-11-
HUBUNGAN Zulfikar
dan Shamira berada dalam keadaan yang amat tegang. Sejak balik dari kampung,
Zulfikar langsung tidak pedulikan Shamira. Dia buat hal sendiri. Bangun pagi,
dia bersiap dan pergi kerja. Petang, balik dari kerja dia singgah di kedai
mamak. Lepas kenyang baru dia balik, mandi dan solat lalu terus tidur.
Kemuncak
pertelingkahan itu berlaku apabila
Zulfikar membawa pulang sebuah kereta Produa Kancil 850cc yang dibelinya
itu.
“Kereta
siapa awak bawa tu?” tanya Shamira. Dia seperti mencebik melihat kereta itu
tersadai di tepi rumahnya.
“Kereta
sayalah. Kenapa?” jawab Zulfikar selamba. Dia seperti cuba menghidupkan api
marah Shamira. Wajah Shamira berubah merah padam.
“Bila
awak beli? Tak cakap dengan saya pun?!”
“Saya
nak cakap dengan awak untuk apa? Supaya awak boleh hina saya lagi..?”
“Awak
ni kenapa? Sejak akhir-akhir ni macam nak cari salah saya saja?” balas Shamira,
kurang senang. Zulfikar diam. Dia membiarkan Shamira mencari silap sendiri,
bukan mencari silap orang lain.
“Sekurang-kurangnya
awak bincang dengan saya sebelum beli,” kata Shamira selepas mendapati Zulfikar
diam.
“Nak
bincang buat apa? Yang saya kena bincang ialah dengan pihak yang nak beri saya
pinjam duit. Dengan awak, tak ada kena mengena. Bukan awak yang nak kena
bayar!”
“Tapi
saya ni isteri awak! Sejak bila saya tak ada hak untuk ambil tahu hal awak ni?”
Shamira mula melenting. Kemarahannya mula berputik. Zulfikar semakin selamba.
“Agaknya
ini yang awak dapat di kampung tu ya? Agaknya mak awak yang hasut awak untuk
menentang dan bencikan saya,”
“Shamira!!
Jangan kurang ajar sangat? Jangan nak buruk-burukan mak saya!” tengking
Zulfikar. Sejak dulu dia memang pantang kalau Mak Senah dikaitkan.
Perkahwinannya dengan Shamira telah meretakkan hati Mak Senah. Jadi dia tidak
mahu hati ibunya terus dilukai..
Pertengkaran
itu tamat di situ kerana Zulfikar segera menghindar diri. Dia mengambil kunci
kereta dan keluar dari rumah. Shamira terpekik-pekik memanggil, namun Zulfikar
tidak menoleh. Akhirnya perang dingin berlaku. Tidak ada suara tegur menegur
lagi. Hati Zulfikar rasa lapang. Dia pergi ke pejabat dengan hati yang senang.
Tidak ada soal jawab dan suara Shamira yang suka memerintah itu tidak menyentuh
kuping telinganya lagi.
“Baguslah
Zul. Kau benar-benar telah menjadi lelaki,” kata Sahidi ketika mendengar cerita
Zulfikar.
“Apa
selama ini aku tak jantan? Kau ingat aku mak nyah?” tanya Zulfikar dengan
ketawa. Sahidi ikut ketawa. Dia memang melihat satu kelainan di wajah Zulfikar
sejak akhir-akhir ini. Wajah itu ada keceriaan dan tenang. Tidak seperti
sebelumnya, kusut dan muram.
“Wah!
Dua kumbang kalau bersembang tak nampak saya di belakang..” sapa Nurul Ain,
rakan setugas mereka. Zulfikar menoleh. Sahidi juga.
“Dah
Ain duduk dari belakang, memanglah tak nampak. Apa Ain ingat saya ni ada mata
tambahan yang letak di sini,” jawab Zulfikar sambil menunjukkan di belakang
kepalanya. Ketawa mereka pecah.
“Apa
yang cik abang berdua sedang bincang ni? Ada bisnes baik ke?”
“Hish!
Ain ni sibuklah. Ini hal orang lelaki. Ain tak boleh tahu,” jawab Sahidi.
“Yalah
tu. Tak apalah kalau tak nak kongsi. Kita ni siapakan?” Nurul Ain pura-pura
merajuk.
“Eleh..eleh..Miss
Lady Ain merajuklah pula..” kata Zulfikar. Dia menyengih. Dengan cepat Nurul
Ain menoleh. Ada sangsi di wajahnya.
