PERHIMPUNAN rasmi di dewan besar pagi itu
terasa sungguh meriah. Setelah bercuti panjang,
sesi persekolahan bermula semula untuk tahun itu.
Masing-masing begitu gembira bercerita sehinggakan
suasana menjadi agak bising. Sara Raihana
hanya memerhati keadaan sekitar dengan debaran di hati.
Itulah hari pertamanya ditugaskan di sekolah itu.
“Mai!”
Telinga Sara Raihana dapat mendengar seorang guru
lelaki memanggil nama guru perempuan yang baru mengambil
tempat di sebelahnya. Guru yang berbadan sederhana besar
itu berpaling ke arah guru lelaki itu.
“Tukar tempat boleh?” Guru lelaki itu bersuara.
“Kenapa nak tukar tempat?” soal Cikgu Maimunah
walaupun dia dapat mengagak maksud Cikgu Mustafa.
“Viewkat situ lebih menarik. Sejuk mata memandang,”
jawab Cikgu Mustafa dengan sengihan panjang.
“Hai, dah ada dua tak cukup-cukup lagi ke?” sindir Cikgu
Maimunah.
“Mana tahu, boleh jadi ketiga.”
Cikgu Maimunah mencebik. Beberapa orang guru lelaki
bergelak ketawa. Mungkin menyokong kenyataan Cikgu
Mustafa.
Dasar lelaki! Menyampah! Bisik hati Cikgu Maimunah.
Ada guru perempuan yang menjeling geram. Sara Raihana
telan liur yang mulai terasa kesat. Dia tahu kedua-dua orang
guru itu sedang membicarakan tentang dirinya. Cuak rasa
hatinya.
“Sudah! Duduk jauh-jauh. Tempat cikgu kat sana.
Jangan nak jual minyak urat kat sini.” Sinis kata-kata Cikgu
Maimunah.
Cikgu Mustafa terus tersengih dan mengambil tempat
duduk di sebelah seorang guru lelaki. Matanya masih melihat
ke arah Sara Raihana.
Gatal, getus hati Sara Raihana. Rasa geram kerana lelaki
itu tidak menjaga pandangan mata. Tidak takutkah dosa pada
ALLAH?
Tengok rupa macam anak mami, bisik hati Cikgu
Maimunah setelah mengamati wajah Sara Raihana. Sara
Raihana mengangkat muka melihat Cikgu Maimunah. Dia
menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Saya Sara Raihana,” ujar Sara Raihana memperkenalkan
diri.
“Saya Maimunah, tapi kawan-kawan panggil Kak Mai.
Asal dari mana?”
“Pulau Pinang,” jawab Sara Raihana penuh sopan.
“Patutlah macam anak mami,” kata Cikgu Maimunah
tersenyum lebar.
“Lebih kurang, begitulah,” ujar Sara Raihana membalas
senyuman Cikgu Maimunah.
Subhanallah, cantiknya mata. Warna coklat keperanganperangan,
lentik pulak bulu matanya. Ini kalau padankan
dengan Amir sesuai ni. Amir pun boleh tahanhandsome, bisik
hati Cikgu Maimunah gembira. Terbayang di mata wajah anak
saudaranya yang baru bekerja di Putrajaya.
Sebelum sempat Cikgu Maimunah menyoal lagi, guru
bertugas telah mengarahkan para pelajar meluruskan barisan
untuk menyanyikan lagu-lagu rasmi. Semua yang ada di dewan
berdiri menghormati lagu-lagu itu. Setelah selesai menyanyi,
para pelajar diminta duduk di dalam barisan mengikut kelas
masing-masing. Cikgu Maimunah memberikan tumpuan
kepada ucapan pengetua. Pengetua memperkenalkan guruguru
baru yang bakal mengajar di situ. Seorang demi seorang
diperkenalkan dan akhirnya tiba giliran Sara Raihana.
“Cik Sara Raihana akan mengajar mata pelajaran
Geografi dan berasal dari Pulau Pinang. Sekolah ini adalah
postingpertamanya,” ujar pengetua memperkenalkan secara
ringkas tetapi cukup untuk menarik perhatian terutama guru
lelaki dan guru senior yang ingin mencari menantu.
“Hai Sara, ramai yang dah berminat tu. Ingatkan Cikgu
Mustafa aje,” usik Cikgu Maimunah separuh berbisik.
Dilihatnya banyak mata yang bertumpu ke arah Sara
Raihana. Ada sedikit resah terlihat di wajah Sara Raihana.
