ZULFIKAR
memandu dengan hati yang keliru. Suara Shamira masih berdesing di telinga.
Permintaan Shamira supaya dia melupakan pantai itu tidak mungkin tertunai. Hanya
itu kenangan yang tinggal untuknya selepas Nik Anum pergi. Ke mana lagi akan
dibawa hati yang rindu kalau tidak ke pantai itu. Dia tidak pandai berpoya-poya
ke tempat lain. Hanya di pantai itu.
"Biarlah babah ke pantai itu mama. Apa salahnya babah tenangkan
hatinya di situ. Biarkan babah dengan cara dia. Buat apa mama nak
campur.."
"Afiq, mama tak suka. Itukan namanya menghabiskan masa. Orang semua
tak cukup masa mengejar peluang, babah kau tak habis-habis nak pergi mengira
pasir pantai itu. Kan buang masa.." Dia pernah mendengar anaknya Muhamad
Afiq cuba menyebelahinya. Namun, Shamira bukan orangnya yang mudah faham
perasaan orang lain.
Dia sampai di simpang jalan. Lampu merah mula menyala. Dia berhentikan
kereta. Kemudian telefon bimbitnya pula berdering. Dia segera menjawab.
"Awak ni kenapa?" Tanpa mengucap salam, Shamira menengkingnya.
"Apa lagi?"
"Awak pergi macam tu je? Habis saya ni macam mana?"
"Macam mana apa? Saya nak pergi kerja. Awak pun pergilah
kerja," Zulfikar menjawab selamba. Seperti tidak ada salahnya jawapan itu.
Seperti dia tidak bersalah apa-apa.
"Kan tadi saya dah kata, hari ni saya ada undangan untuk Majlis
Simposium Wanita di Hotel Perdana.."
"Itukan tengah hari. Nanti saya datang ambillah awak di ofis awak
tu. Saya janji, saya tak akan lupa. Saya
akan ingat,"
"Sekarang saya nak pergi ofis dulu,"
"Pergilah. Siapa tak bagi awak pergi ofis?" Zulfikar semakin
selamba.
"Saya nak naik apa? Awak dah tinggalkan saya! Awak pergi macam tu je.
Bodoh betul!" tengking Shamira.
Lampu isyarat bertukar hijau. Tapi Zulfikar tidak menekan pedal minyak
Sebaliknya dia menekan pedal brek. "Ya Allah! Bini aku!" Dia seperti
baru tersedar dari mimpi. Kereta di belakang menekan hon berulang-kali.
Akhirnya baru Zulfikar menekan pedal minyak.
"Awak pusing balik!" Shamira memberi arahan.
"Tapi saya dah lambat ni. Awak naik teksi sajalah," suruh
Zulfikar. Dia membelek jam di tangannya. Memang dia sudah terlambat.
"Apa? Naik teksi? Tidak. Saya tak nak naik teksi. Nanti apa pula
orang kata. Saya tak nak satu ofis ketawakan saya. Awak pusing balik, ambil saya!"
Shamira menjerit kuat.
Suara Shamira benar-benar menyakitkan telinga Zulfikar. Dia menukar arah
perjalanan, berpusing balik arah ke rumahnya dengan dada yang panas!
Dengan geram Zulfikar memandu dengan laju. Akhirnya dia sampai juga di
hadapan rumah banglo itu. Dia membunyikan hon, beberapa kali. Shamira tidak
keluar. Hati Zulfikar semakin terbakar.
"Ish!" Zulfikar melepaskan keluhan sambil menekan hon,
berkali-kali.
Shamira terhegeh-hegeh keluar. Di bahu tersandang beg tangannya, tangan
kanannya menjinjit sebuah beg laptop
sementara tangan kirinya mengepit beberapa buah fail.
"Tak payah nak memekak pagi-pagi ni!" kata Shamira sambil
mencampakkan barang-barang yang ada di tangannya ke dalam kereta.
"Saya dah lambat, awak pula terhegeh-hegeh!" balas Zulfikar
dengan keras.
"Siapa suruh awak tinggalkan saya?"
"Mana saya tahu awak nak pergi bersama saya? Selalunya awak memandu
sendiri,"
"Kan hari ni saya nak ke.."