“Encik
Zul? Mana Encik Zul tahu nama itu?” tanya Nurul Ain dengan mata terbeliak.
“Ain
ingat Ain sorang saja yang pandai main muka buku tu?”
“Muka
buku?” Sahidi pula menyampuk.
“Facebooklah.” Dengan segera Zulfikar
menjawab. Sahidi ingin ketawa. Namun serta merta dia menutup mulutnya dengan
tangan.
“Encik
Zul ada facebook? Tapi bila? Saya tak
nampak pun nama Encik Zul dalam facebook?”
“Ain
ingat Ain seorang yang pandai guna nama samaran. Saya pun ada..” Zulfikar
mengenyit mata dengan senyum.
“Siapa?”
“Carilah
sendiri,” Zulfikar bertambah galak berseloroh.
“Encik
Zul dah jadi sahabat saya?” Nurul Ain inginkan kepastian. Zulfikar angguk.
Dengan cepat Nurul Ain kembali ke mejanya. Tangannya ligat menekan butang
komputer. Dia mencari dan mencari. Tapi langsung tidak ada nama Zulfikar.
“Encik
Zul, tak ada pun! Isteri Encil Zul Puan Shamira adalah..” kata Nurul Ain.
Kebetulan Azila masuk dengan secawan kopi.
“Zila,
kau tahu nama samaran Encik Zul dalam facebook?”
tanya Nurul Ain. Azila menoleh ke arah Zulfikar. Ketika itu Zulfikar
menggelengkan kepala.
“Entah.
Aku tak tahu. Dia ada facebook? Betul
ke?” Azila pura-pura terkejut.
“Itu
yang aku sedang cari. Dia kata dia ada facebook..”
“Kau
carilah sampai jumpa. Aku nak buat kerja ni..” Azila berjalan ke mejanya. Dia
cuba mengelak diri kerana pada masa itu dia sudah mula hendak ketawa. Nurul Ain sibuk mencari.
“Kau
tengok, semua staf di sini jadi rakan FB bini kau,” bisik Sahidi.
“Biarlah.
Dia orang ternama. Dia orang berpangkat. Dia orang yang disanjung. Aku ni tak
ada siapa nak kenal,” balas Zulfikar perlahan. Tiba-tiba dia rasa sebal.
“Bukan
itu maksudku,”
“Habis
tu apa?” Zulfikar angkat muka. Dia menatap wajah Sahidi dan mencari jawapan.
“Maksud
aku, gerak geri kau sedang diperhati. Bini kau menggunakan semua kesempatan
yang ada untuk mengintip kau,” jawab Sahidi penuh yakin.
“Intip
aku? Kenapa?”
“Kenapa
aku tak tahu. Tapi yang jelas, sejak akhir-akhir ni dia rajin menelefon ke sini
dan bertanya pasal kau. Aku rasa ada spy
dia di sini..”
“Mana
kau tahu?”
“Aku
pernah dengar ada staf yang bersungut dan merungut,”
“Apa
mereka kata?”
“Mereka
kata mereka rimas bila disoal dengan bermacam soalan. Aku rasa kau kena cakap
dengan Shamira sebelum hal ini berpanjangan dan nama kau tercemar di pejabat
ini. Aku rasa Shamira tu mengesyaki kau,” Sahidi menjawab dengan penuh
hati-hati.
“Syak
apa?”
“Dia
syak kau ada perempuan lain. Sebab itu dia tanya pukul berapa kau balik dan
keluar dari ofis setiap petang..”
“Gila!!”
Zulfikar mendengus geram. Serta merta mukanya merah padam.
“Ada
lagi yang kau tak tahu,” sambung Sahidi lagi.
“Apa
dia?”
“Anak
kau. Dia pun selalu mencari maklumat dengan staf di sini,”
“Hah?
Siapa? Afiq atau Atikah?” Zulfikar terkejut. Kata-kata Sahidi benar-benar tidak
dijangka. Ia benar-benar memeranjatkan.
“Yang
perempuan. Kalau kau tak percaya kau boleh tanya Che’ Roma. Dia yang mengadu
pada aku. Dia minta nasihat aku sebab aku ni kawan baik kau,” jawab Sahidi.
Zulfikar tunduk. Kali ini dia rasa ombak rasa benar-benar sedang membadai
hatinya.
Nasib
baik dia bukan berada di rumah. Kalau tidak, tentu ada yang kena penamparnya.
