- 4 -
ZULFIKAR
menekan suis komputer. Dia perlu menyiapkan semua kerja ‘perkeranian’ yang ada
di atas mejanya sebelum makan tengah hari. Dalam masa yang sama, dia harap
Shahidi akan segera kembali ke pejabat. Perbincangan mengenai pembelian kereta
baru itu akan disambung dengan serius.
Hampir dua jam, semua kerja yang perlu
dibuat selesai. Urusan fail-fail pekerja dan data-data maklumat yang perlu
dimasukkan juga siap. Dia menyandarkan diri ke kerusi. Tiba-tiba dia rasa bosan
dan sepi. Kemudian dia menekan papan kekunci dengan fikiran yang kosong.
“Encil Zul, ini fail yang saya pinjam
dengan Encik Zul semalam. Semuanya dah siap,” Azila muncul lagi dengan dua buah
fail di tangannya. Dia angguk sambil matanya masih di skrin komputer dan
tangannya mengetik-ngetik punat kekunci dengan hati yang kosong.
“Encik
Zul nak buat apa ni? Nak main game
ke?” tanya Azila dengan hairan.
Zulfikar
menoleh dan matanya bertembung dengan mata Azila yang sedang memerhatikannya.
“Saya
tak tahu nak buat apa. Nak main game,
saya tak minat. Zila, awak boleh tolong saya?”
“Tolong
apa Encik Zul?”
“Awak
ajar saya macam mana nak buka Facebook.
Saya nak cari kawan-kawan lama saya..” kata Zulfikar. Azila tersenyum-senyum
mendengar permintaan itu.
“Kenapa
awak senyum? Salahkah apa yang saya cakap?”
“Tak
salah apa-apa. Cuma..”
“Cuma
apa?”
“Saya
terkejut. Apa selama ini Encik Zul tak pandai buka facebook? Encik Zul tak ada akaun facebook?” tanya Azila.
Zulfikar
menggeleng perlahan. Dia jujur. Selama ini dia kurang berminat untuk terlibat
dengan aktiviti itu.
“Tapi
Puan Shamira selalu ada di maya itu. Kami selalu membaca komen-komennya.
Sebahagian dari kaki tangan pejabat ini adalah rakan facebook dia. Macam mana Encik Zulfikar tak ada akaun pula..” kata
Azila dihurung hairan. Dia mula rasa pelik dengan apa yang didengarnya.
“Zila,
tak semestinya dia pandai saya pun ikut pandai. Sama juga tidak semestinya dia
pegawai tinggi, saya juga begitu. Awak tengok, saya tetap pegawai rendah.
Jangan nak samakan saya dengan dia,” jawab Zulfikar dengan senyum.
“Jadi
Encik Zul langsung tak pandai?” Sekali lagi Azila bertanya seolah-olah perkara
itu terlalu asing. Dia seperti tidak yakin dalam dunia IT sekarang, masih ada
yang tidak pandai menggunakan laman sosial.
Sekali
lagi Zulfikar menggelengkan kepala.
“Buat
apa saya nak bohong dengan awak. Bab-bab internet ni saya memang bodoh. Tak
sepandai awak semua dan tak sepandai isteri saya,” jawab Zulfikar dengan jujur.
Dia mengalihkan pandangannya ke skrin.
Azila
dihantui rasa bersalah. Dia tidak berniat untuk merendahkan Zulfikar.
“Encik
Zulfikar, saya minta maaf..”
“Untuk
apa?” Zulfikar segera menoleh. Azila kelu.
“Tak
apalah, lupakan. Mari, tolong ajarkan saya macam mana nak buka akaun muka buku
ni..” kata Zulfikar, cuba meredakan kekesalan yang ada di hati Azila.
“Muka
buku?” Mata Azila terbeliak.
“Facebook…” Zulfikar menjawab selamba dan
mendatar. Azila ketawa mengekek. Dia rasa lucu mendengar terjemahan yang dibuat
oleh Zulfikar itu.
“Mari
saya bukakan akaun Encik Zul dulu, lepas tu baru saya ajar yang lain-lainnya,”
Azila mendekat. Zulfikar bangun dan memberikan tempat duduknya untuk memudahkan
kerja Azila.