Sara Raihana hanya tersenyum tanpa memberikan sebarang
komen. Dia menunduk sambil menggenggam jari-jemari.
Cikgu Maimunah turut memandang sekilas ke arah jari Sara
Raihana. Ada cincin belah rotan di jari manis itu.
“Macam baru aje cincin tu. Berkilat. Dah ada yang
punya ke?” soal Cikgu Maimunah lagi, agak perlahan sambil
mendekatkan diri kepada Sara Raihana.
Seboleh mungkin dia tidak mahu suaranya itu kedengaran
oleh orang lain. Takut pula mengganggu majlis perhimpunan
yang masih berlangsung. Sara Raihana hanya tersenyum
sambil mengangguk malu. Senyuman di bibir Cikgu Maimunah
menjadi tawar.
“Bila nak langsung?” tanya Cikgu Maimunah setelah lama
mendiamkan diri.
“Insya-ALLAH, cuti Tahun Baru Cina nanti.”
“Hai, bisik-bisik apa tu Kak Mai? Dokadjustnak bagi
kat siapa pulak? Amir ke?” tanya Cikgu Amirah sambil
mengangkat kening. Agak pekat loghat utaranya.
Dia tahu Cikgu Maimunah seringkali menjadi telangkai
untuk guru-guru di situ. Tidak termasuk Cikgu Mustafa. Itu
adalah ‘musuh’ tradisinya.
“Tak boleh dah. Dah ada yang punya,” jawab Cikgu
Maimunah buat-buat muka sedih.
Serentak mereka tertawa kecil, tetapi cukup membuatkan
beberapa orang guru yang berada di barisan hadapan
berpaling ke arah mereka, termasuklah Penolong Kanan
HEM yang terkenal dengan sikap tegasnya. Ketawa dimatikan
segera dan wajah mereka dialihkan ke arah pengetua yang
masih memberikan ucapan.
“Tahu takut!” bisik Cikgu Siti Aminah sambil menahan
ketawa.
“Aku bukan takut. Tapi dia yang tak takut kat aku,” kata
Cikgu Amirah, tersengih.
Cikgu Maimunah ketawa tanpa bunyi. Tubuhnya
terhinggut-hinggut menahan gegaran ketawanya. Sara Raihana
hanya mampu tersenyum melihat ragam teman-teman
barunya. Hatinya terasa senang dengan penerimaan mereka.
Setelah selesai perhimpunan, Sara Raihana menyalami guruguru
perempuan yang berada di situ.
“Sara tinggal kat mana?” tanya Cikgu Maimunah.
“Saya menyewa kat Taman Marisa.”
“Tinggal seorang?” tanya Cikgu Siti Aminah pula.
“Ya.”
“Cikgu baru yang seorang lagi tu kata nak cari rumah
sewa. Mungkin cikgu boleh kongsi sewa dengan dia,” beritahu
Cikgu Siti Aminah.
Lantas tangannya menunjuk ke arah seorang guru
yang berpakaian hijau sedondon. Sara Raihana segera
mendapatkan guru itu setelah mengucapkan terima kasih
kepada Cikgu Siti Aminah.
“Maafkan saya,” ujar Sara Raihana memulakan kata untuk
berbicara dengan guru itu.
“Awak tengah cari rumah sewa ke, Norita?” tanya Sara
Raihana.
Sara Raihana tahu nama guru itu melalui tanda nama yang
tersemat di tudungnya. Malah namanya juga pasti diketahui
mereka yang lain berdasarkan tanda namanya.
“Ya.”
“Saya menyewa seorang diri kat Taman Marisa. Kalau
awak nak, kita boleh kongsi menyewa.”
“Baguslah. Saya memang nak cari rumah sewa. Segan
saya menumpang rumah sepupu saya. Dia dah berkeluarga,”
ujar Norita dengan gembira.
Setelah berbincang, Norita bersetuju untuk menyewa
bersama-sama Sara Raihana. Sara Raihana gembira kerana
dia tidak perlu rasa takut tinggal seorang diri.
Tanpa sedar, sepasang mata leka memerhati ke arah
guru-guru baru itu. Hatinya bagai diruntun-runtun untuk
mengenali guru perempuan bertubuh langsing berketinggian
sederhana yang memakai baju kurung berwarna ungu gelap
dan bertudung ungu cerah. Wajah guru itu pula ada iras-iras
Priyanka Chopra, pelakon Bollywood.
