itu tiba-tiba meniti di bibir. Sekali gus wajah manis gadis itu juga
menjelma di ruang mata.
“Mak
ini kawan Zul, Nik Anum,” kata Zulfikar ketika memperkenalkan gadis itu
kepadanya untuk pertama kali. Waktu itu Zulfikar dan Nik Anum sama-sama belajar
dalam tingkatan satu di Sekolah Menengah Tok Janggut.
Sungguh
dia senang dengan Nik Anum. Selain wajahnya yang manis. Dia juga memiliki budi
bahasa dan tutur kata yang mampu menawan siapa saja yang berdepan dengannya.
“Apa
khabar mak..” Nik Anum menyalaminya, penuh sopan.
“Aik?
Belum apa-apa Anum dah panggil mak?” Zulfikar bergurau. Gadis itu tersipu malu.
“Semua
wanita yang sebaya bonda Anum, Anum akan panggil mak. Zul tak payah nak pelik,”
jawab Nik Anum dengan ketawa kecil. Zulfikar ikut mengekek. Hati Mak Senah rasa
bahagia dan terhibur.
“Tak
salahkan mak?” Nik Anum menoleh kepadanya.
“Tak.
Siapa yang nak marah. Panggilan tu tanda kita beradab dan tanda hormat,”
“Dengar
tu! Zul saja yang marah. Mak tak marah pun!” Nik Anum mencebik.
“Zul
tak marah, suka!” balas Zulfikar pula. Nik Anum membaling sebuah buku kepada
Zulfikar dan Zulfikar menangkapnya. Mereka ketawa. Mesra dan riang. Sejak itu tawa
riang dan gurau senda mereka sering memenuhi ruang rumah itu kalau hari cuti.
Nik Anum sudah menjadi sebahagian dari keluarganya. Bukan hanya dia yang
menyenangi, anak-anaknya yang lain juga senang setiap kali Nik Anum datang.
Bertahun-tahun
juga ikatan hati antara kedua-duanya terjalin. Dia merestuinya dan dia tahu
hubungan mereka tidak pernah tersasar dari landasan hukum dan adat. Walaupun
Nik Anum sering bertandang ke rumah, sebagai orang tua Mak Senah tidak pernah
membiarkan mereka berdua-duaan hingga mengundang pihak ketiga iaitu syaitan. Dia
selalu mengawasi pergerakan mereka agar tidak sumbang di mata masyarakat dan
berdosa di sisi Allah.
Tamat
tingkatan 5, Nik Anum menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi
sedangkan Zulfikar gagal untuk ke
mana-mana. Dia memilih untuk mencari pekerjaan.
“Sambung
belajarlah Zul. Mak masih ada duit simpanan kalau kau nak ambil periksa sekali
lagi,” Mak Senah memujuk.
“Tak
apalah mak. Biar Zul cari kerja saja,”
“Kerja
apa yang boleh kau buat dengan sijil kau tu?”
“Apa-apa
kerja yang layak. Jadi kuli pun tak apa,” Zulfikar menjawab selamba.
“Kau
tak malu dengan Anum?”
“Nak
malu kenapa pula? Mak, Allah jadikan manusia itu dengan kelebihan dan
kekurangan masing-masing. Kalau saya rasa malu, maknanya saya menolak ketentuan
Allah. Biarlah Nik Anum terus belajar. Dia ada cita-cita dia dan saya juga ada
cita-cita saya sendiri,” kata Zulfikar. Akhirnya dia terpaksa menerima
keputusan anaknya itu.
Akhirnya
dua sejoli itu berpisah jasad. Nik Anum di Kuala Lumpur dan Zulfikar di Pasir
Puteh. Namun, perpisahan jasad tidak memisahkan hati dan cinta mereka. Hubungan
mereka terus terjalin manis dan indah sehingga Nik Anum tamat belajar. Zulfikar
juga mendapat pekerjaan di sebuah jabatan kerajaan sebagai pegawai kerani.