"Okey, saya salah. Tapi awak kan boleh naik teksi?" Zulfikar
segera memotong cakap Shamira.
"Saya ni pegawai tau? Jangan awak nak malukan saya,"
"Salahkah naik teksi. Ada ramai lagi ketua jabatan, datuk, datin
yang naik teksi. Apa yang tak
kena
dengan awak ni?" tengking Zulfikar.
"Yang awak nak tengking saya ni kenapa? Awak jangan lupa, ini kereta
saya. Saya yang bayar tiap bulan. Saya dah beri awak pandu pun dah cukup baik.
Jangan nak melebih-lebih pula!" Shamira membalas dengan tengkingan juga.
Zulfikar terdiam. Darahnya menggelegak. Dia cuba beristighfar.
"Kenapa diam? Tak betul apa yang saya cakap ni?" Shamira semakin
angkuh. Dia rasa menang kerana dapat mematahkan cakap Zulfikar.
"Kalau macam tu, esok awak ambillah balik kereta kebanggaan awak ni.
Saya boleh pergi ofis naik bas!" jawab Zulfikar dengan suara yang pecah
bergetar.
"Jangan nak malukan saya!"
"Nak malu apa?"
"Apa kata orang kalau tahu awak naik bas?"
"Dah saya ni tak mampu nak beli kereta mewah macam ni. Dulu saya ada
kereta Kancil, awak paksa saya jual. Kalau saya tahu awak nak mengungkit macam
ni, sumpah saya takkan jual kereta tu," kata Zulfikar lagi.
Kereta yang dipandu memasuki kawasan letak kereta. Zulfikar mencari ruang
letak kereta. Kebetulan ada satu petak yang kosong. Dia segera membelok.
"Kenapa nak parkir pula?" tanya Shamira. Zulfikar tidak
menjawab. Setelah kereta diparkir dengan baik, dia keluar dan mengambil barang-barangnya
di belakang. Dia berlagak selamba.
“Awak? Apa maknanya ni?" Shamira separuh menjerit melihat lagak
Zulfikar yang selamba itu.
"Maknanya, awak ambillah kereta mewah awak ni. Awak pandulah
sendiri. Saya akan naik teksi!"
"Kalau saya nak memandu sendiri, lebih baik saya bawa kereta saya
tadi. Kan saya dah kata, saya nak ke hotel tengah hari nanti!!"
"Jadi awak nak suruh saya datang ambil dan hantar awak. Awak nak
tunjuk dengan staf awak saya ni pemandu awak??" tengking Zulfikar. Shamira
terkedu. Belum pernah Zulfikar bersikap begitu sebelum ini. Kenapa?
Sebuah teksi melintas. Zulfikar menahannya.
"Awak!!" jerit Shamira. Dia geram. Dia sakit hati.
Zulfikar tidak menoleh. Dia terus melangkah ke dalam perut teksi dan
teksi terus bergerak.
Dalam perut teksi, Zulfikar menarik nafas berkali-kali. Entah kenapa dia
rasa semakin rimas dengan kelakuan dan sikap Shamira yang kuat memerintah itu.
Dia semakin jelak dengan kata-kata Shamira yang suka mengungkit itu. Bukan hari
ini dia dimaki hamun. Setiap pagi. Setiap malam. Setiap hari. Suara Shamira
tidak pernah rendah dan perlahan. Dia cuba bertahan. Dia berusaha mengawal
diri.
"Awak bawalah kereta saya tu,"
“Habis kereta saya?"
"Jual sajalah. Buat apa nak simpan Kancil buruk tu.."
"Saya sayang kereta tu. Itulah kereta pertama saya. Itulah hasil
titik peluh saya,"
"Alah, tak payah nak sayang. Jual saja. Jangan nak malukan saya
dengan kereta buruk awak tu!" tegas Shamira.
Selepas beberapa bulan, dia akur dengan kehendak Shamira. Kereta Kancil 660cc
yang menjadi kesayangannya dijual. Sebagai ganti, Shamira memberikan dia kunci
kereta Proton Perdana yang baru dibelinya. Dia sebenarnya keberatan. Apa lagi
setiap kali dia ke pejabat, dia akan diperli oleh kawan-kawan.