Dia tahu ini semua olah Shamira. Atikah tidak akan berani melakukan hal itu
tanpa arahan ibunya.
Zulfikar
bangun. Hatinya retak.
“Kau
nak ke mana?”
“Aku
nak jumpa Che’ Roma. Aku nak selidik perkara ini. Di, perkara ni cukup
memalukan aku. Macamlah aku ni penjenayah hingga mereka buat aku macam ni..”
Zulfikar terus melangkah ke meja Che’ Roma yang letaknya tidak jauh dari situ.
Sahidi melihatnya dengan mata belas dan simpati. Dia juga melihat wanita yang
bernama Che’ Roma angguk berkali-kali menyebabkan wajah Zulfikar merah seperti
udang kena bakar!
Pulang
ke rumah petang itu, Zulfikar tidak sabar untuk bersemuka dengan Shamira. Ketika
itu pula Shamira belum pulang. Dia tahu Shamira akan lambat. Dia akan menunggu.
Dadanya sudah panas berbara. Dia akan ledakkan semuanya. Dia tidak sanggup lagi
menanti esok.
Sehingga
pukul 10.00 malam, kelibat Shamira tidak
juga kelihatan. Dia mengambil telefon, cuba untuk menghubunginya. Namun egonya
berbisik megah, bahawa dia lelaki yang tidak boleh mengalah mencari. Dia
berbaring di sofa dan menanti. Bosan. Lalu dia masuk ke bilik dan mencari beg komputer
riba.
Sambil
menunggu Shamira, dia melayari alam maya. Dia membaca komen-komen dan cerita
yang ada. Cerita politik. Cerita kutuk mengutuk banyak memenuhi ruang FB hari
itu. Dia malas untuk membacanya. Dia menyelusuri sebuah artikel yang ditulis
oleh Putera Lapan, salah seorang yang menjadi rakan FB secara rambang. Dia
tidak kenal siapa itu Putera Lapan. Namun dia selalu membaca dan mengikuti
setiap artikel yang ditulisnya. Kali ini Putera Lapan menulis dengan tajuk:
KEADAAN ROH SEBELUM JASAD DIKEBUMIKAN’
Roh
yang keluar dari jasad akan diangkat naik ke langit untuk menerima ketentuan
dari Allah mengenai tempatnya nanti
(samada di syurga atau di neraka). Lalu Allah memerintahkan malaikat membawanya
turun ke bumi. .
Dengan
taat, malaikat membawa roh itu turun dan meletakkan di tengah rumahnya. Dari
situ roh itu akan dapat melihat dan mendengar apa yang berlaku dan dilakukan
oleh keluarganya dan mereka yang berada di rumahnya. Ia akan tahu siapa yang
bersedih dan berduka kerana ketiadaannya, tetapi ia tidak boleh berbicara
apa-apa. Namun begitu antara roh dan jasad masih berhubungan antara satu sama
lain dengan cara tersendiri. Ini seperti yang telah diriwayatkan oleh Abu
Said al-Khudri, katanya: “Rasulullah
s.a.w bersabda : Sesungguhnya mayat itu tahu siapa yang memandikan, mengusung
dan memasukkannya ke dalam kubur. Ia dapat mengetahuinya kerana adanya hubungan
roh dan badannya.”
Roh
akan merintih ketika pakaian dilucutkan dari badan mayat: “Wahai orang yang
akan memandikan, kuminta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku
dengan perlahan kerana di saat ini aku sedang beristirehat dari kesan seretan
Malakul maut.”
Ketika
mayat itu diletakkan di atas hamparan kain kafan pula, ia akan menyeru:
“Wahai
orang yang memandikan, janganlah kuat-kuat dalam mengkafani kepalaku sehingga
aku dapat melihat wajahku, anak-anakku dan keluargaku. Sebab inilah penglihatan
terakhirku kepada mereka. Adapun aku pada hari ini berpisah dengan mereka dan
aku tidak akan melihat mereka sehingga hari kiamat.”
Ketika
mayat diletakkan di tempat untuk dimandikan, maka ia dipanggil tiga kali oleh
suara dari langit : “Wahai anak Adam!! di manakah tubuhmu yang kuat, bukankah
sekarang kamu sudah menjadi lemah? Di
mana mulutmu yang selalu bercakap? Bukankah sekarang kamu diam membisu? Di
manakah semua kekasihmu? Bukankah mereka sekarang mengasingkanmu?”
