-5-
URUSAN
pembelian kereta selesai dengan mudah. Kereta Produa Kancil 850cc yang ditunjukkan
kepada Zulfikar, ternyata memenuhi kehendaknya. Ia juga mengikut bajet yang ada
dalam fikirannya.
“Betulkah
kau berpuas hati dengan kereta tu?” tanya Sahidi dalam perjalanan pulang.
“Ya.
Aku memang berkenan sangat. Bayarannya pun taklah membebankan sangat. Terima
kasih Di. Kau dah tolong aku,” jawab Zulfikar, tulus.
“Alah,
setakat tolong tunjukkan kedai saja. Bukan aku tolong bayar pun!” jawab Sahidi
dengan santai.
“Kau
turunkan aku di perhentian bas tu,” kata Zulfikar sambil menunjukkan ke arah
sebuah pondok menunggu bas.
“Eh,
tak apalah. Biar aku hantar kau sampai ke rumah. Lagipun bukan jauh sangat
rumah kau dan rumah aku,”
“Tak
apa. Aku belum nak balik. Aku nak singgah di masjid. Nak solat maghrib dan
isyak baru balik,”
“Habis
nanti kau nak naik apa?”
“Teksi
banyak..” jawab Zulfikar selamba. Shahidi akur. Dia memberhentikan keretanya
betul-betul di hadapan pondok yang ditunjukkan. Selepas mengucapkan selamat
tinggal, dia memandu tanpa menoleh lagi.
Zulfikar
duduk seketika. Dia membuang lenguh. Dia juga sengaja melambat-lambatkan masa.
Biar dia lambat sampai ke rumah. Biar telinganya lambat mendengar rungutan dan
herdikan Shamira. Sekali ini dia benar-benar ingin memberontak. Sudah terlalu
lama dia mengikut, kali ini dia rasa perlu melawan.
Dia
teringat pada telefon bimbitnya. Dengan cepat dia mengeluarkan dari kocek
seluar. Tanpa berfikir banyak kali, dia mematikan telefon itu. Lega hatinya.
Shamira tidak akan dapat mengesannya lagi. Dia rasa
bebas buat sementara.
Selepas dia rasa lega dan selesa, dia bangun dan melangkah untuk melintas
jalan. Sebuah masjid tersergam megah di seberang jalan. Pada masa itu, dia rasa
hanya di situ dia akan rasa aman dan tenang.
Ketika tertinjau-tinjau menanti lampu bertukar hijau, sebuah kereta
berhenti di sebelahnya. Dia menoleh. Tersentap jantungnya. Berubah rona
wajahnya.
“Awak nak ke mana?” tanya Shamira selepas cermin kereta dibuka.
“Ke masjid,”
“Kan saya dah kata suruh balik cepat! Ada hal saya nak bincang,”
“Lepas solat isyak, saya balik. Nak bincang sampai pagi pun boleh..”
selamba Zulfikar menjawab. Shamira mengetap bibir, menahan marah.
Lampu merah bertukar hijau untuk pejalan kaki. Zulfikar menyeberang jalan
tanpa menoleh.
“Awak!! Saya belum habis cakap!!” Shamira menjerit. Zulfikar pekakkan
telinga. Kakinya terus dihayun dengan selamba.
Shamira menekan minyak dan keretanya menderum pergi. Zulfikar menoleh,
kemudian dia tersenyum senang. Bukan gembira kerana dapat menyakitkan hati
Shamira tapi gembira kerana dia mampu bertegas dengan Shamira. Selama ini dia
tidak terfikir untuk melakukan hal itu. Itu tidak bermakna dia takut, tapi dia
menghormati Shamira dan tidak mahu melukakan hatinya. Kini? Dalam setiap
langkahnya, dia berjanji kepada dirinya untuk menjadi lelaki dan suami. Sekian
lama dia hilang arah dan hilang harga diri. Kini dia akan kembali mencari dan
mengutip harga diri yang tercicir itu.
Zulfikar ingin cuba mengotakan janji pada dirinya. Malam itu dia pulang
dengan dada lapang dan semangat yang tidak berbelah bagi.
“Aku akan tunjukkan akulah raja yang tidak hilang mahkotanya!” Itu yang
disematkan dalam hati. Ketika dia sampai, Shamira sudah berdengkur di bilik.
Dia tahu seharian itu Shamira sibuk dengan undangan membentangkan kertas kerja.
Seluruh tenaga dan pemikirannya berpusat pada simposium itu.
Dia tidak mahu mengganggu. Malah dia senang melihat Shamira tertidur
begitu. Bermakna Shamira tidak berpeluang untuk ‘menyerangnya’.
Dengan perlahan dia meletakkan begnya dan terus ke dapur, mencari kalau
ada apa-apa yang boleh dimakan sebagai mengisi perut yang sedang lapar itu. Kosong.