“Dah
kerja ni, kumpul duit. Nik Anum tu dah lama tunggu,” kata Mak Senah ketika
Zulfikar baru mula kerja.
“Mak
macam tak sabar nak timang cucu?” Zulfikar berseloroh.
“Kau
tu pun tak sabar nak timang anak,”
“Yalah
kita sama-sama tak sabar,” Zulfikar ketawa. Dia ikut ketawa kecil. Ketika itu
langsung tidak terbayang di fikiran mereka bahawa semua impian itu tidak akan
menjadi kenyataan. Namun semuanya milik Allah. Hanya Dia Yang Maha Bijaksana,
menyusun dan menentukan takdir hidup seorang manusia.
“Mak?
Apa hal senyum-senyum ni?” Tiba-tiba Zulfikar menepuk belakang tangannya. Mak
Senah terkejut dan tergamam seketika. Dia tersedar kembali dari lamunannya yang
panjang.
“Mak
khayalkan apa ni?”
“Tak
ada apalah. Mak cuma teringatkan Anum,” jawab Mak Senah jujur. Zulfikar
terdiam. Dia hilang kata-kata. Selama ini dia tidak pernah melupakan Nik Anum
walaupun sudah berpuluh tahun. Kini ingatan itu semakin melekat.
“Mungkin
dah sampai masa seperti yang diharapkannya,” sambung Mak Senah, perlahan namun
jelas. Ada sesuatu di nubarinya yang terselit lama.
“Apa
maksud mak?” Zulfikar menoleh. Dia teruja dengan kata-kata ibunya.
“Anum
pernah kata satu hari takdir pasti akan pertemukan kau berdua. Dia akan tunggu
takdir itu, tak kira dalam keadaan macam mana pun. Walaupun sudah beruban dan
bongkok tiga, kalau pertemuan kedua muncul dia akan terima. Dia akan tetap
tunggu kau,”
“Bila
Anum cakap dengan mak macam tu?”
“Seminggu
sebelum dia dinikahkan. Dia datang ke sini tanpa pengetahuan kau. Dia menangis.
Dia minta mak jaga kau dengan baik..dia..dia..” Tiba-tiba Mak Senah sendu. Dia tidak
mampu menghabiskan ayat. Air matanya tiba-tiba amat murah. Ia seperti untaian
manik, yang terputus dari talinya.
Zulfikar
tergamam. Hal yang tidak diduga itu ikut menyentuh hatinya. Jiwa raganya yang
memang sedang resah gelisah, menjadi semakin tidak menentu.
“Anum..”
keluh Zulfikar perlahan.
“Sudahlah.
Kita tak boleh nak terus ingat dia. Dah lama dah dia hilang dari hidup dan hati
kita. Kau tu dah ada isteri dan anak-anak. Jangan kerana Nik Anum, rumah tangga
kau kacau bilau,” kata Mak Senah selepas mengesat air matanya.
“Mak,
saya tak boleh nak bohong pada diri saya. Mak pun tahu, rumah tangga saya macam
mana. Saya tak pernah rasa bahagia dan aman dalam rumah tangga saya itu mak..”
“Yalah.
Itu mak tahu. Tapi kau sepatutnya cari jalan nak pulihkannya, bukan cari alasan
nak runtuhkannya,” kata Mak Senah.
“Mak,
mak nak suruh saya buat macam mana lagi? Saya dah ikut semua cakap Shamira
hingga saya dikatakan suami yang penakut, yang dayus!” tegas Zulfikar sedikit
keras. Mak Senah langsung tidak tersentak dan tidak berkecil hati. Apa yang
dikatakan oleh Zulfikar itu ternyata benar.
“Dia
tak pernah berterima kasih dan bersyukur dengan apa yang ada, mak. Saya dah
letik nak ikut kehendak dan gelagat dia. Letih sangat-sangat,” Zulfikar meluah
rasa. Mak Senah semakin tersentuh hatinya.