PETANG itu, seperti yang
dijanjikan Maryati mengikut Mak Cik Patonah di pondok menunggu bas. Ketika dia
sampai, Mak Cik Patonah tiada. Dia mencari tempat duduk dan cuba membuang
lenguh.
Dia termenung melihat jalan raya yang agak sibuk. Waktu petang,
waktu untuk orang pulang ke rumah selepas seharian bekerja.
“Hei, apa termenung ni? Bosan tunggu mak cik lambat sangat ke?”
Tiba-tiba bahunya dicuit. Mak Cik Patonah tersenyum ketika dia
menoleh. Namun Maryati tidak berani untuk senyum. Matanya merenung wajah wanita
itu dengan ragu-ragu. Tiba-tiba dia berasa tidak kurang senang dengan
keputusannya. Apakah betul apa yang cuba dibuatnya ini?
“Mar, kenapa?”
“Betul ke apa yang Mar buat ni, mak cik?”
“Buat apa?” Mak Cik Patonah keliru.
“Pergi ke rumah mak cik semata-mata kerana nak korek rahsia mak
cik. Macam tak ada adab pula Mar ni,” keluh Maryati perlahan.
Mak Cik Patonah tersenyum. Gelisah di hati Maryati segera
disingkirkan.
“Mar, dah lama mak cik nak ajak Mar ke rumah mak cik. Ada perkara
yang mak cik nak Mar tahu. Mak cik tak ada orang lain yang rapat selain Mar.
Masa Mar bercerita tentang kisah hidup Mar, mak cik dah rasa ALLAH telah
menghantar Mar kepada mak cik.”
“Apa maksud mak cik?” tanya Maryati. Namun Mak Cik Patonah tidak
sempat menjawab bila bas yang ditunggu tiba.
“Bas dah datang. Kita sambung di rumah nanti,” kata Mak Cik
Patonah menunjukkan ke arah sebuah bas yang berhenti di hadapan mereka. Dia
bangun dan menarik tangan Maryati. Mereka beriringan menaiki bas untuk ke Flat
Bukit Angkasa.
Setengah jam baru mereka sampai ke tempat yang dituju. Mak Cik
Patonah turun, diikuti oleh Maryati. Kemudian mereka menapak anak-anak tangga
Blok A untuk ke tingkat dua.
“Dah lama ke mak cik tinggal di sini?” tanya Maryati untuk
menghilangkan rasa bosan membilang mata tangga.
“Dah lama juga. Sejak...” Mak Cik Patonah berhenti sejenak. Dia
terus berjalan, seperti mahu mengelak daripada
meneruskan cerit.
Maryati faham. Dia tidak mahu bertanya lagi.
Tidak lama mereka sampai dengan nafas yang termengah-mengah. Mak
Cik Patonah membuka pintu. Maryati dijemput masuk dengan penuh hormat. Dia
duduk di ruang tamu dengan selesa. Kerusi rotan yang agak usang direnungnya
lama. Tiba-tiba dia teringat pada seseorang. Dulu dia pernah melihat kerusi
seperti itu. Serta-merta dia membuang semua ingatan itu.
“Mar, buatlah macam rumah sendiri. Mak cik ke dapur, tengok apa
yang boleh kita makan.”
“Buat susah mak cik saja ni.”
“Susah apanya, hanya minum. Tapi kalau Mar rasa nak makan di sini
pun boleh. Kita masak dan makan bersama. Nak tak?” tanya Mak Cik Patonah.
Maryati diam.
“Kata orang tua-tua, diam maknanya setuju. Jomlah kita ke dapur,”
ajak Mak Cik Patonah.
Maryati bangun dan mengekori wanita itu. Ketika itu tiba-tiba dia
teringatkan bondanya di kampung. Dia berhenti melangkah.
“Mar, kenapa?” Mak Cik Patonah menoleh.
Maryati sebak.
“Mar rindukan kampung dan keluarga Mar?” Mak Cik Patonah menduga.
Maryati mengangguk.
Mak Cik Patonah segera mendekat dan memeluk tubuh Maryati. Esakan
Maryati tiba-tiba terburai pecah, bersama air mata yang melebat.
“Sudahlah. Kalau rindu, kenapa Mar tak balik saja? Atau Mar
tinggal saja di kampung? Kata Mar, bonda dan ayahanda Mar pun tinggal berdua
saja,” kata Mak Cik Patonah sambil memimpin Maryati duduk di sebuah kerusi
plastik di ruang dapur itu.
“Mar tak kuat nak berdepan dengan mereka, mak cik. Setelah apa
yang berlaku, Mar tak nak mereka terus rasa bersalah. Lagipun, Mar nak tunggu
anak-anak Mar. Mar yakin, satu hari mereka akan kembali juga ke pangkuan Mar,”
kata Maryati pula.
Mak Cik Patonah faham perasaan murni Maryati. Tiba-tiba juga dia
berasa sebak. Kalaulah anak-anaknya berpekerti sebaik Maryati.