Atas meja hanya ada jambangan bunga sebagai penyeri. Atas dapur juga tidak ada
satu periuk pun. Dia membuka peti sejuk. Tidak ada makanan yang boleh
mengenyangkan selain buah-buahan dan deretan air kotak. Tanpa berlengah,
Zulfikar mengambil sekotak air soya dan menyedutnya.
Dia kembali ke ruang tamu. Sunyi. Sejak Atikah dan Muhamad Afiq dewasa
dan tinggal di hostel, rumah itu makin sunyi. Dia menekan suis tv. Sebuah drama
sedang ditayangkan. Kisah sedih seorang ibu yang merindui anaknya. Hatinya
tidak berminat untuk terus menonton. Dia terbayangkan ibunya. Tangisan pelakon
dalam drama itu seperti tangisan Mak Senah yang rindukan anak cucunya. Suis tv
dimatikan.
Kemudian dia berbaring di sofa untuk menghilangkan
lenguh. Perut pula berkeroncong, lapar. Dia ingin keluar mencari makanan. Tapi
serta merta pula dia teringat, dia tidak mempunyai kenderaan untuk keluar. Dua
buah kereta yang tersadai di garaj itu adalah milik Shamira. Dia berjanji pada
dirinya bahawa dia tidak akan menyentuh harta Shamira itu lagi!
Dia bangun, kembali semula ke dapur. Pintu
kabinet kayu yang berukir cantik itu dibuka. Ada beberapa bungkus mi
segera. Anaknya Muhamad Afiq yang gemar
dengan makanan segera itu. Dia selalu memarahi Muhamad Afiq. Alasannya, makanan
itu mengandungi bahan pengawet yang boleh merosakkan sistem imunisasi badan.
Kini, dia tidak ada alasan untuk menolak
rezeki itu. Alasan perut yang lapar lebih penting dari seribu alasan yang lain!
Akhirnya malam itu perut yang berdendang keroncong itu terdiam dengan sebungkus
mi segera berlauk telur dan sedikit sayur.
Keesokan paginya, dia bangun dan bersiap
lebih awal dari biasa. Dia tahu dia terpaksa menaiki kenderaan awam. Dia
bersedia. Semua kata-kata Shamira semalam masih melekat di telinganya. Ia masih
berkarat di hatinya.
“Awal awak bangun?” tegur Shamira ketika
dia sudah siap berpakaian. Diam. Dia malas nak menjawab.
“Malam tadi, awak balik pukul berapa?
Kenapa tak kejutkan saya. Kan saya kata saya ada perkara nak bincang?” tanya
Shamira. Masih diam. Zulfikar berlagak selamba. Dia berpura-pura tidak
mendengar suara Shamira. Tanpa berlengah, dia mencapai beg sandangnya dan terus
keluar dari bilik itu.
“Hei! Saya ni belum habis cakap lagi!”
Shamira menjerit sambil menoleh.
“Apa lagi? Saya ni dah lambat..”
“Lambat apanya? Saya pun belum siap lagi ni!” jawab Shamira.
“Saya pergi sendiri. Saya kuli, mana boleh lambat. Awak tak apa, bos!”
balas Zulfikar dengan suara meninggi.
“Awak jangan bawa kereta Perdana, saya nak guna hari ni. Awak bawa kereta
Waja tu,” Shamira memberi arahan, sombong dan angkuh. Zulfikar terus melangkah.
Shamira sakit hati. Dia meninggalkan meja solek dan mengekori langkah Zulfikar.
“Awak jangan bimbang, saya tak akan cuit kereta-kereta awak tu lagi!”
tegas Zulfikar ketika menyedari Shamira mengekorinya.
“Apa maksud awak?”
“Saya akan naik bas saja. Itu saja yang sesuai untuk orang macam saya,”
“Apa? Awak nak malukan saya?”
“Yang awak nak malu tu kenapa? Tak payah malu. Saya turun naik bas, tak
salahkan?” Zulfikar menjengilkan mata.
“Saya ni orang berpangkat, ada nama!” kata Shamira, keras.
“Yang berpangkat dan ada nama tu awak, bukan saya. Sudahlah! Saya dah
lambat. Nanti ketinggalan bas pula.”
Zulfikar terus melangkah. Dia tidak menoleh lagi. Shamira terkulat-kulat.
Dia ingin menjerit dan menjerkah macam biasa, namun dia terpandangkan dua tiga
orang jiran ada di hadapan rumah masing-masing untuk ke tempat kerja.
Zulfikar hilang dari pandangan matanya. Shamira ikut masuk. Dia juga perlu
bersiap sedia untuk ke pejabat. Hari itu dia ada temujanji dengan Datin Masrina.
Hari itu dia akan mencipta satu lagi kejayaan dalam hidupnya. Datin Masrina
memilihnya sebagai ikon untuk projek pembangunan keluarga. Sudah lama dia
menunggu saat itu.
