Home Novel Keluarga I LOVE YOU CIKGU
Prolog

KEDINGINAN pagi sesekali terasa di tubuh kurusnya. Dia dapat melihat kabus nipis masih berada di kaki Bukit Larut melalui tingkap di hadapannya. Keluhan kecil dilepaskan. Fikirannya masih buntu memikirkan permintaan Ustazah Habsah. Permintaan yang melibatkan masa hadapannya. Kolam hatinya yang sepi bagaikan terusik. Adakah hatinya telah terbuka untuk mencintai dan dicintai seorang suami? Terdapat percanggahan antara akal dan hati. Hati menyatakan ya, tapi akal masih keras mahu menolak. Apa pandangan masyarakat terhadapnya nanti? Persoalan itu terus bermain di kalbu.

“Mana satu Sara Raihana?” Terdengar suara perempuan bertanya dengan agak tegas.

“Ada urusan apa, puan?” soal Hajar, sopan.

“Ada urusan peribadi. Yang mana satu dia?”

“Hujung sana,” jawab Hajar sambil menunjuk ke arah Sara Raihana.

Sara Raihana yang terdengar namanya dipanggil terus berpaling daripada tingkap dan berdiri untuk menyambut tetamu tidak diundang itu. Bibirnya menguntum senyuman.

Mungkin ibu salah seorang pelajarku, bisik hati Sara Raihana tanpa ragu.

“Awak Sara Raihana?” Keras bunyi pertanyaan itu.

“Ya, saya,” jawab Sara Raihana masih tersenyum.

“Oh, ni rupanya perempuan miang yang selama ni menggoda laki aku. Dasar janda tak sedar diri!”

Serentak dengan itu tubuh Sara Raihana ditolak kasar hinggakan dia jatuh terduduk di atas lantai. Nasib baik kepalanya tidak mencium bucu meja. Jika tidak, bilik guru itu bakal bermandikan darah. Terpinga-pinga Sara Raihana dibuatnya. Senyuman di bibir mati serta-merta. Tubuhnya terasa sakit. Kenapa dia diserang? Apa kesalahan dia sehingga diperlaku sebegitu? Sebelum sempat dia bangun, dia diserang buat kali kedua. Pipinya ditampar kasar.

Air mata Sara Raihana mulai meluncur laju. Sebelum sempat tamparan kedua hinggap di tubuhnya, tangan perempuan itu telah dipegang Cikgu Maimunah. Hajar dan Norita segera membentengi Sara Raihana. Takut perempuan itu menyerang Sara Raihana lagi.

“Awak jangan pukul dia. Dia tak bersalah!” jerkah Cikgu Maimunah dengan wajah ketat.

Dia tidak sanggup melihat rakan sekerjanya diperlakukan sebegitu. Dia tahu Sara Raihana telah banyak menderita. Menderita lahir dan batin.

“Hei, kau jangan masuk campur. Ini urusan aku dengan dia!”

Terjegil mata perempuan itu sambil jarinya menuding ke muka Cikgu Maimunah. Garangnya mengalahkan singa betina.

“Apa aje yang bersangkut paut dengan Sara adalah urusan saya. Sila keluar dari sini sekarang sebelum saya panggil polis,” tegas Cikgu Maimunah.

Cikgu Maimunah berusaha menahan diri untuk tidak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap perempuan itu. Jika diikutkan rasa, mahu sahaja penamparnya melayang ke pipi perempuan itu. Tetapi akalnya masih waras. Dia perlu bersikap profesional.

Perempuan itu tidak mempedulikan arahan itu, sebaliknya terus mengeluarkan kata-kata cemuhan terhadap Sara Raihana.

“Hei perempuan sundal! Tak ada lelaki lain ke yang kau nak menggatal? Kenapa laki aku yang kau pilih?”

Sara Raihana tidak menjawab. Sakit hatinya digelar begitu oleh orang yang tidak dikenali. Siapakah perempuan itu yang tergamak mengeluarkan kata-kata nista kepadanya?

Adakah kerana status jandanya membuatkan orang boleh menuduhnya sesuka hati? Di mana letaknya akal fikiran seorang manusia yang dianugerahkan ILAHI? Adakah telah hilang ditelan nafsu syaitan?

Suasana di dalam bilik guru semakin kecoh. Ramai yang cuba menenangkan perempuan itu. Cikgu Mustafa yang dipanggil segera datang ke bilik guru bagi memujuk isteri keduanya.

“Jah, kenapa datang sini buat kecoh? Malu abang macam ni. Apa-apa hal kita bincang kat rumah.”

Cikgu Mustafa terasa malu bukan kepalang kerana semua mata tertumpu ke arahnya. Dia cuba menarik lengan isterinya untuk dibawa pulang tetapi isterinya membantah sambil berbentak-bentak. Akhirnya Cikgu Mustafa melayangkan sebuah penampar ke pipi isterinya dan terus menarik tangan isterinya keluar dari bilik itu. Mukanya masam mencuka. Radang hatinya dengan tindakan si isteri.

Cikgu Maimunah tersenyum sinis melihat adegan itu. Padan muka! Mungkin itulah perkataan yang sesuai untuk mentafsirkan senyuman itu. Sara Raihana yang masih menangis dipujuk beberapa orang guru yang lain. Guru Penolong Kanan 1 yang diberitahu akan hal itu terkocoh-kocoh masuk ke bilik guru dan mendapatkan Sara Raihana.

“Awak okey tak, Sara? Kalau awak nak, awak boleh pergi hospital dan kemudian buat laporan polis,” kata Guru Penolong Kanan 1, Encik Hamid dengan nada lembut. Seolah-olah seorang bapa sedang memujuk anak gadisnya.

“Tak apalah, Cikgu Hamid. Saya okey, cuma terkejut sikit. Saya nak mintak cuti rehat untuk hari ni boleh tak? Fikiran saya benar-benar terganggu,” pinta Sara Raihana tidak mahu memanjangkan kisah.

Cikgu Hamid mengangguk memberikan kebenaran. Dalam diam, dia bersimpati dengan nasib Sara Raihana.

Sara Raihana diberi cuti pada hari itu dan dia segera memandu pulang ke rumah. Dia berkeras untuk tidak dihantar sesiapa pun. Dia mahu bersendirian. Tangannya mengusap-usap pipi yang masih bersisa sakitnya. Tapi sakit di hati lebih parah. Separah pesakit kanser tahap keempat. Ada titis-titis air jernih yang mengalir di pipi. Dicapainya sehelai tisu untuk menyeka aliran air jernih itu.

Kuatkanlah hatiku, Ya ALLAH. Berikanlah petunjuk-MU agar aku tabah dan kuat mengharungi dugaan ini. Sesungguhnya aku amat lemah dan beban yang kugalas ini serasanya tak mampuku pikul lagi, bisik hati kecil Sara Raihana.

Semua ini berlaku ketika fikirannya makin bercelaru dan buntu. Haruskah dia menerima pinangan Muhammad Nur Iman yang baru berumur 25 tahun berbanding dirinya yang telah berusia 31 tahun? Tetapi peristiwa yang berlaku sebentar tadi membuatkannya terfikir sesuatu. Dia perlu menghentikan semua tohmahan dan fitnah yang datang.

Tekad hatinya telah bulat dan dia tidak akan berpaling lagi. Dia menghentikan kereta di pinggir jalan dan menelefon seseorang.

“Assalamualaikum. Kita jumpa sekarang. Ada hal yang Sara nak bincang. Jumpa kat rumah Mak Zainab.”

Segera talian dimatikan tanpa memberi peluang orang di hujung talian membalasnya.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.