“Encik
Zul nak guna nama betul ke nama samaran?” tanya Azila sambil tangannya ligat
menekan papan kekunci komputer.
“Boleh
ke guna nama samaran?”
“Boleh,
tak ada salahnya. Asalkan nama itu belum digunakan oleh orang lain. Encik Zul
nak guna nama apa?”
“Putera
Aduka,” dengan cepat dan selamba Zulfikar menjawab.
“Putera
Aduka? Klasiknya,” Azila ketawa kecil. Zulfikar ikut ketawa. Dia sendiri tidak
tahu dari mana dia mendapat nama itu. Ianya muncul secara spontan.
“Macam
dalam cerita Sri Mersing, ada watak Aduka dan Damak. Hmm..harap-harap Encik Zul
akan bertemu dengan Dara atau Melati. Ataupun dengan Kenanga,” kata Azila.
“Tidak.
Saya ingin bertemu Anum,” tiba-tiba Zulfikar menyangkal.
“Anum?
Dang Anum?” Azila menoleh. Zulfikar gugup. Nama itu juga terkeluar tanpa
diminta. Ia begitu cepat dan selamba.
“Lupakanlah..”
katanya perlahan. Mata Azila beralih ke arah skrin. Dia memberikan tumpuan
kepada apa yang sedang dilakukannya.
“Dah
siap. Sekarang Encik Zul boleh mula mencari teman-teman untuk berhubung,”
“Macam
mana nak cari?” Zulfikar menggaru kepala.
“Encik
Zul, taip nama di sini dan tekan butang ni untuk mencari. Kemudian Encik Zul tekan
butang ‘tambah kawan’. Lepas tu tunggu sampai mereka terima,” jawab Azila.
Zulfikar
termenung. Cuba mengingat-ingat ilmu yang baru diberikan oleh Azila itu.
“Encik
Zul nak saya ajak Puan Shamira jadi kawan encik?” tanya Azila, menduga.
“Oh!
Jangan! Awak kena simpan rahsia saya. Jangan sampai dia tahu hal ini. Jangan
ada yang kenal siapa Putera Aduka. Boleh awak janji dengan saya Zila?” Zulfikar
merenung wajah Azila dengan penuh harap.
“Baiklah,
saya janji,” kata Azila sambil mengangkat tangannya sambil bangun dan meninggalkan
meja Zulfikar untuk menyambung kerjanya. Zulfikar duduk merenung skrin dengan
fikiran yang kosong. Sudah lama dia ingin menjejaki Nik Anum. Mungkinkah dia
akan bertemu Nik Anum melalui alam maya ini?
Ketika
itu tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Dia segera menjawab tanpa melihat
nama pemanggil yang tertera.
“Petang
ni balik cepat! Ada perkara yang saya nak bincang dengan awak!” Suara Shamira
memetir di telinga. Zulfikar menjauhkan telefon dari telinganya. Dadanya yang
mula reda berdebar semula.
“Dengar
tak?” bentak Shamira. Zulfikar tidak menjawab. Sebaliknya dia mematikan telefon
dan mencampakkan ke atas meja.
“Melampau
sungguh,” bisiknya sendirian.
“Heh!
Kau bercakap dengan siapa ni?” Tiba-tiba Sahidi terpacak di hadapannya.
Zulfikar mengeluh. Dia cuba membuang gumpalan kesal yang ada di hatinya.
“Aku
ada berita baik untuk kau!” Sahidi menyambung tanpa menunggu Zulfikar menjawab
soalannya tadi.
“Apa
dia? Kau jangan nak cakap pasal bini aku,” Zulfikar memberi amaran.
“Bini
kau kenapa?” tanya Sahidi pula.
“Yalah,
orang semua dok bercakap pasal dia. Semua sedang puji dia. Mana tahu kau pun
sama,” kata Zulfikar. Sahidi angguk perlahan dan senyum.
“Apa
berita tu?” Zulfikar menyergah Sahidi yang terdiam berfikir itu. Sahidi
tersentak.