Cantik! Sungguh cantik. Kalau aku dapat, alangkah
indahnya hidup aku. Pasti anak-anak aku nanti cantik-cantik
danhandsomebelaka, bisik hati remajanya.
“Hoi! Jalanlah. Berangan apa pulak tu Chan?”
Satu teguran dari arah belakang mengejutkan lamunan
Chan Chee Hong. Dia hanya tersengih dan terus melangkah
mengikut barisan yang lain menuju ke kelas. Perasaan
Chan Chee Hong terasa gembira bertemu kawan-kawan
sekelasnya. Semangatnya untuk belajar tahun ini menjadi
berkobar-kobar. Pada akhir tahun ini dia akan menduduki
Peperiksaan SPM. Dia perlu merealisasikan impiannya dan
harapan bapanya. Sebagai anak sulung daripada dua orang
adik-beradik, dia perlu menunjukkan contoh terbaik.
“Chan,” panggil Cikgu Siti
Aminah.
Chan Chee Hong segera mendapatkannya.
“Tolong ke bilik guru dan ambilkan buku pendaftaran
kat atas meja cikgu. Kamu tahu kan meja cikgu?”
“Ya, cikgu. Saya pergi ambil sekarang.”
Cikgu Siti Aminah mengangguk. Sepantas kilat Chan
Chee Hong bergerak menuruni anak tangga untuk ke bilik
guru. Bilik guru terletak di aras dua dan kelasnya terletak
di aras tiga bangunan yang bertentangan. Chan Chee Hong
memberikan ucapan selamat pagi untuk semua guru yang
ditemuinya di dalam bilik guru. Dia segera bergerak ke meja
Cikgu Siti Aminah.
“Chan, mari sini sekejap,” panggil Cikgu Maimunah.
Chan Chee Hong segera mendapatkan Cikgu Maimunah
sambil memberikan senyuman. Cikgu Maimunah adalah cikgu
yang paling rapat dengannya dan dia sering membantu cikgu
itu di koperasi sekolah. Chan Chee Hong merupakan salah
seorang ALP (ahli lembaga pengarah) koperasi sekolah.
“Chan, nanti kamu buat pengumuman, panggil semua
ALP tahun lepas. Kita buat perjumpaan selepas tamat waktu
sekolah. Tolong buat pengumuman masa rehat nanti, ya.”
“Baik, cikgu,” jawab Chan Chee Hong sambil matanya
asyik memandang Sara Raihana yang sedang mengelap meja
di sebelah Cikgu Maimunah.
“Cikgu tak nak kenalkan saya dengan cikgu baru tu?”
tanya Chan Chee Hong dengan senyuman meleret.
“Bukan tadi pengetua dah perkenalkan ke? Kamu dah
lupa ya?” tanya Cikgu Maimunah agak hairan.
“Tadi kurang jelas.”
“Okeylah. Sara, ni Kak Mai perkenalkan Chan Chee
Hong, pelajar Tingkatan Lima Arif. Chan ni seorang pelajar
yang rajin dan suka tolong orang.”
Kembang kempis hidung Chan Chee Hong menerima
pujian Cikgu Maimunah. Sengihannya makin melebar. Hati
berbunga bagai taman Firdausi. Sara Raihana memberhentikan
kerja membersih meja dan memandang ke arah Chan Chee
Hong.
“Selamat pagi, cikgu,” ucap Chan Chee Hong sambil
sebuah senyuman semanis gula diberikan. Getaran di hati
makin rancak terasa.
“Selamat pagi. Nanti bolehlah cikgu mintak tolong Chan
jugak, ya,” kata Sara Raihana sambil tersenyum. Manis dan
ikhlas senyuman yang diberikan.
Chan Chee Hong mengangguk. Senyuman sentiasa
terukir di bibir.
“Cikgu punya pasal sampai ke tengah malam pun saya
sanggup tolong.”
“Amboi, mentang-mentang Cikgu Sara cantik, nak tolong
sampai ke malam pun tak apa, ya. Kalau cikgu mintak tolong,
silap-silap kamu lari pulak nanti,” ujar Cikgu Maimunah
bercanda.
“Tak adalah, cikgu. Mana pernah saya lari kalau cikgu
mintak tolong,” jawab Chan Chee Hong ikhlas.
“Ya, cikgu tahu kamu memang baik.”
“Cikgu tinggal kat mana?” tanya Chan Chee Hong pula.
“Hai Chan, sampai rumah Cikgu Sara pun kamu nak tahu.