"Wah! Kau ni memang beruntung dapat bini berpangkat besar. Tengok,
dari Kancil kau dah pakai Perdana. Kita semua ni, Proton Wira pun terkial-kial
nak bayar,”
"Yalah Zul, bukan senang nak dapat bini yang penyayang macam bini
kau tu. Kalau nak harapkan gaji kau mungkin tak terbeli. Macam aku ni ha! kerja
mati-matian pun hanya mampu pakai Iswara je. Itu pun setiap bulan kena catu
sana sini.."
Dia mengakui semua kata-kata mereka. Dia hanya pegawai biasa, lulusan Sijil
Pelajaran Malaysia. Shamira pula seorang pegawai lulusan universiti, yang
berpangkat besar dan bergaji besar. Juga kadang-kadang Zulfikar rasa, Shamira
berlagak besar!
"Encik, dah sampai
encik," suara pemandu teksi meleraikan semua ingatannya. Dia keluar dan
membayar tambang. Semasa kakinya melangkah masuk ke bangunan Wisma Persekutuan,
telefon bimbitnya berdering. Dia melihat nama yang tertera. ISTERIKU, itu yang tertulis di skrin.
Talian dimatikan. Dia terus berjalan ke arah pejabatnya.
"Selamat pagi Encik Zul," tegur seorang kerani yang ada di meja
hadapan. Dia tidak menjawab ramah macam selalu, hanya angguk dengan senyum.
Sampai di mejanya, sebuah fail sudah terletak rapi. Dia segera duduk.
"Zul, kenapa kau lambat? Datuk Nazri dah cari kau tadi," kata
Sahidi, teman sekerjanya.
"Kereta aku kena tarik. Aku terpaksa naik
teksi," jawabnya selamba.
"Hah?! biar betul kau ni? Takkan bini kau tak mampu bayar sampai
kena tarik?" Sahidi hairan.
Zulfikar membelek-belek fail yang ada di mejanya itu dengan selamba. Dia
sengaja membiarkan Shahidi membuat spekulasinya.
"Zul, betulkah kereta kau kena tarik ni?" Sahidi masih tidak
berpuas hati.
"Kau ni, kalau tak ambil tahu hal orang tak boleh heh?" Dia
mengangkat muka dan merenung wajah Sahidi.
"Aku saja nak tahu. Kau tu sahabat baik aku. Apa yang berlaku pada
kau, aku kena ambil tahu. Kalau tidak
aku akan dituntut di akhirat sebagai sahabat yang tidak berjasa," jawab
Sahidi dengan selamba. Zulfikar tidak tahan dengan jawapan itu. Dia ketawa
berdekah-dekah.
"Banyaklah kau punya songel.." kata Zulfikar di celah
ketawanya. Sahidi ikut ketawa. Suasana tegang kembali santai dan ceria.
"Sebenarnya bini aku mengamuk pagi ni. Dia ungkit-ungkit pasal
kereta tu. Aku campaklah kunci kereta tu pada dia! Aku malaslah Di. Aku naik
bas atau teksi lagi baik.." kata Zulfikar. Wajah yang tadi ceria berubah
muram.
Sahidi terdiam. Dia mula faham apa yang berlaku. Selama ini dia dah
banyak mendengar rintihan Zulfikar mengenai rumah tangga dan isterinya yang
berpangkat itu.
"Habis macam mana sekarang? Takkan setiap hari kau nak naik teksi?"
tanya Sahidi.
"Aku rasa aku nak beli kereta lain. Aku nak beli sebuah kereta Kancil.
Itu yang aku mampu,"
"Kau tak takut diketawakan orang?"
"Kenapa orang nak ketawakan aku?"
"Yalah, dari kereta besar kau tukar kereta kecil. Dah macam melawan
arus," jawab Sahidi berhati-hati. Dalam saat seperti itu, Zulfikar mungkin
terlalu sensitif.