“Oh!
berkenaan dengan kereta yang kau cari tu. Aku dah telefon kawan aku. Dia suruh
kita datang petang ni. Ada sebuah kereta terpakai yang masih elok. Mana tahu
sesuai dengan bajet kau,” jawab Sahidi. Zulfikar angguk. Kemudian dia teringat
pada suara arahan Shamira yang baru menerjah telinganya tadi.
“Kenapa?
Kau ada hal ke petang ni?” tanya Sahidi ketika melihat Zulfikar terkedu diam.
“Mem
besar baru telefon, suruh balik cepat. Biasalah, nak sambung bergaduhlah tu!”
jawab Zulfikar selamba.
“Habis
macam mana? Kalau kita tak pergi petang ni, aku bimbang kereta tu dibeli orang.
Kau fikirlah mana yang penting,”
“Aku
ikut kau!”
“Betul
ni?” Sahidi senyum senang.
“Eh!
Betullah. Sejak bila aku pandai tipu kau?”
“Kau
yakin?” Sahidi cuba menduga.
“Kenapa
dengan kau ni?” Zulfikar merenung wajah Sahidi yang tersenyum sinis.
“Kau
tak takut mem besar kau tu mengamuk? Kau juga yang kata, kau ikut telunjuk dia
sebab tak kuasa nak bergaduh. Sekarang? Kau tak ikut kehendak dia. Pastinya kau
akan bergaduh besar nanti,” kata Sahidi.
“Biarlah.
Sekarang aku tengah malas nak layan dia,” jawab Zulfikar.
“Zul,
kau tak takut ke?”
“Sejak
bila pula aku takut dengan dia?” Zulfikar menyoal balik.
“Maksud
aku..”
“Dahlah.
Pukul berapa kita nak ke sana?” Zulfikar segera memotong ayat Sahidi yang belum
bernoktah.
“Lepas
waktu pejabat, kita terus ke sana,” kata Sahidi seperti memberi arahan.
Zulfikar angguk. Sahidi berlalu.
Zulfikar
menyambung kerja. Telefon berdering lagi. Kali ini Zulfikar sempat menjeling
pada nombor yang tertera sebelum menjawabnya.
“Assalamualaikum
Zul, mak ni..” Suara Mak Senah menyentuh kuping telinganya. Sejuk dan
damai.
“Waalaikummussalam
mak. Apa khabar mak?” Zulfikar teruja. Hatinya berbunga riang. Seperti
anak-anak yang menerima sebiji gula-gula, begitulah yang dirasanya.
“Mak
sihat saja. Cuma kepala mak ni kadang-kadang pening,”
“Ubat
yang Zul beli tu mak tak makan?”
“Dah.
Tapi ubat tu tinggal sikit saja lagi,”
“Oh,
tak apa. Nanti Zul beli lagi,”
“Esok
Zul balik?”
“Ya.
Zul mesti balik. Nanti Zul beli ubat tu. Atau Zul bawa mak pergi jumpa Dr.Che’
Ku,” jawab Zulfikar.
“Kalau
kau sibuk, tak apalah. Mak tak apa-apa. Tiap-tiap minggu kau balik, apa kata
Shamira,” kata Mak Senah pula.
“Mak,
hal Shamira tu hal saya. Mak tak usah risau. Mak tu yang kena jaga kesihatan
mak. Kalau mak sakit, saya lagi susah hati sebab mak tinggal seorang diri. Lainlah
kalau mak tinggal dengan saya di sini..” kata Zulfikar dengan lemah lembut.
Rasa kasihnya mengalir lembut dalam dada.
“Zul,
baiklah. Mak tunggu kau di rumah saja. Kau jaga diri baik-baik. Ajaklah Afiq
dan Atikah balik nanti,”
“Mereka
dah balik ke asrama mak. Mungkin cuti semester nanti baru mereka balik lagi.
Nanti Zul akan bawa mereka ke rumah mak,” kata Zulfikar, cuba membuat janji
manis. Namun ucapan janjinya itu disambut dengan sebuah keluhan perlahan di
hujung talian. Dia faham erti keluhan itu. Dia juga tahu keluhan itu
mengandungi seribu rasa hampa dan kecewa seorang ibu dan nenek.