Zulfikar sampai di pejabat awal dari biasa. Dia menarik nafas lega.
Sekurang-kurangnya tidak ada yang nampak dia berjalan kaki dari pondok hentian
bas ke bangunan Wisma Persekutuan itu.
Ketika duduk melepaskan lelah, dia teringat pada akaun FB yang telah dibuka
oleh Azila semalam. Dia menekan suis
komputer. Nama Putera Aduka segera meniti segar di ruang minda. Sekali tekan
saja, isi FB keluar. Dia membaca apa
yang tertulis di skrin. Dia seperti tikus yang seronok melihat labu.
“Selamat pagi Encik Zul! Pagi-pagi dah buka FB. Ada cerita menarik ke?” tegur
Azila dari belakang. Zulfikar menoleh dengan senyum.
“Awak ni, tak boleh tengok saya senang. Tak boleh tengok orang tua nak
berkawan, ada saja komen awak. Mari sini cepat!” panggil Zulfikar.
“Ada apa ni? Saya nak hantar beg ke meja saya dulu,” Azila berlalu ke
mejanya. Zulfikar menunggu.
“Ada apa Encik Zul?” tanya Azila ketika kembali ke meja Zulfikar.
“Awak dah buka akaun FB saya, awak kena ajarkan semua ilmunya. Jangan
biarkan saya duduk tengok skrin macam orang bodoh macam ni,” kata Zulfikar.
Azila menyengih. Dia teringat pengakuan Zulfikar mengenai ‘kebodohannya’
mengenai FB semalam.
“Apa yang Encik Zul nak tahu?”
“Macam mana nak cari kawan dan nak berbual dengan kawan,”
“Semalam dah ajar..”
“Itu semalam. Hari ni awak belum ajar lagi,” jawab Zulfikar dengan ketawa
kecil. Azila ikut ketawa.
“Matilah kalau kena ajar tiap-tiap hari,” kata Azila di celah ketawanya.
“Sementara saya belum pandai. Kalau saya dah pandai, awak tak payah nak
jeling-jeling saya,” jawab Zulfikar, masih senyum. Azila duduk. Dengan sabar
dan penuh hemat dia mula mengajar mana yang dianggap penting. Zulfikar mula
belajar dengan perlahan. Dia mula mengenali perkataan ‘add’ dan ‘search’.
“Maknanya saya boleh cari kawan-kawan saya dengan hanya menaip namanya?”
tanya Zulfikar selepas Azila selesai memberi tunjuk ajar.
“Tidak semua boleh dicari melalui nama. Ada yang guna nama samaran. Macam
Encik Zul. Putera Aduka,” Azila berbisik. Zulfikar menyengih.
“Tapi, saya hairan juga ni,” tambah Azila.
“Hairan kenapa?”
“Kenapa tiba-tiba Encik Zul rasa nak main FB?” Azila cuba mencari rahsia.
Zulfikar mengangkat bahu. Selama ini dia
memang tidak berminat untuk berfikir mengenai ruang dan halaman yang ada dalam
internet.
“Mungkin sebab saya rindukan kekasih lama..”
“Hah? Betulkah?” Azila menoleh.
“Ish, gurau je. Jangan pecah rahsia mengenai nama samaran saya. Kalau
sampai isteri saya tahu, maknanya awak yang pecah amanah,” kata Zulfikar
memberi amaran, dengan senyum.
“Jangan bimbanglah Encik Zul. Saya ni jenis yang tak pecah amanah,” kata
Azila sambil bangun. Dia meninggalkan meja Zulfikar.
Selepas Azila pergi, Zulfikar menjeling jam di tangannya. Masih ada 10
minit untuk memulakan tugas. Maknanya masih ada 10 minit untuk dia bermain-main
di alam maya itu. Dia menekan huruf A. Keluar macam-macam nama yang bermula
dengan huruf A. Ada yang bergambar wajah asal pemunya. Ada pula diletakkan
dengan gambar objek yang lain. Ada yang kosong, tidak bergambar. Dia menaip
nama Nik Anum. Langsung tidak keluar apa-apa.
“Aku tekanlah semua. Biar ramai rakan aku,” bisiknya sambil tangannya
menekan butang ‘add friend’ yang ada. Kemudian Zulfikar perasan bahawa dia
sendiri belum meletakkan gambar apa-apa pada ruang foto yang kosong itu. Dia
menoleh, mencari Azila di mejanya. Namun gadis itu tidak kelihatan. Dia buntu.
Malas pula untuk membaca apa yang perlu dibuat.
Akhirnya dia keluar dari alam itu, kembali ke alam nyata. Kerja-kerja
yang tidak selesai semalam disambungnya. Ada satu dokumen yang perlu diberi perhatian
segera.