“Apa kata, satu hari mak cik ikut Mar balik kampung. Mak cik
teringin nak ke Kelantan,” ujarnya.
“Betul ke, mak cik?”
Mak Cik Patonah mengangguk.
“Betul ke mak cik tak pernah pergi ke Kelantan? Tapi kalau tak
silap Mar, mak cik pernah cerita salah seorang menantu mak cik orang Kelantan,”
kata Maryati.
“Memang benar, tapi mak cik tak pernah
dibawa ke sana. Mak cik tak pernah kenal besan dan saudara-mara menantu mak
cik. Dengan menantu pun mak cik jumpa sekali saja semasa mereka baru
berkahwin,” kata Mak Cik Patonah pula.
Muncul rasa pelik di hati Maryati di sebalik cerita itu. “Habis
semasa majlis perkahwinan tu, takkan keluarga sebelah menantu tak datang?”
Mak Cik Patonah menggeleng. Hati Nik Anum Maryati semakin keliru.
“Assalamualaikum! Mak cik oh mak cik!”
Suara orang memberi salam bergema dari luar pintu. Mak Cik Patonah
bangun. Soalan Maryati tidak sempat dijawab.
“Mar duduk sekejap, mak cik nak tengok siapa yang datang.”
Selepas tinggal sendirian,
Maryati memerhati ke sekeliling dapur itu. Dapur rumah itu sederhana
peralatannya. Hanya ada dapur, sebuah almari pinggan mangkuk dan sebuah peti
sejuk satu pintu.
Ketika itu, juga Maryati teringat kata-kata Raihanah yang Mak Cik
Patonah bukan calang-calang orang. Anak-anaknya semua berpangkat. Betulkah?
“Nur Kartinie hantar surat mak cik,” kata Mak Cik Patonah sambil
duduk semula di hadapan Maryati.
“Nur Kartinie? Siapa?”
“Jiran sebelah. Kadang-kadang bila posmen datang bawa surat berdaftar, dia yang tolong
ambilkan sebab siang memang mak cik tak ada di rumah.”
Maryati ingin bertanya lebih lanjut tentang surat itu, namun dia
bimbang akan dikatakan menyibuk pula.
“Surat dari anak mak cik dari Singapura,” kata Mak Cik Patonah,
seperti faham dengan apa yang ada dalam fikiran Maryati.
“Anak mak cik ada di Singapura?”
“Ya, yang sulung. Dia berkahwin dengan orang sana. Dia
satu-satunya yang tak bekerja, hanya suri rumah tangga sepenuh masa,” jawab Mak
Cik Patonah.
“Anak mak cik berapa orang?” Maryati merasakan dia sudah diberi
ruang untuk merisik kisah. Dia amat teruja untuk tahu kisah hidup Mak Cik
Patonah.
“Semuanya enam, tapi mati seorang. Tinggal lima orang. Tiga
lelaki, dua perempuan. Seorang di Singapura, tiga di luar negara dan seorang di
sini.”
“Di KL ni?”
“Tak, di Kelantan...” jawab Mak Cik Patonah perlahan.
Namun Maryati sempat mendengar ada getar halus dalam suara itu.
Dia mencongak sendiri. Anak Mak Cik Patonah mungkin mengikut suaminya ke
Kelantan.
“Mar, minumlah dulu. Basahkan tekak dulu, sebelum telinga Mar
dengar cerita yang Mar nak tahu tu.” Mak Cik Patonah menghulurkan segelas air
sirap yang baru dikeluarkan dari peti sejuk.
Maryati meneguk sirap itu. Memang dia berasa haus.
“Mar, cerita yang mana yang Mar nak tahu dari mak cik?” tanya Mak
Cik Patonah. Maryati meletakkan semula gelas di atas meja.
“Kalau boleh semuanya,” jawab Maryati dengan senyum.
“Kalau semuanya, Mar kena tidur di sini seminggu.”
“Kenapa, mak cik?”
“Sebab kisahnya panjang, berliku dan penuh ranjau. Macam hidup Mar
juga, hidup mak cik tak secerah orang lain,” jawab Mak Cik Patonah.
“Kalau macam tu, mak cik cerita tentang anak-anak mak cik dulu.
Yang lain, kita sambung kemudian,” putus Maryati.
Mak Cik Patonah ketawa perlahan.
Maryati menoleh dengan wajah hairan. “Kenapa mak cik ketawa?”
“Lucu pula Mar beria-ia nak tahu kisah hidup mak cik. Mar macam seorang wartawan, nak cari sampai
benar faktanya.”
Maryati terkesima malu.
Mak Cik Patonah melepaskan pandangannya ke luar tingkap.
Maryati dihurung rasa bersalah. “Mak cik, minta maaf sekali lagi.
Kalau mak cik rasa keberatan nak cerita, tak apa. Mar tak akan kecil hati.
Kisah hidup mak cik adalah milik mak cik,” tuturnya.