Sesudah
jasad selesai dimandikan dan dikafankan,
malaikat membawa roh itu kembali kepada jasadnya antara kain kafannya.
Roh itu akan bertanya: “Kenapakah kamu membawa aku lagi kepada jasad yang telah
aku tinggalkan?” Malaikat lalu menjawab : “Kami hanya melaksanakan perintah
Allah. Oleh itu engkau pun terpaksalah mengikutinya.”
Ketika
mayat diletakkan untuk disembahyangkan, maka sekali lagi ia dipanggil dengan
tiga kali teriakan : “Wahai anak Adam! Segala amal yang telah kamu lakukan
akan kamu lihat. Jika amal kebajikanmu
baik kamu akan melihat dengan baik. Jika amal kebajikannya buruk, maka kamu
akan melihatnya dengan jelek juga.” .
Dari
hadis riwayat Bukhari yang diterima dari Abu Said al-Khudri katanya: “Rasulullah
s.a.w pernah bersabda: “Apabila jenazah itu diusung oleh beberapa orang lelaki,
maka berkatalah ( roh orang-orang yang soleh ) : Bawalah aku segera! Bawalah
aku segera!. Tapi kalau ia orang yang jahat, berkatalah ia : Sungguh celaka
aku. Ke manakah aku akan dibawa?. Keluhannya itu akan didengari oleh semua
makhluk kecuali manusia, kerana jika manusia mendengarnya, pasti ia akan
menjerit ketakutan.”
Dari
hadis yang lain pula mengatakan : “Semasa berada di atas usungan, roh itu akan
bergerak-gerak sambil berkata : “Wahai keluarga, kerabat dan anak-anakku, wahai
orang yang memakai pakaian kami, membahagi-bahagi harta kami, serta mendiami
rumah kami, janganlah kamu sampai diperdayakan oleh dunia sebagaimana ia telah
memperdayakan kami. Kami telah mengumpulkan harta dari jalan yang haram dan
halal dan kami telah meninggalkannya kepada kamu. Harta itu untuk kamu dan kami
tinggal menerima hisab ( perhitungan ). Hati-hatilah kamu dengan apa yang telah
terjadi kepada kami ( mati ).”
Ketika
itu juga ia ( mayat ) akan mendengar seruan dari langit : “Wahai anak Adam!!
sangat berbahagialah kamu jika kamu termasuk dalam golongan yang bertaubat.
Sangat berbahagilah kamu jika amalmu baik, sangat berbahagialah kamu jika
sahabatmu dalam keredhaan Allah dan sangat celakanya kamu jika para sahabat
kamu orang yang dimurkai Allah.”
Akhirnya
mayat yang sudah siap itu sampai ke kubur. Di saat berada di tepi kubur, sekali
lagi mayat akan di panggil: “Wahai anak Adam! Bukankah kamu menambah damai
kepada tempat yang sempit ini? Bukankah kamu membawa kekayaan di tempat
kefakiran ini? Dan bukankah kamu membawa cahaya penerang di tempat yang gelap ini?”
Begitu
juga ketika ia diletakkan di dalam liang lahad, ia juga akan dipanggil oleh
kubur sebanyak tiga kali, “Wahai anak Adam! Kamu di atas punggungku bergurau
senda, tapi kamu dalam perutku akan menangis. Kamu di atas punggungku
bergembira ria, tapi kamu dalam perutku menjadi cemas dan duka dan kamu berada
di atas punggungku dapat berbicara, tapi kamu dalam perutku menjadi diam.”
Setelah
liang lahad ditutup dan kubur ditimbuskan dengan tanah dengan sempurnanya, maka
tinggallah jasad yang kaku itu dalam kubur yang sempit dan sepi itu seorang
diri melainkan dengan tiga perkara iaitu amal kebajikannya, sedekahnya dan doa
anak-anaknya yang soleh.
Sebuah
keluhan mendesah keluar dari bibir Zulfikar. Hatinya tersentuh. Lalu dia
terfikir, bagaimanakah nanti nasibnya ketika berdepan dengan malaikat maut?
Sudah cukupkah bekalnya untuk mengadap Tuhan? Dengan penuh sayu dan hiba,
tiba-tiba air matanya menitik.
“Astaghfirullahhalazim…ampunilah
aku ya ALLAH. Kuatkanlah imanku untuk berdepan dengan dugaan-Mu ya ALLAH,” ucapnya dengan sebak. Lama dia tunduk diam
dan bertafakur.