"Aku tak boleh nak fikirkan orang lain. Aku kena fikirkan kocek aku
ni. Dengan gaji aku yang sebanyak ni, nak bayar macam-macam. Aku nak beli apa yang
aku mampu sahaja," Zulfikar berkata jujur. Sahidi angguk. Dia tahu
Zulfikar bukan orang yang suka berlagak. Walaupun dia ada peluang untuk
berlagak, tapi dia tidak pernah menggunakan peluang itu. Setiap masa dia akan
beritahu, dia pegawai rendah. Kereta besar itu milik isterinya, bukan hak dia.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering lagi. Sekali lagi dia melihat
tulisan di skrin. Masih sama, ISTERIKU. Tangannya dengan cepat mematikan talian.
"Siapa?" tanya Sahidi.
"Siapa lagi, tuan keretalah..." jawab Zulfikar dengan senyum.
Sahidi ikut tersenyum. Namun beberapa saat kemudian, bunyi isyarat pesanan
ringkas (SMS) berdeting. Zulfikar menekan dan membaca dalam hati. Tiba-tiba
wajahnya kemerahan. Tangannya menggigil. Dia seperti sedang terbakar dek api kemarahan
yang menjulang!
"Kenapa Zul? Apa dia nak?" Sahidi merenung wajah Zulfikar.
Perubahan wajah Zulfikar secara drastik itu amat membimbangkannya. Zulfikar
tidak menjawab. Sebaliknya dia tunduk menahan gelodak rasa.
"Zul, bawa bertenang dan sabar. Berfikirlah dengan akal bukan dengan
nafsu. Aku nak keluar ke tapak projek. Kalau ada apa-apa, kau telefon aku. Mana
yang aku boleh tolong, aku akan tolong," Sahidi menepuk-nepuk bahu
Zulfikar.
"Kalau betul kau nak tolong aku, kau tolong aku carikan sebuah kereta
dengan segera," Zulfikar mengangkat muka dan menatap wajah Sahidi.
"Maksud kau?" Sahidi keliru.
Zulfikar tidak menjawab. Sebaliknya dia menghulurkan telefon bimbitnya.
Sahidi mengambil huluran itu dan terus membaca apa yang baru di terima oleh
Zulfikar itu.
"NAK BERLAGAK DENGAN SAYA YA? TAK SEDAR DIRI!
MULAI HARI INI, JANGAN SENTUH HARTA SAYA LAGI!!
Sahidi terkedu. Sungguh kasar bahasa Shamira. Simpatinya kepada Zulfikar
tiba-tiba melaut. Sebagai insan bernama lelaki, darahnya juga ikut terasa panas
dan mengalir laju. Selama ini dia hanya mendengar dari mulut Zulfikar mengenai
kelancangan, kurang ajar dan sikap kasar Shamira. Kadang-kadang dia cuak dan
ragu-ragu akan kebenarannya. Namun sekarang, dia yakin sepenuhnya akan semua
cerita Zulfikar itu. Semuanya tidak bohong. Semuanya benar belaka.
"Kalau macam ni, petang ni aku bawa kau jumpa kawan aku. Selalunya
dia ada stok yang dah siap. Kau nak beli kereta apa?"
"Kan aku dah kata, Kancil cukuplah. Aku tak mampu kereta lain,"
jawab Zulfikar, masih muram.
"Baiklah. Aku pergi dulu. Kau tunggu sampai aku balik," Sahidi
mencapai topinya dan berjalan keluar dari pejabat itu.
Zulfikar mengambil fail yang ada. Dia membelek-belek sekali lagi fail
itu. Namun fikirannya yang kacau bilau menyebabkan perhatiannya tidak mampu
ditumpukan kepada angka dan tulisan yang tercatit di kertas yang ada. Dia
menutup semula fail itu dan termenung menopang dagu.
Dia mengenang keadaan dirinya. Lebih dua puluh tahun
dia hidup bersama Shamira. Selama itu, dia cuba sedaya upaya menjadi suami yang
baik dan penyayang. Dia rasa seluruh perhatian dan kasih sayangnya tertumpu
pada keluarga dan rumah tangga.
Dia tahu perkahwinannya dengan Shamira bukan atas dasar cinta. Semuanya berlaku
begitu cepat. Tanpa diduga dan tanpa dirancang. Semuanya diatur oleh temannya
Abas, atas dasar simpati dengan nasibnya yang kehilangan Nik Anum.