Mak Cik Patonah bangun dan
berjalan ke ruang tamu.
Maryati gelisah. Dia memujuk hati supaya bersabar dan menunggu.
Tidak boleh terlalu tergesa-gesa kerana dia tidak mahu membuatkan wanita itu
rasa terluka.
“Mar, boleh Mar tolong bacakan surat anak mak cik yang sampai tadi
tu?” Dia menghulurkan sampul surat yang dihantar oleh Nur Kartinie itu.
Maryati teragak-agak.
“Tak ada rahsia. Kalau Mar nak tahu sedikit sebanyak kisah mak
cik, Mar bacalah surat Aziana ni. Bacalah...”
Maryati tiada pilihan walaupun hatinya cukup berat. Dia tidak suka
membaca surat orang lain. Namun kali ini, dia terpaksa. Dia membacanya di dalam
hati. Beberapa baris ayat sudah dibaca dengan hati yang mula bergetar.
“Jangan baca dalam hati sebab mak cik pun nak dengar,” kata Mak
Cik Patonah, menepuk bahunya.
Maryati mengangkat muka.
Mak Cik Patonah mengangguk.
Maryati membetulkan duduknya. Dia mencari kekuatan lalu membaca
surat itu.
“Assalamualaikum, ibu. Azi harap ibu berada dalam keadaan sihat
sejahtera. Dalam setiap sujud Azi kepada Allah,
Azi tidak pernah terlupa mendoakan ibu. Hanya ini yang Azi mampu buat untuk
ibu.
Ibu, surat ibu telah selamat Azi baca. Seperti biasa, air mata
tidak mampu Azi tahan. Ia telah menemani Azi dalam menghayati setiap patah kata
yang ibu tulis. Sungguh Azi sedih. Sungguh Azi kesal. Sepatutnya dalam usia ibu
yang begini, ibu tinggal diam di rumah dan mengerjakan amal ibadat. Sepatutnya
juga selepas ibu bertungkus lumus membesarkan kami, ibu mendapat ganjaran
balasan yang baik. Namun... apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ibu masih
bekerja.
Ya Allah! Maafkan
Azi, ibu. Azi terasa Azi menjadi anak derhaka. Azi menjadi anak yang tidak
mengenang budi. Azi biarkan ibu menanggung semua kesusahan dan penderitaan
sendirian. Azi mungkir janji pada arwah abah untuk menjaga ibu.
Azi ingin, ibu... terlalu ingin menjaga dan membelai ibu
sepertimana ibu pernah membelai kami adik-beradik. Namun apakan daya, anak ibu
ini sudah terikat dengan sebuah rumah tangga. Azi tersepit antara dua
persimpangan kasih. Azi tidak mampu membuat keputusan memilih ibu kerana
sayangkan cucu-cucu ibu ini. Azi tidak mahu mereka membesar tanpa ayah.
Ampuni Azi, ibu. Jangan sumpah Azi dengan sumpah keramat seorang
ibu. Tolong Azi, ibu. Azi sayangkan ibu.
Sungguh malang nasib Azi kerana sampai saat ini Azi belum mampu
membalas semua pengorbanan ibu melahirkan Azi. Kesakitan ibu ketika melahirkan
Azi belum pernah Azi ubati. Setitik darah ibu yang tumpah dalam kesakitan itu
juga belum sempat Azi balas. Setitik air susu ibu yang Azi minum juga belum
terbalas. Begitu juga kehangatan pelukan ibu dari lahir hingga dewasa, langsung
belum berbalas.
Ibu, apakan daya Azi. Tuhan
tidak berikan Azi rezeki yang banyak untuk membantu dan menyara hidup ibu.
Kalau tidak, Azi akan tebus semua kesedihan ibu itu. Kalaulah adik-adik Azi
tidak lupa diri... tentu keadaan ibu tidak begini. Mereka telah menjadi orang
berjaya dan berpangkat. Tapi kenapa mereka begitu zalim melupakan jasa ibu?
Bersama ini Azi kirimkan sedikit duit untuk ibu. Memang ia amat
sedikit kalau nak dibandingkan dengan jasa dan kasih sayang ibu. Tapi, hanya
ini yang Azi ada, ibu. Jangan bimbang, duit ini adalah duit hasil titik peluh
Azi sendiri. Azi tidak mencuri duit belanja dapur. Azi juga tidak meminta dari
sesiapa, tapi Azi buat kuih untuk jualan. Azi simpan semua duit jualan kuih
untuk ibu.
Ibu, Azi amat berharap agar ibu masih sudi mendoakan adik-adik Azi
walaupun mereka telah berlaku kurang ajar pada ibu. Mereka perlukan doa seorang
ibu. Jangan sumpah mereka seperti ibu Si Tenggang menyumpah anaknya. Tolong
kasihani mereka, ibu. Tolonglah!
Sampai di sini dulu. Sembah salam dari Azi dan anak-anak untuk
ibu.
Anakmu... Aziana.”