Ada apa-apa ke ni? Jangan kata kamu dah jatuh hati kat Cikgu
Sara,” ujar Cikgu Maimunah makin seronok mengusik.
“Eh, saja tanya. Mungkin Cikgu Sara perlukan pertolongan
saya untuk angkat barang.”
Merona merah wajah Chan Chee Hong ketika itu.
Ketara sangat ke? Soal Chan Chee Hong di dalam hati.
“Tak apalah Chan, bukan banyak sangat barang saya.
Sebenarnya saya tinggal kat Taman Marisa,” jawab Sara Raihana
tanpa curiga. Pelajar hendak menolong, apa salahnya?
“Saya mintak diri dulu, cikgu. Nanti Cikgu Siti hairan
pulak kalau saya lambat ambil buku pendaftaran dia.”
“Baiklah Chan. Jangan lupa apa yang cikgu pesan tadi.”
Chan Chee Hong hanya mengangguk sambil tergesa-gesa
mengambil buku pendaftaran pelajar.
“Sara nak tahu tak?”
“Tahu apa?”
“Chan Chee Hong belajar Pendidikan Islam dan akan
ambil kertas tu masa Peperiksaan SPM nanti,” kata Cikgu
Maimunah berbangga.
Sara Raihana agak terkejut.
“Hah? Boleh ke?”
“Boleh. Dia dapat markah tinggi tahun lepas. Malangnya
ada budak Melayu kita yang gagal.”
“Bapa dia tak marah dia belajar Pendidikan Islam?”
“Bapa dia yang suruh. Dia gunakan anaknya bagi menguji
kaedah pembelajaran menggunakan kad imbasan.”
“Macam mana tu?”
Sara Raihana makin tertarik mendengar cerita Cikgu
Maimunah. Kerusinya ditarik hampir ke kerusi Cikgu
Maimunah. Suasana di dalam bilik guru ketika itu agak
lengang kerana kebanyakan guru telah bergerak ke kelas
masing-masing.
“Bapa dia pun seorang guru. Dia guna kaedah tu untuk
mengajar pelajarnya, tapi Nazir yang menyelia menyatakan
kaedah tu salah kerana lambat dan silibus tak habis. Jadi
untuk membuktikan keberkesanan kaedah pengajarannya
yang direka sendiri, kedua-dua anak dia belajar Pendidikan
Islam.
Orang Cina belajar sesuatu yang berbeza daripada
kebiasaan. Tentu sukar, kan? Tapi dengan kaedah kad imbasan,
Chan dapat ingat semua fakta dan menghafal hampir
keseluruhan isi pelajaran yang diajarkan.” Panjang penerangan
Cikgu Maimunah.
“Kad imbasan tu dibuat sendiri oleh Chan dan
mempunyai dua permukaan. Permukaan atas ditulis perkataan
dan di bahagian bawah permukaan kad itu ditulis penerangan
tentang perkataan tu. Kad-kad ni akan dihafal berulang kali
bagi mengingati setiap apa yang ditulis. Berkotak-kotak dah
Chan buat kad imbasannya,” sambung Cikgu Maimunah lagi.
“Rajinnya, nanti saya nak tengok kad-kad imbasan dia,”
kata Sara Raihana, teruja.
“Sara tanyalah dia nanti. Kaedah bapa Chan ni bagus tapi
banyak pihak tak menyukainya.”
“Kenapa? Kalau dah terbukti berkesan, sepatutnya
kaedah tu boleh diketengahkan.”
“Siapa nak yakin pada kaki botol?”
Agak terperanjat Sara Raihana dengan kenyataan itu.
“Macam mana dia mengajar kalau kaki botol?”
“Itu Kak Mai tak pasti tapi sampai sekarang dia masih
mengajar. Eh, asyik bersembang aje kita. Sarafreetak? Kalau
freejom ke kantin.”
“Sekejap, Sara tengok jadual dulu,” kata Sara Raihana lalu
menatap jadual waktu.
“Freelah. Sara pun dah lapar, jom.”
Sara Raihana mencapai beg tangan lalu mengekori Cikgu
Maimunah dari belakang. Sambil berjalan ke kantin, Cikgu
Maimunah menceritakan serba sedikit kedudukan bangunan
dan bilik-bilik khas di sekolah itu. Mungkin semua penerangan
Cikgu Maimunah tidak dapat diingati Sara Raihana, tapi
dia pasti akan mengenali sekolah itu dan warganya secara
perlahan-lahan.